

Anjing pandu,[1][2] anjing pemandu,[3] anjing panduan,[4] anjing pembimbing,[2] atau anjing bimbingan[5] ialah anjing pembantu yang dilatih untuk memimpin orang buta atau orang kurang upaya penglihatan mengelilingi halangan. Walaupun anjing dapat dilatih untuk menelusuri pelbagai halangan, ia buta warna merah–hijau dan tidak mampu mentafsir isyarat jalan. Manusia melakukan pengarahan, berdasarkan kemahiran yang diperoleh melalui latihan mobiliti terdahulu. Pengendali mungkin disamakan dengan pemandu arah pesawat, yang mesti mengetahui cara untuk pergi dari satu tempat ke tempat lain, dan anjing pula ialah juruterbang, yang membawa mereka ke sana dengan selamat. Di beberapa buah negara, anjing pandu, bersama-sama dengan kebanyakan anjing khidmat dan anjing mendengar lain, dikecualikan daripada peraturan yang melarang kehadiran haiwan di tempat seperti restoran dan pengangkutan awam.
Sejarah

Setakat ini, rujukan bertulis paling kuno kepada anjing pandu bertarikh kembali ke tahun 1247. Tommaso dari Celano memetik Santo Francesco dari Assisi dengan berkata, "Aku melihat pada satu masa - tambahnya - seorang lelaki buta yang di jalan dipimpin oleh seekor anjing betina kecil." [Guerra, J. A. (ed.) San Francisco de Asís. Escritos. Biografi. Documentos de la época. Madrid. Biblioteca de Autores Cristianos. 144.] Rujukan lain kepada haiwan khidmat bertarikh sekurang-kurangnya kembali ke pertengahan abad ke-16. Baris kedua abjad sajak popular "A was an Archer" ("[...] Pemanah") ialah paling lazim "B was a Blind-man/Led by a dog" ("[...] seorang Buta/Dipimpin oleh seekor anjing").[6] Dalam novel sajak abad ke-19 karya Elizabeth Barrett Browning, iaitu Aurora Leigh, watak judulannya menyatakan, [terjemahan]: "Orang buta berjalan ke mana sahaja anjing itu menarik / Dan demikianlah saya menjawab."[7] Anjing pandu juga disebut dalam A Christmas Carol karya Charles Dickens: [terjemahan]: "Malah anjing lelaki buta kelihatannya mengenalinya; dan apabila mereka melihatnya datang, akan menarik pemiliknya ke pintu dan ke pekarangan, ia kemudian menggoyangkan ekornya seolah-olah berkata, 'Ketiadaan mata sama sekali adalah lebih baik daripada mata jahat, tuan gelap!'"
Bukti mencadangkan bahawa anjing mungkin telah digunakan sebagai panduan untuk orang kurang upaya penglihatan berdasarkan gambaran seorang buta yang dibimbing oleh anjingnya di dinding sebuah rumah di Herculaneum, yang terkubur ketika Gunung Vesuvius meletus pada tahun 79 M.[8][9] Gambaran visual ini dan yang lain menunjukkan bahawa anjing telah menjadi pendamping lazim untuk orang buta selama beribu-ribu tahun. Bukti material tambahan diperlukan untuk secara positif mentaksir penggunaannya secara khusus sebagai panduan.
