Nad Zainal | |
---|---|
ند زاءينل | |
Kelahiran | Farah Nadia binti Zainal Abidin 16 Mei 1990 |
Pendidikan | Diploma Teater |
Pusat pendidikan | Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) |
Pekerjaan | Pelakon, model, pengacara |
Tahun aktif | 2008–kini |
Pasangan | Muhammad Faliq Amirullah (k. 2015; c. 2022) Ungku Ismail Aziz (k. 2023) |
Anak-anak | 3 |
Farah Nadia Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Nad Zainal (lahir 16 Mei 1990) merupakan seorang pelakon dan model wanita Malaysia.[1] Beliau mula diperkenalkan menerusi drama televisyen berjudul Impian (Sunsilk Impian) pada tahun 2008, seterusnya muncul dalam sitkom Blogger Boy. Nad menjadi tumpuan media menerusi watak Kay lakonannya dalam siri drama remaja Memberku Hawa serta peranannya sebagai Inas dalam Bukan Bidadari yang kedua-duanya bersiaran di TV3.[2]
Selain peranan lakonan di televisyen, Nad juga terkenal dengan peranan lakonannya di dalam filem cereka termasuk Kami Histeria (2014) dan siri filem Juvana (2015-16). Sepanjang kerjayanya, beliau telah memenangi pelbagai anugerah dan pencalonan termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 bagi Pelakon TV Wanita Popular[3] dan Anugerah Skrin 2018 bagi Pelakon Wanita Terbaik (Drama).[4] Melangkaui kerjaya hiburannya, Nad menceburi bidang perniagaan dengan melancarkan produk kosmetiknya, Audela by Nad Zainal pada 2016.[5] Pada 23 Januari 2023 bersamaan 1 Rejab 1444H, nad zainal selamat diijabkabulkan dengan pelakon Ungku Ismail Aziz di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mas kahwinnya RM1,000.
Kehidupan awal
Beliau dilahirkan pada 16 Mei 1990 di Kajang, Selangor dan merupakan anak tunggal kepada pasangan Zainal Abidin bin Abu dan Faridah binti Mohd Noor.[6] Sewaktu zaman kanak-kanaknya, keluarganya hanya bergantung kepada motosikal bapa untuk ke mana-mana kerana bapanya tidak mempunyai kereta.[7] Nad berkelulusan dalam Diploma Teater di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).[8] Beliau menetap di Taman Melawati, Shah Alam tidak jauh dari Kuala Lumpur.[9]
Kerjaya
Karya terawal
Pada tahun 2008, ketika berusia 18 tahun, Nad membuat penampilan sulungnya di televisyen menerusi drama komedi Sunsilk Impian lakonan Diana Amir; beliau menjayakan watak sebagai Laila, ketika itu beliau dikreditkan menerusi nama sebenarnya, Farah Nadia.[10] Pada tahun 2009, beliau berlakon di samping Qi Razali, Nas-T dan Julie Woon dalam siri televisyen Blogger Boy yang memulakan tayangan perdana di 8TV pada 8 Mei dan berakhir pada 28 Mei 2010; beliau memegang watak Atiqah.[11]
Selepas menjayakan beberapa watak pembantu dalam telefilem dan drama, Nad mendapat peranan utama pertamaya dalam Bukan Bidadari hasil nukilan sutradara Faisal Ishak. Ia mengisahkan Inas yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran demi mengecapi sebuah kehidupan mewah. Namun takdir telah menemukan Inas dengan beberapa orang lelaki yang tidak berhati perut yang sanggup menghancurkan hidupnya.[12] Drama ini menggandingkan beliau bersama Sharnaaz Ahmad.[13] Bertitik tolak dari drama inilah nama Nad mula meniti di bibir peminat. Beliau kemudian berlakon di samping Kamal Adli dan Miera Leyana dalam drama berat Putera Rayyan di Slot Samarinda TV3 yang mana beliau memegang watak sebagai Arisa yang merupakan isteri kepada Putera Rayyan lakonan Kamal.[14]
2012 menandakan penampilan sulung Nad di layar lebar apabila beliau menjayakan peranan kecil dalam filem komedi Jidin Sengal lakonan Angah Raja Lawak dan Along Cham. Pada tahun sama, Nad memegang watak seorang gadis periang bernama Kay dalam siri drama tajaan jenama tuala wanita Kotex, Memberku Hawa arahan Bernard Chauly yang turut menggandingkan beliau bersama Faezah Elai yang memegang watak sebagai Hawa.[15] Ia mengisahkan dua orang rakan baik (Hawa dan Kay) yang sedang mencari kerja. Tetapi, hanya Hawa sahaja yang mendapat pekerjaan yang baik manakala Kay tidak dapat pekerjaan yang diinginkannya. Drama ini memulakan tayangan perdana di TV3 pada 15 April 2012.[16][17]
