Melayu di Asahan, s. 1920 | |
| Jumlah penduduk | |
|---|---|
| 594,133[1] | |
| Kawasan ramai penduduk | |
(terutama di Tanjung Balai, Kabupaten Batubara, Kabupaten Labuhan Batu dan Kabupaten Asahan) | |
| Bahasa | |
| Melayu Asahan (ibunda), Indonesia (rasmi) | |
| Agama | |
| Islam Sunni | |
| Kumpulan etnik berkaitan | |
Orang Melayu Asahan (Jawi: ملايو اسهن) atau Suku Melayu Asahan (juga dikenali sebagai Orang Batubara) adalah sebuah suku atau sub-etnik Melayu di Indonesia yang kebanyakannya mendiami Kabupaten Asahan di Sumatera Utara, Indonesia, dan juga beberapa wilayah berhampiran seperti Kota Tanjungbalai, Kabupaten Batubara, Kabupaten Labuhan Batu.[2][3] Mereka memiliki warisan budaya yang kental, loghat tersendiri, dan adat resam yang membezakan mereka dari suku-suku Melayu yang lain.
Melayu Asahan merupakan sala satu dari suku Melayu yang terdapat di Sumatera Utara, termasuk Melayu Langkat, Deli dan Serdang. Rinci utama identiti mereka adalah keturunan Batak yang terasimilasi ke dalam bangsa Melayu sejak dahulu lagi melalui pengaruh budaya dan agama dan perkahwinan antara kaum Batak tempatan dan pendatang Melayu kemudian. Melayuisasi kaum Batak di Sumatera Utara bermula pada zaman Srivijaya dan berterus ke zaman Melaka.
Sejarah

Sejarah Melayu Asahan amat berkait rapat dengan kepentingan geografi dan sejarah rantaunya. Kawasan yang terletak di sepanjang pesisir timur Sumatera Utara, telah menjadi tumpuan untuk perdagangan dan pertukaran budaya selama berabad-abad. Sungai Asahan yang mengalir melalui kabupaten itu memudahkan perdagangan dan komunikasi dengan kawasan jiran, menyumbang kepada kepelbagaian budaya orang Melayu Asahan.
Walaupun agak susah untuk tentukan bila kali pertama manusia menjejak tanah Asahan, ia dianggarkan bahawa nenek moyang kepada suku Asahan yang terawal, iaitu kaum Proto-Melayu menyampai pada kawasan tersebut pada sekitar tahun 1000 SM, menetap di bahagian pesisir.[4] Orang Melayu Asahan berasal dari keturunan pencampuran beberapa suku bangsa Batak yang mendiami kawasan yang kini dikenali sebagai Kabupaten Asahan pada zaman dulu yang menganuti agama Islam dan masuk Melayu, terutamanya orang Batak Toba tetapi juga orang Karo, Simalungun, dan Angkola.[5]
Melayu Asahan menjejak warisannya dari golongan Batak Toba yang menetap di tebing Sungai Asahan, berasal dari kawasan perbukitan Danau Toba. Apabila rantau Asahan ditakluki oleh Kesultanan Aceh, penduduk asli Batak Toba memohon sebidang tanah dari Sultan Iskandar Muda, mengatakan dalam bahasa Toba "leon ma di hami tanoi sotik" (wahai Sultan, berilah kami tanah sedikit). Baginda membalas "Boi, ala masuk Melayu Maho" (boleh, tapi masuk Melayu lah kalian). Sejak itu, mereka memasuki Melayu dan menjadi suku Melayu Asahan.[6]
Golongan Melayu di Batubara juga berketurunan orang Minangkabau yang berasal dari Kerajaan Pagaruyung, sifat yang boleh dilihat pada nama-nama kawasan di Batubara yang juga berada di daerah Minangkabau, seperti Talawi, Tanah Datar, dan Pesisir, dan juga dalam sistem pewarisan matrilineal mereka yang tersebar ke masyarakat Batubara sepenuhnya.[5] Puak-puak tersebut merupakan asas kepada konfederasi Kerajaan Batu Bara. Mereka kini memegang kepada pengaruh dari kedua-dua bangsa tersebut.