Sekolah pelatihan anjing khidmat pertama diasaskan di Jerman semasa Perang Dunia Pertama, untuk meningkatkan mobiliti veteran yang kembali yang menjadi buta dalam pertempuran. Minat terhadap haiwan khidmat di luar Jerman tidak menjadi meluas sehingga Dorothy Harrison Eustis, iaitu seorang pembiak baka anjing Amerika yang tinggal di Switzerland, menulis keterangan langsung tentang sekolah pelatihan haiwan khidmat di Potsdam, Jerman, yang diterbitkan dalam The Saturday Evening Post pada tahun 1927. Pada tahun sama, Senator Amerika Syarikat, iaitu Thomas D. Schall dari Minnesota, digandingkan dengan seekor haiwan khidmat yang diimport dari Jerman,[10] yang dilatih oleh pemilik LaSalle Kennels, iaitu Jack Sinykin dari Minnesota.[11]
Gerakan haiwan khidmat tidak bertapak di Amerika sehingga penduduk Nashville Morris Frank pulang dari Switzerland selepas dilatih dengan salah seekor anjing milik Eustis, iaitu seekor anjing gembala Jerman betina bernama Buddy.[12] Frank dan Buddy memulakan lawatan publisiti untuk meyakinkan orang Amerika tentang kebolehan haiwan khidmat dan keperluan untuk mengizinkan orang dengan haiwan khidmat mengakses pengangkutan awam, hotel, dan kawasan lain yang terbuka kepada orang awam. Pada tahun 1929, Eustis dan Frank bersama-sama mengasaskan sekolah The Seeing Eye di Nashville, Tennessee (berpindah pada tahun 1931 ke New Jersey).[13]
Haiwan khidmat pertama di Great Britain merupakan anjing gembala Jerman. Empat ekor anjing pertama merupakan Flash, Judy, Meta, dan Folly, yang diserahkan kepada pemilik baharu, veteran yang menjadi buta dalam Perang Dunia Pertama, pada 6 Oktober 1931 di Wallasey, Merseyside.[14] Pemilik baharu Judy ialah Musgrave Frankland.[15][16] Pada tahun 1934, The Guide Dogs for the Blind Association di Great Britain memulakan operasi, walaupun jurulatih tetap pertama mereka ialah seorang pegawai tentera Rusia, iaitu Kapten Nikolai Liakhoff, yang berpindah ke United Kingdom pada tahun 1933.[16]
Elliott S. Humphrey ialah seorang pembiak baka haiwan yang melatih anjing pandu pertama untuk orang buta yang digunakan di Amerika Syarikat. Humphrey diupah untuk membiakbakakan anjing gembala Jerman di sebuah pusat di Switzerland yang telah didirikan oleh Dorothy Harrison Eustis dari Philadelphia dan memulakan kerja yang membawa kepada program Seeing-Eye Dog.
Anjing-anjing pertama yang dihasilkan di pusat itu, yang dikenali sebagai Fortunate Fields, digunakan untuk kerja ketenteraan dan kerja polis dan untuk menjejak orang hilang. Kemudian, Humphrey melatih anjing gembala Jerman untuk membimbing orang buta.
Pihak Jerman telah membangunkan program anjing pandu semasa Perang Dunia Pertama, tetapi En. Humphrey mengaturkan tatacara berlainan yang kemudian diikuti di Amerika Syarikat.[17]
Penyelidikan
Kajian penting tentang tingkah laku dan kaedah pelatihan haiwan khidmat dilakukan pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an oleh Jakob von Uexküll dan Emanuel Georg Sarris. Mereka mengkaji nilai haiwan khidmat dan memperkenalkan kaedah lanjut bagi pelatihan. Terdapat juga kajian penting tentang diskriminasi yang dialami oleh orang yang menggunakan haiwan khidmat dan haiwan pembantu.[18]
Baka


Baka anjing pandu dipilih untuk perangai dan kebolehlatihan. Buat masa ini, anjing pengutip keemasan, labrador, pudel piawai, anjing gembala Jerman, dan silangan anjing pengutip keemasan/labrador paling berkemungkinan dipilih oleh prasarana haiwan khidmat.[19]
Baka paling popular yang digunakan di seluruh dunia kini ialah anjing pengutip Labrador. Baka ini mempunyai julat saiz baik, mudah dipelihara kerana lapis bulu pendeknya, pada umumnya sihat dan mempunyai perangai lemah lembut tetapi rela.[20] Silangan seperti goldador (golden retriever/labrador), menggabungkan kepekaan anjing pengutip keemasan dan toleransi anjing pengutip Labrador. Yang juga lazim merupakan labradoodle, iaitu labrador/pudel, yang dibiakbakakan untuk membantu mengurangkan alergen kerana semua baka bersalin bulu tetapi parasnya berbeza-beza.
