
Kinofobia[a] atau takut anjing ialah ketakutan terhadap anjing, serigala, dan kanin pada umumnya. Kinofobia dikelaskan sebagai fobia spesifik, di bawah subjenis "fobia haiwan".[1] Menurut Timothy O. Rentz dari Makmal Pengajian Kecelaruan Keresahan di Universiti Texas, fobia haiwan ialah antara fobia spesifik yang paling lazim dan 36% daripada jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan melaporkan ketakutan kepada anjing atau ketakutan kepada kucing.[2] Walaupun ofidiofobia atau araknofobia merupakan fobia haiwan lebih lazim, kinofobia amat melemahkan kerana prevalens tinggi anjing, sebagai contoh, terdapat anggaran 62 juta ekor anjing peliharaan di Amerika Syarikat,[2] dan kejahilan umum pemilik anjing terhadap fobia ini. Kinofobia adalah terutamanya bermasalah untuk orang yang menghuni atau mengunjungi negara dengan banyak anjing bebas merantau; sebagai contoh, terdapat anggaran 62 juta ekor anjing bebas merantau di India.[3] Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-IV-TR) melaporkan bahawa hanya 12% hingga 30% daripada jumlah orang dengan fobia spesifik akan mendapatkan rawatan.[4]
Diagnosis
DSM-IV-TR menyediakan kriteria berikut untuk diagnosis bagi fobia spesifik:[5]
- ketakutan berterusan terhadap objek atau situasi
- pendedahan kepada objek yang ditakuti mencetuskan gerak balas keresahan segera
- pesakit dewasa memperakui bahawa ketakutan itu adalah berlebihan, tidak munasabah, atau tidak rasional (ini tidak selalu berlaku dengan kanak-kanak)
- pendedahan kepada objek yang digeruni paling kerap dihindari sama sekali atau dilalui dengan ketakutan
- ketakutan mengganggu kegiatan harian (sosial, kekeluargaan, pekerjaan, dll.) dengan ketara
- pesakit bawah umur (yang berusia di bawah 18 tahun) mempunyai gejala yang berlarutan selama sekurang-kurangnya enam bulan
- keresahan, serangan panik, atau penghindaran tidak dapat diambil kira oleh kecelaruan mental lain
Buku Phobias mentakrifkan serangan panik sebagai "kegerunan tiba-tiba yang berlangsung selama sekurang-kurangnya beberapa minit dengan manifestasi tipikal bagi ketakutan kuat".[6] Manifestasi ini mungkin termasuk palpitasi, perpeluhan, penggeletaran, kesukaran pernafasan, desakan untuk melarikan diri, ringan kepala atau pening, mulut kering, loya, atau beberapa gejala lain.[6] Seperti fobia spesifik lain, pesakit dengan kinofobia mungkin memaparkan pelbagai gerak balas ini apabila berhadapan dengan anjing hidup atau malah apabila memikirkan imej atau diberi imej (statik atau filem) tentang seekor anjing.[7] Tambahan pula, tingkah laku penghindaran klasik juga adalah lazim dan mungkin termasuk menjauhi kawasan kemungkinan keberadaan anjing (cth., taman), menyeberang jalan untuk mengelakkan anjing, atau mengelakkan rumah sahabat atau keluarga yang memiliki anjing.[7]
Punca
Usia
Jeanette M. Bruce dan William C. Sanderson, dalam buku mereka Specific Phobias, berkesimpulan bahawa usia permulaan untuk fobia haiwan biasanya ialah awal zaman kanak-kanak, iaitu pada usia antara lima dengan sembilan tahun.[8] Sebuah kajian yang dilakukan di Afrika Selatan oleh Dr. Willem A. Hoffmann dan Dr. Lourens H. Human selanjutnya mengesahkan kesimpulan ini untuk pesakit dengan kinofobia dan turut mendapati fobia anjing yang berkembang selewat usia 20 tahun.[9]
Jantina

