Elite merupakan sebuah kumpulan penyanyi wanita Malaysia yang ditubuhkan oleh KRU Records pada tahun 1995. Kumpulan ini terdiri daripada lima orang ahli: Abby Abadi, Azza Zawari, Linda Rafar, Sasha Saidin, dan Watie Sadali. Diiktiraf sebagai kumpulan penyanyi wanita yang paling lama bertahan di Malaysia, mereka turut diangkat sebagai perintis konsep pembangunan wanita dalam industri muzik tanah air.
Elite memulakan kerjaya seni mereka sebagai penyanyi gandingan KRU menerusi lagu “Diari Metropolitan” daripada album studio kelima mereka, Ooh! La! La! pada tahun 1996. Dalam tahun yang sama, Elite telah melancarkan single “G.I.G” dan “Manisnya Senyumanmu” yang dimuatkan dalam album sulung mereka, Catwalk (1996). Kedua-dua single tersebut membawa Elite ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 12, di samping menjuarai carta mingguan menerusi single “Di Pintu Syurga”, hasil kolaboratif kedua bersama KRU pada 14 Mei 1997. Di awal tahun berikutnya, mereka telah melancarkan album studio kedua berjudul Tamparan (1998) yang disokong lima buah single, termasuk “Trauma”, “Dua Hati” dan “Tamparan Wanita” yang tercalon di Anugerah Industri Muzik ke-6. Tamparan merupakan album terakhir Elite sebagai kuintet bersama ahli asal sebelum pengunduran Abby Abadi.
Idola (1999), album studio ketiga Elite, menampilkan vokal undangan daripada kumpulan X-Factor, serta Norman KRU dan Zam Indigo dalam single “Aku Siapa, Kau Siapa”. Album ini merupakan keluaran terakhir mereka yang manampilkan vokal daripada Linda Rafar sebelum digantikan oleh Fiza Halim. Pada tahun berikutnya, Elite kembali dengan album kompilasi berjudul Merbahaya (2000), yang mengumpulkan 14 buah lagu, termasuk dua single baharu. Merbahaya merupakan satu-satunya album mereka yang mengandungi rakaman vokal Fiza dan anggota baharu, Hana Adnan. Abby Abadi dan Linda turut menerima “undangan khas” untuk merakamkan “Selamat Tinggal Teman”.
Elite merupakan salah satu kumpulan penyanyi wanita terkenal di Malaysia. Sepanjang 10 tahun aktif dalam industri muzik tanah air, mereka telah menjual lebih daripada 100,000 unit album .[1] Selain itu, perwatakan kumpulan ini yang disifatkan sebagai “ranggi dan lincah”, turut mempunyai pengaruh terhadap industri fesyen dan penggayaan golongan remaja pada akhir dekad 1990-an.[2] Dalam haluan lain, Elite juga telah bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam kempen pembangunan wanita.[3]
Kerjaya
1995-1996: Penubuhan KRU Records, pembentukan Elite dan Catwalk
Selepas pengeluaran album kedua mereka, ReKRUed (1993), kumpulan KRU mula dikenali sebagai komposer dalam industri muzik Malaysia. Mereka telah menerima tawaran untuk menerbitkan dua album bagi kumpulan penyanyi wanita Feminin: Untukmu (1993) dan Kini (1994). Tony Fernandes, yang merupakan eksekutif Warner Music Malaysia ketika itu, menawarkan KRU peluang untuk menubuhkan syarikat rakaman mereka sendiri di bawah syarikat beliau. Namun, KRU yang masih terikat dengan kontrak di bawah EMI Music Malaysia menghadapi tentangan untuk menerima tawaran tersebut. EMI kemudian menawarkan KRU untuk membentuk syarikat rakaman bersama mereka, sebelum perjanjian usahasama dicapai bagi menubuhkan KRU Records pada tahun 1996.[4]