Sesetengah sekolah, seperti Guide Dog Foundation, telah menambahkan pudel piawai ke dalam daftar baka mereka.[21] Walaupun anjing gembala Jerman pernah menjadi baka lazim yang digunakan untuk kerja panduan, banyak sekolah telah menghentikan penggunaan anjing ini kerana kemahiran dan peranan kepemimpinan tidak berbelah bahagi yang diperlukan oleh pengendali untuk mengekalkan baka itu aktif dan tidak bersifat pemusnah.[19]
Kebolehcapaian

Walaupun terdapat undang-undang atau peraturan yang menolak akses kepada haiwan di restoran dan di tempat awam lain, di banyak negara, haiwan khidmat dilindungi oleh undang-undang dan, oleh itu, boleh mengiringi pengendalinya di kebanyakan tempat yang terbuka kepada orang awam. Undang-undang dan peraturan berbeza-beza di seluruh dunia:
- Di Amerika Syarikat, Akta Orang Kurang Upaya Amerika (ADA) melarang mana-mana perniagaan, agensi pemerintah, atau pertubuhan lain yang menyediakan akses kepada orang awam daripada menyekat haiwan khidmat, kecuali apabila kehadirannya akan menyebabkan risiko kesihatan atau keselamatan. Walau bagaimanapun, pertubuhan keagamaan tidak diwajibkan menyediakan akses sedemikian. Sama ada haiwan khidmat dalam latihan mempunyai hak sama atau tidak biasanya terletak pada setiap pemerintah negeri. Yang mengejutkan, ADA menetapkan bahawa sistem Hospital Veteran tidak perlu menuruti undang-undang ini dan boleh menidakkan kemasukan kepada veteran tentera dengan haiwan khidmat. Sebagai tambahan, Akta Perumahan Adil menghendaki agar tuan tanah mengizinkan penyewa untuk mempunyai haiwan khidmat, serta jenis haiwan pembantu lain, di kediaman yang biasanya mempunyai dasar Haiwan Peliharaan Tidak Dibenarkan dan agar tiada yuran tambahan yang boleh dikenakan untuk penyewa sedemikian. Pejabat Perumahan Adil dan Peluang Sama Rata di bawah Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar Amerika Syarikat menyiasat aduan daripada orang awam yang mendakwa penafian permintaan penyesuaian munasabah yang melibatkan haiwan pembantu.[22]
- Di United Kingdom, Akta Kesamarataan 2010 (EA) (England, Scotland, Wales) dan Akta Diskriminasi Kelainan Upaya 1995 (DDA) (Ireland Utara) memperuntukkan kepada orang kurang upaya hak sama ke atas perkhidmatan yang dibekalkan oleh kedai, bank, hotel, perpustakaan, pub, teksi, dan restoran seperti semua orang lain. Pembekal perkhidmatan perlu membuat "pelarasan munasabah" untuk menampung pemilik anjing pembantu. Di bawah Bahagian 12 EA dan Bahagian 5 DDA, adalah menyalahi undang-undang untuk pemilik anjing pembantu dinafikan akses kepada teksi atau teksi mini dengan anjing pembantu mereka, tetapi pengecualian perubatan tersedia jika pemandu mempunyai sijil daripada doktor pengamal perubatan umum mereka.[23][24]
- Di Mexico dan di kebanyakan negara di Amerika Selatan, akses haiwan khidmat bergantung semata-mata pada muhibah pemilik atau pengurus. Di kawasan dengan lebih ramai pelancong, haiwan khidmat pada umumnya dialu-alukan tanpa masalah. Di Brazil, walau bagaimanapun, dekri persekutuan tahun 2006 mewajibkan pengizinan haiwan khidmat di semua tempat awam dan tempat terbuka kepada awam. Metro Daerah Persekutuan telah membangunkan program yang melatih haiwan khidmat untuk menaiki tren.
