Wan Muhammad Azri Wan Deris | |
---|---|
وان محمد أزري وان دريس | |
![]() Wan Muhammad Azri pada 2024 | |
Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia | |
Dalam jawatan 24 Jun 2018[1] – 27 Ogos 2021[2] | |
Presiden | Ahmad Zahid Hamidi |
Ketua Pemuda | Asyraf Wajdi Dusuki |
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Wangsa Maju | |
Dalam jawatan 19 Oktober 2013 – 30 Jun 2018 | |
Ketua Bahagian | Mohd Shafei Abdullah |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Wan Muhammad Azri bin Wan Deris 21 Januari 1983 Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh, Kelantan, Malaysia[3] |
Parti politik | Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) (2008–2021) |
Gabungan politik lain | Barisan Nasional (BN) (2008–2021) |
Pasangan | Bellina Omar Shaifuddin Chin (k. 2006; c. 2012) Rosnah Sarah Syazwanie Arafah (k. 2012) |
Anak | 5[4] |
Kediaman | Setapak, Kuala Lumpur, Malaysia |
Tempat belajar | |
Pekerjaan | Ahli politik, penulis blog, polis |
Nama panggilan |
|
Wan Muhammad Azri bin Wan Deris (Jawi: وان محمد أزري بن وان دريس; lahir 21 Januari 1983), lebih dikenali dengan nama samaran Papagomo atau Sir Azri, ialah seorang ahli politik, penulis blog dan bekas ahli polis Malaysia yang pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Malaysia pada Jun 2018 hingga Ogos 2021 dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Wangsa Maju pada Oktober 2013 hingga Jun 2018. Walau bagaimanapun, beliau telah digantung keahlian daripada UMNO pada Ogos 2021 selama enam tahun selepas didapati bersalah melanggar perlembagaan parti.[5]
Wan Muhammad Azri menarik perhatian ramai pihak kerana mencetuskan pelbagai kontroversi dan isu. Beliau dikenali sebagai aktivis politik pro-Perikatan Nasional[6] dan penyokong bekas Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad,[7] serta mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, bersama rakan-rakannya, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) dan Mohamad Salim Iskandar (Parpukari).[8]
Beliau sering dikenali dengan nama Papagomo, iaitu nama penulis sebuah blog politik Malaysia, walau bagaimanapun beliau menafikan sebagai penulis blog tersebut.[9][10][11]
Kehidupan awal dan pendidikan
Wan Muhammad Azri bin Wan Deris dilahirkan di Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh, Kelantan, Malaysia pada 21 Januari 1983. Beliau membesar di Kampung Pasir, Johor Bahru, Johor, Malaysia.[12] Pendidikan tertinggi yang dimiliki beliau ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau pernah menyambung pengajian beliau di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Diploma Pentadbiran Awam secara pengajian jarak jauh (e-PJJ) pada tahun 2004, namun tidak berjaya menghabiskannya kerana berhenti setelah hanya berjaya melengkapkan 1 semester.
Kerjaya kepolisan
Wan Muhammad Azri pernah menjadi anggota polis.[12] Beliau pernah berpangkat konstabel dan pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya mulai 1 Julai 2002 sehingga 30 November 2004 apabila ditangkap di atas kesalahan jenayah membuat pemerasan terhadap orang awam.[13] Setelah disabitkan bersalah, Wan Muhammad Azri dijatuhkan hukuman dan dikenakan tindakan tatatertib serta dibuang daripada PDRM pada 6 September 2012.[13]
Kerjaya politik
Wan Muhammad Azri merupakan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2008.[14] Beliau berjaya pada pemilihan UMNO 2013 sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Wangsa Maju. Beliau memegang jawatan itu selama hampir 5 tahun, iaitu dari 19 Oktober 2013 hingga 30 Jun 2018.[15]
Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Malaysia pada 24 Jun 2018. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat tempat ke-16 pada pemilihan UMNO 2018 dalam merebut jawatan ahli AJK Pemuda UMNO Malaysia. Walau bagaimanapun, beliau telah digantung keahlian selama 6 tahun oleh UMNO bermula 27 Ogos 2021 kerana mengkritik Presiden UMNO ketika itu, iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.[16] Perkara ini dimaklumkan melalui sepucuk surat bertarikh 1 September 2021 yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO ketika itu, Datuk Seri Ahmad Maslan.[17]
Kontroversi dan isu
Laskar siber upahan Rosmah Mansor
Pada perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia ke-6, bekas pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor telah memberitahu mahkamah bahawa tiga penulis blog, Wan Muhammad Azri (Papagomo), Mohamad Salim Iskandar (Parpukari) dan The Unspinners[nota 2] telah diupah oleh Rosmah untuk menonjolkan imej serta reputasi baik beliau di platform media sosial. Rizal menambah bahawa ketiga-tiga penulis blog menerima bayaran RM5,000 sebulan daripada peruntukan sebanyak RM100,000 selama hampir enam tahun bermula tahun 2012 sehingga kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2018. “Mereka adalah antara tiga atau empat ketua pasukan laskar siber. Terdapat juga 12 hingga 15 blogger yang dibayar sekitar RM3,000 dan kira-kira 30 ‘Facebookers’ yang kesemuanya dibayar sekitar RM2,000 sepanjang tempoh enam tahun itu,” ujar beliau. Saksi pendakwaan ke-21 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.[18][19][20][21]
Kekerasan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Sebelum Pilihan raya kecil Semenyih 2019, pada 16 Februari 2019, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan mendakwa dicekak dalam satu insiden sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Pada 21 Februari, iaitu sehari selepas Wan Muhammad Azri dibebaskan dengan jaminan polis, beliau membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.