KRU Records menetapkan objektif untuk mewujudkan “KRU versi wanita” sebagai artis rakaman sulung mereka pada peringkat awal pembentukan. Inisiatif ini bermula apabila Sasha Saidin, Azza Zawari, dan Abby Abadi diberikan tawaran untuk menjadi sebahagian daripada “eksperimen” tersebut. Linda Rafar, yang berlakon bersama KRU dalam filem Awas (1995), turut menerima tawaran sewaktu kempen promosi filem tersebut berlangsung. Watie Sadali, kenalan rapat keluarga Linda, kemudian dipelawa untuk menyertai kumpulan tersebut bersamanya. Mereka ditandatangani secara individu oleh KRU Records, membentuk sekumpulan penyanyi wanita dengan keanggotaan lima orang yang ingin dinamakan sebagai “Baby G". Penamaan tersebut terpaksa ditukar bagi mengelakkan kekeliruan dengan sebuah jenama jam Jepun yang dikeluarkan pada tahun sebelumnya. “Elite” kemudiannya dipilih sebagai nama yang baharu, mencerminkan permulaan ahli-ahli kumpulan ini sebagai peragawati dan pelakon.[1] Setelah Elite dibentuk, anggota kumpulan perlu menjalani latihan intensif di bawah didikan KRU. Selama hampir setahun, mereka “diperam” dan dilatih untuk menari serta menyanyi, selain menghadiri kelas vokal.[5] Penata gaya turut dipanggil dalam usaha meningkatkan daya tarikan “pop” mereka dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Elite membuat kemunculan sulung di Awas Da’Concert, konsert jelajah KRU pada tahun 1995, sebelum berganding dengan mereka menerusi lagu “Diari Metropolitan” yang dimuatkan dalam album kelima KRU, Ooh! La! La! (1996). Pada 9 September 1996, Elite telah mengeluarkan single pertama mereka, berjudul “G.I.G", berserta album single yang mengandungi beberapa remix, lagu “La Diva", dan instrumental. Video muzik single tersebut, yang diarahkan Bob Hamzah, tercalon untuk kategori Video Muzik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-4, selain memenangi juara Carta Radio Muzik RTM.[6] “Manisnya Senyumanmu", single susulan, menerima kejayaan yang serupa apabila kedua-dua lagu tersebut melayakkan diri ke separuh akhir Muzik-Muzik 12 untuk kategori pop rock. Elite turut berganding semula dengan KRU untuk menghasilkan “Di Pintu Syurga", single ketiga daripada Catwalk. Lagu tersebut menjuarai Carta Mingguan Muzik-Muzik 12 bagi minggu ke-28 pada 14 Mei 1997. Album sulung Elite, Catwalk, dilancarkan pada 27 Oktober 1996 dalam format CD dan kaset. Album tersebut memuatkan 10 lagu berunsur pop, tarian dan hip hop. Catwalk mencapai kedudukan tertinggi di tangga #5 pada carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada 26 November 1996, di belakang Michael Learns To Rock, Backstreet Boys, Kenny G dan Celine Dion.[7]
1996-1998: Tamparan (1998), pengunduran Abby Abadi dan Profile (1998)
Pada penghujung tahun 1996, Elite mengeluarkan “Tamparan Wanita” sebagai single pertama mendahului album kedua mereka. Album single turut diedarkan, yang memuatkan lagu “Di Pagi Aidilfitri” bersama Koir Kanak-Kanak Seri Murni, dan ucapan khas perayaan Aidilfitri daripada mereka.[8] Kulit album single tersebut telah menerima tajaan pakaian dan alat solek daripada DKNY dan Maybelline.[9] “Tamparan Wanita” tersenarai sebagai semi-finalis untuk Muzik-Muzik 13 dalam kategori pop rock. Video muziknya yang menerima sentuhan daripada Yusry Abdul Halim dan Johan Lucas, tercalon untuk kategori Video Muzik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-6. Tamparan, album studio kedua Elite dikeluarkan pada awal tahun 1998, dan telah terjual sebanyak 25,000 unit sepanjang dua bulan di pasaran.[3] Dibawakan sebagai pendekatan lebih matang, album ini mengandungi 10 buah lagu yang membincangkan pelbagai subjek, termasuk isu yang dihadapi wanita kini. Tamparan telah ditunda berikutan kontroversi yang melanda ahli kumpulan mereka.[8] Sebanyak lima buah single telah dilancarkan daripada album tersebut, termasuk “Trauma”, “Dua Hati”, “Sesuatu Di Dalam Dirimu”, serta “Dirinya Dirimu Diriku”.
