Rencana ini perlu dikemas kini.(Januari 2023) |
Geography | |
---|---|
Location | Asia Tenggara |
Coordinates | 2°08′S 120°17′E / 2.133°S 120.283°E |
Archipelago | Kepulauan Sunda Besar |
Area | 174,600 km2 (67,400 bt2) |
Area rank | ke-11 |
Highest elevation | 3,478 m (11,411 ft) |
Administration | |
Indonesia | |
Demographics | |
Population | 21,7 juta (banci 2022) |
Pop. density | 116 /km2 (300 /sq mi) |
Sulawesi adalah salah satu daripada empat pulau besar di Indonesia, yang terletak di antara Borneo dan Kepulauan Maluku. Pulau Sulawesi berdiri di atas lahan seluas 174,600 km², terutama terdiri dari empat semenanjung panjang. Pulau ini terbahagi ke dalam enam provinsi, iaitu Sulawesi Barat, Sulawesi Utara, Sulawesi Tengah, Sulawesi Selatan, Sulawesi Tenggara, dan Gorontalo. Sulawesi memiliki penduduk sejumlah 21,700,308 jiwa (banci 2022), iaitu kira-kira 7,25% daripada jumlah penduduk Indonesia.[1] Makassar ialah bandar terbesar di Sulawesi.
Geologi
Menurut kepada teori pembinaan semula plat (plate reconstuctions), pulau Sulawesi ini dipercayai telah terbentuk hasil pertembungan plat tektonik daripada Plat Asia (membentuk bahagian barat dan barat daya), Plat Australia (membentuk bahagian tenggara, dan kepulauan Banggai), dan pulau-pulau lengkok yang telah wujud sebelumnya di Pasifik (membentuk semenanjung utara dan semenanjung timur).[2]
Sejarah
Menjelang 1400, sebilangan wilayah kerajaan pertanian telah muncul di bahagian barat lembah Cenrana, di pantai selatan, dan di pantai timur yang berhampiran dengan bandar Parepare dalam masa moden.[3]
Orang-orang Eropah pertama yang melawat pulau ini, yang mereka percaya adalah kepulauan kerana bentuknya yang lengkok itu, adalah pelaut Portugis pada tahun 1525 yang dihantar dari Maluku untuk mencari emas, kerana mereka mendengar bahawa pulau-pulau itu mempunyai reputasi sebagai pengeluar emas.[4] Belanda tiba dalam tahun 1605, dan dengan cepat diikuti oleh Inggeris yang kemudian menubuhkan sebuah logi di Makassar.[5] Pada tahun 1669, Laksamana Belanda Cornelis Speelman berhasil memaksa Sultan Hasanuddin dari Kesultanan Gowa untuk menandatangani Perjanjian Bongaya, yang menyerahkan kawalan perdagangan kepada Syarikat Hindia Timur Belanda. Belanda telah dibantu menaklukan Gowa oleh Arung Palakka, pemimpin Kesultanan Bone. Belanda kemudian membina kubu di Ujung Pandang, mengusir pergi Inggeris, dan menjadi tuan serantau dan kerajaan yang dominan di Sulawesi bahagian selatan.
Pada tahun 1905, pulau Sulawesi telah seluruhnya menjadi bahagian daripada Hindia Timur Belanda, sehingga tiba masa pendudukan Jepun dalam Perang Dunia II. Selepas Pengisytiharan Kemerdekaan Republik Indonesia, sekurang-kurangnya 4,000 orang di Sulawesi Selatan terbunuh oleh kempen Tentera Diraja Hindia Belanda (KNIL) di bawah arahan Kapten Raymond Westerling.[6] Berikutan pemindahan kedaulatan kerana Persidangan Meja Bulat Indonesia-Belanda pada bulan Disember 1949, Sulawesi menjadi sebahagian daripada negara persekutuan Republik Indonesia Syarikat, yang pada tahun 1950 diserap ke dalam negara kesatuan Republik Indonesia.[7]
Geografi
Sulawesi adalah pulau ke-11 terbesar di dunia, meliputi kawasan seluas 174.600 km2 (67.413 batu persegi). Pulau ini dikelilingi oleh Borneo di sebelah barat, oleh Filipina di sebelah utara, oleh Maluku di sebelah timur, dan oleh Flores dan Timor di sebelah selatan. Ia mempunyai bentuk yang khas, yang didominasi oleh empat semenanjung besar: Semenanjung Minahasa; Semenanjung Timur; Semenanjung Selatan; dan Semenanjung Tenggara. Bahagian tengah pulau bergunung-ganang, sehingga perhubungan antar semenanjung pulau satu sama lain adalah payah, dahulu lazimnya sambungan pengangkutan lebih baik melalui laut daripada melalui darat. Di pulau ini terdapat tiga teluk: Teluk Tomini, Teluk Tolo, dan Teluk Bone; manakala Selat Makasar berada di sisi barat pulau.
