Sistem Transit AliranJohor Bahru–Singapura سيستم ترنسيت اليرن جوهر بهارو–سيڠاڤورا | |||
---|---|---|---|
Umum | |||
Nama lain | Johor Bahru–Singapore Rapid Transit System | ||
Jenis | Transit kereta api ringan (LRT) rentas sempadan | ||
Status | Dalam pembinaan (80% siap) | ||
Lokasi | |||
Terminal | Bukit Chagar Woodlands North | ||
Stesen | 2 | ||
Perkhidmatan | 1 | ||
Operasi | |||
Dirancang dibuka | Januari 2027[1] | ||
Pemilik | InfraCo[5] | ||
Pengendali | OpCo[2]RTS Link (usaha sama Prasarana & SMRT)[3][4]30 tahun tempoh konsesi | ||
Ciri | Bertingkat, bawah tanah | ||
Depot | Wadi Hana, Johor Bahru | ||
Teknikal | |||
Panjang landasan | 4 km (2.5 bt) | ||
Bilangan landasan | 2 | ||
Tolok landasan | 1,435 mm (4 kaki 8 1⁄2 in) tolok piawai | ||
Pengelektrikan | 750 V DC rel ketiga | ||
Kelajuan operasi | 80 km/j (50 mph) | ||
|
Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
|
Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS)[6] ialah transit aliran ringan rentas sempadan yang bakal menghubungkan Johor Bahru, Malaysia dengan Singapura, merentasi Selat Tebrau. Apabila siap dibina, sistem ini akan menjadi laluan kereta api penghubung kedua antara dua negara tersebut selepas perkhidmatan KTM Tebrau Shuttle. Sistem ini mengandungi dua stesen yang dilengkapi dengan fasiliti kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), iaitu stesen Bukit Chagar di Johor dan Woodlands North di Singapura.[7][8] Penyelenggaraan dan penyimpanan gerabak kereta api pula akan dibuat di Depoh Wadi Hana, Johor Bahru.[7][8]
SIstem ini bakal membawa lebih 10,000 penumpang setiap jam dan mengurangkan kesesakan trafik di Tambak Johor setelah permulaan operasinya pada Januari 2027.[7]
Sejarah
Permulaan dan Kajian
Idea sebuah sistem transit rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura telah wujud sejak pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia Ke-6 Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada 24 Mei 2010. Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin negara berkenaan telah bersetuju untuk merealisasikan sistem transit yang menghubungkan Tanjung Puteri, Johor Bahru dan Singapura, dengan sebuah kompleks CIQ dibina di stesen bahagian Singapura serta dijangka siap pada tahun 2018.[9]
Bahagian pertama kajian kejuruteraan telah dilaksanakan oleh Aecom Technology Corp dari Mei 2012[10] hingga Mac 2014 melalui dua fasa.[11] Daripada kajian ini, sasaran baharu tarikh projek ini dapat disiapkan adalah pada 2019, setahun lewat daripada cadangan asal.[10] Pada September 2014, kawasan Bukit Chagar dipilih sebagai lokasi stesen terminal di Malaysia bagi projek ini dan bakal dilengkapi juga dengan kemudahan CIQ. [12]
Proses pengesahan kawasan dan tender projek yang memakan masa lama telah menyebabkan tarikh siap yang disasarkan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar, Datuk Ismail Ibrahim, ditunda kepada tahun 2022.[13] Pada 17 November 2017, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar telah memperkenan reka bentuk jajaran baharu yang berbentuk garis lurus sepanjang Selat Tebrau berbanding reka bentuk garis lengkung sebelum ini dan menurunkan ketinggian jambatan daripada 30 meter kepada 25 meter dari paras air laut.[14]
Pada 16 Januari 2018, perjanjian dua-hala antara Malaysia dan Singapura dimeterai yang menyaksikan permulaan penubuhan syarikat usaha sama antara SMRT Corporation dan Prasarana Malaysia bagi tempoh konsesi pertama selama 30 tahun. Perjanjian ini juga telah memutuskan bahawa sistem ini bakal menggunakan sistem transit aliran massa (MRT) dan akan siap sebelum akhir 2024.[15] Singapura juga telah mempersetujui jajaran baharu yang melintas Selat Tebrau dengan garisan lurus dan garisan melengkung di daratan Johor. [16]
Kontroversi dan Pembatalan
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 dan peralihan kepada kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan telah menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan projek ini. Pada 1 Jun 2018, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah berkata bahawa projek ini masih berjalan tetapi perlu disemak semula bagi mengurangkan kos disebabkan jumlah hutang negara yang membimbangkan.[17]