Nad muncul dalam drama yang diadaptasikan daripada novel 2012 iaitu Kampung Girl dalam Slot Zehra pada waktu bersiaran hari Jumaat bersama penyanyi Akim Ahmad pada tahun 2013.[18] Drama itu telah mencapai lebih daripada 4 juta penonton kerana gandingan serasi mereka menerusi drama tersebut.[19] Di atas permintaan ramai, mereka akhirnya telah muncul dalam drama telefilem sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu Kampung Girl Raya pada pertengahan 2014.[20]
Pada tahun 2013 juga, Nad digandingkan bersama pelakon Rosyam Nor menerusi telefilem Mawar Putih Tanda Perpisahan yang mengisahkan tentang Dahlia yang telah kehilangan suaminya yang terkandas di laut, berkahwin dengan seorang lelaki pertengahan usia bernama Sudin. Telefilem ini memulakan tayangan perdana di Astro Box Office Tayangan Hebat sepanjang Mei 2013,[21] ia memenangi Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2013.[22][23] Beliau merupakan salah seorang pengacara bersama di Anugerah Skrin 2013. Nad meraih peningkatan kerjaya lakonannya selepas menjayakan beberapa peranan pembantu dan kecil. Beliau memegang watak utama sebagai Fiqa dalam drama Seindah Sabarmu yang mengisahkan ketabahan seorang gadis yang disisihkan oleh bapanya setelah kematian ibunya.[24] Beliau kembali menjayakan peranannya sebagai Kay dalam musim kedua Memberku Hawa. Pada September 2013, Nad kembali aktif di pentas teater menerusi pementasan teater Maduku Kalut arahan Muhammad Azhar Zainal dan turut membariskan para pelakon termasuk Izzue Islam, Jihan Muse, Karl Shafek dan lain-lain.[25][26][27]
Karya terkini
Nad mendapat peranan utama Intan Asha Areen dalam drama komedi adaptasi novel Tuan Rumah Pembantu Rumah karya Orkid Edyliyne yang menggandingkan beliau bersama Hisyam Hamid, Ramona Zamzam dan Zoey Rahman. Drama ini mengisahkan tentang Intan Asha Areen yang kecewa dengan tunangnya, Taufeeq yang curang bersama wanita lain.[28][29] Sepanjang 2014, Nad membintangi 12 telefilem, antaranya ialah Adnan Balik Raya, Dari Pintu Neraka, Kantin Cinta, Sekali Sayang dan Kisah Hidup Jai (TATU).
Nad bersama-sama Diana Danielle, Mila Jirin dan Sara Ali, membintangi filem komedi muzikal seram, Kami Histeria arahan Shamyl Othman terbitan Redfilms yang ditayangkan pada 6 Februari 2014. Beliau memegang watak sebagai Peanut, salah seorang ahli kumpulan Histeria.[30] Nad memegang watak utama dalam drama cereka sains #Antidot yang mengisahkan tentang beberapa orang saintis pakar virus yang bersaing untuk menghasilkan penawar melawan virus yang boleh menyebabkan manusia mati dan bertukar menjadi zombi di Malaysia. Beliau berlakon bersama Remy Ishak, Kamal Adli, Nabila Huda, Shahriza Mahmud dan Puteri Syasya.[31][32] Nad mengakui amat mengagumi Remy yang disifatkannya sebagai pelakon yang senang memberikan kerjasama.[33] Dari 11 hingga 16 Februari 2015, Nad menjayakan watak sebagai setiausaha menteri dalam pementasan teater Diari Wanita… Episod Kak Ani & Nyonya yang berlangsung di Istana Budaya. Untuk menjayakan peranannya, Nad mengisi masanya dengan banyak bermonolog.[34][35][36] Dengan bantuan Rosminah Tahir (bekas pensyarah ASWARA), beliau percaya dengan keyakinan terhadap wataknya. Nad berkata: “Tugas menteri bukan goyang kaki di pejabat yang mewah atau hidup dalam dunia glamour, sebaliknya bagaimana mereka cuba menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat hingga mengetepikan kepentingan serta keluarga sendiri,”[37] Andai Bukan Khilaf Itu, yang mana Nad memegang watak sebagai Suri, seorang gadis Orang Kurang Upaya (OKU), yang menghidap autisme menggandingkan beliau bersama pelakon kanak-kanak pemenang anugerah, Puteri Balqis yang memegang watak Tasya, seorang kanak-kanak terbiar dan turut dibintangi oleh Kamal Adli. Ia disiarkan di TV2 pada 24 September 2015.[38]
Nad dilaporkan bakal menduduki kerusi pengarah bagi melengkapkan diari kerjayanya.[39] Beliau kembali beraksi di pentas teater menerusi pementasan teater Ombak Rindu... Tiada Penghujung yang dipentaskan pada 22 April lalu hingga 1 Mei 2016, turut dijayakan oleh Keith Foo dan Uqasha Senrose.[40]
Pada tahun 2017, Nad juga muncul dalam filem Aku Haus Darahmu yang ditayangkan pada 2 Februari 2017.[41] Bekerja di bawah arahan Shuhaimi Lua Abdullah, Nad menjayakan watak utama bersama Redza Rosli dalam telefilem Fatonah Azali yang mana Nad memegang watak sebagai Fatonah, seorang gadis terencat akal yang menghidapi penyakit autisme.[42][43][44] Beliau muncul bersama Sharifah Sakinah dan Aiman Hakim Ridza dalam drama Girlfriend Aku Dari Neraka yang diadaptasi dari telefilem dengan tajuk sama.[45]