Sejarah politik Melayu Asahan bermula dengan penubuhan Kesultanan Asahan oleh Raja Abdul Jalil, anakanda kepada Sultan Aceh ke-12, Sultan Iskandar Muda. Semasa itu, ia hanya merupakan sebuah kerajaan di bawah naungan Aceh sehingga ia mengisytiharkan kemerdekaan semasa pemerintahan Raja Asahan ke-8, Raja Husain Shah yang turut menggelarkan dirinya sebagai Sultan Muhammad Husain Shah I dan mengubah Asahan kepada sebuah Kesultanan Melayu pada awal abad ke-19.[7]
Pemerintahan baginda membawa banyak peluang perdagangan ke pantai Asahan, sehinggalah mereka mengikat perjanjian bersama pihak Belanda pada 1885, mengilkahannya ke dalam Hindia Timur Belanda, sebelum diperbadankan dalam Negara Kesatuan Republik Indonesia selepas Perang Dunia II.
Budaya
Budaya orang Melayu Asahan agak kaya dengan tradisi, adat resam, dan ekspresi seni. Muzik tradisional, tarian dan penceritaan memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya mereka. Orang Melayu Asahan terkenal dengan ketukangan mereka dalam pelbagai seni tradisional, termasuk ukiran kayu, anyaman, dan tembikar. Upacara dan pengamalan Islam juga merupakan aspek penting dalam amalan budaya mereka, mencerminkan pengaruh Islam di rantau tersebut.[8]
Bahasa
| Melayu Asahan | |
|---|---|
| Baso Asahan باسو اسهن | |
| Asli kepada | Indonesia |
| Kawasan | |
Austronesia
| |
| Kod bahasa | |
| ISO 639-3 | – |
| Glottolog | Tiada |
Orang Melayu Asahan terutamanya bercakap dialek bahasa Melayu yang dikenali sebagai Melayu Asahan atau Bahasa Melayu Asahan. Dialek ini mempamerkan ciri linguistik yang berbeza, termasuk fonologi, perbendaharaan kata, dan tatabahasa, yang dipengaruhi oleh interaksi dengan kumpulan etnik dan bahasa jiran. Contohnya, loghat di Kabupaten Batubara dipengaruhi oleh bahasa Minangkabau, manakala di Kabupaten Asahan loghatnya banyak dipengaruhi bahasa Batak.[8] Walaupun berkait rapat dengan taraf Melayu, Bahasa Melayu Asahan mencerminkan identiti dan warisan masyarakat setempat yang unik. Pelbagaian jenis Melayu Asahan sering menggunakan huruf "o". Terdapat juga beberapa perkataan yang unik pada dialek Asahan, seperti:[9]
- Disontap Ta'un = ditarik syaitan
- Lotup = pukulan keras tangan/tinju
- Longsut = pukulan panjang dengan tangan
- Honjut = pukulan tangan bertenaga
- Bakombur = bercakap banyak
- Basalemaq = berterabur
- Bakalai = berantam
Gaya hidup


Kegiatan ekonomi orang Melayu Asahan bertumpu kepada perikanan, merupakan pekerjaan bagi hampir semua golongan Melayu Asahan.[10][8] Oleh sebab itu, memancing menyediakan sumber rezeki dan pendapatan penting bagi masyarakat di bahagian pesisir. Terdapat juga ramai dari mereka yang kerja bidang pertanian. Tanah subur di sepanjang Sungai Asahan membenarkan penanaman padi,[11] dan juga getah dan kelapa sawit.[10] Pekerjaan ini biasanya dijalankan oleh kaum lelaki, malah kaum perempuan akan menganyam tikar untuk dijual, sebuah tradisi yang dibawa oleh imigran Cina sejak 300 tahun lalu.[12]
Semasa zaman Hindia Timur Belanda, masyarakat Asahan terlibat banyak dalam penorehan pokok getah, bermula dari pembukaan ladang getah pertama di Kisaran oleh N.V. Hollandsch Amerikaanse Plantage Maatschappij (kini Bakrie Sumatera Plantations) pada tahun 1910. Industri getah berkembang pesat sejak itu, maka ladang-ladang memerlukan lebih banyak sumber buruh dari yang tersedia. Pada mulanya, pengurus ladang mengimport kuli Cina dan India dari Semenanjung Tanah Melayu, tetapi kemudian mereka mengambil pekerja Jawa dari Pulau Jawa.[13] Hingga kini, industri getah merangkumi bahagian terbesar ekonomi Asahan.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, perindustrian dan pembandaran telah mengubah landskap ekonomi rantau ini, dengan pembangunan industri pembuatan, perlombongan, dan minyak kelapa sawit membentuk peluang dan cabaran baharu bagi orang Melayu Asahan.[11] Antaranya, program terbaru bernama Peremajaan Sawit Rakyat (PSR) yang diadakan dengan kerjasama Bakrie Sumatera Plantations ingin mengembangkan industri kelapa sawit untuk mengurangkan pergantungan ekonomi Asahan pada getah.[14]
Agama
Kebanyakan golongan Melayu Asahan mengamalkan agama Islam. Kesenian Melayu Asahan tidak jauh berbeza dengan kesenian Melayu yang lain. Bentuk seni mereka kebanyakannya dipengaruhi oleh unsur-unsur Islam.[15] Sebelum kedatangan Islam, Melayu Asahan berpegang kepada agama Hindu-Buddha dan animisme.