Bruce dan Sanderson juga menyatakan bahawa fobia haiwan adalah lebih lazim pada wanita berbanding dengan lelaki.[8] Tambahan pula, B. K. Wiederhold, iaitu seorang ahli psikiatri yang menyiasat terapi realiti maya sebagai kaedah terapi mungkin untuk kecelaruan keresahan, menyusul dengan memberikan data bahawa, walaupun prevalen pada kedua-dua lelaki dan wanita, 75% hingga 90% daripada jumlah pesakit yang melaporkan fobia spesifik bagi subjenis haiwan merupakan wanita.[11]
Pemerolehan
Satu teori semasa untuk pemerolehan ketakutan yang dikemukakan oleh S. Rachman pada tahun 1977 bertegas bahawa terdapat tiga keadaan yang melaluinya ketakutan berkembang.[12] Ini termasuk pengalaman peribadi langsung, pengalaman pemerhatian, dan pengalaman maklumat atau pengajaran. Sebagai contoh, pengalaman peribadi langsung terdiri daripada pengalaman persemukaan negatif peribadi dengan anjing seperti pengalaman apabila digigit. Sebaliknya, penyaksikan sahabat yang diserang oleh anjing dan, dengan itu, perkembangan ketakutan terhadap anjing merupakan pengalaman pemerhatian. Walaupun kedua-dua jenis pengalaman ini melibatkan anjing hidup, pengalaman maklumat atau pengajaran hanya termasuk penerimaan maklumat secara langsung atau tidak langsung (iaitu, maklumat yang dibaca dalam buku, daripada filem, daripada isyarat ibu bapa seperti penghindaran atau ketidaksukaan, dll.) bahawa anjing perlu ditakuti.
Sebuah kajian dijalankan di Universiti Negeri New York untuk membezakan kepentingan ketiga-tiga keadaan ini terhadap perkembangan kinofobia.[13] Tiga puluh tujuh orang wanita berusia 18 hingga 21 tahun mula-mula disaring ke dalam dua kumpulan: takut terhadap anjing dan tidak takut terhadap anjing.[14] Seterusnya, setiap wanita diberi soal selidik yang bertanya sama ada dia pernah mengalami konfrontasi menakutkan atau menyakitkan dengan seekor anjing, jangkaannya sebaik bersemuka dengan seekor anjing (sakit, ketakutan, dll.), dan, secara subjektif, kebarangkalian bahawa jangkaan itu benar-benar berlaku.[14] Hasil keputusan menunjukkan bahawa, walaupun subjek tidak takut mempunyai jangkaan berbeza tentang hal yang akan berlaku apabila menghadapi anjing, pengalaman menyakitkan dengan anjing adalah lazim dalam kalangan kedua-dua kumpulan; oleh itu, kajian berkesimpulan bahawa faktor lain mesti mempunyai pengaruh sama ada pengalaman menyakitkan ini akan berkembang menjadi fobia anjing atau tidak.[15]
Walaupun teori Rachman ialah model berterima bagi pemerolehan ketakutan, kes kinofobia telah dipetik, yang dalamnya tiada satu pun daripada ketiga-tiga punca ini terpakai untuk pesakit.[16] Dalam ucapan yang diberikan pada Mesyuarat Tahunan Ke-25 Society for Psychophysiological Research, Arne Öhman mencadangkan bahawa ketakutan terhadap haiwan khususnya berkemungkinan merupakan saki-baki evolusi daripada keperluan untuk "melarikan diri dan mengelak daripada menjadi mangsa kepada pemangsa".[17] Tambahan pula, dalam buku beliau, iaitu Overcoming Animal & Insect Phobias, Martin Antony mencadangkan bahawa jika tiada ketiga-tiga punca Rachman, dengan syarat bahawa ingatan pesakit adalah terjamin, faktor biologi mungkin merupakan punca keempat bagi pemerolehan ketakutan—bermaksud bahawa ketakutan diwarisi atau merupakan imbau kembali kepada mekanisme pertahanan genetik terdahulu.[18] Walau apa pun, punca-punca ini pada hakikatnya mungkin merupakan penyeluruhan bagi gabungan rumit kedua-dua pembelajaran dan genetik.[19]
Rawatan
Kaedah paling lazim untuk perawatan bagi fobia spesifik merupakan penyahpekaan sistematik dan terapi in vivo atau pendedahan.
