![]() | |
![]() | |
Intisari agensi | |
---|---|
Dibentuk | 30 Oktober 2002 | (Program PLKN diperkenalkan semula pada 9 Oktober 2023 )
Menteri bertanggungjawab | |
Timbalan menteri bertanggungjawab | |
Agensi induk | Kementerian Pertahanan Malaysia |
Program Latihan Khidmat Negara (Jawi: ڤروݢرم لاتيهن خدمت نݢارا) atau PLKN ialah sebuah kursus latihan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan persekutuan Malaysia. Ia mula digagaskan pada 2002 dengan pembentukan Jabatan Latihan Khidmat Negara, dan memulakan program pada 2004. Pelaksanaannya pernah ditangguhkan pada 2015 [1], dan diperkenalkan semula pada 2016, dengan anggaran pelaksanaan penuh pada 2019.
Walau bagaimanapun, program ini telah dimansuhkan pada 2018 apabila kerajaan persekutuan diambil alih oleh Pakatan Harapan. Pada 9 Oktober 2023, Menteri Pertahanan Malaysia, telah mengumumkan bahawa pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dijalankan untuk meneruskan PLKN dengan kerangka latihan yang berbeza. Pada 27 Jun 2024, mesyuarat kabinet yang telah dipengerusikan oleh YAB Dato Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju supaya Kementerian Pertahanan Malaysia melaksanakan semula PLKN dengan konsep dan format baharu yang baik untuk semua yang berumur antara 17 hingga 35 tahun.
Latar belakang
Sebuah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah dibentuk dalam Mesyuarat Kabinet pada 30 Oktober 2002 untuk mengkaji keperluan pelaksanaan Kerahan Tenaga ini. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan dan dianggotai oleh 7 Menteri, seorang Penasihat Perdana Menteri yang bertaraf Menteri dan 5 Timbalan Menteri.
Di dalam mesyuarat pertama pada 12 November 2002, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kerahan Tenaga telah menerima pengunaan istilah Khidmat Negara bagi menggantikan istilah Kerahan Tenaga. Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara (JKMKN) telah menubuhkan 4 buah Jawatankuasa Kecil iaitu Jawatankuasa Kecil Kewangan, Jawatankuasa Kurikulum, Jawatankuasa Undang-Undang dan Jawatankuasa Logistik bagi membantu jawatankuasa ini menyediakan perancangan dan menyelaraskan keperluan pelaksanaan Program Khidmat Negara.
Kabinet pada 28 Mei 2003 telah meluluskan cadangan pelaksanaan Program Khidmat Negara dan Akta Latihan Khidmat Negara 2003. Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Latihan Khidmat Negara pada 25 Jun 2003 manakala Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang ini pada 7 Julai 2003.
Objektif
Program Khidmat Negara akan dilaksanakan bagi mencapai objektif yang telah digariskan seperti berikut:
- Meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
- Memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
- Membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
- Menyemarakkan semangat kesukarelaan.
- Melahirkan generasi muda yang lebih cergas,cerdas dan penuh keyakinan diri.
Pelaksanaan
Dalam melaksanakan Program Khidmat Negara ini, beberapa aspek penting telah diambil kira iaitu seperti:
- Jangka masa latihan selama 3 bulan secara berkhemah dan berasrama.
- Pelaksanaan telah dimulakan pada tahun 2004.
- Kemudahan infrastruktur latihan dan kemudahan-kemudahan asrama seperti yang terdapat di kem-kem PLKN seluruh negara.
- Implikasi kewangan.
- Menghadkan kesan ke atas sistem pembelajaran yang sedang berjalan.
- Guna tenaga dari segi kepakaran dan pengalaman.
