Tarikh | 3–13 September 2023 |
---|---|
Lokasi |
Kembara Kenali Borneo merupakan konvoi anjuran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Diadakan dari 3 hingga 13 September 2023, perjalanan konvoi ini merentasi Malaysia Timur, bermula di Sabah, bergerak melalui Sarawak, dan juga termasuk lawatan ke Brunei. Sempena Hari Malaysia pada 16 September, konvoi itu menyelusuri Lebuhraya Pan Borneo. Konvoi itu adalah sebahagian daripada visi Al-Sultan Abdullah untuk memperdalam hubungan antara institusi beraja Malaysia dan rakyat Malaysia Timur.
Latar belakang
Lebuhraya Pan Borneo ialah projek infrastruktur utama yang direka bentuk untuk mewujudkan sistem jalan berlingkar yang komprehensif merentasi pulau Borneo, menghubungkan Malaysia, Brunei, dan sebahagian Kalimantan di Indonesia. Di sebelah Malaysia, lebuh raya itu terdiri daripada laluan-laluan persekutuan Malaysia Timur, berakhir di Telok Melano, Lundu di Sarawak, dan Serudong, Kalabakan di Sabah.
Sejarah terawal lebuh raya direkodkan pada zaman pascaperang, dan pembangunan ketara mula dibuat selepas penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia pada 1963. Kini, penaiktarafan giat dijalankan untuk menaik taraf keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo menjadi satu lebuh raya rasmi, dengan masa siap dijadualkan pada tahun 2025.[1][2]
Pada 13 Februari 2023, dalam titah diraja istiadat pembukaan Penggal Kedua Parlimen Malaysia ke-15, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan hasrat baginda untuk memandu di Lebuhraya Pan Borneo. Baginda menyatakan kepuasannya terhadap kemajuan projek itu. Baginda bertitah bahawa satu rancangan sedang dirangka bersama pihak berkaitan untuk melakukan kembara di sepanjang lebuh raya itu.[3]
Adalah menjadi impian Beta untuk memandu menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ini, khususnya untuk Beta dan Raja Permaisuri mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat Beta di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu.
Senarai kerabat
Senarai kerabat terlibat dalam konvoi adalah seperti yang berikut:[4]
- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
- Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
- Anakanda Sultan Abdullah
- Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah
- Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah
- Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera
- Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana
Garis masa
3 September
Para kerabat tiba di Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau pada 1:50 petang, dan konvoi bergerak ke bandar Tawau selama lima jam 30 minit. Pada waktu malam, majlis santapan dan majlis pelancaran diadakan di Dewan Perbandaran Tawau.[5][6] Majlis dihadiri oleh para kehormat, termasuk Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor serta wakil Sarawak, menteri kebudayaan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah, dan melibatkan pameran kebudayaan serta masakan setempat.[7]
4 September
Kembara Kenali Borneo bermula di Bulatan 0KM Padang Perbandaran, Tawau, Sabah, dan berangkat ke arah Lahad Datu.[8] Di Lahad Datu, Sultan Abdullah berkenan melawat ibu pejabat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), pangkalan polis marin Lahad Datu serta kawasan perumahan para pegawai, dan dipertunjukkan perkembangan gerakan ketenteraan di sana.[9] Sementara itu, Tunku Azizah pula berangkat ke majlis santapan rakyat di Dewan Perdana Lahad Datu terlebih dahulu, sebelum Sultan Abdullah turut tiba, dan merangkumi pelbagai aktiviti seperti memasak, pertunjukan kebudayaan dan kurniaan bantuan kepada golongan kurang upaya.[9] Konvoi kemudiannya berangkat ke Sandakan dan bermalam di situ.[10]
5 September
Konvoi pada 5 September merangkumi kawasan timur laur Sabah seperti Sandakan serta Beluran, dan kemudiannya ke pertengahan Sabah, dengan lawatan di pekan Telupid dan Kundasang.[10] Baginda berkenan melawat Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan menjenguk spesies-spesies Borneo terancam seperti orang utan Borneo dan gajah Borneo.[11] Di samping itu, baginda turut berkenan melawat tapak pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo.[12] Baginda berkenan menghadiri majlis santapan dan pertunjukan kebudayaan di Telupid.[13] Konvoi pada 5 September berakhir di Kundasang dengan satu lagi majlis santapan, dan disertai pertunjukan kebudayaan Ranau.[14]
6 September
Pada 6 September, Kembara Kenali Borneo tiba di ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.[15] Perjalanan bermula dari Ranau, dan baginda berkenan singgah di Nabalu,[16] sebelum melintasi Tamparuli dan Sepanggar lalu tiba ke pusat Kota Kinabalu.[17] Di pusat bandar, Sultan Abdullah berkenan merasmikan kompleks Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah,[18] sementara Raja Permaisuri dijadual melawat Jabatan Penjara.[19] Majlis santapan pada waktu malam dianjurkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, dan dihadiri tetamu kehormat negeri Sabah.[20]
7 September
Pada waktu pagi, lawatan ke kompleks Persatuan Kebudayaan Kadazandusun di Penampang diadakan, dengan pertunjukan kebudayaan diadakan.[21] Ini menandakan akhir perjalanan Kembara Kenali Borneo di Sabah.
