Di Mesir purba, kiraan ternakan merupakan salah satu daripada dua cara utama untuk menilai jumlah cukai yang akan dikenakan, satu lagi ialah ketinggian banjir tahunan. Sebagai satu peristiwa yang sangat penting kepada ekonomi, kiraan ternakan dikawal oleh pegawai-pegawai tinggi, dan dikaitkan dengan beberapa perayaan pemujaan. Selain itu, ia berfungsi untuk menentukan tarikh peristiwa lain, dengan keseluruhan tahun apabila ia berlaku dipanggil "tahun kiraan ternakan ke-X di bawah duli baginda raja Y". Kekerapan kiraan ternakan berbeza-beza sepanjang sejarah Mesir purba; pada Kerajaan Lama kemungkinannya dwitahunan, iaitu berlaku setiap dua tahun, dan menjadi lebih kerap selepas itu.
Proses dan tujuan

Untuk melaksanakan kiraan ternakan, semua harta boleh pindah (termasuk haiwan ternakan produktif seperti lembu, biri-biri, khinzir, kambing dan keldai) dikumpulkan dan dikira. Selepas kiraan, peratusan harta boleh pindah yang akan dicukai oleh negeri akan dikira. Kiraan ternakan dilakukan di setiap nomos Mesir. Penipuan dihukum dengan keras. Bermula dari Dinasti Kedua, kiraan ternakan dihubungkan dengan "Pengikutan Horus" (Mesir: Syemsu Hor) yang berlaku setiap dua tahun.[1][2] Syemsu Hor terdiri daripada perjalanan raja dan anggota istananya ke seluruh Mesir yang memudahkan penilaian dan pengenaan cukai oleh pentadbiran pusat.[3]
Kepentingan
Kiraan ternakan amat penting bagi ahli-ahli Mesirologi dan sejarawan, kerana banyak inskripsi melaporkan tahun kali ke-x kiraan ternakan diikuti dengan nama firaun. Oleh itu, inskripsi-inskripsi ini digunakan untuk menilai tempoh minimum pemerintahan firaun itu, contohnya dengan mengandaikan bahawa kiraan ternakan diadakan setiap dua tahun. Titik terakhir ini amat penting untuk pentarikhan yang betul bagi tempoh pemerintahan, dan ia masih lagi banyak dipertikaikan sehingga hari ini. Menurut Batu Palermo, satu kepingan papak basalt hitam yang merakamkan peristiwa-peristiwa tahunan yang berkenaan dengan pemujaan dan agama dari raja Narmer (Dinasti Pertama) sehingga raja Neferirkare Kakai (firaun ke-3 Dinasti Kelima), kiraan ternakan dilakukan setiap dua tahun sehingga akhir Kerajaan Lama. Walau bagaimanapun, selepas tempoh ini, ia dilakukan lebih kerap dan akhirnya setiap tahun. Firaun pertama yang semasa pemerintahannya kiraan ternakan tahunan sah diketahui pernah berlaku ialah raja Pepi I dari Dinasti Ke-6.[1][4][5] Ini tidak mengecualikan kemungkinan bahawa kiraan ternakan semestinya berlaku setiap dua tahun sebelum Pepi I.
Satu contoh penilaian bercanggah untuk tempoh pemerintahan melalui kiraan ternakan ialah kes raja Khufu (Dinasti Ke-4). Angka tertinggi yang diketahui bagi kiraan ternakan di bawah Khufu ditemui dalam grafiti pekerja di ruang pelega beban di dalam piramid Khufu. Inskripsi dakwat melaporkan "kali ke-17 kiraan ternakan". Memandangkan inskripsi Batu Palermo menyatakan bahawa kiraan ternakan dilakukan setiap dua tahun semasa Dinasti Ke-4, ini membuktikan bahawa Khufu memerintah sekurang-kurangnya selama 34 tahun. Pengiraan ini ditolak oleh beberapa ahli Mesirologi kerana sumber Mesir purba yang lain, kanun Turin, memberikan tempoh pemerintahan Khufu hanya 23 tahun. Sebaliknya, ahli sejarah Yunani purba Herodotus mendakwa Khufu memerintah selama 50 tahun, yang kini dilihat sebagai satu penokok tambahan. Sementara itu, ahli Mesirologi hari ini seperti Thomas Schneider menganggap Khufu sama ada memang memerintah selama lebih sedikit daripada 34 tahun, atau pengarang kanun Turin tidak mengambil kira kitaran 2 tahun kiraan ternakan dan sebenarnya memberikan Khufu 23 kiraan ternakan, yang bersamaan dengan pemerintahan 46 tahun.[4][5]
Lihat juga
Rujukan
- ^ a b Schlögl, Hermann A. (2011). Das Alte Ägypten [The Ancient Egyptians]. Beck'sche Reihe, Band 2305 (dalam bahasa Jerman) (ed. 3 Ausgabe). Hamburg: C.H. Beck. m/s. 41. ISBN 3406623107.
- ^ Parker, Richard A. (1950). The Calendars of Ancient Egypt. Studies in Ancient Oriental Civilization. 26. Chicago, IL: University of Chicago Press. ISSN 0081-7554.
- ^ Wilkinson, Toby. The Rise and Fall of Ancient Egypt. Random House Trade Paperbacks (ed. Reprint). Random House. m/s. 59. ISBN 0553384902.
- ^ a b Siegfried Schott: Altägyptische Festdaten (= Akademie der Wissenschaften und der Literatur. Abhandlungen der Geistes- und Sozialwissenschaftlichen Klasse. Bd. 10, 1950, ISSN 0002-2977). Verlag der Akademie der Wissenschaften und der Literatur, Mainz u. a. 1950.
- ^ a b Thomas Schneider: Lexikon der Pharaonen. Albatros, Düsseldorf 2002, ISBN 3-491-96053-3, p. 100–102.