Beliau muncul bersama anak beliau, Fahad Ibrahim dalam Darlie Mamaku Terer bersama artis lain. Program ini mengenai masa terluang ibu dengan anak mereka dan bagaimana mereka menguruskan anak mereka seorang diri serta menunjukkan mereka seorang ibu yang hebat. Ia mula bersiaran pada 9 Mac 2017. Nad memegang watak sebagai Suraya, yang menghidap penyakit leukemia dalam siri TV waktu perdana Jurnal Suraya.[46] Ia mengisahkan ketabahan Suraya dalam meneruskan kehidupan sebagai penghidap leukemia. Kekuatan yang dimiliki oleh Suraya untuk menghadapi kehidupan seharian ketika hendak menamatkan pengajiannya ternyata dikagumi oleh rakan-rakan yang senasib dengannya.[47][48]
Nad bersama-sama dengan Zizan Razak, Kamal Adli, Nabila Huda dan beberapa selebriti lain membawa peminat bertuah bercuti ke luar negara, menerusi rancangan travelog #ProjekThemePark 2018 yang kembali dengan musim terbaru yang memulakan siaran di Astro Ria bermula 6 Mac 2018.[49] Beliau seterusnya diberi kepercayaan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi pengacara rancangan Citarasa Malaysia yang disiarkan sepanjang Ramadan 2018 di TV Okey.[50][51]
Nad bersama-sama Kaka Azraff menjayakan drama radio Sumpahan Stiletto karya Eda Zuraida yang bersiaran di Kool FM; melakonkan watak Sarah.[52] Beliau menjalani penggambaran dua telefilem, masing-masing berjudul Terima Kasih Ibu dan Sehelai Selendang Putih untuk siaran di TV3 dan serta Geng Mak-Mak, yang turut menampilkan Sazzy Falak dan Fatin Afeefa.[53]
Pada tahun 2019, Nad memegang watak sebagai Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dalam filem biopik Hasmah Bila Deh Bertemu Det terbitan Tune Production, Nad bergandingan dengan Hasnul Rahmat yang berlakon sebagai Tun Dr. Mahathir Mohamad.[54][55]
Beliau menjalani penggambaran telefilem Sebelum Pulang arahan Bade Hj. Azmi, yang turut dibintangi oleh Wan Maimunah, Jalaluddin Hassan dan Amyza Aznan.[56]
Nad memegang watak utama sebagai Mawardah dalam drama adaptasi novel Di Hujung Ranting yang bersiaran di slot Selekta Prima TV2. Dalam satu temuramah, Nad mengakui amat sukar baginya untuk menjayakan Mawardah kerana ia memerlukan beliau untuk berendam air matanya hampir setiap hari. Ia turut dibintangi oleh Shukri Yahaya.[57][58]
Bermula 21 Januari 2021, Nad memegang watak sebagai Juweta dalam Takdir Yang Tertulis di slot Samarinda, ia turut dibintangi oleh Nazim Othman dan Elvina Mohamad. Nad mendedahkan dalam satu temubual bersama Kosmo! bahawa beliau bukanlah pilihan pertama pengarah drama itu, Shahrulezad Mohameddin, untuk melakonkan watak Juweta. Menurutnya, Mimi Lana ialah pelakon asal yang sepatutnya melakonkan watak itu sebelum menarik diri.[59]
Pada tahun 2022, beliau menjadi pelakon utama bersama Fasha Sandha, Wan Raja dan Aidit Noh dalam drama Dendam Seorang Isteri yang diadaptasi dari drama Korea, Temptation of Wife. Beliau melakonkan watak sebagai Kirana, sahabat karib Amira yang dilakonkan oleh Fasha.[60]
Kehidupan peribadi
Beliau berkahwin dengan Muhammad Faliq Amirullah pada 18 Disember 2015.[61] Pasangan ini sebelum ini mengikat tali pertunangan pada 31 Ogos 2015, iaitu bersempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-58. Faliq merupakan senior Nad ketika sama-sama belajar di ASWARA sekitar 2007, dalam satu temuramah bersama Kosmo! pada Disember 2015, Nad mendedahkan Faliq ialah orang pertama yang memikatnya: "Faliq lelaki pertama yang ajak saya kahwin. Sebelum ini, belum pernah ada yang berani melamar dan membawa saya berjumpa dengan keluarga untuk berkenalan. Mungkin inilah tandanya dia jodoh saya. Hati terus berdetik setuju apabila diajak bernikah dan segala perbincangan selepas itu berjalan tanpa sebarang masalah."[62] Pada 14 Oktober 2016 jam 11.38 malam, Nad selamat melahirkan anak sulungnya, Fahad Ibrahim.[63][64]
Sekitar November 2017, Nad dilaporkan mempunyai krisis dengan pelakon Sharifah Sakinah menyebabkan mereka berdua tidak lagi bertegur sapa. Nad berbuat demikian kerana tidak mahu tumpuannya terjejas ketika berada di set penggambaran.[65] Beliau merupakan seorang yang mementingkan aspek kesihatan, termasuk mengamalkan rahsia kecantikan.[66]
