Sebahagian daripada siri berkaitan Islam |
Usul al-Fiqh |
---|
Kaedah penetapan hukum Islam |
Sumber hukum |
Fiqah |
Hukum |
Gelaran |
|
Ilmu Usul al-Fiqh (أصول الفقه) merupakan merupakan salah satu cabang ilmu yang berperanan penting dalam menyelesaikan masalah yang timbul, di mana masalah ini tidak dijumpai sebarang nas-nas dari al-Quran atau as-Sunnah.ilmu fiqh dari sudut bahasa membawa maksud ialah faham manakala dari sudut istilah pula membawa maksud ilmu yang menerangkan akan hukum hukum syara' yang berkaitan dengan amal perbuatan manusia melalui dalil dalil yang jelas(tafsil)
Pengertian Ilmu Usul al-Fiqh
Perkataan Usul al-Fiqh berasal dari dua perkataan bahasa Arab, iaitu Usul dan al-Fiqh. Dari segi bahasa, Usul bererti asas, sumber, kaedah atau dalil, manakala al-Fiqh membawa maksud memahami sesuatu perkara. Dari segi syarak pula, al-Fiqh bererti pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili.
Hasil daripada gabungan Usul dengan al-Fiqh, maka terbentuklah satu istilah yang tersendiri iaitu Usul al-Fiqh. Ilmu Usul al-Fiqh membawa definisi ilmu tentang kaedah-kaedah mengistinbat hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dari dalil-dalil tafsili.
Sejarah Perkembangan Ilmu Usul al-Fiqh
Zaman Rasulullah S.A.W.
Pada zaman Rasulullah S.A.W., hukum-hukum diambil dari wahyu (al-Quran) dan penjelasan oleh baginda (as-Sunnah). Segala masalah yang timbul akan dirujuk kepada Rasulullah S.A.W. dan baginda akan menjawab secara terus berdasarkan ayat al-Quran yang diturunkan atau penjelasan baginda sendiri. Namun, terdapat sebahagian Sahabat yang tidak dapat merujuk kepada Nabi lantaran berada di tempat yang jauh daripada baginda, misalnya Muaz bin Jabal yang diutuskan ke Yaman. Baginda membenarkan Muaz berijtihad dalam perkara yang tidak ditemui ketentuan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.Abdul Wahhab Khallaf, Kaidah-kaidah Hukum Islam Ilmu Ushulul Fiqih, ( Jakarta: PT. Grafindo Persada, 2002 ), cet. VIII, hlm. 11.
Zaman Sahabat
Setelah kewafatan Rasulullah S.A.W., sebarang masalah yang timbul atau diragui terus dirujuk kepada para Sahabat. Hal ini kerana mereka mampu mengistinbatkan hukum terus dari al-Quran dan as-Sunnah kerana:
- penguasaan bahasa Arab yang baik;
- mempunyai pengetahuan mengenai sabab an-nuzul sesuatu ayat atau sabab wurud al-hadis;
- mereka merupakan para Perawi Hadis.
Hal ini menjadikan para Sahabat mempunyai kepakaran yang cukup untuk mengistinbatkan hukum-hukum. Mereka menetapkan hukum dengan merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sekiranya mereka tidak menemui sebarang ketetapan hukum tentang sesuatu masalah, mereka akan berijtihad dengan menggunakan kaedah qias. inilah cara yang dilakukan oleh para mujtahid dalam kalangan para Sahabat seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abu Talib. Sekiranya mereka mencapai kata sepakat dalam sesuatu hukum maka berlakulah ijma'.
Zaman Tabi'in
Pada zaman ini, cara ulama' mengambil hukum tidak jauh berbeza dengan zaman Sahabat kerana jarak masa mereka dengan kewafatan Rasulullah S.A.W. tidak terlalu jauh. Yang membezakannya ialah sekiranya sesuatu hukum tidak terdapat dalam al-Quran, as-Sunnah dan al-Ijma', mereka akan merujuk kepada pandangan para Sahabat sebelum berijtihad. Oleh sebab itu idea untuk menyusun ilmu Usul al-Fiqh belum lagi muncul ketika itu. Inilah cara yang digunakan oleh para mujtahid dalam kalangan tabi'in seperti Sa'id bin al-Musayyib, 'Urwah bin az-Zubair, al-Qadi Syarih dan Ibrahim an-Nakha'i.
Zaman Kemunculan Ilmu Usul al-Fiqh
Pada akhir Kurun Kedua Hijrah, keadaan umat Islam semakin berubah. Bilangan umat Islam bertambah ramai sehingga menyebabkan berlakunya percampuran antara orang Arab dan bukan Arab. Kesannya, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan orang-orang Arab sendiri menjadi lemah. Ketika itu timbul banyak masalah baru yang tiada ketentuan hukumnya dalam al-Quran dan as-Sunnah secara jelas. Hal ini menyebabkan para ulama' mula menyusun kaedah-kaedah tertentu yang dinamakana ilmu Usul al-Fiqh untuk dijadikan landasan kepada ijtihad mereka.
Pengasas Ilmu Usul al-Fiqh
Ilmu Usul al-Fiqh disusun sebagai satu ilmu yang tersendiri di dalam sebuah kitab berjudul ar-Risalah karangan al-Imam Muhammad bin Idris as-Syafie. Kitab ini membincangkan tentang al-Quran dan as-Sunnah dari segi kehujahan serta kedudukan kedua-duanya sebagai sumber penentuan hukum.
Skop Perbahasan Ilmu Usul al-Fiqh
Antara skop perbahasan dalam ilmu Usul al-Fiqh ialah:
- Dalil-dalil syarak: merangkumi dalil-dalil yang disepakati dan dalil-dalil yang tidak disepakati.
- Dilalah (دلالة): merangkumi kaedah-kaedah istinbat hukum dari nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.
- Ta'arudh dan Tarjih (تعارض وترجيح): perbahasan tantang percanggahan antara dalil-dalil serta Jalan jalan penyelesaiannya.
- Ijtihad dan Mujtahid: merangkumi persoalan taqlid dan muqallid.
- Hukum-hukum Kulli: merangkumi hukum-hukum taklifi dan hukum wad'ie.
Cara Penulisan Ilmu Usul al-Fiqh
Rencana Utama: Cara Penulisan Ilmu Usul al-Fiqh
Selepas al-Imam as-Syafie, terdapat ramai ulama' yang menulis ilmu Usul al-Fiqh. Cara penulisan mereka dibahagikan kepada dua: Tariqah al-Mutakallimin dan Tariqah al-Ahnaf.
Bibliografi
- Muhammad bin Ariffin, Muhammad Zaini bin Yahya, Afandi bin Sahi, 2004. Pendidikan Syariah Islamiah Tingkatan 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Mohammad Hashim Kamali, 1999. Principles of Islamic Jurisprudence (Second Revised Edition). Selangor Darul Ehsan: Ilmiah Publishers Sdn. Bhd.