- Di Malta, Akta Peluang Sama Rata 2000 (Bab 413) menyatakan bahawa adalah menyalahi undang-undang untuk mendiskriminasi orang kurang upaya yang memerlukan pembantu, dalam kes ini, haiwan khidmat. Segelintir pengecualian merupakan dapur restoran, wad khas hospital, tandas, dan premis tempat haiwan lain dibela.[25]
- Di Australia, Akta Diskriminasi Kelainan Upaya 1992 melindungi pengendali haiwan khidmat. Setiap negeri dan wilayah mempunyai undang-undang sendiri, yang mungkin berbeza sedikit.[26]
- Di Kanada, haiwan khidmat diizinkan di mana-mana orang awam diizinkan. Yang berikut merupakan undang-undang haiwan khidmat mengikut provinsi:
- Alberta: Akta Hak Orang Buta,[27] Akta Anjing Khidmat[28]
- British Columbia: Akta Haiwan Pandu[29]
- Manitoba: Kanun Hak Asasi Manusia,[30] Akta Perlindungan Haiwan Khidmat[31]
- New Brunswick: Akta Hak Asasi Manusia[32]
- Newfoundland dan Labrador: Akta Hak Orang Buta,[33] Akta Hak Asasi Manusia[34]
- Nova Scotia: Akta Hak Orang Buta,[35] Akta Hak Asasi Manusia[36]
- Nunavut: Akta Hak Asasi Manusia[37]
- Ontario: Akta Hak Orang Buta,[38] Akta Ketercapaian untuk Orang Kurang Upaya Ontario,[39] Kanun Hak Asasi Manusia[40]
- Pulau Putera Edward: Akta Hak Asasi Manusia[41]
- Quebec: Akta Individu Kurang Upaya,[42] Piagam Hak Asasi dan Kebebasan Manusia[43]
- Saskatchewan: Kanun Hak Asasi Manusia[44]
- Wilayah Barat Laut: Akta Hak Asasi Manusia[45]
- Yukon: Akta Hak Asasi Manusia[46]
- Di Korea Selatan, adalah menyalahi undang-undang untuk menafikan akses kepada haiwan khidmat di mana-mana kawasan yang terbuka kepada orang awam. Pencabul didenda tidak melebihi 2 juta won Korea.
- Di Portugal, haiwan khidmat diizinkan di mana-mana orang awam diizinkan. Dekri-Undang-undang bil. 74/2007 menetapkan haknya.[47]
- Di Switzerland, haiwan khidmat diizinkan di mana-mana orang awam diizinkan.
- Di Rusia, haiwan khidmat diizinkan di mana-mana orang awam diizinkan. Anjing pandu dikecualikan daripada caj tambang dalam pengangkutan awam.
Diskriminasi
Memandangkan sesetengah mazhab dalam Islam menganggap anjing pada umumnya sebagai najis,[48] pemandu teksi dan pemilik kedai yang beragama Islam kadang-kadang enggan menerima pelanggan yang mempunyai haiwan khidmat, yang telah membawa kepada dakwaan diskriminasi terhadap mereka.[49] Walau bagaimanapun, pada tahun 2003, Majlis Syariah Islam, iaitu sebuah pertubuhan British yang menyediakan panduan tidak mengikat mengenai pentafsiran hukum agama Islam, berkeputusan bahawa larangan ke atas anjing tidak terpakai kepada yang digunakan untuk kerja panduan.[50]
Faedah pemilikan anjing pandu

Kajian menunjukkan bahawa pemilikan haiwan peliharaan atau haiwan terapi menawarkan kesan bermanfaat dari segi psikologi, sosial, dan fisiologi dan anjing pandu tidak terkecuali. Sesetengah orang buta melaporkan pengalaman peningkatan paras keyakinan, rasa selamat lebih tinggi, dan persahabatan yang dihargai daripada pemilikan anjing pandu. Sesetengah juga menyatakan bahawa pemilikan anjing pandu telah menggalakkan mereka untuk lebih banyak bersenam, terutamanya dengan berjalan kaki.[51] Ini diatributkan kepada kerelaan untuk menerokai ruangan luar yang dipermudah oleh rasa berdikari.[52] Sesetengah orang buta mendakwa bahawa pertemuan dengan orang lain dan pergaulan adalah lebih mudah dengan anjing pandu dan orang lebih berkemungkinan menawarkan bantuan apabila terdapat haiwan khidmat yang hadir.[51] Haiwan berkenaan juga mungkin membawa kepada peningkatan interaksi dengan orang lain, lalu menyediakan topik perbualan mudah.[52] Anjing pandu mungkin lebih sengaja berbanding dengan penggunaan tongkat panjang apabila memimpin pengendalinya di tempat yang tidak dikenali. Haiwan berkenaan mengarahkan laluan betul, lalu menghapuskan cuba-cuba yang mungkin dialami oleh pengguna dengan tongkat. Sesetengah melaporkan bahawa anjing pandu menjadikan pengalaman mengenai perkara yang tidak diketahui lebih santai.[51] Ramai orang buta yang menggunakan anjing pandu melaporkan bahawa perjalanan adalah lebih pantas dan lebih selamat.[52]
Pemilik anjing pandu mengongsi ikatan istimewa dengan haiwan mereka. Ramai melaporkan bahawa haiwan berkenaan ialah anggota keluarga dan, dengan kerap, pengendali pergi ke arah haiwan mereka untuk keselesaan dan sokongan. Haiwan berkenaan tidak dipandang sebagai haiwan pekerja, tetapi lebih sebagai sahabat setia.[51] Walau bagaimanapun, ada kepentingan untuk ingat bahawa anjing pandu ialah haiwan pekerja dan tidak patut diganggu atau dianggap sebagai haiwan peliharaan semasa sedang bertugas.