Sistem persaudaraan

Orang Melayu Asahan sering memasang nama-nama marga pada nama mereka akibat keturunan Batak mereka. Nama marga mereka berasal dari marga-marga suku Karo dan Simalungun.[10] Salah satu marga yang terkenal bernama "Bandar Rahmat" yang tinggal di sebuah komuniti yang senama di Kabupaten Batubara.[10][16]
Garis warisan di kalangan Melayu Asahan secara umumnya mengikut keturunan bapa seperti di kalangan Melayu lain, tetapi khususnya di kalangan Melayu Batubara, garis keturunan mereka ditarik dari garis ibu dalam sistem pewarisan matrilineal (sebuah adat yang dikongsi bersama orang Melayu Negeri Sembilan). Ini disebabkan oleh pengaruh kuat dari budaya Minangkabau ke atas masyarakat mereka.[10] Selepas perkahwinan, pasangan itu akan tinggal di rumah isteri (matrilokal) dan hanyak akan memindah jika melahirkan seorang cahaya mata, sama ada ke rumah bersampingan komuniti bapa (patrilokal) atau tempat baru (neolokal).[10][16]
Seni bina
Rumah Melayu Asahan memiliki pentas bertingkat tinggi dengan petak di bawahnya. Paras rumah lebih biasanya dalam sekitar 2 meter.[2] Bentuk ini kebanyakannya ditemui pada orang yang tinggal di kawasan pantai. Matlamatnya adalah untuk mengelakkan banjir dan gangguan haiwan buas. Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, rumah harus dibuat untuk menghalang matahari. Setiap bilik dalam rumah Melayu mempunyai fungsi tersendiri. Tidak seperti orang Melayu lain, rumah asal jarang ditemui, di kawasan Batubara masih boleh ditemui beberapa rumah Melayu asli yang kelihatan seperti pentas.[2][15]
Masakan

Daerah pesisir Batubara agak terkenal untuk makanan lautannya, hingga ia telah diberi gelar "kota kerang". Antara hidangan yang paling senama dengan masakan Asahan adalah ikan gulai masam.[17] Hidangan yang terdapat di masyarakat Melayu di Sumatera Utara juga berada di rantau Asahan, seperti anyang pakis, miso asahan, sayur gurih tauco, ikan bakar asahan, dan sate kerang.[18]
Seperti masyarakat Melayu Sumatera Utara yang lain, masakan Asahan mengambil banyak unsur dari masakan Batak yang boleh ditemui dalam hidangan seperti dali ni horbo.
Seni persembahan

Tarian yang dianggap senama dengan budaya Melayu Asahan adalah Tari Gubang, yang juga terdapat di Pulau Anambas, Kepulauan Riau, tetapi berbeza mengikut adaptasi budaya masyarakat Melayu Asahan. Ia masih diperlakukan di atas panggung-panggung yang tersebar di Kabupaten Asahan. Perkataan ini berasal dari perkataan "gebeng", yang bermaksud "perahu" yang mempunyai bilik kecil dalam loghat Melayu Asahan.[19][20]
Terdapat dua cerita rakyat yang menjelaskan asal usul tarian gubang dalam sejarah tempatan. Menurut satu, Tari Gubang berasal dari kaum bunian dan makhluk halus lain dari alam ghaib di dalam hutan.[21] Kononnya, seorang nelayan yang tersesat dalam hutan telah menyaksi tarian ini dilakukan oleh kaum bunian. Selepas itu, Tarian Gubang dilakukan oleh para nelayan sebagai bentuk perayaan dan kegembiraan golongan mereka.
