Rencana ini mungkin boleh dikembangkan melalui teks yang diterjemah daripada rencana yang sepadan dalam Wikipedia Bahasa Cina. (November 2022)
Klik [tunjuk] pada sebelah kanan untuk melihat maklumat penting sebelum menterjemahkan.
|
Mitologi Cina ialah sehimpunan sejarah kebudayaan, cerita rakyat, dan agama yang diturunkan dalam tradisi lisan mahupun bertulis, termasuklah mitos dan lagenda penciptaan dunia dan mitos-mitos berkenaan pengasasan kebudayaan Cina dan negara China. Seperti mitos-mitos lain, mitos Cina pernah sedikit sebanyak dipercayai sebagai fakta sejarah.
Para sejarawan menduga bahawa mitologi Cina bermula asasnya seawal-awal abad ke-12 SM. Mitos dan legendanya diturunkan dalam bentuk lisan selama ribuan tahun, baik secara lakon pentas mahupun secara lagu atau berseloka, sebelum dapat dirakamkan dalam bahan pustaka seperti Shan Hai Jing dan sebagainya. Surat-surat diraja dan hukum falsafah seperti Shangshu, Shiji, Liji, Lüshi Chunqiu dan sebagainya, semuanya mengandungi unsur mitos Cina.
Konsep utama
Sesetengah mitos masih terpelihara dalam bentuk teater atau sastera, sebagai lakon pentas atau novel. Antara bahan-bahan mitos terpenting yang dianggap sebagai rekod mitos yang paling sahih termasuklah:
- Puisi negeri-negeri kuno, seperti Lisao oleh Qu Yuan dari Negara Chu.
- Fengshen Yanyi, atau Permasyhuran Dewa-Dewi, cereka mitos yang membincangkan penubuhan dinasti Zhou.
- Xi You Ji, oleh Wu Cheng'en dan diterbitkan pada 1590-an, pencerekaan kisah penziarahan Xuanzang ke India untuk memperoleh kitab suci Buddha, di mana para penziarah bertembung dengan hantu, raksasa, syaitan dan Gunung-Ganang Membara.
- Baishe Zhuan, kisah asmara berlatarkan Hangzhou yang menceritakan seekor ular betina menjelma dalam bentuk manusia lalu jatuh cinta pada seorang lelaki.
Tokoh-tokoh utama yang terlibat dalam asal-usul manusia dalam mitos Cina:
- Tian (天 ) dan Shangdi (上帝 ): kedua-dua nama ini dijumpai dalam catatan bersejarah seawal 700 SM. Walaupun lama-kelamaan disatukan sebagai satu entiti iaitu Huangtian Shangdi (皇天上帝 ), namun kedua-duanya lain ertinya. Tian bererti "langit", "angkasa" atau "syurga", dan tidak memaksudkan sebarang tuhan pencipta, sedangkan Shangdi bererti "atas maharaja", oleh itu barulah membawa maksud "Yang Maha Besar".
- Yudi (玉帝 "Maharaja Jed") mula dinyatakan dalam sastera selepas penubuhan fahaman Tao. Baginda merupakan pemerintah Syurga, Manusia dan Neraka. Yudi sering disamakan dengan Tian dan Shangdi dalam konteks sembahyang.
- Nüwa (女媧 ) dan Fuxi (伏羲 ) disebut dalam sastera seawal-awalnya tahun 350 SM. Mereka berdua dipuja sebagai leluhur terulung segala manusia yang dipercayai mengacu tanah liat untuk membentuk manusia sebagai teman.
- Pangu (盤古 ) merupakan makhluk hidup pertama dan pencipta segalanya, mulai dinyatakan sekitar 200 M.
Zaman
Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja
Sewaktu atau selepas zaman Nuwa dan Fuxi, datangnya zaman Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja (三皇五帝). Para pemerintah legenda ini memerintah dari sekitar tahun 2850 SM hingga 2205 SM, sebelum dinasti Xia.
Nama-nama Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja ini banyak berbeza mengikut sumbernya, tetapi yang paling diterima umum (dipetik dari Shangshu) adalah seperti berikut:
- Tiga Tokoh Mulia (Huang):
- Lima Maharaja (Di):
- Shaohao (少昊) - Ketua Dongyi (Gasar Timur).