Nad meninggalkan tabiatnya meminum minuman berkarbonat atas faktor penampilan.[67] Pada 30 Mac 2021, Nad dikurniakan anak kedua, iaitu anak perempuan yang diberi nama Budi Kalsom.[68] Pada September 2022, Nad mengumumkan bahawa beliau dan suaminya, Faliq telah sah bercerai, namun enggan mengulas mengenai perceraiannya itu.[69]
Di dalam media
Selain penampilan di media elektronik, Nad juga membuat penampilan media cetak sebagai penghias halaman depan beberapa majalah termasuk Remaja, URTV, Media Hiburan dan akhbar termasuk Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo! dan Harian Metro. Di luar kerjaya lakonannya, Nad ialah pengasas produk kesihatan dan kecantikan miliknya, Audela by Nad Zainal yang dilancarkan pada 1 Mac 2016[70] dan setakat ini telah mengeluarkan tiga produk yang mendapat sambutan yang menggalakkan.[71][72]
Dari Mac hingga Jun 2015, Nad dilantik sebagai duta produk sandal keluaran Femesfactory selama tiga bulan. Menerusi kempen #FEMESxNADZAINAL 2015, beliau mempromosikan koleksi terhad yang mengetengahkan lima warna pastel iaitu merah jambu, biru, kuning, ungu dan hijau pudina yang mana ia dipromosikan di media sosial.[73][74]
Di awal penglibatan dalam bidang lakonan, bakat lakonan Nad bukan sahaja menjadi perhatian, malah setiap gerak geri, cara berpakaian dan penjagaan diri beliau turut menjadi ikutan peminat. Mengakui kecantikan ialah anugerah Tuhan yang ternilai, Nad berkata dalam temuramah bersama Sinar Harian: "Bagi saya cantik itu adalah satu perkara yang universal. Namun apa yang penting kita perlulah sentiasa nampak kemas, bersih dan mempunyai hati yang baik. Secara tidak langsung ia akan menampakkan kecantikan kita secara semula jadi. Kalau cantik muka sahaja tidak guna juga jika dalaman tidak cantik."[75]
Pelakon veteran Umie Aida menyifatkan Nad sebagai seorang yang ikhlas bekerja dalam bidang lakonan sambil mengakui melihat diri sendiri dalam jiwa beliau.[76]
Filemografi
Menunjukkan filem/drama yang belum dikeluarkan |
Filem
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
2012 | Jidin Sengal | Farah | Filem pertama |
2014 | Kami Histeria | Peanut | |
2015 | Juvana 2: Terperangkap Dalam Kebebasan | Nabila | |
2016 | Juvana 3: Perhitungan Terakhir | ||
2017 | Aku Haus Darahmu | Lia | |
Soulmate Hingga Jannah | Zana | Dikreditkan sebagai Nadia Zainal | |
Malay Regiment | Isteri Kpt. Zainal | ||
TBA | Hasmah Bila Deh Bertemu Det | Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali | Dalam pembangunan |
Telefilem
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV |
---|---|---|---|
2011 | 100 Hari | Suri | TV1 |
2012 | Ke Pintu Bahagia | Dahlia | TV3 |
Di Bawah Langitmu | |||
2013 | Cinta | Hawa | TV2 |
Busu | Amnah | ||
Bayangan Rindu | Iddya | Astro Box Office | |
Mawar Putih Tanda Perpisahan | Dahlia | ||
Walau Siapa Pun Aku | Maisara | TV1 | |
Abu | |||
Oh Tak Puasa Ya | |||
Adnan Sempit Balik Raya | Fatimah | TV3 | |
Mulut Murai Tempayan | Fiqa | Astro Maya HD | |
2014 | Sekali Sayang | ||
Penantian | |||
Misah Tarzan Hajar Runcit | |||
Kisah Hidup Jai | Ustazah Nurin | ||
Ku Akui | |||
Adnan Balik Raya | |||
Kampung Girl Raya | Ainnur Azmi | ||
Kimchi Raya | Jihan | ||
Dari Pintu Neraka | |||
Aidil Click | TVi | ||
Kantin Cinta | |||
Opps Terlebih Pulak | Murni | ||
2015 | Diam-Diam Rindu | Nurul Iman | TV3 |
Dia Ibuku | |||
Gadis Tudung Merah Dan Labu Labi | Ros | ||
Rumah Kecil Untuk Tuhan | Safia | ||
Nyanyian Sepatu Biru | Karina | ||
Andai Bukan Khilaf Itu | Suri | ||
Gulai Kawah Empulur Pisang | |||
2016 | Jangan Ambil Anak Aku | Anida | TV2 |
Auta | Faridah | TV3 | |
Mengintai Syurga Mama | |||
Terputusnya Sebuah Doa | Marlina | Astro Ria | |
2017 | Hujan Panas Di Inderasabah | Mastura | TV2 |
Mengharap Sebuah Keredhaan | Syima | TV9 | |
Balasan Dosa | Aminah | ||
Playboy Di Mindaku | Liyana | ||
Dosa Perempuan | Suraya | TV3 | |
Menanti Kiamat Tiba | |||
Pentas Haiwan | Cikgu Mona Lisa | Astro Citra | |
Fatonah Azali | Fatonah | TV3 | |
2018 | Demi Hati Arjuna | Alia | |
Diari Abah | |||
Luwak Kretek | |||
Syirik | Astro Citra | ||
Raya Semanis Madu | Astro Warna | ||
2019 | Terima Kasih Ibu | Tatie | TV3 |