Dalam sebuah lagi cerita, tarian ini direka oleh Raja Simargolang, seorang raja Batak Toba. Pada satu hari di mana baginda pergi melayar, perahu baginda tiba-tiba sahaja berhenti kerana tiada angin untuk mendorongnya.[19] Oleh kerana itu, baginda berdoa kepada Tuhan, sebelum menyanyi lagu bernama "Aloban Condong". Namun, doa baginda tidak dimakbulkan. Tidak memutus asa, baginda turut menyanyi lagu berbeza yang bertajuk "Didong".[19] Dengan itu, kapal baginda kembali melayar, mengakibatkan para nelayan dan pelayar di sampingnya menari-nari kegembiraan di atas perahu mereka. Sejak itu, tarian gubang berubah menjadi sebuah upacara untuk memanggil angin demi bantuan para nelayan.[21][19]
Selepas kedatangan Islam, tarian tersebut berubah menjadi satu bentuk penghiburan yang dipertunjukkan pada majlis perkahwinan, pengaluan tetamu dan bukan sahaja upacara adat.[21]
Tarian gubang mempunyai 9 gerakan selengakpnya dan satu penutupan, iaitu:[22]
- Gerakan masuk
- Gerakan sembah
- Gerakan maju dan mundur
- Gerakan tayang tambar
- Gerakan melayah
- Gerakan san tabik
- Gerakan merajut jala dan mencabut pedang
- Gerakan angka delapan
- Gerakan maju dan mundur kedua
- Sembah
Lagu yang diiringi persembahan tarian gubang adalah lagu Didong yang dinyanyi dengan tempo perlahan sehingga gerakan tarian gubang memiliki sifat mendayu.[19] Liriknya mengandungi panggilan ke angin pada awalnya, dan akan diiringi pemainan dua buah gendang yang ukurannya tidak sama, sebuah gong atau tawak-tawak dan biola. Lebih dari satu biola boleh dimainkan semasa persembahannya, janji ia memiliki nada yang sama seperti yang pertama.[19]
Pada tahun 2020, Dinas Pendidikan Kota Asahan telah memecahkan rekod untuk persembahan tari gubang yang terbesar dalam sejarah, dengan sebanyak 25,000 jumlah penari menyertai acara tersebut. Pemecahan rekod ini diharapkan dapat mengenalkan tari gubang ke perhatian ramai sehingga tarian tersebut dapat terus lestari.[19]
Songket

Kota Batubara terkenal dengan seni songketnya yang menarik hati ramai di seluruh Alam Melayu. Tempahan untuk songket Batubara terutamanya dari Malaysia, Singapura dan Brunei.[23] Kegiatan bertenun biasanya dijalankan oleh para wanita (biasanya oleh suri rumah dan anak perempuannya) demi mengusahakan rezeki lebih sambil berkerja di rumah, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdapat semakin ramai tukang tenun lelaki.
Songket Batubara telah dipakai sekurang-kurangnya seawal 1823.[23] Menurut cerita rakyat tempatan, seni tenun songket ini diasaskan oleh seorang puteri yang dibuang oleh ayahandanya ke dalam hutan. Ayahanda beliau merupakan seorang raja yang sangat gemarkan memburu, dan pada satu hari, sebelum baginda bertolak ke hutan, baginda menitah kepada permaisurinya yang mengandung itu untuk membunuh anaknya jika ia perempuan. Raja tersebut kemudiannya tersesat dalam hutan bagi tempoh beberapa hari, dan sambil itu permaisuri raja telah melahirkan seorang anak perempuan. Tidak sanggup menjalankan perintah raja, dayang-dayang turut menyembelih seekor kambing untuk dikuburkan di bawah tangga istana yang sepatutnya disediakan untuk puteri tersebut. Selepas itu, baginda memberi anak perempuan itu kepada dayang-dayang istana, yang turut menghumban puterinya ke hutan. Selepas raja kembali ke istana, baginda diberitahu bahawa puterinya telah dibunuh, tetapi selepas beberapa tahun, semasa memberi makan kepada burung gagak belaannya pada satu hari, seekor daripadanya memberitahu kelakuan benar yang dilakukan oleh permaisuri raja selama bertahun-tahun lalu. Dengan sungguh marah, raja menugas pegawai istana untuk membawa puteri kembali.