Tidak lama selepas pelancaran Tamparan, Abby Abadi mengundurkan diri daripada Elite sekitar suku kedua tahun 1998. Terdahulu, menurut kenyataan pihak pengurusan kumpulan tersebut, mereka telah dilanda kesulitan berikutan “masalah disiplin” yang menyebabkan Abby digantung keahliannya. Terdapat beberapa cadangan yang telah dikemukakan selepas pengundunduran Abby. Dalam satu temubual bersama Sasha, beliau menegaskan bahawa tiada keperluan untuk menggantikan beliau dengan serta-merta, dan menjelaskan bahawa pemergian beliau masih “dirindui". Elite turut mempertimbang untuk mengambil seseorang yang bukan berbangsa Melayu sebagai ahli baharu, selain membiarkan pilihan mereka kekal terbuka.[3]
Sekitar hujung suku kedua tahun yang sama, album video dalam format VCD dipasarkan KRU Records dan EMI Music Malaysia, berjudul Profile (1998).[10] Pengeluaran tersebut menghimpunkan sembilan video muzik Elite, daripada Catwalk (1996) kepada Tamparan (1998), serta temubual “panas” bersama mereka. Video muzik untuk single “Lihatlah Dunia", yang disumbangkan sebagai runut bunyi untuk filem animasi pertama Malaysia, Silat Lagenda (1998), turut dimuatkan sebagai bonus.
1999-2000: Idola (1999), pengunduran Linda Rafar dan pengharaman lagu Elite
Idola, album studio ketiga Elite dan yang pertama sebagai kuartet, dilancarkan pada penghujung tahun 1999.[11] Disifatkan sebagai pembawaan mereka yang lebih matang dan “berani” dari segi vokal, lirik, dan susunan muzik, album ini memuatkan 10 lagu dengan gabungan rentak pop, rock, R&B, dan hip hop.[12] Idola menampilkan beberapa lagu terkenal seperti “Aku Siapa, Kau Siapa”, “Potret Lama", dan “Bila?”, serta menampilkan hasil kolaboratif Elite bersama kumpulan X-Factor, Norman KRU dan Zam Indigo.[1]
Terdahulu, Linda Rafar telah melangsungkan perkahwinan bersama pemandu go-kart kebangsaan Malaysia, Keifli Othman pada 1 Mei 1999. Tidak lama selepas perkahwinan mereka, Linda disahkan hamil dengan anak pertama mereka, Rezaril Keflin Keifli. Walaupun sempat mengambil bahagian dalam sesi penggambaran kulit album, kehamilan tersebut menghalangnya daripada menyertai anggota Elite yang lain dalam usaha mempromosikan Idola. Berikutan itu, Fiza Halim telah diambil sebagai ahli keenam Elite bagi menggantikan Linda. Selain menyertai aktiviti promosi album tersebut, Fiza turut muncul dalam video muzik “Aku Siapa, Kau Siapa,” mengambil alih bahagian Linda.[13]
Tidak lama selepas pelancaran Idola, lagu Elite telah “digam” Kementerian Penerangan daripada diputarkan di semua stesen Radio & Televisyen Malaysia (RTM). Tindakan ini diambil setelah Watie Sadali mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan kesalahan trafik: memandu dalam keadaan mabuk dan tanpa lesen yang sah. Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob menegaskan bahawa pihaknya memberi perhatian yang serius terhadap etika artis, termasuk dalam aspek pemakaian. KRU turut bertindak menggantung keahlian Watie selama tiga bulan, berkuat kuasa pada 24 Oktober 1999, sebelum beliau mengundurkan diri. Susulan pemergiannya, Hana Adnan telah diambil sebagai ahli ketujuh Elite bagi menggantikan beliau. “Aku Siapa, Kau Siapa” terpaksa dirakamkan semula dengan Fiza Halim mengambil alih bahagian nyanyian Watie.
2000-2002: Merbahaya (2000), Elite Entertainment dan “Mengerti”
Elite mengeluarkan album kompilasi pertama mereka, Merbahaya, pada tahun 2000.[14] Album ini menghimpunkan 14 lagu daripada tiga album studio mereka, termasuk “Di Pagi Aidilfitri”, serta dua single baharu: “Merbahaya” dan “Selamat Tinggal Teman". “Merbahaya” menampilkan vokal Fiza Halim dan Hana Adnan buat pertama kali dalam album Elite. Abby Abadi dan Linda Rafar turut menerima “undangan khas” untuk kembali merakamkan single “Selamat Tinggal Teman”. Bersama Watie Sadali, mereka turut mengambil bahagian dalam aktiviti promosi Merbahaya sebelum kontrak Elite bersama KRU Music tamat.