Wali Jantan Semantan | Wan Shamsiah | TV Okey | |
2020 | Misteri Bilik Bawah | Zalika | TV3 |
Cucu Nek Putih | Suri | Astro Citra | |
Luluh | Khairina | TV3 | |
2021 | Aku Bukan Malaikat | Rohani | TV1 |
Sebelum Pulang | Amira | TV2 | |
2022 | Matahari Tak Bercahaya | Mastura | TV3 |
2023 | Mendarat Di Syurga | Dian | |
2024 | Lukisan Hati Umar | Ramlah |
Drama
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2008 | Impian | Laila | TV3 | diperkenalkan sebagai Farah Nadia |
2009 | Blogger Boy 2 | Atiqah | 8TV | |
2010 | Apa Dosaku: Sybil Kathigasu | Astro Citra | siri mini | |
Rafeeq | Astro Ceria | |||
Inikah Cinta | Melissa | TV3 | sebuah drama tajaan Cornetto | |
2011 | Elly & Epit | Eliza | Astro Ceria | |
2012 | Prosa Cinta Embun | TVi | ||
Bukan Bidadari | Inas | TV3 | ||
Putera Rayyan | Arisa | TV3 | ||
Memberku Hawa | Kay | TV3 | sebuah drama tajaan Kotex | |
2013 | Elly & Epit 2 | Eliza | Astro Ceria | |
Seindah Sabarmu | Fiqa | TV9 | ||
Memberku Hawa 2 | Kay | TV3 | sebuah drama tajaan Kotex | |
Buaian Kasih | Qaseh | TV1 | ||
Kampung Girl | Ainnur Azmi | TV3 | ||
2014 | Kifarah (Musim 1) | Maimunah | TV3 | Episod: "Man Kedekut" |
Tuan Rumah Pembantu Rumah | Intan Asha Areen | TV3 | ||
#Antidot | Frida | TV3 | ||
2015 | Destinasi G4 | Cikgu Ana | TV9 | |
Street Vendetta | Anabella/Bella | TV2 | ||
Merah Gaun Pengantin | Noraimi/Aimi | TV1 | ||
Diam-Diam Rindu | Nurul Iman | TV3 | ||
2016 | Antara Dua Dunia | Raisha | TV AlHijrah | |
Puteri Labu | TV1 | |||
Gondola Cinta Di Venice | Wina | TV2 | ||
Oh My English! After School | Aishah | Astro TVIQ | Episod 7 | |
2017 | Girlfriend Aku Dari Neraka | Nelly | Astro Warna | |
Jurnal Suraya | Suraya | TV3 | ||
2020 | Di Hujung Ranting | Mawardah | TV2 | |
Hati Yang Tersakiti | Mona | TV3 | ||
2021 | Takdir Yang Tertulis | Juweta | TV3 | |
Mak Cik Bawang | Isha | TV1 | ||
2022 | Harith Fayyadh | Sarah | TV3 | |
Dendam Seorang Isteri | Kirana | Astro Prima | Drama adaptasi Temptation of Wife | |
Cina Buta | Mia Sara | Astro Ria | ||
2023 | Tanah Kubur (Musim 16) | Yati | Astro Oasis | Episod: "Darah Zina" |
2024 | Mak Cun, Mai Singgah! | Khadijah | Tonton |
Teater
Tahun | Tajuk | Watak |
---|---|---|
2009 | Muzikal Tun Razak | |
2010 | Projek Tanda | |
2012 | Makyung Sindo | |
2013 | Maduku... Kalut | Mimi |
2015 | Diari Wanita... Episod Kak Ani & Nyonya | Setiausaha |
2016 | Ombak Rindu... Tiada Penghujung |
Televisyen
Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2016 | Cerita Rasa Anis Nabilah | Dirinya sendiri | TV1 | Selebriti jemputan |
2017 | Darlie Mamaku Terer | TV3 | Episod 1, bersama Nana Mahazan | |
Sepahtu Reunion Live | Ayu | Astro Warna | Artis Jemputan: Episod "Nyamuk Masuk Kampung" | |
2018 | Projek Theme Park | Dirinya Sendiri | Astro Ria | |
Citarasa Malaysia | Pengacara | TV Okey | ||
Bawang Live | Dirinya sendiri | Astro Ria | Artis jemputan |
Drama radio
Tahun | Tajuk | Watak | Stesen radio |
---|---|---|---|
2018 | Dramatik Kool: Sumpahan Stiletto | Sarah | Kool FM |
Anugerah dan pencalonan
Tahun | Anugerah | Kategori | Keputusan |
---|---|---|---|
2013 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 | Artis Baru Wanita Popular | Tercalon |
Anugerah Skrin 2013 | Pelakon Wanita Terbaik Drama (Mawar Putih Tanda Perpisahan) | Tercalon | |
2014 | Anugerah Skrin 2014 | Pelakon Wanita Terbaik Drama (Walau Siapa Pun Aku) | Tercalon |
2015 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014[77] | Pelakon TV Wanita Popular | Menang |
Festival Filem Malaysia ke-27 | Pelakon Harapan Wanita Terbaik (Kami Histeria) | Tercalon | |
Anugerah Skrin 2015 | Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Dari Pintu Neraka) | Tercalon | |
2017 | Anugerah Skrin 2017 | Pelakon Wanita Terbaik Drama (Mengharap Sebuah Keredhaan) | Tercalon |
2018 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 | Pelakon TV Wanita Popular | Tercalon |
Pelakon Filem Wanita Popular | Tercalon | ||
Anugerah Skrin 2018 | Pelakon Wanita Terbaik Drama (Fatonah Azali) | Menang | |
2022 | Anugerah Seri Angkasa 2022 | Pelakon Wanita Drama TV Terbaik (Sebelum Pulang) | Tercalon |
Rujukan
- ^ Tugas Zahar Nad Zainal Utusan Malaysia (2 Januari 2015). Dicapai pada 18 Jun 2015.