Terapi penyahpekaan sistematik
Terapi penyahpekaan sistematik diperkenalkan oleh Joseph Wolpe pada tahun 1958 dan menggunakan teknik santaian dengan situasi bayangan.[20] Dalam persekitaran terkawal, biasanya pejabat ahli terapi, pesakit akan diarahkan untuk menggambarkan situasi mengancam (iaitu, berada di dalam bilik sama dengan seekor anjing). Selepas menentukan paras keresahan pesakit, ahli terapi kemudian melatih pesakit dalam latihan pernafasan dan teknik santaian untuk mengurangkan keresahannya ke paras normal. Terapi berterusan sehingga situasi bayangan tidak lagi mencetuskan gerak balas resah.
Kaedah ini digunakan dalam kajian yang tersebut di atas yang dilakukan oleh Dr. Hoffmann dan Dr. Human bilamana dua belas orang pelajar perempuan di kampus Arcadia di Kolej Teknikal Pretoria di Afrika Selatan didapati mempunyai gejala kinofobia.[21] Dua belas orang pelajar ini diberi terapi penyahpekaan sistematik selama satu jam seminggu sepanjang lima hingga tujuh minggu; selepas lapan bulan, pelajar dihubungi semula untuk menilai keberkesanan terapi.[22] Hasil keputusan akhir menunjukkan bahawa kajian itu agak berjaya dengan 75% daripada jumlah peserta yang menunjukkan peningkatan ketara lapan bulan selepas kajian.[23]
Walau bagaimanapun, dalam buku beliau, iaitu Virtual Reality Therapy for Anxiety Disorders, Wiederhold mempersoalkan keberkesanan penyahpekaan sistematik, kerana keamatan ancaman tanggapan bergantung pada imaginasi pesakit dan, oleh itu, dapat menghasilkan gerak balas palsu sehubungan dengan paras keresahan pesakit.[20] Penyelidikan beliau tentang kemajuan teknologi terkini telah memungkinkan penyepaduan realiti maya ke dalam terapi penyahpekaan sistematik untuk setepatnya mencipta situasi mengancam semula.[20] Pada masa penerbitan, belum ada kajian yang dilakukan untuk menentukan keberkesanannya.[20]
Terapi in vivo atau pendedahan
Terapi in vivo atau pendedahan dianggap sebagai rawatan paling berkesan untuk kinofobia dan melibatkan pendedahan sistematik dan berpanjangan kepada anjing sehingga pesakit dapat mengalami situasi tanpa gerak balas buruk.[24] Terapi ini dapat dijalankan dalam beberapa sesi atau, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Lars-Göran Öst dalam sebuah kajian yang dilakukan pada tahun 1988, dapat dilakukan dalam satu sesi tunggal berbilang jam.[25] Kajian ini menggunakan 20 orang pesakit perempuan dengan pelbagai fobia spesifik dan berusia antara 16 dengan 44 tahun.[26] Setiap pesakit diberi sesi terapi individu bilamana Öst menggabungkan terapi pendedahan dengan pemodelan (bilamana orang lain menunjukkan cara untuk berinteraksi dengan objek yang ditakuti) untuk mengurangkan atau sepenuhnya menyembuhkan fobia.[27] Memandangkan setiap pesakit secara beransur-ansur terdedah kepada rangsangan yang ditakuti, dia digalakkan untuk mendekati dan akhirnya berinteraksi dengan rangsangan itu semakin keresahannya berkurangan, lalu menyelesaikan sesi apabila ketakutan telah dikurangkan sebanyak 50% atau dihapuskan.[27] Setelah sesi selesai, pesakit kemudiannya meneruskan interaksi dengan objek yang ditakuti itu dengan usaha sendiri untuk memperkukuh hal yang telah dipelajari dalam sesi terapi.[27] Hasil keputusan Öst dikumpulkan sepanjang tempoh tujuh tahun dan berkesimpulan bahawa "90% daripada jumlah pesakit bertambah baik atau pulih sepenuhnya selepas terapi selama min 2.1 jam".[28]
Rawatan usaha diri