Berikutan kekeliruan peminat mengenai status Elite selepas tamatnya kontrak bersama KRU Music, Azza Zawari menjelaskan bahawa Elite akan meneruskan kerjaya di bawah syarikat penerbitan mereka sendiri, Elite Entertainment, menerusi temu bual bersama Utusan Malaysia. "Elite Entertainment dikendalikan sepenuhnya oleh anggota kumpulan, dengan Azza bertanggungjawab dalam bahagian promosi, manakala Sasha Saidin menguruskan aspek pengurusan.[15]
Pada tahun 2002, Elite kembali sebagai trio untuk merakam semula lagu “Mengerti”, yang asalnya diterbitkan dan dinyanyikan oleh KRU dalam album kedua mereka, ReKRUed (1993). Rakaman ini bertujuan memberikan penghormatan kepada KRU dan dimuatkan dalam album kompilasi 10/10 (2002), yang turut menampilkan pelbagai artis menyanyikan semula lagu-lagu kumpulan tersebut.[16] Bersama kumpulan penyanyi Kool, A To Z, Nico dan 4U2C, Elite tampil di pentas Anugerah Media Hiburan 2003 pada 28 Ogos 2004. Abby, yang tercalon dalam kategori Pelakon Drama Sensasi, membuat kemunculan bersama Azza, Linda dan Sasha untuk melakukan persembahan secara langsung.
2012-2018: 20th Anniversary Showcase dan Gegar Vaganza
Pada 10 Jun 2012, bagi meraikan ulang tahun kemunculan sulung kumpulan KRU, Elite menyertai barisan artis naungan KRU Music untuk membuat persembahan di konsert 20th Anniversary Showcase.[4] Mereka kembali sebagai kuartet yang terdiri daripada Azza Zawari, Linda Rafar, Sasha Saidin, dan Watie Sadali. Elite telah mengambil bahagian dalam Gegar Vaganza musim kelima, yang mula ditayangkan pada 30 September 2018. Berikutan jadual penggambaran Watie Sadali yang padat serta menghormati keputusan Abby Abadi untuk kurang aktif dalam industri hiburan, mereka menyertai rancangan television tersebut sebagai trio yang terdiri daripada Azza Zawari, Sasha Saidin dan Linda Rafar. Penyertaan mereka dalam rancangan realiti muzik tersebut bertujuan membuka peluang baharu kepada anggota yang masih aktif, serta membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.[17] Pada minggu pertama, Elite mempersembahkan lagu "Tamparan Wanita.” Mereka turut memenangi anugerah Artis Bintang Cuckoo Paling Gempak menerusi persembahan "Bulan Cinta," nyanyian asal Amelina.[6] Namun, mereka tersingkir pada minggu ketiga selepas menerima markah terendah untuk persembahan "Ku Bahagia” (Melly Goeslaw).[5]
2021-kini: “Alhamdulillah”
Pada 23 April 2021, Elite melancarkan single pertama mereka dalam dua dekad, berjudul "Alhamdulillah," menerusi Imaan Studios, sebuah label rakaman di bawah KRU Music. Idea tersebut dicadangkan Norman Abdul Halim dalam usaha menyatukan semula lima ahli asal Elite sewaktu perbincangan mengenai novel Linda Rafar. Proses rakaman "Alhamdulillah" dilakukan dengan segera untuk memastikan penglibatan setiap ahli. Sesi penggambaran video muzik bagi single tersebut turut dijalankan pada hari yang sama dengan sidang media pengumuman rasmi.[18] Menerusi rancangan Malaysia Hari Ini pada 30 April 2021, video muzik “Alhamdulillah” ditayangkan secara perdana sebelum dimuat naik di YouTube, serentak dengan pelancaran single tersebut untuk penstriman.[19][20]
Ahli
Ahli semasa
- Abby Abadi (1995-kini)
- Azza Zawari (1995-kini)
- Linda Rafar (1995–kini)
- Sasha Saidin (1995-kini)
- Watie Sadali (1995-kini)
Bekas ahli
- Fiza Halim (1999–2010)
- Hana Adnan (2001–2004)
- Avaa Vanja (2001–2004)
- Sharifah Sofia
- Aen
Diskografi
Album studio
Tajuk | Butiran | Kedudukan carta tertinggi |
---|---|---|
Catwalk |
|
5 |
Tamparan |
|
5 |
Idola |
|
3 |
Album kompilasi
Tajuk | Butiran | Kedudukan carta tertinggi |
---|---|---|
Merbahaya |
|
- |
Album video
Tajuk | Butiran | Kedudukan carta tertinggi |
---|---|---|
Profile |
|
- |
Album single
Tajuk | Butiran | Kedudukan carta tertinggi |
---|---|---|
G.I.G |
|
- |
Tamparan Wanita |
|
- |
Rujukan
- ^ a b c "KRU Music Group". web.archive.org. 2006-08-13. Dicapai pada 2024-10-02.