Dalam bertahun-tahun sejak puteri dibuang ke hutan, beliau telah mahir menganyam kapas dari pokok yang menumbuh di sekitarnya, dan beliau enggan kembali ke istana bila diajak pulang oleh dayang-dayang istana. Tetapi beliau akhirnya kembali dengan kain songket hasil tangannya disembunyi di sanggul rambut, sebelum dibunuh oleh ayahandanya dengan anak panah. Ketika beliau tumbang, songket di sanggulnya terjatuh dan selepas raja melihat betapa cantiknya songket itu, baginda mula menyesal dengan tindakannya, dan mengarah dayang-dayang istana membawa pulang alat tenunnya untuk meneruskan karya songket beliau.
Di masyarakat Melayu Asahan, warna melambangkan status dan pangkat sosial. Hanya kerabat diraja dibenarkan memakai warna kuning, manakala hijau tua khas untuk golongan bangsawan dan kerabat am, biru tua untuk ahli perniagaan yang kaya dan merah untuk tentera. Rakyat jelata dibenarkan memakai apa-apa warna selain dari warna yang disebut.[16][23] Motif songket Batubara agak serupa dengan jenis songket yang terdapat di negeri Melayu lain, tetapi satu motif yang khas kepada Melayu Asahan adalah motif naga berjuang yang merupakan kegemaran raja-raja di seluruh Alam Melayu, tetapi selepas Revolusi Sosial Sumatera Timur ramai pakar motif ini maut dan motif ini tidak lagi dihasilkan.[23][24]
Dalam masyarakat Melayu Asahan, songket melambangkan perasaan cinta dan seorang bujang yang ingin menunjuk kasih sayangnya kepada seorang gadis akan memberi kepadanya kain songket yang bermotif bunga mawar.[23]
Tokoh Melayu Asahan yang terkenal


- Abdul Hamid Mahmud Talu, seorang pendakwah
- Kasma Booty, seniwati Melayu era 40-an dan 50-an
- Ustaz Abdul Somad, ulama dan penceramah agama
- Tengku Mansur, nasionalis Melayu dan satu-satunya Wali Negara Sumatera Timur
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Visualisasi Data Kependudukan - Kementerian Dalam Negeri 2021" (Visual). www.dukcapil.kemendagri.go.id. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-08-05. Dicapai pada 23 Mac 2022.
- ^ a b c "Sejarah Suku Asahan" (dalam bahasa Indonesia). 13 Oktober 2016.
- ^ Utara (Indonesia), Sumatera (1969). Almanak pemerintah daerah Propinsi Sumatera Utara (dalam bahasa Indonesia).
- ^ Bangun, Drs. P P, penyunting (1978). Sejarah Daerah Sumatra Utara. Jakarta: Departemen Pendidikan Dan Kebudayaan : Jakarta. ISBN 978-1-4438-0497-4.
- ^ a b "Sejarah dan Kebudayaan Suku Asahan". Adat Nusantara (dalam bahasa Indonesia). 9 Oktober 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Disember 2023. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ Tri Wahyuda, Muttaqin Nur, Yusra Dewi Siregar (Nov 8, 2024). "Identitas Budaya Melayu di Asahan, Sumatera Utara". Medan Resource Center (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada Jun 11, 2025.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ "Asahan: Brief History". Royal Ark (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 24 September 2023. Dicapai pada 23 Ogos 2024.
- ^ a b c Simanjuntak, Bungaran Antonius (2009-02-01). Konflik Status Dan Kekuasaan Orang Batak Toba: Bagian Sejarah Batak (Edisi Revisi) (dalam bahasa Indonesia). Yayasan Pustaka Obor Indonesia. ISBN 978-602-433-148-1.
- ^ "Bahasa Melayu dengan Dialek Tanjungbalai Perkaya Kamus Bahasa Melayu".
- ^ a b c d e f "North Sumatera Malay in Indonesia". Joshua Project (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Mei 2024. Dicapai pada 23 Ogos 2024.
- ^ a b Muhammad Adika Nugraha, Yasir Maulana Rambe (2019). "REALITAS KEBERAGAMAN BUDAYA DI TANAH MELAYU ASAHAN PADA ERA REVOLUSI INDUSTRI 4.0". Seminar Nasional Multidisiplin Ilmu Universitas Asahan.
- ^ Lubis, Prof Dr H. M. Ridwan (2021-03-31). Merawat Kerukunan: Pengalaman di Indonesia (dalam bahasa Indonesia). Elex Media Komputindo. ISBN 978-623-00-1386-7.
- ^ Bayu Wicaksono. "Migrasi Orang Jawa ke Asahan Pada Masa Kolonial". Jurnal UISU (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada 26 Jun 2025.