Walaupun paling lazim dilakukan dengan bantuan ahli terapi dalam suasana profesional, pendedahan kepada anjing juga mungkin dilakukan sebagai rawatan usaha diri. Mula-mula, pesakit dinasihati untuk mendapatkan bantuan daripada pembantu yang dapat membantu menyediakan persekitaran pendedahan, membantu mengendalikan anjing semasa sesi, dan menunjukkan tingkah laku pemodelan.[29] Ini juga patut merupakan seseorang yang dipercayai oleh pesakit dan tidak takut kepada anjing.[29] Kemudian, pesakit menyusun tatatingkat bagi situasi pencetus ketakutan berdasarkan penilaian bagi setiap situasi.[30] Sebagai contoh, pada skala dari 0 hingga 100, pesakit mungkin berasa bahawa melihat foto anjing mungkin menyebabkan gerak balas ketakutan hanya bernilai 50; walau bagaimanapun, pembelaian kepala anjing dapat menyebabkan gerak balas ketakutan bernilai 100.[29] Dengan senarai situasi ini daripada yang paling kurang menakutkan kepada yang paling menakutkan, pembantu membantu pesakit untuk mengenal pasti unsur bersama yang menyumbang kepada ketakutan (iaitu, saiz anjing, warna, cara pergerakan, bunyi, sama ada ia terkekang atau tidak, dll.).[31] Seterusnya, pembantu membantu pesakit untuk mencipta situasi paling tidak menakutkan semula dalam persekitaran selamat dan terkawal, berterusan sehingga pesakit mempunyai kesempatan untuk mengizinkan agar ketakutan itu reda, lantas memperkukuh kesedaran bahawa ketakutan itu tidak berasas.[29] Apabila situasi telah dikuasai, situasi menakutkan seterusnya dicipta semula dan proses itu diulangi sehingga semua situasi dalam tatatingkat telah dialami.[29]
Video sampel yang menunjukkan manusia dan anjing yang berinteraksi tanpa salah satu antara kedua-duanya mempamerkan ketakutan ketara tersedia.[32]
Rangka masa pemulihan dan pengekalan
Sama ada dengan menggunakan terapi penyahpekaan sistematik atau terapi pendedahan, beberapa faktor akan menentukan bilangan sesi yang diperlukan untuk sepenuhnya menghapuskan fobia; walau bagaimanapun, sesetengah kajian (seperti sebuah kajian susulan yang dilakukan oleh Öst pada tahun 1996) telah menunjukkan bahawa orang yang mengatasi fobianya biasanya dapat mengekalkan penambahbaikan sepanjang jangka masa panjang.[33] Memandangkan penghindaran menyumbang kepada pengabadian fobia, interaksi dunia nyata tekal, namun selamat, disyorkan semasa terapi dan selepas terapi untuk memperkukuh pendedahan positif kepada haiwan tersebut.[34]
Lihat juga
Catatan
- ^ daripada κύων kýōn "anjing" dan φόβος phóbos "ketakutan" dalam bahasa Yunani Purba
Rujukan
Kutipan
- ^ Mavissakalian & Barlow (1981), m/s. 2.
- ^ a b Rentz dll. (2003), m/s. 1338.
- ^ Wallen, Joe (9 Mac 2023). "India has a brutal plan to deal with its stray dogs problem" [India ada rancangan kejam tangani masalah anjing terbiarnya] (dalam bahasa Inggeris). The Daily Telegraph. Dicapai pada 28 Oktober 2025.
- ^ Persatuan Psikiatri Amerika (2000), m/s. 446.
- ^ Persatuan Psikiatri Amerika (2000), m/s. 443.
- ^ a b Maj dll. (2004), m/s. 6.
- ^ a b Maj dll. (2004), m/s. 24.
- ^ a b Bruce & Sanderson (1998), m/s. 4.
- ^ Hoffmann & Human (2003), m/s. 34.
- ^ Packer, George (24 November 2014). "The Quiet German" [Orang Jerman Senyap] (dalam bahasa Inggeris). The New Yorker. Dicapai pada 28 Oktober 2025.
- ^ Wiederhold & Wiederhold (2005), m/s. 126.
- ^ Rachman (1977), m/s. 375.
- ^ Di Nardo dll. (1988), m/s. 241.
- ^ a b Di Nardo dll. (1988), m/s. 242.
- ^ Di Nardo dll. (1988), m/s. 243.
- ^ Doogan & Thomas (1992), m/s. 387.
- ^ Öhman (1986), m/s. 128.
- ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 30.
- ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 31.
- ^ a b c d Wiederhold & Wiederhold (2005), m/s. 6.