- Zhuanxu (顓頊) - Cucunda Huang Di.
- Di Ku (帝嚳) - Cicit Huang Di; anak saudara Zhuanxu.
- Yao (堯) - Anakanda Di Ku. Kekandanya mewarisi takhta Di Ku, tetapi turun takhta setelah didapati tidak memerintah secara berkesan.
- Shun (舜) - Yao mengetepikan anakanda sendiri untuk melantik Shun sebagai pewarisnya kerana kebolehan dan kemurnian Shun.
Kesemua pemerintah ini disanjung tinggi sebagai pemimpin yang tinggi kesusilaan dan kemurniannya, supaya dicontohi oleh raja-raja dan maharaja-maharaja yang selanjutnya. Apabila Qin Shi Huang menyatukan China pada 221 SM, baginda percaya bahawa segala pencapaiannya telah mengatasi apa yang dikecapi oleh semua raja sebelumnya. Baginda menggabungkan gelaran kuno Huang (皇) dan Di (帝) untuk membentuk gelaran baru, iaitu Huangdi (皇帝), yakni "Maharaja".
Banjir Raksasa
Shun menyerahkan kepimpinan puak Huaxia kepada Yu (禹). Sungai Kuning seringkali melimpah, dan pernah menyebabkan banjir besar pada zaman Yao. Ayahanda Yu, Gun, ditugaskan mengawal banjir oleh Yao, tetapi gagal meringankan masalah itu selepas sembilan tahun. Beliau dihukum mati oleh Shun, maka Yu mengambil alih tempat bapanya, lalu memimpin rakyat supaya membina terusan dan tetambak. Selepas 13 tahun menitis peluh dan darah, akhirnya masalah banjir diatasi di bawah perintah Yu. Shun menawarkan tanah Xia (kini Kaunti Wan di Henan) kepada Yu. Selepas kemangkatannya, Shun menyerahkan kepimpinan kepada Yu. Sumber utama kisah Yu dan Banjir Raksasa ini datangnya dari Rancangan Yu Agung dalam Shangshu (尚書·大禹謨). Atas jasa pencapaiannya kerana meleraikan Banjir Raksasa, Yu mendapat gelaran Da Yu atau "Yu Agung" (大禹). Baginda juga dikenali sebagai Maharaja Yu (帝禹), sama seperti para pemerintah yang sebelumnya.
Dinasti Xia
Selepas Yu mangkat, kepimpinannya tidak diserahkan kepada timbalannya, tetapi diwariskan kepada anakandanya, iaitu Qi. Sumber-sumber bertentangan pendapat tentang bagaimana Qi mendapat jawatan pemerintah. Kebanyakan versi sepakat bahawa Yu mula-mula menetapkan timbalannya, Gao Yao (皋陶), sebagai pewarisnya, tetapi Gao Yao mati sebelum baginda, jadi terpaksalah Yu melantik anakanda Gaotao, itu Bo Yi (伯益) sebagai pewaris. Satu versi menceritakan bahawa semua rakyat yang setia kepada Yu lebih mengagumi Qi daripada Bo Yi, maka Yu menyerahkan kuasa kepada Qi. Satu lagi versi menegaskan bahawa Bo Yi menawarkan jawatan itu kepada Qi secara keupacaraan, dan akhirnya Qi menerimanya walaupun di luar kebiasaan, kerana beliau direstui oleh para pemimpin lain. Satu lagi versi menyatakan bahawa Qi membunuh Bo Yi lalu merampas tampuk kepimpinan.
Versi yang paling diterima secara meluas di China adalah: Yu melantik Bo Yi sebagai pewaris, kerana Bo Yi menjadi terbilang kerana mengajar rakyat menggiring haiwan dengan api ketika berburu. Bo Yi mendapat sokongan rakyat dan Yu tidak boleh mudah menentangnya. Akan tetapi, Yu memberikan jawatan tanpa kuasa kepada Bo Yi, sementara menyerahkan segala kuasa pemerintahan negara kepada anakandanya. Lama-kelamaan, kemasyhuran Bo Yi semakin pudar, manakala anakanda Yu, Qi menjadi lebih ternama. Maka Yu melantik Qi sebagai pewarisnya. Bo Yi tidak rela mengundurkan diri lalu mencabar Qi untuk merebut tampuk kepimpinan, maka tercetusnya perang saudara. Atas sokongan padu dari rakyat, Qi menumpaskan bala tentera Bo Yi, membunuh Bo Yi, dan mengukuhkan pemerintahannya.