- ^ "Wakil Bupati Asahan Ikuti Penanaman Perdana Program PSR" (dalam bahasa Indonesia). 26 November 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 November 2024. Dicapai pada 26 Jun 2025.
- ^ a b Simanjuntak, Bungaran Antonius (2010-03-01). Melayu Pesisir Dan Batak Pegunungan: (Orientasi Nilai Budaya) (dalam bahasa Indonesia). Yayasan Pustaka Obor Indonesia. ISBN 978-602-433-195-5.
- ^ a b c "Sejarah Suku Bangsa Di Asahan". Asahan Satu (dalam bahasa Inggeris). 25 Julai 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Mei 2022. Dicapai pada 23 Ogos 2024.
- ^ "Nikmatnya Ikan Gulai Masam, Sajian Khas Tanjungbalai-Asahan". Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Jun 2022. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ "6 Rekomendasi Makanan Khas Asahan yang Wajib Dicoba, Maknyus!". Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Disember 2022. Dicapai pada 8 Julai 2024.
- ^ a b c d e f g "Filosofi Tari Gubang dari Asahan yang Bersifat Magis". Suara Usu. 4 Jun 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Ogos 2024. Dicapai pada 23 Ogos 2024.
- ^ https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=gebeng
- ^ a b c "Mengungkap Makna Tari Gubang dalam Budaya Suku Melayu Asahan: Kenapa Ini Sangat Berarti?". Pagaralam Pos (dalam bahasa Indonesia). 17 Ogos 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Ogos 2024. Dicapai pada 23 Ogos 2024.
- ^ "Mengenal Tari Gubang dari Suku Melayu Asahan". Kompas (dalam bahasa Indonesia). 26 April 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 April 2022. Dicapai pada 23 Ogos 2024.
- ^ a b c d e Hadiani Fitri, Zuraidah Adlina (31 Januari 2022). "Traces of Social History in Batu Bara Songket Traditional Crafts in Batubara Regency, North Sumatra Province". Dicapai pada 23 Ogos 2024. Cite journal requires
|journal=(bantuan) - ^ Hadiani Fitri, Zuraidah Adlina (2023). "Traces of Social History in Batu Bara Songket Traditional Crafts in Batubara Regency, North Sumatra Province". Yupa Historical Studies Journal.
Bacaan lanjut
- Anderson, John (1823). Mission to the East Coast of Sumatra in 1823, under the direction of the Government of Prince of Wales Island (dalam bahasa Inggeris). Edinburgh, London: Blackwood, Cadell.
- Bustamam, Tengku Ferry (2003). Bunga Rampai Kesultanan Asahan. Michigan: University of Michigan Press.
- Ariffin, Omar (1993). Bangsa Melayu: Malay Concepts of Democracy and Community 1945–1950 (dalam bahasa Indonesia). Oxford: Oxford University Press. ISBN 0195886135.
- Ariffin, Omar (1999). Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu: Runtuhnya Kerajaan-Kerajaan Melayu Sumatera Timur Pada Tahun 1946 (dalam bahasa Indonesia). Pulau Pinang: Koperasi Kedai Buku Universiti Sains Malaysia Sdn Bhd. ISBN 983861193X.
- Dick, H.W. (2002). The Emergence of a National Economy : An Economic History of Indonesia, 1800-2000. Australia: Asian Studies Association of Australia in association with Allen & Unwin. ISBN 9781741150209.
- Kahin, Audrey R. (1985). Regional Dynamics of the Indonesian Revolution: Unity From Diversity. United States: University of Hawaii Press. ISBN 0824809823.
- Kahin, George McTurnan (1970). Nationalism and Revolution in Indonesia. Cornell University Press. ISBN 0-8014-9108-8.
- Kahin, Audrey (1999). Rebellion to Integration: West Sumatra and the Indonesian Polity. Amsterdam: Amsterdam University Press. ISBN 9053563954.
- Milner, Anthony (2011). The Malays. United Kingdom: Blackwell Publishing Ltd. ISBN 978-1444339031.
- Reid, Anthony (2004). An Indonesian Frontier: Acehnese and Other Histories of Sumatra. Brill. doi:10.1163/9789004486553_018. ISBN 978-90-04-48655-3.
- Reid, Anthony (2014). The Blood of the People: Revolution & the End of Traditional Rule in Northern Sumatra. Singapore: NUS Press. ISBN 978-9971-69-637-5.