- ^ Aida Rizmariza Kamaruddin (16 Oktober 2014). "Komitmen Nad Zainal". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-22. Dicapai pada 12 Jun 2017.
- ^ "Nad Zainal, Pelakon TV Wanita Popular". Berita Harian. 5 April 2015. Dicapai pada 28 Julai 2018.
- ^ Ramlah Zainal (27 November 2017). "Berdikari urus karier seni". Harian Metro. Dicapai pada 6 Julai 2018.
- ^ Wawann Mohd (27 November 2017). "Dunia seni, perniagaan Nad Zainal". Sinar Harian. Dicapai pada 6 Julai 2018.
- ^ Zaidi Mohamad (23 Mei 2015). "Nad Zainal belajar hidup sendiri". BH Online. Berita Harian. Dicapai pada 28 Julai 2018.
- ^ Farhana Abd Rahman (14 Februari 2019). Nad teringat zaman naik motosikal Berita Harian. Dicapai pada 9 April 2019.
- ^ Nor Atieyah Yusoff (8 November 2013). "Nad Zainal enggan dilabel 'artis bermasalah'". Sinar Harian. Dicapai pada 22 Jun 2017.
- ^ Zaidi Mohamad (1 Disember 2017). "Nad Zainal puas dapat beli rumah sendiri". Berita Harian. Dicapai pada 4 Ogos 2018.
- ^ Mohd Al Qayum Azizi (7 Julai 2012). "Nad Zainal tidak tersisih kerana kurang popular". mStar Online. Dicapai pada 12 Jun 2017.
- ^ Rudy Imran Shamsudin (15 Februari 2015). "Enggan jaja kisah peribadi". Harian Metro. Dicapai pada 6 Julai 2015.
- ^ Mohd Al-Qayum Azizi (16 Jun 2012). "Bukan Bidadari, taruhan terbaru Slot Lestary". mStar Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-24. Dicapai pada 24 Jun 2017.
- ^ Budiey (20 Jun 2012). "Sinopsis drama Bukan Bidadari". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 24 Jun 2017.
- ^ Budiey (21 Oktober 2012). "Drama bersiri Putera Rayyan di TV3". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 24 Jun 2017.
- ^ "Drama Memberku Hawa Memang Menarik!!!". Beautifulnara. 30 April 2012. Dicapai pada 24 Jun 2017.
- ^ "Kotex tampil dengan Memberku Hawa". Kosmo!. 4 Mei 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-25. Dicapai pada 24 Jun 2017.
- ^ "'Tuala Wanita' Bawa Tuah Pada Nad Zainal". Malaysian Digest. 29 Mei 2013. Dicapai pada 24 Jun 2017.
- ^ "Nad Zainal pembuli, Akim tak suka gadis kampung". Malaysian Digest. 11 Julai 2013. Dicapai pada 24 Jun 2014.
- ^ "Kampung Girl bakal cipta fenomena baru". Oh! Bulan. 7 Julai 2013. Dicapai pada 24 Jun 2014.
- ^ Khairul Amri Hassan (15 Julai 2013). "Akim jejaka bandar, Nad gadis kampung". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-24. Dicapai pada 24 Jun 2014.
- ^ "Tuah 'Mawar Putih Tanda Perpisahan'". Sinar Harian. 1 Disember 2013. Dicapai pada 12 Jun 2014.
- ^ Mohd Al Qayum Azizi (30 November 2013). "'Mawar Putih Tanda Perpisahan' & 'KIL' ungguli ASK 2013". Utusan Malaysia. Dicapai pada 12 Jun 2014.
- ^ Roni Hidayat Ridwan (30 November 2013). "'Mawar Putih Tanda Perpisahan' Drama Terbaik ASK 2013". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-12. Dicapai pada 12 Jun 2014.