Pada waktu malam, konvoi mula memasuki negeri Sarawak, dengan permulaan di Lawas.[22][23] Kemudian, konvoi memasuki Brunei melalui Temburong, dengan kedatangan disambut oleh Putera Mahkota Brunei Al-Muhtadee Billah dan para menteri Brunei, sebelum melintasi Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien ke belah kiri Brunei sebelum bersemayam di ibu negara, Bandar Seri Begawan.[4]
8 September
8 September menyaksikan aktiviti di Brunei. Pada tengah hari, baginda berkenan melakukan solat Jumaat di Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah di ibu negara.[24] Pada malam pula, baginda berangkat ke majlis santapan malam bersama Sultan Brunei Hassanal Bolkiah dan kerabat diraja Brunei di Istana Nurul Iman.[25][26]
9 September
Kembara meninggalkan Brunei, dan berangkat ke Miri.[27] Pada petang, konvoi baginda tiba di Coco Cabana, dan dipersembahkan dengan pertunjukan kebudayaan setempat, termasuk pakaian tradisional oleh para pengunjung.[28] Pada petang itu juga, baginda berangkat bagi majlis santapan petang di Kampung Pangkalan Lutong bersama komunitit tempatan.[29]
10 September
Kembara pada 10 September berangkat ke Bintulu.[30] Konvoi baginda mengadakan pertemuan dengan rakyat di Pantai Bungai, Bekenu.[31] Di sebelah petang, konvoi berangkat ke Kampung Penan Muslim, Batu 10, dan disambut dengan pertunjukan kebudayaan setempat. Bagina kemudiannya berangkat melalui Jejambat Nyabau dengan kehadiran wakil Jabatan Kerja Raya setempat, sebelum menghadiri majlis santapan malam di rumah kediaman Pemangku Yang di-Pertua Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.[32]
11 September
Pada hari ini, Sibu menjadi tumpuan Kembara Kenali Borneo.[33] Pada malam, konvoi berangkat ke Kampung Bandong bagi majlis santapan malam, dengan kehadiran kenamaan Sarawak.[34]
12 September
Pada waktu pagi, baginda tiba di Pasar Sentral Sibu, dan melakukan lawatan di sana.[35] Selepas itu, konvoi berangkat menuju ke ibu kota Sarawak, Kuching.[36] Hari ini menyaksikan perjalanan konvoi selama kira-kira 15 jam ke Kuching dengan kehadiran orang ramai di sepanjang laluan konvoi, dan melalui pekan seperti Simanggang (Sri Aman) dan Serian sebelum tiba di ibu kota pada tengah malam (13 September) bagi menghadiri majlis santapan malam dan majlis penutupan kembara.[37]
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dijangka siap pada 2023 - Rosnah". Bernama. Berita Harian. 26 November 2015. Dicapai pada 19 Oktober 2017.
- ^ "Lebuhraya Pan Borneo dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025". Bernama. Berita Harian. 11 October 2014. Dicapai pada 19 Oktober 2017.
- ^ "Titah diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Millah - Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas" (PDF). Parlimen Malaysia. 13 Februari 2023. Dicapai pada 6 September 2023.
- ^ a b "Kembara Kenali Borneo: Agong, Permaisuri tiba di Brunei". Astro Awani. 2023-09-08. Dicapai pada 2023-09-08.
- ^ "Kembara Kenali Borneo: Agong terharu dengan sambutan rakyat di Tawau". www.astroawani.com. BERNAMA. 4 September 2023. Dicapai pada 2023-09-04.
- ^ Izwan Abdullah (3 September 2023). "Kembara Kenali Borneo bersama Agong bermula hari ini". Berita Harian. Dicapai pada 4 September 2023.
- ^ "Agong lancar program Kembara Kenali Borneo". Berita Harian. 4 September 2023. Dicapai pada 4 September 2023.
- ^ "Kembara Kenali Borneo: Konvoi menuju Lahad Datu, Sandakan". Sinar Harian. 2023-09-04. Dicapai pada 2023-09-04.
- ^ a b "Agong lawat ESSCom, Permaisuri memasak untuk rakyat di Lahad Datu". Sinar Harian. 2023-09-04. Dicapai pada 2023-09-05.
- ^ a b Izwan Abdullah (5 September 2023). "Kembara Kenali Borneo: Agong ke Telupid dan Kundasang hari ini". Berita Harian. Dicapai pada 5 September 2023.