Wan Muhammad Azri telah dituduh melakukan kekerasan terhadap Syed Saddiq di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada jam 11:05 pagi, 16 Februari 2019. Tuduhan itu menjelaskan bahawa beliau menyebut perkataan yang kurang sopan dan menghina iaitu "kau bodoh" ke atas Syed Saddiq di mana keamanan mungkin akan terganggu. Tambahan pula, beliau juga dituduh mendatangkan kecederaan terhadap Syed Saddiq di leher dan bahu, di tempat, tarikh dan masa sama. Wan Muhammad Azri akan dituduh di Mahkamah Kajang atas Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kedua-dua pertuduhan tersebut.[22]
Pada 12 September 2024, Wan Muhammad Azri didenda RM2,100 oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan dan menyebut perkataan "bodoh" kepada Syed Saddiq. Denda RM2,000 bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, manakala baki denda RM100 akibat mengeluarkan perkataan berkenaan terhadap Syed Saddiq. Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli memutuskan hukuman berkenaan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan di peringkat akhir kes mereka.[23][24][25]
Tuduhan terhadap pegawai SKMM
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuat membuat laporan polis pada 19 April 2024 terhadap Wan Muhammad Azri, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) serta Mohamad Salim Iskandar (Parpukari) kerana didakwa membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap pegawai SKMM. Laporan polis itu dibuat SKMM itu berdasarkan kandungan dimuat naik oleh tiga individu berkenaan dalam platform media sosial TikTok, Facebook serta YouTube pada 17 April 2024. Kandungan yang dimuat naik itu terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai SKMM bertindak bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik, selain bersifat penyalahgunaan kuasa.[26]
Tuduhan tipu dana awam
Wan Muhammad Azri telah ditahan di kediamannya pada 13 Disember 2024 oleh sepasukan anggota polis yang datang ke kediamannya dengan menaiki tiga kenderaan polis bagi membantu siasatan kes penipuan dalam kutipan dana awam dengan menggunakan nama sebuah syarikat.[27][28][29] Penahanan itu dilakukan sepasukan anggota Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman pada awal pagi hari tersebut. Penahanan itu dilakukan susulan satu laporan polis dibuat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Julai lalu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Wan Muhammad Azri telah dibebaskan setelah memberi keterangan kepada pihak polis pada keesokan harinya.[30]
Saman fitnah oleh Ketua Polis Negara
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah menfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri kerana dengan melabelkan Razarudin sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.[31][32][33] Razarudin selaku plaintif menyaman beliau berhubung kenyataan dimuat naiknya melalui satu video di YouTube dan TikTok selain turut disebarkan melalui saluran media sosial yang lain. Peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin memberitahu bahawa notis tuntutan saman tersebut difailkan pada 26 Disember 2024 di Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Tetuan Kbtan, Kumar & Partners. Plaintif akan menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas. Plaintif juga menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan.
Pada 19 Disember lalu, Razarudin mengesahkan blogger terbabit diambil keterangan di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkan beliau serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dimuat naik di Youtube. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.[34][35]
Kehidupan peribadi
Wan Muhammad Azri telah berkahwin dengan Bellina Omar Shaifuddin Chin pada 25 Februari 2006 dan dikurniakan dua anak perempuan, iaitu Wan Cassandra Wan Muhammad Azri dan Wan Camillea Wan Muhammad Azri. Walau bagaimanapun, mereka berdua telah bercerai pada 24 September 2012.[36]
Wan Muhammad Azri telah berkahwin dengan Rosnah Sarah Syazwanie Arafah pada 27 Oktober 2012 dan dikurniakan tiga orang anak. Beliau bersama isteri dan lima orang anaknya kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur, Malaysia.[37]
Anugerah
Anugerah di Malaysia
Wilayah Persekutuan :
Johan Mahkota Wilayah (JMW) (2021)[nota 3][38][39][40]
Nota
- ^ Wan Muhammad Azri berhenti setelah hanya berjaya menghabiskan 1 semester, sekaligus tidak melengkapkan pengajian diploma beliau di UiTM.