- ^ "Nad bukti diri tidak jahil". Kosmo!. 11 Oktober 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-27. Dicapai pada 12 Jun 2014.
- ^ Budiey (27 Ogos 2013). "Nad Zainal & Zoey Rahman Bercinta Dalam 'Tuan Rumah Pembantu Rumah'". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 12 Jun 2015.
- ^ "Kisah masyarakat Maduku Kalut". Utusan Malaysia. 22 September 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-27. Dicapai pada 12 Jun 2015.
- ^ Azeem Pishal (3 Oktober 2013). "Maduku Kalut menghiburkan". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-02. Dicapai pada 12 Jun 2015.
- ^ Budiey (22 Mei 2014). "Sinopsis Drama Bersiri Tuan Rumah Pembantu Rumah". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 12 Jun 2015.
- ^ "Teater Maduku Kalut Di Istana Budaya". Perak Today. 25 Mei 2014. Dicapai pada 12 Jun 2015.
- ^ 'Kami Histeria' Komedi Seram Luar Biasa Diarkibkan 2018-06-18 di Wayback Machine mSTAR Online (14 Februari 2014). Dicapai pada 18 Jun 2014.
- ^ Nor Ateiyah Yusoff (18 Disember 2014). "Misi penuh suspens dalam #Antidot". Sinar Harian. Dicapai pada 1 Januari 2015.
- ^ Kenneth Chaw (27 Januari 2015). "'Antidot': The Malaysian equivalent of 'The Walking Dead'?". The Star (Malaysia). Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-02. Dicapai pada 31 Januari 2015.
- ^ Zaidi Mohamad (31 Julai 2015). "Nad Zainal kagumi bakat Remy Ishak". Berita Harian. Dicapai pada 1 Ogos 2015.
- ^ Kemalia Othman (13 Februari 2015). Aksi pisau dalam 'Diari Wanita' tidak berbahaya mStar Online. Dicapai pada 30 September 2015.
- ^ Soseh-soseh: 'Lamaran' ubat rindu Nad Harian Metro. 6 Disember 2014. Dicapai pada 30 September 2015.
- ^ Ramlah Zainal (1 Januari 2015). Selesa solo Harian Metro. Dicapai pada 30 September 2015.
- ^ "Diari Wanita sarat mesej dan menghiburkan". Panda Baca. 21 Februari 2015. Dicapai pada 12 Jun 2015.
- ^ Shakilawati Abdul Rahman (15 Mac 2015). "Penantian Nad berakhir". Harian Metro. Dicapai pada 4 Julai 2015.
- ^ Nurul Fadilla Awaluddin (12 Mei 2015). "Cabang baharu kerjaya seni Nad Zainal". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-08-16. Dicapai pada 4 Julai 2015.
- ^ Ridzuan Abdul Rahman (25 April 2016). "Sekadar pinjam semangat filem". Harian Metro. Dicapai pada 8 Julai 2016.
- ^ Budiey (6 Oktober 2016). Filem Aku Haus Darahmu Lakonan Nad Zainal Budiey. Dicapai pada 18 Jun 2017.
- ^ Aqmar Mustaza (1 Disember 2017). "Fatonah Azali bukan naskhah klise". Sinar Harian. Dicapai pada 25 Jun 2018.
- ^ "Lakonan Hebat Nad Zainal Dalam Fatonah Azali". Suria Amanda. 11 Disember 2017. Dicapai pada 25 Jun 2018.
- ^ Ardini Sophia Sina (9 Disember 2017). "Serasi watak berat". Harian Metro. Dicapai pada 6 Julai 2018.
- ^ Nor Azurin Ali (9 Disember 2017). "Nad Zainal tolak aura negatif". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-08. Dicapai pada 1 Januari 2018.
- ^ "Jurnal Suraya papar kisah pesakit leukemia". Sinar Harian. 17 November 2017. Dicapai pada 13 Mei 2018.
- ^ "Nad Zainal Sakit Leukimia?". Mangga Media. 13 November 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-22. Dicapai pada 13 Mei 2018.
- ^ "Nad Zainal menghidap Leukimia?". Malaysian Digest. 10 November 2017. Dicapai pada 14 Julai 2018.
- ^ "Zizan Razak, Nad Zainal dan Lan Solo bawa peminat bercuti di luar negara". Astro Awani. 7 Mac 2018. Dicapai pada 20 Julai 2018.
- ^ "Nad Zainal, hos Citarasa Malaysia di TV Okey". URTV. 23 Mei 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-19. Dicapai pada 19 Julai 2018.
- ^ Zaidi Mohaamd (28 Januari 2017). "Nad Zainal makin 'laku' selepas bersalin". Berita Harian. Dicapai pada 20 Julai 2018.
- ^ "Sumpahan Stileto". Kool FM. 14 November 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-12-01. Dicapai pada 1 Disember 2018.
- ^ Farhana Ab Rahman (24 Januari 2019). "Nad Zainal elak karya seram". Berita Harian. Dicapai pada 24 Januari 2019.
- ^ Zaidi Mohamad (4 Oktober 2019). "Nad teruja, gementar lakon watak Dr Siti Hasmah". Berita Harian. Dicapai pada 9 Oktober 2019.
