
Pelatihan sangkar atau pelatihan kandang ialah proses pelatihan haiwan peliharaan untuk mentoleransi kurungan di dalam sangkar atau kandang. Penyokong sangkar kerap mendakwa bahawa anjing ialah haiwan "penghuni sarang" dan bahawa sangkar dapat menjadi "sarang" ganti dan lokasi selamat yang dikenali untuk haiwan peliharaan. Kebanyakan anak anjing akhirnya dapat mentoleransi pelatihan sangkar jika diperkenalkan dengan betul. Stres awal akibat terkurung dapat memberikan laluan kepada "peningkatan perasaan keterjaminan, keselamatan, dan keselesaan" selepas pendedahan berulang kepada sangkar. Pengurungan sangkar jangka panjang atau berlebihan "mungkin membawa kepada kemerosotan emosi dan tingkah laku seiring dengan masa."[1] Sebaliknya, jika dilakukan dengan betul, pelatihan sangkar dapat memainkan peranan besar dalam pengajaran buang air kepada anjing secepat mungkin. Pengurungan anjing di dalam sangkar atau kandang membatasi pergerakan dan kebebasannya. Jika pelatihan sangkar tidak dipandang serius, anjing mungkin mula membuang air di sekeliling rumah.[perlu rujukan]
Rasional
Penyokong pelatihan sangkar berhujah bahawa anjing ialah haiwan sarang dan bahawa sangkar bertindak sebagai pengganti untuk sarang. Walaupun ini ialah kepercayaan yang dipegang secara meluas, terdapat sedikit bukti untuk menyokongnya.[1] Borchelt (1984) menyatakan:[1]
- Buku anjing kebiasaan merujuk anjing sebagai haiwan "penghuni sarang" dan menganggap bahawa pengurungan memberikan perasaan keterjaminan kepada anak anjing. Anjing, pada hakikatnya, bukan haiwan penghuni sarang, walaupun pada pelbagai canid, ibu membina sarang (kerap di bawah tanah) untuk anak. Sarang ialah pertahanan menentang pemangsa dan perlindungan terhadap cuaca buruk. Anak menggunakannya sebagai "pangkalan rumah" untuk meneroka, menyiasat, dan bermain. Tiada pintu di sarang yang menutup anak selama berjam-jam.[2]
Namun begitu, anjing dapat belajar untuk mentoleransi pengurungan di dalam sangkar dan menerimanya sebagai tempat keselesaan dan keselamatan.[1] Humane Society of the United States mengesyorkan pelatihan sangkar untuk mewujudkan tempat keterjaminan dan keselesaan untuk anjing, sambil memberikan amaran bahawa ini bukan jalan penyelesaian terbaik untuk masalah tingkah laku haiwan.[3]
Pelatihan sangkar juga mungkin mengurangkan stres dan keresahan pada anjing yang kemudiannya memerlukan pengurungan di dalam sangkar apabila melawat doktor haiwan, semasa dalam perjalanan, semasa pemulihan daripada kecederaan, dan apabila pengurungan diperlukan untuk melindungi anjing semasa pemilik tiada sepanjang tempoh singkat.[perlu rujukan]
Pemilihan sangkar

Ada kepentingan untuk memilih sangkar dengan saiz betul untuk haiwan peliharaan dan sesuai untuk tujuannya. Sangkar lebih besar kerap terdapat dengan sejenis pembahagi supaya sangkar dapat membesar dengan haiwan peliharaan. Saiz betul untuk sangkar ialah ruang cukup-cukup untuk haiwan berkenaan berdiri tanpa menghantukkan kepalanya, berbaring dan meregangkan kaki, dan berpusing tanpa halangan. Apabila menggunakan sangkar di rumah, sangkar perlu dipastikan diletakkan di lokasi yang selesa. Kawasan berangin perlu dihindari seperti dekat dengan pintu atau tingkap, begitu juga kawasan di bawah cahaya matahari langsung (yang mungkin menjadi terlebih-lebih panas) atau kawasan bersebelahan dengan radiator atau sumber haba.[4]
Sangkar untuk kegunaan di rumah dapat bersaiz lebih besar daripada yang digunakan untuk perjalanan. Sangkar yang digunakan untuk pengangkutan antarabangsa patut mematuhi peraturan antarabangsa yang ditetapkan oleh IATA.[5] Jika sangkar adalah terlalu besar, haiwan peliharaan akan dapat menggunakan satu hujung untuk berehat dan tidur sambil menggunakan satu lagi hujung sebagai tandas, yang akan menjejaskan salah satu tujuan pelatihan sangkar.[perlu rujukan]
Naluri semula jadi anjing ialah membuang air di luar kawasan tempat makan dan tempat tidur. Oleh itu, jika sangkar adalah cukup kecil sehingga ia tidak mungkin dapat meninja sambil mempunyai cukup ruang untuk tidur dengan lena, anjing menahan diri selagi mampu. Naluri inilah yang memudahkan penggunaan sangkar sebagai alat bantu untuk pelatihan buang air.