Modul Latihan
Pelatih PLKN akan menjalani latihan modul-modul yang ditetapkan oleh JLKN iaitu seperti
- Modul Fizikal
- Modul Kenegaraan
- Modul Pembinaan Karakter
- Modul Khidmat Komuniti
- Modul Fizikal adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang berkesan. Secara khususnya, latihan-latihan yang dilalui dapat mengeratkan perpaduan di kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan mental bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman, keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam kumpulan. Di samping itu, peserta akan dilatih oleh para jurulatih untuk mempelajari melalui pengalaman dalam aktiviti-aktiviti seperti kawad, kraf hutan, pertolongan cemas, membaca peta, kompas, latihan pandu arah, menyeberangi sungai, merempuh halangan, aktiviti menggunakan tali (litar tali tinggi dan rendah), merentas desa, seni mempertahankan diri, aktiviti air, kembara hutan dan lain-lain. Modul ini dilaksanakan selama empat minggu di dalam dan di persekitaran tapak perkhemahan.
- Modul Kenegaraan adalah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan perasaan cinta serta pengorbanan para peserta program kepada negara. Melalui latihan dalam kumpulan, jurulatih memimpin kumpulan untuk mempelajari tentang kenegaraan yang merangkumi tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan dan cabaran-cabaran dalam dan luar negara. Melalui elemen Tanah Air, peserta akan dibantu membina serta memupuk rasa sayang kepada tanah air dan sanggup mempertahankannya. Peserta membincangkan tentang negara dari segi aspek geografi, keindahan bumi ini, hasilnya, sempadan dan lain-lain. Peserta dapat mengetahui asal-usul pelbagai ras, etnik, membina rasa sayang sesama etnik dan antara etnik, memahami kepentingan bersatu-padu melalui aktiviti seperti menganalisis fakta tentang etnik, mengharmonikan perbezaan, memahami persamaan dan sebagainya melalui elemen Rakyat. Elemen Kerajaan pula membantu peserta memahami bagaimana negara (tanah air, rakyat, kedaulatan) ini ditadbir dan diurus, melalui sistem pentadbiran, undang-undang, perlembagaan dan lain-lain. Peserta memahami kepentingan dan cara untuk mempertahankan kebebasan negara melalui elemen Kedaulatan. Cabaran dari dalam dan luar negara juga diperbincangkan supaya peserta menyedari peluang dan ancaman yang datang secara berterusan. Modul ini dilaksanakan selama tiga minggu dan pelbagai kaedah digunakan seperti lawatan, simulasi, lakonan, dinamik kumpulan, menonton gambar, melukis, berdebat, mentafsir peristiwa dan lain-lain.
- Modul Pembinaan Karakter adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina karakter yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negara. Terdapat dua komponen yang akan dilalui peserta di mana yang pertama berfokus kepada pembinaan diri dan kedua adalah tentang diri dengan orang lain. Di dalam komponen pertama, peserta melalui proses penerokaan diri sendiri, menyedari dan mengenal pasti ciri-ciri diri (seperti aspek kepimpinan), memperkayakan kekuatan dan memulihkan kelemahan diri. Peserta menyedari tentang penglibatan orang lain dalam kehidupan mereka, mengetahui kemahiran untuk bekerja sebagai ahli satu pasukan, cara bertindak sebagai pemimpin dalam kumpulan, dan mengatasi masalah di dalam kumpulan semasa melalui komponen kedua modul ini. Melalui aktiviti-aktiviti ceramah, permainan, latihan dan lain-lain, pelatih belajar tentang kejujuran, membuat pilihan, bertanggungjawab, memimpin, menunaikan janji (komitmen) dan membina keyakinan diri. Modul ini dilaksanakan selama dua minggu dan peserta dipimpin oleh jurulatih.
