![]() | |||||||||||||||||||||
Nama ringkas | Međi, štakoraš, hrčičar | ||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Croatia | ||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing kecil Međimurje,[a] yang juga dikenali sebagai međi, ialah satu baka anjing yang asli di Croatia. Ia telah dibiakbakakan selama seratus tahun di Croatia barat laut, paling banyak di kawasan Međimurje. Ia terdapat di laman luar bandar sebagai anjing pengawal dan pemburu rodensia berbahaya. Baka ini buat masa ini diiktiraf oleh kelab kenel kebangsaan di Croatia, di Bosnia dan Herzegovina, di Serbia, di Belanda, di Finland, dan di Republik Czech. Baka ini buat masa ini tidak diiktiraf oleh FCI.[1] Pengelasan FCI tidak rasmi bagi baka ini ialah Kumpulan FCI 1 Anjing Gembala Biri-biri dan Anjing Lembu (kecuali Anjing Lembu Switzerland) Seksyen 1 / Anjing Gembala Biri-biri, tanpa ujian kerja.[2]
Sejarah

Orang di Međimurje memanggilnya hrčičar atau štakoraš ("[anjing] pemburu tikus") kerana ia pakar dalam pemburuan tikus, terutamanya tikus bandar yang lebih besar. Ia merupakan baka anjing yang sangat dikenali di sana di Croatia barat laut. Menurut tradisi, supaya tuan rumah dapat membelanya, anjing berkenaan perlu melulusi ujian, yang bermaksud bahawa tindak balas pantas dan penangkapan tikus yang melarikan diri selepas dikejar keluar dari bilik bawah tanah, lubang baja, loteng, atau bilik stor. Anjing yang menangkap tikus dan melambungkannya tinggi-tinggi di udara dan kemudian menangkapnya dengan gigi amat dihargai. Semakin masyarakat maju, makanan bukan lagi masalah utama, demikian juga tikus, maka peranan anjing yang memburu tikus berkurang. Anjing kecil ini merupakan kegemaran di Međimurje di laman, di ladang, dan di dalam rumah dengan reputasi sebagai anjing sangat pintar dan licik.[3]
Untuk melindungi baka ini dan menyelamatkannya daripada kepupusan, iaitu percampuran dengan baka lain, sekumpulan penggemar memulakan pemiawaian. Sebagai sebahagian daripada persatuan "Međimurska lastavica" yang terdiri daripada pembiak baka haiwan kecil di Donja Dubrava, seksyen "pembiak baka anjing kecil Međimurje" dibentuk pada 12 Februari 2003. Pemilihan bermula dari permulaan, dengan pencarian anjing yang mempunyai paling banyak ciri yang memadani jenis anjing dan pendaftaran anjing ini dalam buku daftar. Melalui pembiakbakaan terkawal, trait bagus tertentu dicuba untuk dikekalkan, sementara yang buruk diperbaik atau ditindas. Setelah melihat hasil pemilihan dan progres yang dicapai sejak permulaan pemiawaian, pada sesi lembaga eksekutif Hrvatski kinološki savez pada 30 Disember 2010, terdapat keputusan bahawa anjing kecil Međimurje diiktiraf sebagai baka asli ke-7 Croatia dan kemasukan ke dalam Buku Pedigri Bersyarat Croatia (HUR) dalam HKS diluluskan. Međi secara rasmi menjadi baka asli dengan kesempatan untuk menyertai semua pameran di Croatia dan juga dipersembahkan kepada khalayak awam buat kali pertama pada pameran pembiakbakaan baka anjing asli ke-3 di Varaždin pada 21 Mei 2011 dan kemudian pada banyak pameran lain.[3] Pada tahun 2019, kertas sains asli pertama diterbitkan tentang baka ini,[4] yang dalamnya hasil keputusan menunjukkan bahawa međi ialah baka unik dengan sekurang-kurangnya 6 susur galur berlainan (dalam kalangan 39 ekor anjing yang disampelkan).
Ciri

Penampilan
Međi ialah anjing kecil yang terbina secara sangat berharmoni dan mempunyai rupa bentuk segi empat tepat dengan tungkai pendek. Panjang tubuh dapat melebihi sepertiga ketinggiannya pada paras kelasa. Dengan struktur tubuh sederhana dan tulang yang tidak terlalu berat, ia merupakan anjing riang, tangkas, cerdas, dan sangat patuh. Menurut sistem morfologi, ia tergolong dalam jenis anjing lupoid dengan kepala berbentuk baji dan telinga tegak segi tiga. Lapis bulunya pendek, agak keras dan rata, agak lebih panjang pada bahagian atas leher (surai) dan di bahagian dalam bawah ekor (jumbai). Ekornya mencapai keting; apabila berjaga-jaga dan gembira, ekornya terbawa dalam lengkuk ringan di atas belakangnya. Spesimen paling lazim berwarna adalah dwiwarna dengan pelbagai bentuk dan corak, serta triwarna.[2]
Perangai
Ia menunjukkan kualiti anjing pengawal bagus, tetapi tidak agresif terhadap orang dan anjing lain atau terhadap haiwan bela jinak lain. Ia sangat tekun dan rajin bekerja, terutamanya menangkap tikus. Ia menahan diri daripada orang asing, tidak dapat disogok, dan menyalak lantang-lantang untuk mengumumkan ketibaan orang asing. Međi adalah sangat setia dan penyayang kepada pemiliknya dan keluarganya dan suka bermain dengan kanak-kanak. Ia sangat cerdas dan cekap melaksanakan perintah kata.[5]
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ کچيل ميجيموريي; Croatia: mali međimurski pas, međi; bahasa Inggeris: small Međimurje dog
Rujukan
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing kecil Međimurje |
- ^ "FCI breeds nomenclature" [Tatanama baka FCI] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 7 Jun 2025.
- ^ a b "SMALL MEĐIMURJE DOG – MEĐI" [ANJING KECIL MEĐIMURJE – MEĐI] (dalam bahasa Inggeris). Hrvatski Kinološki Savez. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 September 2024. Dicapai pada 7 Jun 2025.
- ^ a b "About" [Tentang] (dalam bahasa Croatia). Mali međimurski pas - međi. Dicapai pada 7 Jun 2025.
- ^ Janeš, Mateja; Brajković, Vladimir; Držaić, Ivana; Zorc, Minja; Dovč, Peter; Čubrić Čurik, Vlatka (27 Jun 2019). "Mitochondrial variability of Small Međimurje dog" [Kebolehubahan mitokondrion anjing kecil Međimurje]. Agriculturae Conspectus Scientificus (dalam bahasa Inggeris). Universiti Zagreb. 84 (2): 203–209. ISSN 1331-7776. S2CID 204885471.
- ^ Skok, Damir (2011). "MALI MEĐIMURSKI PAS – MEĐI" [ANJING KECIL MEĐIMURJE – MEĐI] (PDF). Hrvatski veterinarski vjesnik (dalam bahasa Croatia). Jil. 19 no. 1–2. Hrvatsko veterinarsko društvo. m/s. 54–55. ISSN 1330-2124.