- ^ Tahir Alhamzah (4 Oktober 2019). "#Showbiz: Nad all nervous and thrilled to play Dr Siti Hasmah". New Straits Times. Dicapai pada 9 Oktober 2019.
- ^ Zaidi Mohamad (27 Januari 2020). "Nad hamil lagi?". Berita Harian. Dicapai pada 31 Januari 2020.
- ^ Nor Faezah Sakri (14 Mei 2020). Setiap hari berendam air mata, Nad akui sukar bawa watak Mawardah dalam drama Di Hujung Ranting mStar Online. Dicapai pada 9 September 2020.
- ^ Fatin Farhana Ariffin (18 Mei 2020). Drama RTM baguslah... Berita Harian. Dicapai pada 9 September 2020.
- ^ Nor Eryani Yusup (1 Februari 2021). Saya bukan pilihan pertama - Nad Zainal Kosmo!. Dicapai pada 1 Februari 2021.
- ^ Asyraf Roslan (25 Mac 2022). "Usah bandingkan kami dengan siri asal 'Temptation of Wife' - Nad Zainal, Fasha Sandha". Astro Awani. Dicapai pada 18 Mei 2022.
- ^ "Nad Zainal dedah sikap sebenar suami selepas berkahwin". Astro Gempak. 11 Jun 2018. Dicapai pada 22 Jun 2018.
- ^ Arina Azlan (9 Disember 2015). "Faliq jejaka pertama berani lamar Nad". Kosmo! Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-06-22. Dicapai pada 12 Jun 2016.
- ^ "Alahai Comel Sungguh Fahad Ibrahim, Putera Hati Nad Zainal". Astro Gempak. 20 Oktober 2016. Dicapai pada 12 Jun 2017.
- ^ "Nad Zainal Selamat Lahir Bayi Lelaki, Namakan Fahad Ibrahim". Astro Gempak. 25 Oktober 2016. Dicapai pada 12 Jun 2017.
- ^ Farhana Ab Rahman (27 November 2017). "Nad Zainal, Sharifah Sakinah tak bertegur?". BH Online. Berita Harian. Dicapai pada 25 Jun 2018.
- ^ Shamira (21 September 2017). "Nad Zainal berkongsi rahsia kecantikannya". Her Inspirasi. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-05-03. Dicapai pada 1 Oktober 2017.
Bertubuh kecil molek, dan wajah persis keanak-akan buatkan Nad Zainal saling tidak tumpah seperti remaja belasan tahun. Siapa sangka, pelakon berbakat yang juga seorang ibu ini pernah mengalami masalah kulit wajah sehinggakan pernah ditegur oleh seorang pengarah drama terkenal.
- ^ Farhana Ab Rahman (28 Oktober 2018). "Nad Zainal tinggalkan tabiat buruk demi penampilan". BH Online. Berita Harian. Dicapai pada 22 November 2018.
- ^ Sairul Zamri Misrani (5 April 2021). "Klasik, Nad Zainal namakan anak Budi Kalsom". Kosmo!. Dicapai pada 5 Mei 2021.
- ^ Zaidi Mohamad (3 September 2022). "Nad, Faliq bercerai". Berita Harian. Dicapai pada 3 September 2022.
- ^ Muhammad Zaini Mohamad Zain (14 Februari 2017). "Nad Zainal lebih yakin bersama Audela". Youth Bernama. Dicapai pada 24 Jun 2018.
- ^ "Amal pakai bedak sejuk dan skrub muka - ini rahsia paling mujarab bagi Nad Zainal". InTrend. 24 Mei 2018. Dicapai pada 24 Jun 2018.
- ^ Zaidi Mohamad (12 November 2017). "Nad Zainal tidak kemaruk barang berjenama". Berita Harian. Dicapai pada 24 Jun 2018.
- ^ "Nad Zainal duta rasmi kempen #FEMESxNADZAINAL". InTrend. 10 Mac 2015. Dicapai pada 24 Jun 2018.
- ^ "#FEMESxNADZAINAL – Nad Zainal Sebagai Duta Rasmi 'Femes Fish Head Sandal'". Galaksi Media. 12 Mac 2015. Dicapai pada 6 Julai 2015.
- ^ Aqmar Mustaza (3 Oktober 2013). "Rahsia kecantikan Nad Zainal". Sinar Harian. Dicapai pada 16 Ogos 2018.
- ^ Zaidi Mohamad (4 November 2018). ‘Nad sama macam saya’: Umie Aida Berita Harian. Dicapai pada 5 November 2018.
- ^ Senarai Penuh Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 Budiey (18 Februari 2015). Dicapai pada 18 Jun 2015.
Pautan luar
- Kelahiran 1990
- Orang dari Selangor
- Orang hidup
- Pelakon wanita Malaysia
- Pelakon wanita Malaysia abad ke-21
- Peragawati Malaysia
- Orang Malaysia berketurunan Melayu
- Muslim Malaysia
- Pelakon televisyen Malaysia
- Pelakon filem Malaysia
- Pelakon pentas Malaysia
- Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan
- Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin