Salaf (Arab: السلف) adalah golongan umat Islam generasi terdahulu yang hidup dalam kurun pertama sehingga kurun ketiga hijrah, atau sehingga kurun kelima hijrah. Golongan yang paling kuat diterima sebagai golongan ini adalah sehingga kurun ketiga hijrah. Lazimnya, generasi yang hidup selepas mereka digelari sebagai golongan khalaf.
Salaf itu bukan semata-mata suatu zaman yang diberkati, tetapi suatu himpunan keseragaman manhaj dalam bidang agama walaupun keseragaman manhaj dalam bidang agama itu tidak berlaku dalam keseluruhan salaf. Dalam bidang fiqh sahaja ada perbezaan antara Ahl Hadith dengan Ahl Ra'yi. Dalam bidang akidah juga berbeza-beza manhajnya. Imam Ahmad berbeza dengan Imam Al-Muhasibi dan Ibn Kullab. Begitu juga Imam Al-Bukhari berbeza dengan Al-Imam Ahmad dalam masalah lafaz Al-Qur'an.
Etimologi
Perkataan salaf dapat diterjemahkan menjadi "terdahulu" atau "leluhur". Dalam terminologi Islam, secara umum digunakan untuk menunjuk kepada tiga generasi pemeluk Islam pertama, iaitu:
- Ṣaḥābat: (Arab: الصحابه) Sahabat Nabi Muhammad, yang bertemu atau melihat kehidupan Nabi dan menyatakan keimanan serta meninggal dalam keimanan tersebut.
- Tābi‘īn: (Arab: التابعين yang pernah bertemu atau melihat sahabat dan menyatakan keimanan, dan mati dalam keimanan tersebut.
- Tāba‘ at-Tābi‘īn: (Arab: تابع التابعين) yang pernah bertemu atau melihat tabi'in kemudian menyatakan keimanan dan mati dalam keimanan tersebut.
Perkataan khalaf pula diterjemahkan menjadi "terkemudian" atau "pengganti". Ini merujuk kepada generasi-generasi umat Islam yang terkemudian.
Dalam ḥadīts, Muhammad berkata tentang salaf, "Masyarakat terbaik adalah mereka yang hidup dalam generasiku, kemudian generasi setelahnya, dan generasi setelahnya.[1]
Akidah Salaf
Akidah Salaf merujuk kepada pegangan keimanan yang diasaskan oleh generasi awal umat Islam, iaitu para Sahabat, Tabi‘in, dan Tabi‘ al-Tabi‘in. Istilah Salaf secara bahasa bermaksud "pendahulu", manakala dalam konteks akidah ia merujuk kepada kefahaman agama berdasarkan sumber utama Islam: al-Qur’an, al-Sunnah yang sahih, serta ijmak ulama Salaf.[2]
Prinsip Utama
1. Tauhid – Mengimani Allah dengan mengesakan-Nya dalam rububiyyah, uluhiyyah, dan asma’ wa sifat.
2. Asma’ wa Sifat – Menerima sifat-sifat Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Qur’an dan Sunnah tanpa tahrif (mengubah), ta‘til (menolak), takyif (membayangkan bentuk), dan tasybih (menyerupakan dengan makhluk).
3. Berpegang dengan nas – Mengutamakan dalil wahyu berbanding akal semata-mata, dengan akal digunakan sebagai alat memahami wahyu, bukan mendahului wahyu.
4. Ittiba‘ – Mengikut jejak langkah Rasulullah SAW dan generasi awal yang dipuji oleh baginda, sebagaimana hadis “Sebaik-baik manusia ialah zamanku, kemudian yang berikutnya, kemudian yang berikutnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
5. Jauhi bid‘ah – Menolak amalan atau kepercayaan yang tiada sandaran daripada al-Qur’an, Sunnah, dan ijmak Salaf.
Catatan kaki
- ^ [1]Ṣaḥīḥ Bukhārī
- ^ عقيدة السلف الصالح في المعية والعلو, dicapai pada 2025-09-18
Rujukan
- Audio Salaf Online
- Majlis Ilmu Online Error in Webarchive template: Empty url.