Pewarisan Qi ini mematahkan kelaziman pewarisan atas kepujian yang terdahulu, serta memulakan apa yang dikatakan sebagai wangsa pertama sejarah China, iaitu "Xia" yang dinamakan sempena ibu kota Yu.
Dinasti Xia merupakan zaman yang separa mitos. Catatan Sejarawan Agung dan Sejarah Buluh merakamkan nama-nama 17 raja Dinasti Xia. Bagaimanapun, tiadanya bukti kukuh mengenai ibu kotanya atau kewujudannya sebagai sebuah negara walau betapa besar pun. Bukti arkeologi tamadun bandar Cina sebelum Dinasti Shang kini masih belum ditemui.
Dinasti Shang
Jie, raja terakhir dinasti Xia, dikhabarkan sebagai pemerintah kuku besi yang suka menumpahkan darah. Seorang pemimpin puak bernama Tang memberontak melawan kekuasaan Xia, lalu akhirnya menggulingkan Jie dan mengasaskan Dinasti Shang yang bertapak di kota Anyang. Pustaka kelima Mozi menyifatkan berakhirnya dinasti Xia dan bangkitnya dinasti Shang. Ketika zaman pemerintahan Raja Jie dari Xia, persekitaran mengalami perubahan hebat. Peredaran matahari dan bulan berubah, musim-musim berkecamuk tak keruan dan lima jenis biji-bijian menjadi kering. Pelesit meraung di merata negara, dan burung jenjang memekik-mekik selama sepuluh malam lebih. Shang Tang diperintah oleh Syurga untuk mendapatkan mandat syurga dari dinasti Xia. Akhirnya dinasti Xia hilang moralnya dan Syurga menentukan kesudahannya. Maka, Shang Tang diperintah untuk menghancurkan Xia dengan dijanjikan bantuan Syurga. Dalam kegelapan, kubu Xia dimusnahkan oleh Syurga, jadi Shang Tang mudah memenangi perangnya.[1]
Dinasti Shang memerintah dari ca. 1766 SM hingga ca. 1050 SM, dan berkesudahan dengan raja terakhirnya yang zalim, Zhou dari Shang, yang digulingkan oleh Dinasti Zhou. Berakhirnya dinasti Shang dan penubuhan Dinasti Zhou menjadi titik tengah cereka mitos yang berpengaruh, iaitu Pemasyhuran Dewa-Dewi (封神演義). Peralihan kuasa ini juga diperikan dalam pustaka kelima Mozi. Sewaktu pemerintahan Shang Zhou, tahap kesusilaan dan keabaiannya membuat korban tepat pada masanya tidak tertahan oleh Syurga. Maka negara dihujani lumpur sepuluh hari sepuluh malam, sembilan kawah (yang kononnya digunakan dalam bidang astronomi atau menyukat pergerakan bumi) beralih arah, pontianak muncul dan hantu meraung pada waktu malam. Ada wanita yang bertukar menjadi lelaki, negara dihujani daging dan jalan rayanya dilitupi semak berduri. Seekor burung merah mengutuskan pesanan "Syurga menitahkan Raja Wen dari Zhou untuk menghukum Yin dan merampas kerajaannya". Sungai Kuning membentuk peta, dan bumi membawakan kuda dewa. Apabila Wu menjadi raja, tiga dewa menghadap baginda dalam mimpi untuk memaklumkan baginda bahawa mereka melemaskan Shang Zhou dalam arak supaya Raja Wu boleh menyerangnya. Sekembalinya daripada kemenangannya, baginda dikurniakan lambang burung kuning dari Syurga.
Berbeza dengan dinasti Xia, adanya bukti arkeologi yang jelas mengenai sebuhah pusat kerajaan di Yinxu di Anyang, dan sebuah tamadun bandar pada dinasti Shang. Namun demikian, kronologi sebenar tiga dinasti pertama masih menjadi titik pertikaian.