- Kehidupan ini tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan untuk mencuba sesuatu.” Kesukarelaan dan jatidiri yang kukuh dan padu perlu dijanakan dalam diri setiap individu untuk menyuburkan kekuatan serta keyakinan diri. Dengan itu, sebagai langkah merealisasikan aspirasi tersebut, Program Latihan Khidmat Negara telah dilaksanakan dengan memperkenalkan beberapa modul tertentu kepada para pelatih yang berumur 18 tahun. Salah satu modul yang terdapat dalam pelaksanaan Program latihan Khidmat Negara ialah Modul Khidmat Komuniti . Modul khidmat komuniti mempunyai lima komponen utama iaitu kemudahan awam, kejiranan, khidmat sosial, alam sekitar dan penempatan di Jabatan. Ini bermakna, sepanjang program berjalan, para pelatih akan melalui kelima-lima komponen tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan. Aktiviti bagi melaksanakan aktiviti secara kolektif dan menyeluruh, aktiviti sepanjang siri dibahagikan kepada 5 pecahan komponen supaya wira dan wirawati mampu memahami aspirasi khidmat komuniti di antaranya ialah:
- Kejiranan – Antara projek utama yang dijalankan ialah mengecat dewan orang ramai, pembahagi jalan, menceriakan taman, lawatan ke rumah-rumah jiran di kawasan kampong, melakukan program anak angkat dan pelbagai lagi.
- Kemudahan awam – para pelatih turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti di lokasi-lokasi terpilih. Antaranya ialah pembaikpulihan perhentian bas, pembaikpulihan dewan masyarakat, memberi kesedaran kepada para pelatih dan masyarakat tempatan mengenai kepentingan kemudahan awam melalui ceramah ringkas, gotong-royong di rumah-rumah ibadat seperti masjid, kawasan kubur dan sebagainya.
- Antara aktiviti yang dijalankan dalam komponen ini adalah mendengar taklimat daripada institusi-institusi yang dilawat seperti Bengkel Orang Kurang Upaya, PENGASIH, hospital, klinik-klinik desa dan pelbagai lagi.
- Aktiviti yang paling banyak dilakukan ialah gotong-royong seperti membersihkan, mengindahkan dan menceriakan kawasan sekitar.
Konsep logo

- Konsep logo yang cuba ditonjolkan ialah api yang sedang membara melambangkan semangat patriotisme.
- Bentuk api dihasilkan dengan jalur merah melambangkan 3 suku kaum utama di Malaysia bersatu padu mempertahankan negara.
- Bentuk bulat berwarna biru menandakan perpaduan yang erat antara yang terjalin antara kaum.
- Bentuk bulan dan bintang pula melambangkan kedaulatan negara yang harus dipertahankan oleh semua pihak.
- Perkataan KHIDMAT NEGARA dibentuk mencakupi bentuk api tadi bagi melambangkan misi dan visi yang akan dilaksanakan.
Isu dan tengkarah
Pemilihan rawak
Peserta kursus ini dipilih secara rawak tanpa perbincangan dengan pihak sekolah atau pihak berkuasa tempatan (penghulu). Perkara ini menimbulkan kritikan kerana timbulnya beberapa kes di mana mereka yang tidak upaya turut dipanggil bagi melapor diri bagi kursus Program Latihan Khidmat Negara. Terdapat juga beberapa kes di mana peserta program dipilih dari kalangan ibu muda serta remaja miskin yang terpaksa bekerja untuk menyara hidup, sebagaimana nasib yang ditimpa oleh seorang remaja miskin, Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi dari Perlis. Tindakan kerajaan memilih bakal pelatih tanpa mengetahui latar belakang mereka disifatkan sesetengah pihak sebagai tidak berperikemanusiaan. Selain itu beberapa pihak telah menimbulkan isu kemungkinannya berlaku masalah keselamatan seperti kemungkinan berlakunya kes rogol[2],[3], buli, atau salah laku seksual[4] pada anak mereka.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan bahawa semua perkara tersebut telah diambil kira dan menjamin tidak akan berlaku. Selain itu, mereka yang tidak dapat hadir diminta menulis surat bagi mendapatkan penangguhan atau pengecualian daripada menghadiri Program Latihan Khidmat Negara.