Orang ramai kerap mempunyai salah tanggapan tentang anjing pandu, termasuk kepercayaan bahawa ia bekerja sepanjang masa. Pada hakikatnya, anjing biasanya bekerja hanya apabila pengendalinya meninggalkan kediaman mereka. Pengendali memberitahu anjing tentang tempat yang dituju dan anjing berkenaan diajar tentang ketidakpatuhan cerdas—menyekat pengendali daripada meneruskan perjalanan apabila terdapat situasi tidak selamat.
Lihat juga
- Anjing pekerja
- Anjing pembantu
- Haiwan sokongan emosi
- Insurans haiwan peliharaan
- Kuda pandu
- Senarai sekolah anjing pandu
- Tongkat putih
Rujukan
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing pandu |
- ^ "ANJING PANDU". Ensiklopedia Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ a b "Anjing pandu bantu pelari cacat penglihatan". West Sand Lake, New York, Amerika Syarikat: Media Permata. 29 Julai 2020. Dicapai pada 4 November 2025.
[...] seekor anjing pembimbing atau lebih dikenali sebagai anjing pandu.
- ^ "guide dog". Kamus Inggeris–Melayu Dewan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 4 November 2025.
anjing pemandu
- ^ "Pandangan guna anjing". Berita Harian Singapura. 28 Oktober 2016. Dicapai pada 4 November 2025.
anjing panduan (guide dog)
- ^ "Syarat Pensijilan Halal Muis: Modul 2" (pdf). Majlis Ugama Islam Singapura. 2023. Dicapai pada 4 November 2025.
Anjing Bimbingan
- ^ Opie, Iona Margaret Balfour; Opie, Peter Mason, penyunting (1952). The Oxford Dictionary of Nursery Rhymes [Kamus Sajak Kanak-kanak Oxford] (dalam bahasa Inggeris). Oxford, United Kingdom: Clarendon Press. OCLC 2733001.
- ^ Barrett Browning, Elizabeth. Aurora Leigh (dalam bahasa Inggeris). II. m/s. 1028–1029.
- ^ Fishman, Gerald Allen (30 Jun 2003). Marmor, Michael F. (penyunting). "When your eyes have a wet nose: the evolution of the use of guide dogs and establishing the seeing eye" [Apabila mata mempunyai hidung basah: evolusi penggunaan anjing pandu dan pengasasan mata melihat]. Survey of Ophthalmology (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 48 (4): 452–458. doi:10.1016/S0039-6257(03)00052-3. ISSN 1879-3304. PMID 12850233. S2CID 33794114.
- ^ Eschner, Kat (7 Ogos 2017). "The Cuddly Tail of Guide Dogs" [Ekor Sedap Dipeluk Anjing Pandu] (dalam bahasa Inggeris). Smithsonian. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ Putnam, Peter (9 Oktober 1997). Love in the Lead: The Miracle of the Seeing Eye Dog [Love in the Lead: Mukjizat Anjing Mata Melihat] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Lanham, Maryland, Amerika Syarikat: University Press of America. m/s. 20. ISBN 9780761807773. OCLC 36806654.
- ^ "Twin-Cities Jew First in America to Train Dogs to Lead the Blind" [Orang Yahudi Kota Kembar yang Pertama di Amerika untuk Melatih Anjing untuk Memimpin Orang Buta]. The Jewish Veteran (dalam bahasa Inggeris). Veteran Perang Yahudi Amerika Syarikat. 1938. m/s. 7. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Through Buddy's Eyes" [Melalui Mata Buddy] (dalam bahasa Inggeris). Universiti Vanderbilt. 6 Disember 2010. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "History of Guide Dogs" [Sejarah Anjing Pandu] (dalam bahasa Inggeris). Guide Dog Users of Canada. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 November 2016. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ Hughes, Lorna (3 Mei 2013). "Dog walk marks 80th anniversary of first guide dogs in Wallasey" [Jalan kaki dengan anjing tandakan ulang tahun ke-80 anjing pandu pertama di Wallasey] (dalam bahasa Inggeris). Liverpool Echo. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Judul tidak dikenal pasti". The London Paper (dalam bahasa Inggeris).