Pada 3 Mei 2019, Perdana Menteri Malaysia Ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan untuk menuntut atau bersedia untuk membeli bagi satu daripada lima plot tanah di Bukit Chagar, Johor Bahru yang diserahkan oleh kerajaan sebelum ini (pimpinan Barisan Nasional) kepada Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar.[18] Baginda kemudian berkenan untuk menyerahkan satu plot tanah tersebut kepada Kerajaan Persekutuan dengan syarat projek ini dilaksanakan dengan kadar segera.[19]
Suasana rumit antara kerajaan pada masa itu dan Sultan Johor telah membawa kepada pertelingkahan dan tohmahan daripada pihak pembangkang. [19] Tambahan pula, kelewatan kerajaan dalam mengemukakan konklusi kepada penyemakan semula projek ini juga telah menambah kerumitan tersebut.[20] Disebabkan pelbagai masalah yang timbul, projek ini telah ditangguhkan sebanyak tiga kali[21][22][23] dan sistem MRT yang digunakan telah dikurangkan skala operasinya kepada Transit Aliran Ringan (LRT) dalam usaha mengurangkan kos.[22]
Projek diteruskan
Walaupun kedua-dua negara terlibat sedang menghadapi penyebaran wabak pandemik COVID-19, projek ini tetap disambung semula secara rasminya pada 30 Julai 2020 hasil pertemuan Perdana Menteri Malaysia Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan memorandum persefahaman telah diserahkan oleh Menteri Pengangkutan dari Malaysia dan Singapura.[23] Persefahaman ini juga telah merasmikan pembentukan syarikat usaha sama antara SMRT RTS Pte Ltd (anak syarikat SMRT Corporation Limited) dan Prasarana RTS Operations Sdn Bhd (anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad) bernama RTS Operations Pte Ltd bertujuan mengendalikan operasi sistem ini apabila sudah siap.[23]
Majlis pecah tanah projek RTS bahagian Malaysia dilaksanakan pada 22 November 2020 menandakan permulaan pembinaan projek ini.[24] Manakala pada 26 November 2020, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura telah menyerahkan dua kontrak sivil kepada Penta-Ocean Construction bagi pembinaan Stesen Woodlands North dan kompleks CIQ di situ yang bakal dilaksanakan pada suku pertama 2021.[25]
Pada 11 Jun 2022, projek ini mencapai tahap 17 peratus dan prospek pengoperasian pada Januari 2027 dilihat semakin cerah menurut Menteri Pengangkutan pada masa itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.[26] Dua tahun kemudian, Perdana Menteri Malaysia Ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan detik bersejarah penyambungan span yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.[27]
Kemudahan dan Fasiliti
Kedua-dua stesen dalam sistem ini akan menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) serta kelengkapan khas bagi orang kurang upaya (OKU). Setiap stesen juga akan mengandungi tempat letak kereta tersendiri.[7]
Di Stesen Bukit Chagar, stesen ini bersifat bertingkat. Sebuah jambatan akan dibina menghubungkan stesen itu dengan Menara Komtar. Stesen tersebut juga akan disambung dengan Johor Bahru Sentral bagi memudahkan akses kepada servis KTM Intercity dan Transit Bas Cepat (BRT).[7]
Manakala di Stesen Woodlands North, stesen ini akan dibina bawah tanah. Sambungan bawah tanah melalui terowong ke Stesen MRT Woodlands North juga akan disediakan.[8]
Rujukan
- ^ "Pembinaan RTS Johor Bahru-Singapura berada di landasan yang betul untuk perasmian pada Disember 2026 dengan infrastruktur dua pertiga siap". Nisha Rahim (dalam bahasa Inggeris). Yahoo News. 11 Januari 2024. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ "Prasarana, SMRT tandatangani MOU untuk membangunkan syarikat usaha sama" (dalam bahasa Inggeris). Astro Awani. 25 September 2017.
- ^ Rahmi Yunus (26 September 2017). "Prasarana dan SMRT Corp tandatangani MoU untuk syarikat pengoperasian RTS" (dalam bahasa Inggeris). The Malaysian Reserve. Dicapai pada 23 Januari 2018.
- ^ "SMRT, Prasarana menandatangani MOU membentuk syarikat usaha sama bagi RTS Link JB-Singapura" (dalam bahasa Inggeris). Channel NewsAsia. 25 September 2017.
- ^ "LEMBARAN FAKTA BERSAMA OLEH PENGUASA PENGANGKUTAN DARAT (LTA) & SPAD - SOROTAN PERJANJIAN DUA HALA SAMBUNGAN SISTEM TRANSIT ALIRAN JOHOR-SINGAPURA" (dalam bahasa Inggeris). Penguasa Pengangkutan Darat. 16 Januari 2018.
- ^ "S'pura, M'sia meterai perjanjian Sistem Transit Laju JB-S'pura". Berita Mediacorp. 16 Januari 2018. Dicapai pada 24 Januari 2018.