- ^ Hoffmann & Human (2003), m/s. 31–32.
- ^ Hoffmann & Human (2003), m/s. 32–34.
- ^ Hoffmann & Human (2003), m/s. 40.
- ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 66.
- ^ Öst (1989), m/s. 1.
- ^ Öst (1989), m/s. 4.
- ^ a b c Öst (1989), m/s. 3.
- ^ Öst (1989), m/s. 6.
- ^ a b c d e Antony & McCabe (2005), m/s. 49.
- ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 41–42.
- ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 44–46.
- ^ Perfect Human Dog Interaction [Interaksi Manusia–Anjing Sempurna] (dalam bahasa Inggeris). YouTube. 1 Jun 2009. Dicapai pada 28 Oktober 2025.
- ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 5.
- ^ Antony & McCabe (2005), m/s. 73.
Bibliografi
- Antony, Martin M.; McCabe, Randi E. (2005). Overcoming Animal & Insect Phobias [Mengatasi Fobia Haiwan dan Serangga] (dalam bahasa Inggeris). Oakland, California, Amerika Syarikat: New Harbinger Publications. ISBN 9781572243880. OCLC 58453874.
- Antony, Martin M.; Swinson, Richard P. (2000). Phobic Disorders and Panic in Adults: A Guide to Assessment and Treatment [Kecelaruan Fobia dan Panik pada Dewasa: Panduan untuk Penilaian dan Rawatan] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Washington, D.C., Amerika Syarikat: Persatuan Psikologi Amerika. ISBN 9781557986962. OCLC 43801024.
- Barlow, David Harrison (14 November 2001). Anxiety and Its Disorders: The Nature and Treatment of Anxiety and Panic [Keresahan dan Kecelaruannya: Sifat dan Rawatan Keresahan dan Panik] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). New York, New York, Amerika Syarikat: Guilford Press. ISBN 9781572304307. OCLC 47756531.
- Bruce, Timothy J.; Sanderson, William C. (Julai 1998). Specific Phobias: Clinical Applications of Evidence-based Psychotherapy [Fobia Spesifik: Penerapan Klinikal Psikoterapi Berdasarkan Bukti] (dalam bahasa Inggeris). Northvale, New Jersey, Amerika Syarikat: Jason Aronson. ISBN 9781568218830. OCLC 37771066.
- Di Nardo, Peter A.; Guzy, Lawrence T.; Bak, Rita M. (1988). "Anxiety response patterns and etiological factors in dog-fearful and non-fearful subjects" [Pola respons keresahan dan faktor etiologi pada subjek takut anjing dan subjek tidak takut anjing]. Behaviour Research and Therapy (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 26 (3): 245–251. doi:10.1016/0005-7967(88)90006-X. ISSN 1873-622X. PMID 3408459. S2CID 25827936.
- Di Nardo, Peter A.; Guzy, Lawrence T.; Jenkins, Jill Ann; Bak, Rita M.; Tomasi, Susan F.; Copland, Michelle (1988). "Etiology and maintenance of dog fears" [Etiologi dan pengekalan ketakutan kepada anjing]. Behaviour Research and Therapy (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 26 (3): 241–244. doi:10.1016/0005-7967(88)90005-8. ISSN 1873-622X. PMID 3408458. S2CID 41626094.
- Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders: DSM-IV-TR [Panduan Diagnostik dan Statistik Kecelaruan Mental: DSM-IV-TR] (dalam bahasa Inggeris) (ed. semakan ke-4). Washington, D.C., Amerika Syarikat: Persatuan Psikiatri Amerika. 2000. doi:10.1176/appi.books.9780890420249.dsm-iv-tr. ISBN 9780890420249. OCLC 43483668.
- Doogan, Sharon; Thomas, Glyn Vivian (Julai 1992). "Origins of fear of dogs in adults and children: The role of conditioning processes and prior familiarity with dogs" [Asal usul ketakutan kepada anjing pada dewasa dan kanak-kanak: Peranan proses pelaziman dan keterbiasaan terdahulu dengan anjing]. Behaviour Research and Therapy (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 30 (4): 387–394. doi:10.1016/0005-7967(92)90050-Q. ISSN 1873-622X. PMID 1616473. S2CID 32473278.
