Dato' merupakan gelaran kehormat di Malaysia yang dianugerahkan oleh ketua negara atau negeri seperti Yang di-Pertuan Agong, Sultan, dan Yang di-Pertua Negeri kepada orang tertentu sebagai penghargaan terhadap jasa atau khidmatnya kepada negara.[1] Gelaran ini dibahagikan kepada dua iaitu gelaran Dato' dan Datuk dimana Dato' merupakan gelaran yang diberikan oleh 9 raja Melayu di Malaysia iaitu negeri Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu manakala Datuk diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan serta darjah kebesaran tambahan di peringkat persekutuan dan Yang di-Pertua Negeri untuk Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Sebelum kedatangan pengaruh Hindu-Buddha gelaran Dato' atau Datuk di gunakan oleh Raja Pemerintah bagi sesuatu wilayah berdasarkan catatan sejarah secara lisan.
Di Brunei, terdapat juga gelaran Dato atas penganugerahan gelaran Pembesar diraja Brunei dalam golongan Wazir, Cheteria dan Manteri.
Penggunaan
Terdapat perbezaan dari segi ejaan dalam penggunaan gelaran ini serata Nusantara. Secara amnya, gelaran dengan ejaan "Datuk" didapati di kedua-dua Malaysia dan Indonesia, "Dato'" dengan tanda ' khusus digunakan di Malaysia sementara "Dato" dan "Datu" digunakan di Brunei dan di Sarawak. Walau bagaimanapun, isteri kepada penerima mana-mana gelaran tersebut diberi gelaran "Datin".
Indonesia
Gelaran ini didapati dalam budaya Minangkabau melalui pelafalan ia dalam dialek bahasa suku tersebut iaitu "Datuak", ia adalah gelar adat dalam Adat Minangkabau yang diberikan kepada seseorang melalui kesepakatan suatu kaum atau suku yang ada di wilayah Minangkabau (provinsi Sumatra Barat sekarang) dan selanjutnya disetujui sampai ke tingkat rapat adat oleh para tokoh pemuka adat setempat (Kerapatan Adat Nagari, biasa disingkat dengan KAN).
Sebelum gelar ini disandang seseorang, mesti dilakukan suatu upacara adat atau malewakan gala (Bahasa Minang), dengan sekurangnya menyembelih seekor kerbau dan kemudian diadakan jamuan makan. Dan jika calon Datuk tersebut tidak mampu untuk mengadakan acara tersebut, maka dia tidak berhak untuk menyandang gelar Datuk tersebut.
Pewarisan gelar Datuk dalam tradisi Minangkabau, berbeda dengan tradisi Melayu yang lain, gelar datuk dapat diwariskan menurut sistem matrilineal. Bila seorang Datuk meninggal dunia, gelar Datuk tersebut dapat diberikan kepada saudara laki-lakinya, atau keponakan (kemenakan) yang paling dekat hubungan kekerabatannya dari garis ibu.
Malaysia
Gelaran dengan ejaan 'Datuk' diberikan kepada individu yang telah dianugerahi pingat oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, gelaran dengan ejaan Dato' dikurniakan oleh Sultan, Raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan gelaran dengan ejaan Datu dan Dato dikurniakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Brunei
Dato
"Dato" ialah pangkal gelaran yang dianugerahkan oleh Sultan kepada individu yang telah dianugerahkan bintang-bintang kebesaran tertentu. Gelaran sebenar adalah "Dato" sentiasa diikuti dengan frasa tambahan mengikut bintang kebesaran dan darjahnya. Contoh gelaran Dato adalah "Dato Seri Setia", "Dato Laila Utama", "Dato Hamzah Pahlawan" dan "Dato Paduka".[2] Bagi penerima perempuan, "Dato" adalah digantikan dengan "Datin". Tidak semua orang yang telah dianugerahkan bintang kebesaran diberi gelaran Dato.
Nama | Darjah | Singkatan | Gelaran |
---|---|---|---|
Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati | - | DK | Dato Laila Utama |
Darjah Kerabat Seri Utama Yang Amat Dihormati | - | DK | Dato Seri Utama |
Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar | Darjah Pertama | PSSUB | Dato Paduka Seri Setia |
Darjah Kedua | DSSUB | Dato Seri Setia | |
Darjah Paduka Laila Jasa Keberanian Gemilang Yang Amat Cemerlang | Darjah Pertama | DPKG | Dato Paduka Seri |
Darjah Kedua | DLKG | Dato Laila | |
Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang | Darjah Pertama | DPKT | Dato Paduka Seri |
Darjah Kedua | DKLT | Dato Laila | |
Darjah Pahlawan Negara Brunei Yang Amat Perkasa | Darjah Pertama | PSPNB | Dato Seri Pahlawan |
Darjah Kedua | DHPNB | Dato Hamzah Pahlawan | |
Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia | Darjah Pertama | PSNB | Dato Seri Setia |
Darjah Kedua | DSNB | Dato Setia | |
Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa | Darjah Pertama | PSLJ | Dato Paduka Seri Laila Jasa |
Darjah Kedua | DSLJ | Dato Seri Laila Jasa | |
Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia | Darjah Pertama | SPMB | Dato Seri Paduka |
Darjah Kedua | DPMB | Dato Paduka |
Datu
Dalam sistem gelaran pembesar diraja Brunei, "Datu" adalah pangkal gelaran bagi beberapa gelaran Manteri iaitu golongan pembesar selepas Cheteria dan yang terbawah sekali dalam hierarki tersebut. Gelaran sebenar adalah "Datu" sentiasa diikuti dengan frasa tambahan, contohnya "Datu Mahawangsa", "Datu Laila Diraja" dan "Datu Ratna".[3] Walau bagaimanapun, "Datu" juga wujud sebagai sebahagian daripada gelaran berpangkal "Pehin", juga dalam golongan Manteri, seperti "Pehin Datu Singamanteri", "Pehin Datu Amar Setia Diraja" dan "Pehin Datu Imam".[3]
Lihat juga
- Tun
- Tan Sri
- Seri Setia
- Pehin Sri
- Datu - gelaran seakar
Rujukan
- ^ "Datuk", Pusat Rujukan Persuratan Melayu: Kamus Bahasa Melayu, DBP. Diambil pada 12-04-2011
- ^ "Senarai Bintang-Bintang Kebesaran dan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam" (PDF). www.adat-istiadat.gov.bn. Dicapai pada 2018-01-31. Cite has empty unknown parameter:
|dead-url=
(bantuan) - ^ a b Al-Sufri, Mohd. Jamil (2002). Adat Istiadat Diraja Brunei. Bandar Seri Begawan: Jabatan Adat Istiadat Negara. m/s. 579–592. ISBN 9991734228.
Pautan luar
- Bahagian Istiadat & Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Malaysia Diarkibkan 2021-03-08 di Wayback Machine
- Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri, Brunei Darussalam
Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah dengan templat tunas yang lebih spesifik.