Timor adalah sebuah pulau di Indonesia, terbahagi antara negara merdeka Timor Leste (Timor Timur) dan Timor Barat, iaitu termasuk dalam sebahagian dari Provinsi Nusa Tenggara Timur di Indonesia. Luas Pulau Timor sekitar 30,777 km². Nama pulau ini diambil dari kata "timur", bahasa Melayu untuk timur; dinamakan demikian kerana ia terletak di hujung timur rantai kepulauan.
Pada bahagian selatan dan tenggara Timor terletak negara Australia. Pada sebelah barat laut adalah pulau Sulawesi dan pada arah barat ialah pulau Sumba. Pada sebelah barat-barat laut Timor adalah kepulauan Flores dan Alor, dan pada sebelah timur laut terletak Kepulauan Barat Daya, termasuk Wetar.
Timor, bersama dengan Kepulauan Sunda Kecil pada barat laut dan kepulauan kecil lainnya pada timur laut, ditutup oleh hutan kering tropika. Banyak pohon yang gugur daunnya pada musim kemarau.
Menurut mitos rakyat tempatan, pulau Timor dulunya adalah seekor buaya raksasa.
Pulau Timor telah dibahagi menjadi dua bahagian selama berabad-abad: Timor Barat, yang dikenali sebagai "Timor Belanda" dari tahun 1800-an hingga 1949 ketika ia menjadi "Timor Indonesia", sebuah bahagian dari negara Indonesia yang terbentuk dari bekas Hindia Belanda; dan Timor Timur yang dikenali sebagai Timor Portugis dari tahun 1596 hingga 1975. Wilayah Timor Timur juga mencakupi kawasan yang dinamakan "Enclave Oecussi-Ambeno" di Timor Barat. Belanda dan Portugis tidak menyelesaikan masalah perbatasan ini dengan rasmi hingga 1912.
Timor Timur ('Tim-Tim') menjadi sebahagian dari Indonesia tahun 1976 sebagai provinsi ke-27 setelah Gabenor Jeneral Timor Portugis terakhir Mario Lemos Pires melarikan diri dari Dili setelah tidak mampu mengawal keadaan yang pada masa itu berlakunya perang saudara.
Amerika Syarikat dan Australia "merestui" tindakan Indonesia kerana takut Timor Timur menjadi kubu komunisme terutama kerana kekuatan utama di perang saudara Timor Timur. Namun PBB tidak menyetujui tindakan Indonesia. Setelah pemungutan suara yang diadakan tahun 1999 di bawah perjanjian yang ditaja oleh PBB antara Indonesia dan Portugis, kebanyakan penduduk Timor-Timur tidak setuju dengan autonomi yang ditawarkan oleh Indonesia. Timor-Timur meraikan kemerdekaannya pada tahun 2002 dengan sokongan luar biasa daripada PBB.
Bangsa Timor di Malaysia
Kewujudan bangsa Timor di Malaysia mungkin agak janggal bagi masyarakat di Semenanjung Malaysia namun di Sabah bangsa Timor adalah kumpulan masyarakat yang sangat dikenali. Mereka adalah golongan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia secara sah sama seperti bangsa Bugis yang merupakan kumpulan majoriti rakyat Indonesia di Malaysia. Bangsa Timor walaupun tidak seramai Bugis Indonesia namun mereka sangat dihormati kerana kerajinan dan kemampuan mereka bekerja di ladang-ladang atau di kawasan projek perumahan. Mereka sangat dikenali sebagai pekerja yang produktif, tahan lasak dan boleh dipercayai. Tidak hairanlah mereka hari ini bertebaran di seluruh negeri Sabah sebagai pekerja asing yang paling diperlukan.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Timor |