- ^ a b "The History of Guide Dogs in Great Britain" [Sejarah Anjing Pandu di Great Britain]. Fifty Years Forward: The Story of Guide Dogs in Britain [Lima Puluh Tahun ke Hadapan: Cerita Anjing Pandu di Britain] (dalam bahasa Inggeris). Windsor, United Kingdom: The Guide Dogs for the Blind Association. 1981. OCLC 59119715.
- ^ Treaster, Joseph B. (11 Jun 1981). "ELLIOTT HUMPHREY, 92; PIONEERED IN TUTORING OF GUIDE DOGS IN U.S." [ELLIOTT HUMPHREY, 92; MEMPELOPORI PENGAJARAN ANJING PANDU DI AMERIKA SYARIKAT] (dalam bahasa Inggeris). The New York Times. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ von Uexküll, Carl Wolmar Jakob Freiherr; Sarris, Emanuel Georg (1931). "Der Führhund der Blinden" [Anjing Pandu Orang Buta]. Die Umschau (dalam bahasa Jerman). H. Bechhold. 35 (51): 1014–1016. ISSN 0372-4409.
- ^ a b "What breeds of dog are used for guide dogs?" [Baka anjing apakah yang digunakan untuk anjing pandu?] (dalam bahasa Inggeris). Service Dog Central. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Ogos 2020. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ Cori (9 Jun 2014). "Interview with Brian Francis of the Hong Kong Guide Dogs Association" [Temu Bual dengan Brian Francis daripada Persatuan Anjing Pandu Hong Kong] (dalam bahasa Inggeris). PetProject.HK. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Mei 2015. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Get a Guide Dog" [Dapatkan Anjing Pandu] (dalam bahasa Inggeris). Guide Dog Foundation for the Blind. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 November 2018. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Disability Rights in Housing" [Hak Orang Kurang Upaya dalam Perumahan] (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar Amerika Syarikat. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Jun 2016. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Equality Act 2010" [Akta Kesamarataan 2010] (dalam bahasa Inggeris). Assistance Dogs UK. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Ogos 2015. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Equality Act 2010" [Akta Kesamarataan 2010] (dalam bahasa Inggeris). Legislation.gov.uk. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Laws of Malta, Page 13, Cap. 413" [Undang-undang Malta, Halaman 13, Bab 413] (dalam bahasa Inggeris). LEĠIŻLAZZJONI MALTA. Dicapai pada 4 November 2025.[pautan mati]
- ^ "Disability Discrimination Act 1992" [Akta Diskriminasi Kelainan Upaya 1992] (dalam bahasa Inggeris). Daftar Perundangan Persekutuan. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Blind Persons' Rights Act, RSA 2000, c B-3" [Akta Hak Orang Buta, Statut-statut Semakan Alberta 2000, Bab B-3] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Service Dogs Act, SA 2007, c S-7.5" [Akta Anjing Khidmat, Statut-statut Alberta 2007, Bab S-7.5] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Guide Dog and Service Dog Act, SBC 2015, c 17" [Akta Anjing Pandu dan Anjing Khidmat, Statut-statut British Columbia 2015, Bab 17] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "The Human Rights Code, CCSM c H175" [Kanun Hak Asasi Manusia, Penyatuan Bersinambung Statut-statut Manitoba Bab H175] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "The Service Animals Protection Act, CCSM c S90" [Akta Perlindungan Haiwan Khidmat, Penyatuan Bersinambung Statut-statut Manitoba Bab S90] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Human Rights Act, RSNB 1973, c H-11" [Akta Hak Asasi Manusia, Statut-statut Semakan New Brunswick 1973, Bab H-11] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Blind Persons' Rights Act, RSNL 1990, c B-4" [Akta Hak Orang Buta, Statut-statut Semakan Newfoundland dan Labrador 1990, Bab B-4] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Human Rights Act, 2010, SNL 2010, c H-13.1" [Akta Hak Asasi Manusia, 2010, Statut-statut Newfoundland dan Labrador 2010, Bab H-13.1] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Blind Persons' Rights