Rentetan pengingkaran hadir ke PLKN, pihak berkuasa telah mengambil tindakan tegas bagi mempenjarakan mereka yang tidak hadir. Tindakan itu menerima kritikan hebat oleh beberapa pihak yang melihat hukuman yang dikenakan tidak berpadanan dengan kesalahan.
Ini kerana mereka yang dihukum penjara pastinya ditempatkan kedalam penjara bersama-sama penjenayah berat lain. Selain itu masa depan mereka juga akan hancur akibat rekod penjara mereka, dan mereka yang kurang mampu berkemungkinannya akan menerima hukuman berat akibat tidak mempunyai wang bagi mendapatkan peguam bagi membela diri. Ini adalah nasib yang di tempoh oleh Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi, peserta PLKN yang pertama dipenjarakan akibat kesalahan tidak hadir bagi Program Latihan Khidmat Negara.
Kematian
Sejak PLKN diadakan pada tahun 2004 sehingga 2007, daripada 14 kematian pelatih yang dilaporkan, tujuh meninggal dunia kerana penyakit yang mereka hidapi termasuk sakit jantung, asma dan jangkitan kuman dan denggi.[5]
Senarai pusat latihan
Pelaksanaan PLKN 3.0 (2025)
Program ini dijalankan di kem tentera dan menggunakan modul 70% latihan ketenteraan asas, 30% kenegaraan dan jati diri. [6]
Siri | Tarikh | Lokasi | Peserta |
---|---|---|---|
Siri 1/2025 | 12 Januari 2025 – 25 Februari 2025 | Kem Rejimen 515 AW, Kuala Lumpur | 116 pelatih |
Siri 2/2025 | 11 Mei 2025 – 24 Jun 2025 | Kem Rejimen 505 AW, Pahang | 550 pelatih |
Siri 3/2025 | 7 Sep 2025 – 21 Oktober 2025 | Lokasi sama | Akan diumumkan |
Berikut adalah senarai kem latihan mengikut negeri dan daerah berserta status semasa
Negeri | Lokasi | Kem |
---|---|---|
Johor | Mersing | Pusat Bina Semangat YPJ |
Mersing | Kem Rekreasi Pertanian Teluk Sari | |
Pagoh | Kem Nasuha | |
Desaru | Kem Desaru Gerak Khas | |
Batu Pahat | Kem Sembrong | |
Kluang | Kem PTH Padang Hijau | |
Tangkak | Kem Sri Ledang | |
Kedah | Langkawi | Kem Beringin Beach Resort |
Sik | Kem Rimba Taqwa | |
Kuala Nerang | Kem Dusun Resort | |
Kulim | Kem Bukit Besar | |
Merbok | Kem Damai Park Resort | |
Sintok | Kem Sintok Universiti Utara Malaysia | |
Baling | Kem Rekreasi Belia | |
Langkawi | Kem Lagenda Seri Negeri | |
Kubang Pasu | Kem Sri Kandi | |
Kubang Pasu | Kem Gardenia | |
Kubang Pasu | Kem D' Jelapang | |
Kelantan | Pasir Puteh | Kem Kisana Beach Resort |
Gua Musang | Kem Latihan Etnobotani | |
Pasir Mas | Kem Cancun Park | |
Kuala Krai | Kem Latihan Batu Jong | |
Melaka | Masjid Tanah | Kem Warisan |
Ayer Keroh | Kem Taman Rekreasi Ayer Keroh | |
Pekan Asahan, Jasin | Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan | |
Alor Gajah | Kem Putra-Putri | |
Negeri Sembilan | Jempol | Kem De Bana |
Rembau | Kem Ulu Pari | |
Port Dickson | Kem PDS Resort | |
Kuala Pilah | Kem Karisma | |
Mantin | Kem Seri Perkasa | |
Rembau | Kem Titian Bintagor | |
Tanjung Tuan | Kem Rachado Bay | |
Pahang | Raub | Kem Benum Hill Resort |
Bandar Muadzam Shah | Kem Pinggiran Pelangi | |
Kuala Rompin | Kem Summerset Resort | |