Penciptaan dan Dewa-Dewi
Maharaja Jed menyandang tugas mentadbir tiga alam, iaitu syurga, neraka dan alam hidupan. Baginda menghakimi dan melaksanakan ganjaran dan hukuman terhadap tindakan para keramat, orang yang hidup dan yang mati berlandaskan sistem kepujian yang dikenali sebagai Jinlü Yupian (玉律金篇 , "Helaian Emas Rukun Jed"). Apabila pengadilan yang diusulkan dibantah oleh keramat yang lain, pentadbiran terpaksa mengambil jalan keluar dengan mendapat nasihat ketua-ketua penasihat.
Naga
Naga Cina merupakan salah sejenis makhluk yang terpenting dalam mitos Cina. Naga dianggap sebagai makhluk yang paling berkuasa dan kedewaan, dan dipercayai sebagai pengawal segala perairan. Naga melambangkan kuasa besar yang sentiasa mendukung perwira dan dewa-dewi. Antara naga-naga terkenal dalam mitos Cina ialah Yinglong ("Naga Pembalas") yang dikatakan sebagai dewa hujan. Ramai yang memuja Yinglong di merata tempat untuk menerima hujan. Dalam mitos Cina, naga dipercayai mampu membentuk awan dengan nafasnya. Adakalanya, Bangsa Cina menggunakan istilah "Keturunan Naga" sebagai lambang identiti etnik mereka.
Agama dan mitos
Mitos Cina menjalin interaksi yang hebat dengan sistem kepercayaan utama dalam budaya Cina, iaitu Konfusianisme, Taoisme, dan Buddhisme.
Dari satu segi, unsur-unsur mitos pra-dinasti Han seperti yang tercatat dalam Shan Hai Jing, disesuaikan dengan sistem-sistem kepercayaan tersebut ketika dikembangkan (bagi Taoisme), ataupun diasimilasikan dalam kebudayaan Cina (bagi agama Buddha). Dari segi yang lain pula, unsur-unsur dari pengajaran dan kepercayaan sistem-sistem ini diterapkan dalam mitos Cina. Misalnya, kepercayaan Taoisme akan syurga rohani terkandung dalam mitos sebagai tempat kediaman para dewa-dewi.
Mitos dan dewa terpenting
- Tiga Jati (三清) tritunggal Tao, makhluk yang mula-mula berubah dari kesatuan terawal
- Yuanshi Tianzun (元始天尊)
- Lingbao Tianzun (靈寶天尊)
- Daode Tianzun (道德天尊)
- Empat Maharaja (四御), raja kayangan dalam agama Tao
- Yu Huang (Maharaja Jed)
- Beiji Dadi
- Tianhuang Dadi
- Empress of Earth
- Lapan Orang Daim (八仙)
- He Xiangu (何仙姑)
- Cao Guojiu (曹國舅)
- Tie Guaili (鐵拐李)
- Lan Caihe (藍采和)
- Lu Dongbin (呂洞賓)
- Han Xiangzi (韓湘子)
- Zhang Guolao (張果老)
- Han Zhongli (漢鍾離)
- Dewa Bergelaran Buddha
- Guan Yin (觀音), dewi belas kasihan
- Milefo (彌勒佛), "Buddha gelak"
- Dizang (地藏菩薩/地藏王), raja sepuluh neraka
- Empat Raja Syurgawi (四大天王), empat tuhan penjaga dalam agama Buddha
- Gautama Buddha (釋迦牟尼), pengasas agama Buddha
- Erlang Shen (二郎神)
- Lei Gong (雷公), dewa petir
- Nezha (哪吒)
- Guan Yu (關聖帝君), dewa perang
- Zhao Gongming (趙公明)
- Bi Gan (比干)
- Kui Xing (魁星)
- Sun Wukong (孫悟空)
- Daoji (道濟)
- Mazu (媽祖)
- Zao Jun (灶君)
- Tu Di Gong (土地公)
- Town god (城隍)
- Zhong Kui (鍾馗)
- Long Mu (龍母)
- Hong Sheng (洪聖)
- Tan Gong (譚公)
- Huang Daxian (黃大仙)
- Meng Po (孟婆)
- Tiga Orang Mulia dan Lima Maharaja (三皇五帝), himpunan pemerintah legenda
- Zhu Rong (祝融)
- Gong Gong (共工)
- Chi You (蚩尤)
- Da Yu (大禹)
- Kua Fu (夸父追日)
- Cangjie (倉頡)
- Hou Yi (后羿)
- Chang'e (嫦娥)
- Niulang dan Zhinü (牛郎織女)
- Han Ba (旱魃)
- Wenchang Wang (文昌王)
- Gao Yao (皋陶)
- Tu Er Shen (兔兒神)
- Wu Gang (吳剛)
- Dua Dewi Xiangfei (湘妃): Ehuang (娥皇) dan Nüying (女英).