Semasa perjalanan udara, sangkar bersaiz berlebihan tidak mengizinkan haiwan peliharaan untuk menggunakan sisi dengan mudah sebagai pendakap semasa pergolakan.[perlu rujukan] Begitu juga, sangkar yang terlalu kecil menimbulkan risiko kesihatan dengan membatasi dan mencegah aliran udara dan pengudaraan betul. Ini amat membimbangkan haiwan peliharaan bela jinak daripada baka brakisefalik (berkepala pendek) bilamana syaratnya ialah pemberian ruang tambahan kerana insiden tinggi bagi kematian pada haiwan peliharaan ini semasa pengangkutan. Oleh sebab saluran udara yang dipendekkan dan keupayaan terbatas untuk menyejukkan diri melalui cungapan, pemanasan berlebihan semasa dalam perjalanan menimbulkan risiko kepada kesihatan baka sedemikian.
Pelatihan
Semasa pelatihan sangkar, ada kepentingan untuk menggunakan pendekatan pelatihan yang disyorkan oleh doktor haiwan, jurulatih, pembiak baka, atau buku pelatihan yang dipercayai.[perlu rujukan]
Pelatihan sangkar kerap diamalkan dengan anak anjing baharu sebagai kaedah pelatihan buang air. Anak anjing secara semula jadi tidak ingin mengotorkan tempat tidur. Maka, ia mencuba sedaya mungkin untuk menahan diri semasa berada di dalam sangkar. Anak anjing muda sudah pasti tidak dapat mengawal pundi kencing lama-lama: kira-kira satu jam untuk setiap bulan usia.[6] Pemilik anjing muda perlu terus membawa anak anjing ke luar dengan kerap. Sangkar ialah satu-satunya ruang di seluruh rumah yang benar-benar milik anjing dan, jika digunakan dengan betul, merupakan suaka untuk tahun-tahun mendatang.[7]
Ada kelaziman untuk mengunci anjing di dalam sangkar dan membiarkannya mengongoi, menyalak, dan mencuba untuk melarikan diri tetapi percubaan sedemikian untuk memperkenalkan pelatihan sangkar mungkin menyebabkan perkaitan negatif penyangkaran.[1] Anjing patut perlahan-lahan membiasakan diri dengan sangkar. Ini dapat melibatkan usaha untuk menjadikan sangkar sebagai tempat menarik dengan meletakkan mainan kecil yang dikenali di dalam, memindahkan katil haiwan peliharaan ke dalam sangkar, meninggalkan pakaian pemilik yang tidak dicuci di dalam, mengganjari haiwan peliharaan kerana memasuki sangkar dan kekal di dalam, menyepadukan sangkar sebagai sebahagian daripada permainan, memberi makan haiwan peliharaan di dalam peti, mengizinkan haiwan peliharaan meneroka dan menggunakan sangkar sehingga sangkar tidak lagi menakutkan, dan akhirnya beransur kepada tidur di dalam sangkar semalaman.
Sebahagian daripada pelatihan sangkar yang betul memerlukan agar pemilik haiwan peliharaan memerhatikan tingkah laku tenang dan santai di sekeliling sangkar. Haiwan peliharaan mengaitkan sebarang gerak balas emosi seperti kenaikan suara atau tingkah laku gementar lain terhadap objek asing di dalam persekitaran normalnya. Ada kepentingan untuk pemilik tidak mewujudkan sebarang perkaitan negatif dengan sangkar agar haiwan peliharaan menerima sangkar dengan tenang.