- ^ "Kembara Kenali Borneo: Agong, Permaisuri bertemu Didi dan Taburi di Sepilok". Astro Awani. 2023-09-05. Dicapai pada 2023-09-06.
- ^ "Kembara Kenali Borneo: Agong, Permaisuri tinjau pembangunan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah". Astro Awani. 2023-09-05. Dicapai pada 2023-09-06.
- ^ "Rosemary Yvonne hadiahkan lukisan potret perkahwinan Agong, Permaisuri". Astro Awani. 2023-09-05. Dicapai pada 2023-09-06.
- ^ "Kembara Kenali Borneo: Permaisuri sertai Tarian Sumirid kanak-kanak di Kundasang". Astro Awani. 2023-09-05. Dicapai pada 2023-09-06.
- ^ "Konvoi Kembara Kenali Borneo menuju Kota Kinabalu pada hari keempat". Astro Awani. 2023-09-06. Dicapai pada 2023-09-06.
- ^ Suraidah Roslan (2023-09-06). "Kembara Kenali Borneo di Pekan Nabalu". Utusan Malaysia. Dicapai pada 2023-09-07.
- ^ "Kembara Kenali Borneo: Bagai bertemu selebriti terkenal atau bintang idola!". Sinar Harian. 2023-09-06. Dicapai pada 2023-09-07.
- ^ "Agong titah Hakim Syarie Sabah selesaikan masalah umat Islam dengan adil, secepat mungkin". Berita Harian. 6 September 2023. Dicapai pada 7 September 2023.
- ^ "Konvoi Kembara Kenali Borneo menuju KK". Harian Metro. 2023-09-06. Dicapai pada 2023-09-07.
- ^ "Kemesraan, keprihatinan Agong dan Permaisuri kekal terpahat di hati rakyat Sabah - Hajiji". Astro Awani. 2023-09-07. Dicapai pada 2023-09-07.
- ^ "Kembara Kenali Borneo: Agong, Permaisuri saksikan kepelbagaian budaya etnik Sabah". Astro Awani. 2023-09-07. Dicapai pada 2023-09-08.
- ^ "Rakyat Bumi Kenyalang teruja nantikan kedatangan Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah". Astro Awani. 2023-09-06. Dicapai pada 2023-09-07.
- ^ "Rombongan Agong disambut 10,000 rakyat di Lawas, mulakan penjelajahan Sarawak". Astro Awani. 2023-09-07. Dicapai pada 2023-09-08.
- ^ "Agong berkenan solat Jumaat di Masjid Jame' Asar Hassanil Bolkiah". Astro Awani. 2023-09-08. Dicapai pada 2023-09-09.
- ^ "Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama Sultan Brunei". Astro Awani. 2023-09-09. Dicapai pada 2023-09-09.
- ^ "Berita Terkini - Jalinan ukhuwah NBD-Malaysia terus akrab". Pelita Brunei. Dicapai pada 2023-09-09.
- ^ "Agong, Permaisuri teruskan Kembara Kenali Borneo ke Miri". Berita Harian. 9 September 2023. Dicapai pada 9 September 2023.
- ^ "Miri folk throng Coco Cabana for glimpse of Their Majesties". Borneo Post Online (dalam bahasa Inggeris). 2023-09-09. Dicapai pada 2023-09-09.
- ^ "Their Majesties attend high tea with Kampung Pangkalan Lutong community leaders". Borneo Post Online (dalam bahasa Inggeris). 2023-09-09. Dicapai pada 2023-09-09.
- ^ "Agong, Raja Permaisuri teruskan Jelajah Sarawak ke Bintulu". Astro Awani. 10 September 2023. Dicapai pada 2023-09-15.
- ^ "Agong mahu rakyat hidup harmoni, bersatu hati". Astro Awani. 10 September 2023. Dicapai pada 2023-09-15.
- ^ Linch, Cowen (2023-09-11). "Agong, Permaisuri disambut pelbagai suku kaum di Kampung Penan Muslim, Bintulu". Utusan Malaysia. Dicapai pada 2023-09-15.
- ^ "Agong, Raja Permaisuri teruskan perjalanan ke Sibu". Astro Awani. 11 September 2023. Dicapai pada 2023-09-15.
- ^ "Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong arrive in Sibu". Borneo Post Online (dalam bahasa Inggeris). 2023-09-11. Dicapai pada 2023-09-15.
- ^ "Agong, Permaisuri terima sambutan luar biasa di Sibu". Harian Metro. 2023-09-12. Dicapai pada 2023-09-15.
- ^ "Kembara Kenali Borneo menuju ke Kuching hari ini". Astro Awani. 12 September 2023. Dicapai pada 2023-09-15.
- ^ "Perjalanan Agong dari Sibu-Kuching hampir seharian, rakyat setia menunggu". Astro Awani. 13 September 2023. Dicapai pada 2023-09-15.