Makhluk mitos
- Burung:
- Fenghuang (鳳凰), cenderawasih Cina
- Jian (鶼), burung bermata satu dan berkepak satu
- Jiguang (吉光)
- Jingwei (精衛), burung yang cuba mengisi lautan dengan ranting dan batu kerikil
- Jiufeng (九鳳), burung berkepala sembilan
- Peng (鵬), burung gergasi yang kuat terbangnya
- Qing Niao (青鳥), burung utusan Xi Wangmu
- Sanzuniao (三足鳥), gagak berkaki tiga, melambangkan burung suria yang ditembak oleh Houyi
- Su Shuang (鷫鷞) a mythical bird, also variously described as a water bird, like the crane.
- Zhenniao (鴆鳥), burung beracun
- Naga:
- Mergastua:
- Qilin (麒麟), makhluk muhibah, kelembutan dan kebajikan kepada segala mergastua. Pernah disamakan dengan zirafah.
- Xiezhi (獬豸), mahkluk keadilan yang boleh membezakan bohong dan kebenaran, dan menusuk penipu dengan tanduknya.
- Baize (白澤), makhluk yang pernah bertembung dengan Huang Di untuk menyerahkan senarai segala syaitan di dunia.
- Xiniu (犀牛), sebenarnya badak sumbu yang menjadi mitos sejak sekian lama pupus di China. Tanduknya digunakan untuk berhubung dengan syurga.
- Empat Lambang (四象)
- Empat Iblis (四凶):
- Bashe (巴蛇), ular yang mampu menelan gajah
- Longma (龍馬), "naga kuda", serupa dengan Qilin
- Kui (夔), makhluk berkaki satu, juga guru muzik Shun yang mencipta muzik dan tarian
- Kun (鯤), ikan raksasa gergasi
- Jiangshi (僵屍), mayat hidup
- Luduan (甪端), makhluk pengesan kebenaran
- Yaoguai (妖怪), syaitan jembalang
- Huli jing (狐狸精), roh rubah
- Nianshou (年獸), raksasa Tahun Baru
- Niutou dan Mamian (牛頭馬面), dua syaitan berkepala lembu dan kuda
- Pixiu (貔貅), singa bersayap
- Rui Shi (瑞獅), singa bertuah
- Xiao (魈), penunggu gunung
- Xing Tian (刑天), gergasi tanpa kepala kerana dipancung oleh Huang Di sebagai hukuman kerana mencabar baginda. Mukanya terletak pada dadanya.
Tempat mitos
- Xuanpu (玄圃), kediaman pari-pari di Gunung Kunlun (崑崙).
- Yaochi (瑤池), kediaman orang daim, tempat tinggal Xi Wang Mu.
- Fusang (扶桑), pulau mitos yang ditafsirkan sebagai Jepun.
- Queqiao (鵲橋) jambatan yang dibentuk oleh burung merentas Bima Sakti.
- Penglai (蓬萊) kayangan yang berbentuk Pulau Pepari di Laut China.
- Longmen (龍門) pintu naga di mana ikan kap boleh bertukar menjadi naga.
- Di Yu (地獄), neraka dalam bahasa Cina.
Lihat juga
- Agama di China
- Agama rakyat Cina
- Astrologi Cina
- Mitos penciptaan Cina
- Naga Cina
- I Ching
- Bagua
- Mitos agama Buddha
Rujukan
- Sumber utama
- Werner, E. T. C. (1922). Myths & Legends of China. New York: George G. Harrap & Co. Ltd. Dicapai pada 2007-03-14.
- Paper, Jordan D. (1995). The Spirits are Drunk: Comparative Approaches to Chinese Religion. Albany, New York: State University of New York Press. ISBN 0791423158.