Rencana ini tidak mempunyai pautan ke rencana Wikipedia lain. (Ogos 2017) |
Selepas al-Imam as-Syafi'e, terdapat ramai ulama' yang menulis ilmu Usul al-Fiqh. Cara penulisan ini terbahagi kepada tiga, iaitu Tariqah al-Mutakallimin (طريقة المتكلمين), Tariqah al-Ahnaf (طريقة الأحناف), dan Tariqah al-Muta'akhirin (طريقة المتأخرين).
Tariqah al-Mutakallimin
Cara penulisan Tariqah al-Mutakallimin juga dikenali sebagai Tariqah Syafi'iyyah (طريقة شافعية) kerana cara ini dipelopori oleh ulama' Mazhab Syafi'e. Di dalam cara ini, mereka membuat kaedah-kaedah Usul al-Fiqh dan mengukuhkannya dengan dalil-dalil naqli dan 'aqli. Kemudian, kaedah-kaedah ini dibuat dasar dalam menyelesaikan masalah fiqh yang timbul. Namun, mereka tidak memasukkan masalah fiqh dalam penulisan mereka, sebaliknya dibiarkan berasingan dalamk kitab-kitab fiqh.
Antara kitab yang ditulis menurut cara ini ialah:
- Al-Burhan (البرهان) oleh al-Imam al-Haramain 'Abd al-Malik bin 'Abdullah al-Juwaini.
- Al-Mu'tamad (المعتمد) oleh Abu al-Husain Muhammad bin 'Ali al-Basri.
- Al-Mahsul (المحصول) oleh Fakhr ad-Din Muhammad bin 'Umar bin al-Husain ar-Razi.
- Al-Ihkam fi Usul al-Ahkam (الإحكام في أصول الأحكام) oleh Saifuddin al-Amidi.
Tariqah al-Ahnaf
Cara penulisan Tariqah al-Ahnaf turut dikenali sebagai Tariqah al-Fuqaha' (طريقة الفقهاء). Menurut cara ini, kaedah-kaedah Usul al-Fiqh dibuat berdasarkan hukum-hukum yang telah diputuskan oleh Imam-Imam mazhab mereka. Kaedah-kaedah tersebut akan dipastikan selaras dengan apa yang telah diputuskan dan sekiranya tidak, kaedah-kaedah tersebut akan diubah suai oleh mereka. Disebabkan itu, didapati banyak masalah fiqh yang dimasukkan dalam kitab-kitab yang ditulis mengikut cara ini.
Antara kitab yang ditulis menurut cara ini ialah:
- Al-Usul (الأصول) oleh Abu Bakr Ahmad bin 'Ali atau dikenali sebagai al-Jassas.
- Al-Usul (الأصول) oleh Abu Zaid 'Abdullah bin 'Umar ad-Dabusi.
- Al-Usul (الأصول) oleh Fakhr al-Islam 'Ali bin Muhammad al-Bazdawi.
- Kasyf al-Asrar (كشف الأسرار) oleh 'Abd al-'Aziz bin Ahmad al-Bukhari.
Tariqah al-Muta'akhirin
Cara penulisan Tariqah al-Muta'akhirin menggabungkan cara penulisan Tariqah al-Mutakallimin dan Tariqah al-Ahnaf. Cara ini kemudiannya diikuti oleh ulama' dari berbagai-bagai mazhab seperti Mazhab Maliki, Mazhab Syafi'e dan Mazhab Hanbali.
Antara kitab yang ditulis mengikut cara ini ialah:
- Badi' an-Nazam (بديع النظام) oleh Muzaffar ad-Din Ahmad bin 'Ali as-Sa'ati al-Hanafi.
- At-Tanqih (التنقيح) dan syarhnya at-Taudih (التوضيح) oleh Sadr as-Syari'ah 'Abdullah bin Mas'ud al-Mahbubi al-Hanafi.
- Jam' al-Jawami' (جمع الجوامع) oleh al-Imam Taj ad-Din 'Abd al-Wahhab bin 'Ali as-Subki as-Syafi'e.