| Sultan Riau-Lingga | |
|---|---|
| سلطان رياو-ليڠڬا (Jawi) | |
Wilayah/Negeri | |
Jata rasmi Kesultanan Riau-Lingga | |
| Butiran | |
| Gelaran | Duli Yang Maha Mulia |
| Penyandang pertama | Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah |
| Penyandang terakhir | Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah |
| Pembentukan | 29 Oktober 1830 |
| Pemansuhan | 10 Februari 1911 |
| Persemayaman | 1. Daik, Lingga (1830 – 1900) 2. Tanjung Pinang, Riau (1900 – 1911) |
Sultan Riau-Lingga (Jawi: سلطان رياو-ليڠڬا), atau Sultan Lingga-Riau atau Sultan Riau dan Lingga atau Sultan Lingga dan Riau atau Sultan Riau atau Sultan Lingga, ialah jawatan warisan dan raja pemerintah Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga serta pulau-pulau di sekitarnya. Gelaran rasminya ialah "Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Yang Dipertuan Besar Kerajaan Riau-Lingga dengan segala daerah takluknya" (Jawi: دولي يڠ مها موليا ڤدوک سري سلطان دان يڠ دڤرتوان بسر كراجأن رياو-ليڠڬا دڠن سڬالا داءيره تعلوقڽ).
Sultan Riau-Lingga, yang dahulunya merupakan Sultan Johor yang memimpin Kesultanan Johor Lama, kekal sebagai tuan kepada Temenggung Johor selaku pentadbir utama negeri Johor dan Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang lalu mengekalkan ketuanan baginda ke atas negeri Johor dan negeri Pahang di Semenanjung Tanah Melayu. Namun, negeri Johor tidak lagi bertuankan Sultan Riau-Lingga apabila Perjanjian Setia 1855 secara rasmi mengiktiraf kedudukan baru Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Pemerintah Johor manakala negeri Pahang mengikuti jejak langkah negeri Johor apabila Bendahara Tun Mutahir tidak bertuankan Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah selepas baginda mengakui ketuanan Belanda ke atas Kesultanan Riau-Lingga melalui Perjanjian 1 Disember 1857.
Sejarah
Jawatan ini wujud apabila Kesultanan Johor Lama berakhir lalu Kesultanan Riau-Lingga wujud selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dikuatkuasakan di Alam Melayu melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 antara Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar dengan Belanda di mana Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga serta pulau-pulau di sekitarnya kekal di bawah pemerintahan Sultan Johor ke-16, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah manakala negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah pemerintahan baginda lalu menjadi negeri bebas. Secara tidak langsung, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah menjadi Sultan Riau-Lingga pertama pada tahun 1830.
Walaupun begitu, para pembesar Melayu di negeri Johor dan negeri Pahang masih lagi bertuankan Sultan Riau-Lingga kerana mereka masih menganggap baginda sebagai Sultan Johor yang sah dan berdaulat. Mereka tidak bertuankan Sultan Hussein Muhammad Shah dan anakandanya, Sultan Ali Iskandar Shah yang bersemayam di Singapura. Ini boleh dibuktikan apabila Sultan Riau-Lingga ke-2, Sultan Muhammad II Muazzam Shah mengadakan satu istiadat yang dihadiri oleh para pembesar dari seluruh wilayah bekas Kesultanan Johor Lama. Dalam istiadat tersebut, Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang ke-4, Bendahara Tun Ali menabalkan anakandanya, Tun Mutahir (kemudian bergelar Bendahara Tun Mutahir) sebagai Bendahara Muda (pewaris Bendahara Johor dan Raja Bendahara Pahang) dan anakanda Sultan Muhammad II Muazzam Shah, Tengku Mahmud (kemudian bergelar Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) sebagai Tengku Besar (pewaris takhta).
Bukan itu sahaja, semasa zaman pemerintahan Sultan Riau-Lingga ke-3, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, baginda mengiktiraf pertabalan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Temenggung Johor yang dilakukan oleh Bendahara Tun Ali pada tahun 1841. Pada tahun 1852, negeri Johor diserahkan kepada baginda oleh Sultan Ali Iskandar Shah yang masih gagal untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Sultan Johor daripada British pada ketika itu. Secara tidak langsung, semua wilayah bekas Kesultanan Johor Lama (kecuali Singapura) dapat disatukan semula melalui penyerahan tersebut. Namun, penyatuan tersebut dapat bertahan selama tiga tahun sahaja kerana negeri Johor kemudiannya diserahkan kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim oleh Sultan Ali Iskandar Shah melalui Perjanjian Setia 1855 lalu menjadikan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Pemerintah Johor pada tahun 1855.
Berikutan Perjanjian Setia 1855, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah menulis surat kepada Bendahara Tun Ali untuk meminta penjelasan beliau mengenai perjanjian tersebut. Dalam surat balasan Bendahara Tun Ali kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah, beliau menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menerima tindakan Sultan Ali Iskandar Shah yang melanggar adat-istiadat Melayu dengan menyerahkan negeri Johor kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim kerana tanah jajahan Kesultanan Johor Lama merupakan hak milik Sultan Johor yang sah (merujuk kepada Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) dan tidak boleh diambil oleh orang lain melainkan dengan cara kurnia. Bendahara Tun Ali juga menjelaskan bahawa beliau langsung tidak mengetahui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang dibuat lebih 30 tahun dahulu. Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah berasa amat murka apabila baginda baru mengetahui perjanjian tersebut pada tahun 1855. Berdasarkan surat balasan Bendahara Tun Ali, terdapat kemungkinan bahawa perjanjian tersebut dirahsiakan daripada Sultan dan para pembesar Melayu untuk suatu tempoh masa yang lama iaitu 31 tahun.