- ^ a b c d e "PROJEK RAPID TRANSIT SYSTEM LINK (RTS LINK) ANTARA JOHOR BAHRU DAN SINGAPURA". MRT Corp. 2023.
- ^ a b c "Sistem Transit Aliran Penghubung Johor Bahru – Singapore" (dalam bahasa Inggeris). Penguasa Pengangkutan Darat. Dicapai pada 2024-07-08.
- ^ "KENYATAAN BERSAMA OLEH PERDANA MENTERI LEE HSIEN LONG DAN PERDANA MENTERI DATO' SRI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK DI PERMUKIMAN PEMIMPIN SINGAPURA-MALAYSIA PADA 24 MEI 2010" (Siaran akhbar) (dalam bahasa Inggeris). Singapore Government. 24 Mei 2010. Dicapai pada 2024-07-08.
- ^ a b "Sistem Perhubungan Transit Aliran (RTS) Malaysia-Singapura antara Johor Bahru dan Woodlands" (dalam bahasa Inggeris). Iskandar Projects Information. 6 Februari 2013. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ Kajian kejuruteraan awal berkenaan Sistem Transit Aliran ke Johor Bahru siap (dalam bahasa Inggeris). Channel News Asia. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Ogos 2014. Dicapai pada 24 Januari 2018.
- ^ "Negeri Johor sudah memilih Bukit Chagar yang berdekatan dengan pusat pemeriksaan Johor Bahru sebagai kawasan bagi terminal MRT Johor Bahru" (dalam bahasa Cina). Zaobao.sg. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 September 2014. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ "Sistem Transit Aliran Johor-Singapura pada tahun 2022". Rachel Chew (dalam bahasa Inggeris). The Edge Markets. 2 Mei 2017. Dicapai pada 22 Julai 2017.
- ^ "Sultan Johor perkenan reka bentuk Sistem Perhubungan Transit Aliran baharu". Rizalman Hammim (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 17 November 2017. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ "Singapura, Malaysia memeterai perjanjian dua hala untuk membina Sistem Perhubungan Transit Aliran sebelum akhir 2024". Royston Sim (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 18 Januari 2018. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ "Singapura, Malaysia bersepakat dengan jajaran bagi landasan perhubungan Woodlands-JB". Kenneth Cheng (dalam bahasa Inggeris). Today Online. 16 Januari 2018. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ "Perhubungan RTS berjumlah S$1.34 bilion diteruskan mengikut jadual: Menteri Pengangkutan Malaysia" (dalam bahasa Inggeris). Today Online. 1 Jun 2018. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ "Isu Tanah Bukit Chagar: Tun M tegaskan kerajaan akan tuntut balik atau beli balik". Rohaniza Idris & Ahmad Suhael Adnan. Berita Harian. 3 Mei 2019. Dicapai pada 9 Julai 2024.
- ^ a b "Tiada pertikaian antara Putrajaya dengan Istana Johor, kata Guan Eng". Faiz Zainudin. Free Malaysia Today. 5 Mei 2019. Dicapai pada 9 Julai 2024.
- ^ "RTS Johor-Singapura dilewatkan". Alifah Zainuddin & Dasveenjit Kaur (dalam bahasa Inggeris). The Malaysian Reserve. 13 Mac 2019. Dicapai pada 9 Julai 2024.
- ^ "Malaysia sedang mencari alternatif lebih mampu milik kepada Perhubungan RTS dengan Singapura, kata Mahathir". Trinna Leong (dalam bahasa Inggeris). The Straits Times. 9 April 2019. Dicapai pada 9 Julai 2024.
- ^ a b "RTS Johor-Singapura akan diteruskan, tetapi ditangguhkan ke April 2020 - cadangan penukaran daripada sistem MRT kepada LRT". Anthony Lim (dalam bahasa Inggeris). paultan.org. 5 November 2019. Dicapai pada 9 Julai 2024.
- ^ a b c "Perdana Menteri Malaysia, Singapura merasmikan permulaan projek RTS". B. Suresh Ram (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 30 Julai 2020. Dicapai pada 9 Julai 2024.
- ^ "Perdana Menteri Malaysia, Singapura merasmikan permulaan projek RTS". Sinar Harian. 22 November 2020. Dicapai pada 9 Julai 2024.
- ^ "LTA Menyerahkan Kontrak Sivil untuk Membina Sistem Perhubungan Transit Aliran (RTS) Johor Bahru-Singapura" (dalam bahasa Inggeris). Penguasa Pengangkutan Jalan. 26 November 2020. Dicapai pada 9 Julai 2024.
- ^ "Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura capai kemajuan 17 peratus". Sinar Harian. 11 Jun 2022. Dicapai pada 9 Julai 2024.
- ^ "Malaysia, Singapura sempurnakan sambungan span RTS Link". Izz Laily Hussein. Berita Harian. 11 Januari 2024. Dicapai pada 9 Julai 2024.