- Hoffmann, Willem Abraham; Human, Lourens H. (2003). "Experiences, characteristics and treatment of women suffering from dog phobia" [Pengalaman, ciri, dan rawatan wanita yang mengalami fobia anjing]. Anthrozoös (dalam bahasa Inggeris). Taylor & Francis. 16 (1): 28–42. doi:10.2752/089279303786992323. ISSN 1753-0377. S2CID 144024287.
- King, Neville J.; Clowes-Hollins, Viv; Ollendick, Thomas Hubert (Januari 1997). "The etiology of childhood dog phobia" [Etiologi fobia anjing masa kanak-kanak]. Behaviour Research and Therapy (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 35 (1): 77. doi:10.1016/S0005-7967(96)00067-8. ISSN 1873-622X. PMID 9009047. S2CID 198427.
- Maj, Mario; Akiskal, Hagop Souren; López Ibor, Juan José; Okasha, Ahmed Mahmoud Fahmy, penyunting (13 Ogos 2004). Phobias [Fobia] (dalam bahasa Inggeris). Chichester, West Sussex, United Kingdom: Wiley. ISBN 9780470858370. OCLC 56361057.
- Mavissakalian, Matig; Barlow, David Harrison (9 Februari 1981). Phobia: Psychological and Pharmacological Treatment [Fobia: Rawatan Psikologi dan Farmakologi] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Guilford Press. ISBN 9780898626025. OCLC 6355995.
- Öhman, Arne Edvard (Mac 1986). "Face the Beast and Fear the Face: Animal and Social Fears as Prototypes for Evolutionary Analyses of Emotion" [Bersemuka dengan Binatang dan Takuti Muka: Ketakutan kepada Haiwan dan Ketakutan Pergaulan sebagai Prototaip untuk Analisis Evolusi bagi Emosi]. Psychophysiology (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 23 (2): 123–145. doi:10.1111/j.1469-8986.1986.tb00608.x. ISSN 1469-8986. PMID 3704069. S2CID 145021778.
- Öst, Lars-Göran (1989). "One-session treatment for specific phobias" [Rawatan satu sesi untuk fobia spesifik]. Behaviour Research and Therapy (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 27 (1): 1–7. doi:10.1016/0005-7967(89)90113-7. ISSN 1873-622X. PMID 2914000. S2CID 144812722.
- Rachman, Stanley (1977). "The conditioning theory of fear acquisition: A critical examination" [Teori pelaziman tentang pemerolehan ketakutan: Pemeriksaan kritikal]. Behaviour Research and Therapy (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 15 (5): 375–387. doi:10.1016/0005-7967(77)90041-9. ISSN 1873-622X. PMID 612338. S2CID 146605813.
- Rentz, Timothy O.; Powers, Mark Bradley; Smits, Jasper A. J.; Cougle, Jesse Ray; Telch, Michael Joseph (30 April 2003). "Active-imaginal exposure: examination of a new behavioral treatment for cynophobia (dog phobia)" [Pendedahan imago aktif: pemeriksaan rawatan tingkah laku baharu untuk kinofobia (fobia anjing)]. Behaviour Research and Therapy (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 41 (11): 1337–1353. doi:10.1016/S0005-7967(03)00041-X. ISSN 1873-622X. PMID 14527532. S2CID 10604031.
- Secret, Mary C.; Bloom, Martin (Julai 1994). "Evaluating a Self-Help Approach to Helping a Phobic Child: A Profile Analysis" [Menilai Pendekatan Usaha Diri kepada Bantuan kepada Anak Berfobia: Analisis Profil]. Research on Social Work Practice (dalam bahasa Inggeris). Sage Publishing. 4 (3): 338–348. doi:10.1177/104973159400400305. ISSN 1552-7581. S2CID 145786257.
- Wiederhold, Brenda K.; Wiederhold, Mark D. (2005). Virtual Reality Therapy for Anxiety Disorders: Advances in Evaluation and Treatment [Terapi Realiti Maya untuk Kecelaruan Keresahan: Kemajuan dalam Penilaian dan Rawatan] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Washington, D.C., Amerika Syarikat: Persatuan Psikologi Amerika. ISBN 9781591470311. OCLC 54816879.