Kesan buruk
Tanpa pelaziman betul, anjing mungkin menyuarakan distres dan berusaha untuk melarikan diri dari sangkar. Penyangkaran menindas tingkah laku anjing, menghapuskan kebebasan pergerakan anjing, dan merupakan hukuman negatif (penyingkiran ganjaran) dalam pelaziman operan. Anjing yang tidak bertindak balas dengan baik terhadap hukuman negatif mungkin mendapati bahawa penyangkaran banyak menyebabkan stres. Pengurungan bersangkar jangka panjang atau berlebihan "mungkin membawa kepada kemerosotan emosi dan tingkah laku seiring dengan masa." Sehingga sangkar mengurangkan jumlah pendedahan kepada situasi persekitaran dan sosial berlainan, ini dapat menjadikan anjing lebih reaktif (takut atau agresif) atau tidak bertoleransi terhadap situasi baharu. Penyangkaran "mungkin memperparah distres dan kereaktifan emosi yang dikaitkan dengan distres perpisahan". Masalah tingkah laku yang memaksa pemilik untuk mengamalkan pelatihan sangkar awal-awal mungkin diperparah oleh kesan negatif daripada penyangkaran.[1]
Anjing mungkin membentuk keterikatan kuat dengan sangkar akhirnya, merasai keselesaan dan keselamatan, selepas perasaan awal distres dan kerentanan. Seorang ahli behaviorisme anjing telah membandingkan kesan tingkah laku ini dengan sindrom Stockholm. Anjing yang dilatih untuk tidur di dalam sangkar, apabila diizinkan tidur di dalam bilik tidur, dapat menunjukkan tanda yang tekal dengan distres perpisahan, yang mencadangkan bahawa anjing mungkin menyukai sangkarnya "mungkin dalam sesetengah kes lebih daripada ia menyayangi pemiliknya." Keterikatan ini dengan sangkar mungkin mengganggu ikatan manusia–haiwan dan memperparah masalah tingkah laku berkaitan dengan ikatan seperti distres perpisahan dan agresi terarah pemilik.[1]
Steven Lindsay dalam Handbook of Applied Dog Behavior and Training menyatakan bahawa walaupun "peranan pengurungan bersangkar dalam etiologi masalah tingkah laku belum diasaskan secara saintifik [...] tanggapan empirikal dan logik menentukan bahawa ini barang kali memainkan peranan penting dalam perkembangan atau pemarahan bagi banyak masalah pelarasan."[1] Beliau berhujah bahawa "amalan meluas, iaitu pengurungan rutin anjing pada waktu malam dan kemudian lagi pada siang hari selama tempoh 16 hingga 18 jam (atau lebih), ialah amalan amat bermasalah yang tidak patut dibiarkan atau digalakkan, kerana ini barang kali mendasari perkembangan bagi banyak masalah pelarasan, termasuk agresi."[1] Tujuan pelatihan sangkar, kata beliau, "sepatutnya merupakan pengeluaran anjing dari sangkar secepat mungkin dan penggunaan sangkar sesedikit mungkin dalam perkhidmatan pelatihan dan objektif pengurusan ruang."
Perundangan
Di Sweden, peraturan melarang penyimpanan anjing di dalam sangkar atau kurungan lain di bawah saiz tertentu. Pengecualian dibuat untuk sesetengah situasi, seperti semasa perjalanan atau dalam pertunjukan/percubaan anjing. Walaupun begitu, anjing perlu dibawa berjalan setiap dua jam atau tiga jam. Saiz yang diwajibkan untuk kurungan agar dikecualikan daripada peraturan sedemikian bermula pada 2 m2 (22 ka2)—kira-kira luas tilam tunggal/kembar—untuk anjing kecil dan sehingga 5.5 m2 (59 ka2) untuk anjing besar.[8][9][10] Peraturan serupa wujud di Finland.[11]
Sepanyol turut melarang amalan ini, kerana dianggap sebagai kekejaman terhadap haiwan oleh undang-undang perlindungan dan kesejahteraan haiwan seperti yang terlihat pada larangan untuk "menggunakan sebarang alat, mekanisme, atau perkakas yang diniatkan untuk membatasi atau menghalang mobilitinya kecuali dengan preskripsi veterinar dengan mengambil kira kesejahteraannya" serta wajib untuk "mendidik dan mengendalikan haiwan dengan kaedah yang tidak menyebabkan penderitaan atau penganiayaan terhadap haiwan mahupun menyebabkan keadaan keresahan atau ketakutan."[12]
Rujukan
- ^ a b c d e f g h i Lindsay, Steven R. (31 Januari 2000). "House Training, Destructive Behavior, and Appetitive Problems" [Pelatihan Buang Air, Tingkah Laku Pemusnahan, dan Masalah Selera]. Handbook of Applied Dog Behavior and Training: Adaptation and Learning [Buku Panduan Tingkah Laku dan Pelatihan Anjing Terapan: Penyesuaian dan Pembelajaran] (dalam bahasa Inggeris). Ames, Iowa, Amerika Syarikat: Wiley. m/s. 75–120. ISBN 9780813807546. OCLC 222763721.
