Mohamad Salim Iskandar | |
---|---|
محمد سليم إسكندر | |
![]() Mohamad Salim pada 2023 | |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Mohamad Salim bin Iskandar 9 Julai 1973 Batu Gajah, Kinta, Perak, Malaysia |
Parti politik | Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) |
Gabungan politik lain | Barisan Nasional (BN) |
Anak | 6 |
Kediaman | Damansara, Selangor, Malaysia |
Pendidikan | SMK Gunung Rapat |
Pekerjaan | Ahli politik, penulis blog, eksekutif bank |
Nama panggilan |
|
Mohamad Salim bin Iskandar (Jawi: محمد سليم بن إسكندر; lahir 9 Julai 1973), lebih dikenali dengan nama samaran Parpukari atau Cili Kasi Taruk, ialah seorang ahli politik, penulis blog dan bekas eksekutif bank Malaysia. Beliau merupakan pemilik blog kontroversi iaitu Blog Parpukari dan Perak Today.
Kehidupan awal dan pendidikan
Mohamad Salim bin Iskandar dilahirkan di Batu Gajah, Kinta, Perak, Malaysia pada 9 Julai 1973. Beliau mempunyai susur jalur keturunan orang Pakistan. Beliau mendapat pendidikan menengah di SMK Gunung Rapat.
Kerjaya awal
Mohamad Salim pernah bertugas sebagai eksekutif bank di Ibu Pejabat Bank Muamalat Tingkat 18, Jalan Melaka, Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, beliau berhenti kerja untuk menyertai dunia politik Malaysia.
Kerjaya politik
Mohamad Salim mula menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di sayap Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 1998. Beliau mengasaskan blog Perak Today dan menghimpunkan sebilangan kecil wartawan untuk menguruskan blog tersebut. Blog tersebut menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika itu dan kepimpinan Menteri Besar Perak ke-11, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir. Beliau mula bersahabat bersama Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo), penulis blog UMNO bersama, pada sekitar tahun 2009.
Podcast bersama Rafizi Ramli
Mohamad Salim telah menghadiri podcast Yang Bakar Menteri (YBM) episod 4 bersama Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi Malaysia pada 15 Julai 2024. Mereka berdua telah berbincang tentang kos sara hidup rakyat, penyasaran subsidi, ekonomi rakyat dan lain-lain.[1][2][3]
Kontroversi dan isu
Laskar siber upahan Rosmah Mansor
Pada perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia ke-6, bekas pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor telah memberitahu mahkamah bahawa tiga penulis blog, Mohamad Salim (Parpukari), Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) dan The Unspinners[nota 1] telah diupah oleh Rosmah untuk menonjolkan imej serta reputasi baik beliau di platform media sosial. Rizal menambah bahawa ketiga-tiga penulis blog menerima bayaran RM5,000 sebulan daripada peruntukan sebanyak RM100,000 selama hampir enam tahun bermula tahun 2012 sehingga kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2018. “Mereka adalah antara tiga atau empat ketua pasukan laskar siber. Terdapat juga 12 hingga 15 blogger yang dibayar sekitar RM3,000 dan kira-kira 30 ‘Facebookers’ yang kesemuanya dibayar sekitar RM2,000 sepanjang tempoh enam tahun itu,” ujar beliau. Saksi pendakwaan ke-21 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.[4][5][6][7]
Tuduhan terhadap pegawai SKMM
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuat membuat laporan polis pada 19 April 2024 terhadap Mohamad Salim, Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) serta Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) kerana didakwa membuat dan menyebarkan tuduhan palsu terhadap pegawai SKMM. Laporan polis itu dibuat SKMM itu berdasarkan kandungan dimuat naik oleh tiga individu berkenaan dalam platform media sosial TikTok, Facebook serta YouTube pada 17 April 2024. Kandungan yang dimuat naik itu terbabit menggambarkan seolah-olah pegawai SKMM bertindak bawah arahan yang mempunyai kepentingan politik, selain bersifat penyalahgunaan kuasa.[8]
Nota
- ^ Identiti sebenar tidak dikenali.
Rujukan
- ^ Penyasaran subsidi bukan untuk menyusahkan rakyat - Rafizi
- ^ Rafizi berentap dengan Parpukari di ‘Yang Bakar Menteri’
- ^ 'Penyasaran subsidi bukan untuk bebankan rakyat' - Rafizi
- ^ 'Papagomo', 'Parpukari' dan 'The Unspinners' diupah bantu Rosmah
- ^ Rosmah bayar Papagomo, Parpukari, Unspinners RM5,000 sebulan
- ^ Papagomo, Parpukari, The Unspinners antara 'lasykar siber' diupah Rosmah - Rizal Mansor
- ^ Papagomo, Parpukari antara laskar siber ‘jaga’ Rosmah - Saksi
- ^ MCMC buat laporan polis terhadap Chegubard, Salim Iskandar dan Papagomo