Apabila Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah disingkirkan daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga oleh Belanda pada tahun 1857, ayahanda saudaranya, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah diangkat menjadi Sultan Riau-Lingga ke-4. Pada tahun yang sama, Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah dan Yang Dipertuan Muda Riau ke-9, Raja Haji Abdullah menandatangani Perjanjian 1 Disember 1857 dengan Belanda di mana baginda mengakui ketuanan Belanda ke atas Kesultanan Riau-Lingga. Ini menyebabkan Bendahara Johor dan Raja Bendahara Pahang ke-5, Bendahara Tun Mutahir mengisytiharkan bahawa Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah bukan Sultan Johor yang sah dan berdaulat berdasarkan perjanjian tersebut kerana baginda memilih untuk bertuankan Belanda dan membelakangkan adat-istiadat Melayu yang diamalkan oleh Kesultanan Johor Lama.
Dengan pengisytiharan tersebut, para pembesar Melayu di negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi bertuankan Sultan Riau-Lingga dan tidak lagi menumpahkan taat setia mereka kepada baginda. Bendahara Tun Mutahir terpaksa menerima hakikat bahawa pemerintahan Kesultanan Johor Lama yang berpandukan adat-istiadat Melayu tidak dapat dikembalikan semula. Bendahara Tun Mutahir membuat keputusan untuk menumpukan perhatian beliau terhadap urusan pemerintahan negeri Pahang kerana urusan Kesultanan Riau-Lingga dan urusan negeri Johor bukan lagi tanggungjawab beliau. Secara ringkasnya, Sultan Riau-Lingga yang masih diakui sebagai Sultan Johor yang sah dan berdaulat oleh Bendahara Tun Ali dan anakandanya, Bendahara Tun Mutahir serta para pembesar Melayu yang lain di negeri Johor dan negeri Pahang ialah Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Sultan Muhammad II Muazzam Shah dan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah.
Jawatan ini dimansuhkan apabila Kesultanan Riau-Lingga dibubarkan oleh Belanda pada 10 Februari 1911 kerana Sultan Riau-Lingga ke-5 dan terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah tidak mahu menurut kemahuan Belanda yang meminta baginda untuk menandatangani perjanjian yang akan mengurangkan kuasanya dan meningkatkan penguasaan Belanda dalam Kesultanan Riau-Lingga. Baginda terpaksa meninggalkan Pulau Penyengat dan berlayar ke Singapura lalu hidup dalam buangan di sana. Dengan pemansuhan jawatan ini, berakhirnya institusi beraja yang diwarisi secara langsung daripada Kesultanan Johor Lama (1528 – 1830) dan pendahulunya, Kesultanan Melaka (1400 – 1511).
Senarai Sultan
Wangsa Bendahara (1830–1883)
| No. | Potret | Nama | Tempoh pemerintahan | Tarikh keputeraan dan kemangkatan | Pusat pemerintahan | Nota | |||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 1 | Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah سلطان عبد الرحمن معظم شاه (Tengku Abdul Rahman) |
29 Oktober 1830 – 9 Ogos 1832 (1 tahun, 9 bulan dan 11 hari) |
1780 – 9 Ogos 1832 (sekitar umur 52 tahun) |
Lingga (1830 – 1832) |
| ||||
| 2 | Sultan Muhammad II Muazzam Shah سلطان محمد معظم شاه (Tengku Muhammad) |
9 Ogos 1832 – 1835 (kira-kira 3 tahun) |
1803 – 20 Julai 1841 (sekitar umur 38 tahun) |
Lingga (1832 – 1835) |
| ||||
| 3 | Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah سلطان محمود مظفر شاه (Tengku Mahmud) |
1835 – 7 Oktober 1857 (kira-kira 22 tahun) |
1823 – 10 Julai 1864 (sekitar umur 41 tahun) |
Lingga (1835 – 1857) |
| ||||
| Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda pada tahun 1857 | |||||||||
| 4 | Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah سلطان سليمان بدر العالم شاه (Tengku Sulaiman) |
7 Oktober 1857 – 17 September 1883 (25 tahun, 11 bulan dan 10 hari) |
? – 17 September 1883 | Lingga (1857 – 1883) |
| ||||
| Raja Abdul Rahman diangkat menjadi Sultan Riau-Lingga lalu berakhirnya era Wangsa Bendahara dan bermulanya era Wangsa Yang Dipertuan Muda | |||||||||
Wangsa Yang Dipertuan Muda (1883–1911)
| No. | Potret | Nama | Tempoh pemerintahan | Tarikh keputeraan dan kemangkatan | Pusat pemerintahan | Nota | |||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 5 | Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah سلطان عبد الرحمن معظم شاه (Raja Abdul Rahman) |
13 Oktober 1883 – 10 Februari 1911 (27 tahun, 3 bulan dan 28 hari) |
1851 – 28 Disember 1930 (sekitar umur 79 tahun) |
| |||||
| Kesultanan Riau-Lingga dibubarkan oleh Belanda pada tahun 1911 | |||||||||
Garis masa