Lake Chini | Kem Lake Chini Resort | |
Gambang | Kem Gambang (Resort Agro Sungai Semuji) | |
Cherating | Kem Cahaya Gemilang | |
Pekan | Kem Semarak | |
Bentong | Kem Chamang | |
Maran | Kem Indera Pahlawan | |
Pulau Pinang | Sungai Bakap | Kem Sri Impian |
Balik Pulau | Kem White Resort | |
Balik Pulau | Kem Sri Mutiara | |
Bukit Mertajam | Kem Syruz | |
Perak | Manjung | Kem Akademi Kepimpinan Segari |
Ayer Tawar | Kem Kg Baharu (De Air' Resort) | |
Sungai Siput | Kem Terkok | |
Lumut | Kem Teluk Rubiah | |
Gopeng | Kem Taman Kepimpinan Gemilang | |
Sungkai | Kem Sinaran Suria | |
Selama | Kem Tegas Mesra | |
Chenderiang | Kem Sentosa | |
Gunung Semanggol | Kem Jiwa Murni | |
Perlis | Wang Kelian | Kem Tasik Meranti |
Beseri | Kem Tasoh | |
Padang Besar | Kem Guar Chenderai | |
Sabah | Sandakan | Kem Bagai Budi Resort |
Tuaran | Kem KK Dibawah Bayu | |
Sipitang | Kem Kubena | |
Papar | Kem Ovai Wawasan | |
Tawau | Kem San Shui | |
Kota Belud | Kem Sinar Jaya | |
Tambunan | Kem Tanaki | |
Sarawak | Betong | Kem Bukit Saban Resort |
Miri | Kem Miri, Batang Rait | |
Sibu | Kem Junaco Park (BN 9 Rejimen Sempadan) | |
Bintulu | Kem Similajau | |
Serian | Kem Juara | |
Sematan | Kem Putra Sentosa | |
Sibu | Kem Bumimas (kini diduduki oleh BN 6 Rejimen Sempadan) | |
Bau | Kem Puncak Permai (kini diduduki BN.10 Rejimen Sempadan) | |
Selangor | Kuala Langat | Kem Paya Indah |
Kuala Kubu Bharu | Kem Bina Semangat, Kem Pelangi Hill Resort | |
Rawang | Kem Temasya Rimba Templer, Taman Templer | |
Sepang | Kem Princess Haliza (kini milik Jabatan Penjara Malaysia) | |
Beranang | Kem Millennium | |
Banting | Kem Jugra Banting | |
Behrang | Kem Geo Cosmo | |
Semenyih | Kem Setia Ikhlas | |
Terengganu | Setiu | Kem Merang Suria Holiday |
Setiu | Kem Peladang Setiu Agro Resort | |
Kemaman | Kem Latihan Cheneh Cemerlang Training | |
Kerteh | Kem Bakau Resort |
Bagaimanapun selepas pemansuhan PLKN pada Ogos 2018 , banyak kem PLKN milik persendirian (operator) alami kerugian berjuta ringgit kerana kos selenggara ,logistik , kakitangan dan lain-lain hingga menyebabkan terpaksa tutup pusat latihan tersebut.Dan ada juga beberapa kem dijadikan milik agensi kerajaan termasuk Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia kedua-dua agensi gunakan kem PLKN sedia ada sebagai Depoh Sementara Tahanan Pendatang Asing (DSTPA) atau Pusat Pemulihan Penjara.Manakala di Sarawak pula Rejimen Sempadan dari Tentera Darat Malaysia guna untuk kem anggota batalion di bawah rejimen itu dan selebihnya terbiar hingga jadikan sarang penagih dadah mahupun tumpuan kumpulan paranormal ada juga teruskan dengan buka kem motivasi dan inap desa
Menurut laporan Berita Harian,sebahagian pengusaha kem PLKN dibebani hutang jutaan ringgit, malah ada sudah diisytihar muflis kerana tidak mampu membayar pinjaman bank antara RM12 hingga 19 juta yang dibuat untuk projek membina, tambah baik dan naik taraf kem. Semua Lokasi ini kini telah terbiar selama bertahun-tahun.