- ^ TV3MALAYSIA Official (2022-10-16), NONA | Artis Throwback: Elite, dicapai pada 2024-10-03
- ^ a b c "*T A M P A R A N*". web.archive.org. 1999-01-17. Dicapai pada 2024-10-02.
- ^ a b Boom! International (2020-06-16), Fenomena Gergasi KRU25 : Episod 4 - Legasi, dicapai pada 2024-10-02
- ^ a b Norman Abdul Halim (2021-04-16), Highlights Tanya Bang Long: Topic Lagu Terbaru Elite "Alhamdulillah", dicapai pada 2024-10-02
- ^ a b "(Carta popular) | KLiK". www.klik.com.my. Dicapai pada 2024-10-02.
- ^ Inc, Nielsen Business Media (1996-12-07). Billboard (dalam bahasa Inggeris). Nielsen Business Media, Inc.
- ^ a b "Elite – Tamparan Wanita". Discogs. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ "Elite - Tamparan Wanita [1996]". Dicapai pada 2024-10-02.
- ^ "Elite – Profile". Discogs. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ "Elite – Idola". Discogs. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ RedXWing2 (2017-11-02), ELITE - Muzik-Muzik 1999 (Prime 12), dicapai pada 2024-10-03
- ^ KRU Music (2013-05-07), ELITE - "Aku Siapa Kau Siapa" (MTV KARAOKE), dicapai pada 2024-10-03
- ^ "Elite – Merbahaya". Discogs. Dicapai pada 3 Oktober 2024.
- ^ "Janji Elite selepas kontroversi". web.archive.org. 2017-02-19. Dicapai pada 2024-10-03.
- ^ "Spotify". open.spotify.com. Dicapai pada 2024-10-03.
- ^ Budiey Channel (2018-09-25), Walaupun Bertiga, Elite Mampu Kasi TAMPARAN WANITA di GEGAR VAGANZA 5, dicapai pada 2024-10-03
- ^ TV3MALAYSIA Official (2021-04-29), Artis Jemputan: Kumpulan Elite (Abby Abadi, Azza, Linda Rafar, Watie) | MHI (30 April 2021), dicapai pada 2024-10-03
- ^ Imaan Studios (2021-04-29), Alhamdulillah - Elite (Official Music Video), dicapai pada 2024-10-03
- ^ ALHAMDULILLAH - Single by Elite on Apple Music (dalam bahasa Inggeris), 2021-04-30, dicapai pada 2024-10-03
Penglihatan awal
Untuk menetapkan penglihatan awal templat, |state=
parameter boleh digunakan:
|state=collapsed
: {{Elite (kumpulan)|state=collapsed}} untuk menunjukkan templat dikecutkan, iaitu, tersembunyi selain dari palang tajuknya|state=expanded
: {{Elite (kumpulan)|state=expanded}} untuk menunjukkan templat dikembangkan, iaitu dapat dilihat sepenuhnya|state=autocollapse
: {{Elite (kumpulan)|state=autocollapse}}- menunjukkan templat dikecutkan ke palang tajuk jika terdapat {{palangnav}}, {{palangsisi}}, atau sebarang jadual lain pada laman dengan atribut boleh lipat
- menunjukkan templat dalam keadaan dikembangkan jika tiada terdapat benda boleh lipat yang lain pada laman
Jika parameter |state=
tidak ditetapkan, penglihatan awal templat diambil daripada parameter |default=
dalam templat. Untuk templat ini, yang tersebut sedang menilai ke autocollapse
.
</noinclude>