Act, RSNS 1989, c 40" [Akta Hak Orang Buta, Statut-statut Semakan Nova Scotia 1989, Bab 40] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Human Rights Act, RSNS 1989, c 214" [Akta Hak Asasi Manusia, Statut-statut Semakan Nova Scotia 1989, Bab 214] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Human Rights Act, CSNu, c H-70" [Akta Hak Asasi Manusia, Statut-statut Disatukan Nunavut, Bab H-70] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Blind Persons' Rights Act, RSO 1990, c B.7" [Akta Hak Orang Buta, Statut-statut Semakan Ontario 1990, Bab B.7] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Accessibility for Ontarians With Disabilities Act, 2005, SO 2005, c 11" [Akta Ketercapaian untuk Orang Kurang Upaya Ontario, 2005, Statut-statut Ontario 2005, Bab 11] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Human Rights Code, RSO 1990, c H.19" [Kanun Hak Asasi Manusia, Statut-statut Semakan Ontario 1990, Bab H.19] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Human Rights Act, RSPEI 1988, c H-12" [Akta Hak Asasi Manusia, Statut-statut Semakan Pulau Putera Edward 1988, Bab H-12] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Act to secure handicapped persons in the exercise of their rights with a view to achieving social, school and workplace integration, CQLR c E-20.1" [Akta untuk menjamin orang kurang upaya dalam penggunaan hak mereka dengan pandangan untuk mencapai persepaduan sosial, sekolah, dan tempat kerja, Kompilasi Undang-undang dan Peraturan Québec Bab E-20.1] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Charter of Human Rights and Freedoms, CQLR c C-12" [Piagam Hak Asasi dan Kebebasan Manusia, Kompilasi Undang-undang dan Peraturan Québec Bab C-12] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "The Saskatchewan Human Rights Code, SS 1979, c S-24.1" [Kanun Hak Asasi Manusia Saskatchewan, Statut-statut Saskatchewan 1979, Bab S-24.1] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Human Rights Act, SNWT 2002, c 18" [Akta Hak Asasi Manusia, Statut-statut Wilayah Barat Laut 2002, Bab 18] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Human Rights Act, RSY 2002, c 116" [Akta Hak Asasi Manusia, Statut-statut Semakan Yukon 2002, Bab 116] (dalam bahasa Inggeris). CanLII. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Cães de assistência – Decreto-Lei nº 74, 27 de Fevereiro" [Anjing pembantu – Dekri-Undang-undang bil. 74, 27 Februari] (dalam bahasa Portugis). Euroacessibilidade. Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Julai 2007. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ Abou El Fadl, Khaled (2004). "Dogs in the Islamic Tradition and Nature" [Anjing dalam Tradisi Islam dan di Alam Semula Jadi]. Encyclopedia of Religion and Nature (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Scholar of the House. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Muslim Cab Drivers Refuse to Transport Alcohol, and Dogs" [Pemandu Teksi Muslim Enggan Angkut Alkohol dan Anjing] (dalam bahasa Inggeris). ABC News. 27 Januari 2007. Dicapai pada 4 November 2025.
- ^ "Guide dogs not haram, rules Shariah" [Anjing pandu tidak haram, Majlis Syariah putuskan] (dalam bahasa Inggeris). Manchester Evening News. 1 Februari 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 November 2012. Dicapai pada 4 November 2025.
It ruled that guide dogs can accompany disabled people into restaurants or taxis managed or driven by Muslims.
- ^ a b c d Whitmarsh, Lorraine Elisabeth (2005). "The Benefits of Guide Dog Ownership" [Manfaat Pemilikan Anjing Pandu]. Visual Impairment Research (dalam bahasa Inggeris). Swets. 7 (1): 27–42. doi:10.1080/13882350590956439. ISSN 1744-5167. S2CID 145208352.
- ^ a b c Miner, Rachel Joy-Taub (Musim Sejuk 2001). "The Experience of Living with and Using a Dog Guide" [Pengalaman Kehidupan dengan Panduan Anjing dan Penggunaan Panduan Anjing]. RE:view (dalam bahasa Inggeris). Heldref Publications. 32 (4): 183–190. ISSN 0899-1510. S2CID 141302797.