Pemansuhan
Pada 13 Ogos 2018, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman , Menteri Belia dan Sukan Malaysia mengumumkan bahawa Program Latihan Khidmat Negara akan dimansuhkan berkuat kuasa serta-merta berikutan beberapa siri perbincangan dalam mesyuarat kabinet. [ 36 ] [ 37 ] [ 38 ] Keputusan itu dibuat memandangkan PLKN dan BTN telah disalahgunakan oleh pihak tertentu kerana indoktrinasi yang sesat. [ 39 ] Beliau juga mengumumkan rancangan untuk merangka program penggantian yang akan memberi tumpuan kepada pembentukan belia yang berwawasan, yang juga akan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara . [ 40 ] [ 38 ], bagaimanapun, Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim telah memperkenalkan semula PLKN pada tahun 2023 dan PLKN mula dilaksanakan secara berperingkat pada Januari 2025 hingga kini. ia dilaksanakan di Kem-kem Askar sedia ada di seluruh negara bagi mengelakkan pembaziran. Antara yang Perdana menteri tegaskan adalah bahawa :
1. Keutamaan kepada pelajar kadet sekolah :
Anwar menegaskan bahawa pelajar yang pernah menyertai aktiviti kadet sekolah akan diberi keutamaan untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) versi 3.0. Keputusan ini dibuat hasil Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang dipengerusikan olehnya.
2. Pelaksanaan yang teliti dan dimodenisasi :
Beliau menyeru agar pelaksanaan PLKN 3.0 dijalankan dengan penuh keprihatinan, penambahbaikan berterusan dan pendekatan yang disesuaikan dengan keadaan semasa.
3. Matlamat membentuk generasi cekal dan bertanggungjawab :
Anwar menekankan bahawa program ini penting bagi membentuk generasi muda Malaysia yang daya tahan tinggi, cekal menghadapi rintangan, dan mampu menyumbang kepada negara sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta setahun untuk program ini berbanding dengan PLKN 1.0 dan PLKN 2.0 yang jumlahnya agak banyak dengan RM565 juta untuk PLKN 1.0 dan RM361 juta untuk PLKN 1.0 di bawah pimpinan Kerajaan Perdana menteri ketika itu, iaitu Najib Razak.
Nota
- ^ Hassan, Khai (2015-01-19). "PLKN Sesi 2015 Ditangguhkan Untuk Jimat RM400 Juta | Oh! Media" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-08-07.
- ^ Bekas pelatih PLKN kena rogol saman jurulatih.[pautan mati kekal]
- ^ Pelatih pernah lapor dirogol ke pihak atasan.[pautan mati kekal]
- ^ Jurulatih disoalsiasat berhubung kes cabul pelatih lelaki PLKN.
- ^ Peserta PLKN perlu isytihar tahap kesihatan Utusan Malaysia
- ^ "National Service 3.0 same modules regardless of gender". The Star. Dicapai pada 31 Julai 2025.
Lihat Juga
- Kementerian Pertahanan Malaysia
- Jabatan Latihan Khidmat Negara Malaysia
- Majlis Latihan Khidmat Negara Malaysia
Pautan luar
- Laman utama PLKN Diarkibkan 2018-04-03 di Wayback Machine
- Forum Khas PLKN untuk Peserta, Jurulatih, Ibu-Bapa & Umum Diarkibkan 2016-10-21 di Wayback Machine