- ^ Identiti sebenar tidak dikenali.
- ^ Wan Muhammad Azri telah ditawarkan anugerah Johan Mahkota Wilayah (JMW) oleh Menteri Wilayah ketika itu, Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa yang akan dianugerahkan pada Hari Wilayah Persekutuan 2021. Namun, beliau menolak tawaran tersebut.
Rujukan
- ^ Papagomo menang exco Pemuda Umno
- ^ Umno gantung keahlian Papagomo selama enam tahun
- ^ Facebook - Saifuddin Nasution Ismail
- ^ Papagomo didakwa hasut, datangkan kebencian terhadap Agong
- ^ "Umno gantung keahlian Papagomo selama enam tahun". Malaysiakini. 2021-09-01. Dicapai pada 2024-10-07.
- ^ Mail, Malay (2024-07-17). "Pro-Perikatan activists announce new 'Save Malaysia' series of anti-govt rallies starting in Tambun". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-10-07.
- ^ Papagomo umum berjuang bersama Tun M
- ^ Papagomo, Parpukari dibayar RM5,000 sebulan
- ^ "Wan Muhammad Azri Nafi Dirinya 'Papa Gomo' - Semasa | mStar". www.mstar.com.my (dalam bahasa Inggeris). 2013-05-22. Dicapai pada 2024-10-07.
- ^ "Wan Muhammad Azri nafi dirinya blogger 'Papa Gomo'". Yahoo News (dalam bahasa Inggeris). 2014-01-27. Dicapai pada 2024-10-07.
- ^ Rashid, Hidir Reduan Abdu (2024-08-15). "Azri nafi dia Papagomo". Malaysiakini. Dicapai pada 2024-10-07.
- ^ a b "Umno Youth exco contender Papagomo insists not a thug, idolises Khairy". www.malaymail.com. Dicapai pada 2024-10-07.
- ^ a b "Papagomo Bukan Lagi Pengundi Pos - PDRM - Semasa | mStar". www.mstar.com.my (dalam bahasa Inggeris). 2013-03-29. Dicapai pada 2024-10-07.
- ^ Papagomo bernazar potong rambut, umum berjuang bersama Tun Mahathir
- ^ Papagomo kini Exco Pemuda Umno
- ^ Isu pemecatan: Papagomo sifatkan Asyraf Wajdi tidak jujur, putar belit fakta
- ^ Umno gantung keahlian Papagomo selama enam tahun
- ^ 'Papagomo', 'Parpukari' dan 'The Unspinners' diupah bantu Rosmah
- ^ Rosmah bayar Papagomo, Parpukari, Unspinners RM5,000 sebulan
- ^ Papagomo, Parpukari, The Unspinners antara 'lasykar siber' diupah Rosmah - Rizal Mansor
- ^ Papagomo, Parpukari antara laskar siber ‘jaga’ Rosmah - Saksi
- ^ Papagomo diarah bela diri pertuduhan cederakan Syed Saddiq
- ^ Papagomo didenda RM2,100 cedera, hina Syed Saddiq
- ^ Papagomo didenda RM2,100 cederakan, sebut perkataan kurang sopan terhadap Syed Saddiq
- ^ Papagomo didenda RM2,100 sebut 'bodoh', cederakan Syed Saddiq
- ^ MCMC buat laporan polis terhadap Chegubard, Salim Iskandar dan Papagomo
- ^ Polis tahan Papagomo berkaitan kes tipu kutipan dana
- ^ Polis tahan Papagomo, disyaki lakukan penipuan kutipan dana
- ^ Kes tipu kutipan dana: Papagomo ditahan polis
- ^ Papagomo dibebaskan dengan jaminan polis selepas beri keterangan
- ^ Label Ketua Polis Negara pelacur banduan terhormat, penjilat PM, Razarudin saman Papagomo
- ^ Ketua Polis Negara saman Papagomo
- ^ Ketua Polis Negara saman Papagomo kes fitnah
- ^ Fitnah Ketua Polis Negara, Papagomo masuk balai lagi
- ^ Papagomo mahu jawab semua soalan di mahkamah
- ^ Mahkamah Perintah Waran Tangkap Dikeluar Terhadap Papa Gomo
- ^ Papagomo didakwa hasut, datangkan kebencian terhadap Agong
- ^ 14 menteri, timbalan menteri dapat pangkat Datuk Seri, Datuk
- ^ 3 Exco Pemuda Umno terima gelaran Datuk
- ^ Federal Territory Day: 14 ministers and deputies get titles