- ^ Borchelt, Peter L.; Voith, Victoria Lea (November 1982). "Diagnosis and Treatment of Separation-Related Behavior Problems in Dogs" [Diagnosis dan Rawatan Masalah Tingkah Laku Berkaitan dengan Perpisahan pada Anjing]. Veterinary Clinics of North America: Small Animal Practice (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 12 (4): 625–635. doi:10.1016/S0195-5616(82)50106-4. ISSN 1878-1306. PMID 6984556. S2CID 43890754.
- ^ "Crate Training" [Pelatihan Sangkar] (dalam bahasa Inggeris). The Humane Society of the United States. 12 Jun 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Julai 2013. Dicapai pada 22 Oktober 2025.
- ^ "Crate Training a Puppy" [Melatih Anak Anjing untuk Sangkar] (dalam bahasa Inggeris). Kennel Trainer. 13 April 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 April 2018. Dicapai pada 22 Oktober 2025.
- ^ "Traveler's Pet Corner - Shipping your dog or cat" [Sudut Haiwan Peliharaan Pengembara] (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Mac 2010. Dicapai pada 22 Oktober 2025.
- ^ Spadafori, Gina (25 Februari 2001). "How long can a puppy "hold it" at night?" [Selama manakah anak anjing dapat "menahannya" malam-malam?] (dalam bahasa Inggeris). Pet Connection. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Oktober 2011. Dicapai pada 22 Oktober 2025.
- ^ Shaw, Julie K.; Martin, Debbie, penyunting (2014). Canine and Feline Behavior for Veterinary Technicians and Nurses [Tingkah Laku Anjing dan Kucing untuk Juruteknik dan Jururawat Veterinar] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Chichester, West Sussex, United Kingdom: Wiley. ISBN 9781118925478. OCLC 880122583.
- ^ "Så sköter du din hund" [Demikianlah anda menjaga anjing anda] (dalam bahasa Sweden). Lembaga Pertanian Sweden. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Januari 2013. Dicapai pada 22 Oktober 2025.
- ^ "Statens jordbruksverks föreskrifter och allmänna råd om hållande av hund och katt" [Peraturan dan nasihat umum Lembaga Pertanian Negara mengenai pembelaan anjing dan kucing] (PDF) (dalam bahasa Sweden). Lembaga Pertanian Sweden. 19 Mac 2008. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 6 Januari 2014. Dicapai pada 22 Oktober 2025.
- ^ "Föreskriftsdokumentation" [Pendokumenan peraturan] (PDF) (dalam bahasa Sweden). Lembaga Pertanian Sweden. 14 Mac 2008. Diarkibkan daripada yang asal (pdf) pada 6 Januari 2014. Dicapai pada 22 Oktober 2025.
- ^ "Häkki ei ole koiranpitopaikka" [Sangkar bukan tempat simpan anjing] (dalam bahasa Inggeris). Suomen Kennelliitto. 2004. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Januari 2014. Dicapai pada 22 Oktober 2025.
- ^ Pérez Castejón, Pedro Sánchez (29 Mac 2023). "7936: Ley 7/2023, de 28 de marzo, de protección de los derechos y el bienestar de los animales" [7936: Undang-undang 7/2023, pada 28 Mac, mengenai perlindungan hak dan kebajikan haiwan.]. Boletín Oficial del Estado (dalam bahasa Sepanyol) (75): 45618–45671.