Pulau Selayar terbentang di barat daya Sulawesi hingga Laut Flores. Kepulauan Sangihe dan Kepulauan Talaud terbentang pada hujung timur laut, manakala Pulau Buton berada di tenggara, Kepulauan Togian di Teluk Tomini, dan Pulau Peleng dan Pulau Banggai membentuk kelompok kepulauan di antara Sulawesi dan Maluku. Kesemua pentadbiran pulau-pulau yang disebutkan itu adalah bahagian daripada Sulawesi.
Pembahagian pentadbiran
Pembahagian pentadbiran Sulawesi (termasuk pulau-pulau berhampirannya) adalah:
- Sulawesi Utara (ibu negeri: Manado)
- Gorontalo (ibu negeri: Gorontalo)
- Sulawesi Barat (ibu negeri: Mamuju)
- Sulawesi Tengah (ibu negeri: Palu)
- Sulawesi Tenggara (ibu negeri: Kendari)
- Sulawesi Selatan (ibu negeri: Makassar)
Flora dan fauna
Sulawesi adalah bahagian daripada ekozon Wallacea, bermakna Sulawesi mempunyai campuran spesies flora dan fauna baik dari Asia mahupun Australasia. Terdapat 8 taman negara di pulau ini,[8] yang mana 4 diantaranya sebahagian besarnya berwujud taman laut.
Alam sekitar
Isu alam sekitar yang terbesar di Sulawesi adalah pembasmian hutan. Pada tahun 2007, saintis mendapati bahawa 80 peratus daripada hutan Sulawesi telah hilang atau dirosakkan, terutamanya berpusat di kawasan tanah rendah dan hutan bakau.[9] Hutan telah ditebang untuk pembalakan dan projek-projek pertanian besar. Kehilangan hutan telah menyebabkan banyak spesies endemik Sulawesi menjadi terancam. Di samping itu, 99 peratus daripada tanah lembap Sulawesi telah hilang atau rosak.
Lain-lain yang mengancam alam sekitar termasuk pemburuan daging liar (bushmeat hunting) dan perlombongan.[10]
Pulau Sulawesi mempunyai enam taman negara dan 19 kawasan simpanan alam semulajadi. Di samping itu, Sulawesi mempunyai tiga kawasan perlindungan marin. Banyak taman-taman Sulawesi diancam oleh pembalakan, perlombongan, dan pembasmian hutan untuk pertanian.[10]
Lihat juga
Rujukan
- ^ Brief Analysis – A. Total Population
- ^ http://www.gl.rhul.ac.uk/searg/current_research/plate_tectonics/sea_2001_svga.mov
- ^ Caldwell, I.A. 1988. 'South Sulawesi A.D. 1300–1600; Ten Bugis texts.' Ph.D thesis, The Australian National University; Bougas, W. 1998. 'Bantayan; An early Makassarese kingdom 1200 -1600 AD. Archipel 55: 83-123; Caldwell, I. and W.A. Bougas 2004. 'The early history of Binamu and Bangkala, South Sulawesi.' Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde 64: 456-510; Druce, S. 2005. 'The lands west of the lake; The history of Ajattappareng, South Sulawesi, AD 1200 to 1600.' Ph.D thesis, The University of Hull.
- ^ Crawfurd, J. 1856. A descriptive dictionary of the Indian islands and adjacent countries. London: Bradbury & Evans.
- ^ Bassett, D. K. (1958). English trade in Celebes, 1613-67. Journal of the Royal Asiatic Society 31(1): 1-39.
- ^ Kahin, George McTurnan (1952) Nationalism and Revolution in Indonesia Cornell University Press, ISBN 0-8014-9108-8, p. 145
- ^ Westerling, R. 1952. Challenge to Terror
- ^ 50 Taman Nasional di Indonesia, laman web rasmi Kementerian Kehutanan Republik Indonesia, ©2009.
- ^ "Sulawesi Profile" – mongabay.com
- ^ a b "Sulawesi Profile" – mongabay.com
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Sulawesi |