| Sun Wukong 孙悟空 | |||||||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Ilustrasi Sun Wukong dalam buku Cina lama. | |||||||||||||||||
| Nama Bahasa Cina | |||||||||||||||||
| Tulisan Cina Tradisional | 孫悟空 | ||||||||||||||||
| Tulisan Cina Ringkas | 孙悟空 | ||||||||||||||||
| |||||||||||||||||
| Vietnamese name | |||||||||||||||||
| Vietnamese | Tôn Ngộ Không | ||||||||||||||||
| Thai name | |||||||||||||||||
| Thai | เห้งเจีย | ||||||||||||||||
| RTGS | hêng jia | ||||||||||||||||
| Korean name | |||||||||||||||||
| Hangul | 손오공 | ||||||||||||||||
| |||||||||||||||||
| Nama Jepun | |||||||||||||||||
| Hiragana | そん ごくう | ||||||||||||||||
| |||||||||||||||||
Sun Wukong (孙悟空) ialah watak utama yang berupa orang monyet dalam novel epik Cina berjudul Hikayat Perjalanan ke Barat (西游记). Dalam karya tersebut, Sun Wukong menemani seorang sami bernama Xuanzang (玄奘) dalam perjalanan memperoleh kitab suci agama Buddha di India.
Sun Wukong teramat gagah perkasa, senang sekali mengangkat tongkat sakti Ruyi Jingu Bang (如意金箍棒) yang beratnya 13,500 kati (8,100 kg). Dia juga amat pantas, boleh melakukan balik kuang sepanjang 108,000 batu (54,000 kilometer). Sun Wukong boleh berubah menjadi 72 bentuk berbeza, seperti haiwan-haiwan dan benda-benda, tetapi dia menghadapi sedikit masalah apabila bertukar menjadi manusia kerana sukar menyorokkan ekornya. Sun Wukong ialah seorang pejuang mahir yang mampu melawan panglima-panglima terhandal di kayangan. Setiap carik bulunya menyimpan kuasa sakti yang boleh menjadi salinan Sun Wukong sendiri, ataupun pelbagai senjata, haiwan atau benda-benda lain. Dia juga menghafal pelbagai jampi untuk menyeru angin, membelah air, menyulapkan lingkaran lindungan daripada ancaman syaitan, di samping membeku manusia, syaitan dan dewa-dewi juga.[1]
Latar belakang
Kelahiran dan kehidupan awal
Dilahirkan di Huāguǒ-shān (Cina: 花果山; Gunung Bunga-bunga dan Buah-buahan) daripada seketul batu mitos yang terbentuk oleh daya asal kecamukan, Wukong menyertai sekaum monyet dan kemudian dihormati kerana menemui Shuǐlián-dòng (Cina: 水帘洞; Gua Tabir Air) di belakang sebuah air terjun raksasa. Monyet-monyet yang lain menganugerahinya sebagai raja, dengan Wukong menggelar diri sebagai Měi Hóuwáng (美猴王, Raja Monyet Kacak). Menyedari bahawa dia masih akan mengalami kematian, walaupun kuasanya ke atas monyet-monyet yang lain, dia berazam untuk mencapai keabadian. Wukong berkelana dengan rakit ke tanah-tanah yang beradab lalu menemui dan menjadi pengikut Bodhi (菩提祖师), salah satu bapa Buddhisme/Taoisme. Menerusi penjelajahannya, Wukong juga memperoleh pertuturan dan tingkah laku manusia.[1]
Pada mula-mulanya, Bodhi enggan menerima Wukong sebagai pengikut kerana Wukong bukannya manusia. Bagaimanapun, kegigihan dan ketabahan Wukong kemudian menyebabknya tertarik kepada monyet itu. Adalah daripada Bodhi bahawa Wukong menerima nama rasminya, Sun Wukong ("Sun" membayangkan keasalan monyet, dan "Wukong" membawa pengertian sedar akan kekosongan). Tidak lama kemudian, minat dan kecerdasan Wukong menjadikannya salah satu pengikut kesayangan Bodhi. Justera, Bodhi membimbing dan melatihnya sebilangan perbuatan sakti dan Wukong memperoleh kuasa jelma diri yang dikenali sebagai "72 perubahan" (七十二变). Kemahiran itu yang dikatakan lebih serba boleh dan lebih sukar membenarkan pemiliknya bertukar kepada setiap bentuk kewujudan yang mungkin, termasuk manusia dan barang. Wukong juga belajar perjalanan awan, termasuk teknik Jīndǒuyún (筋斗云, balik kuang awan) yang dapat mencapai 108,000 li (十万八千里, 54,000 km) menerusi satu balik kuang. Tambahan lagi, dia juga berupaya mengubah setiap 84,000 bulunya menjadi barang dan makhluk, malahan mengklonkan diri sendiri. Wukong kemudian berasa terlalu angkuh kerana keupayaannya dan mula bercakap berdegar-degar kepada para pengikut yang lain. Ini mengakibatkan Bodhi tidak gembira serta pengusirannya dari kuil Bodhi. Sebelum mereka berpisah, Bodhi mengarahkan Wukong supaya berjanji tidak akan memberitahu sesiapa pun tentang bagaimana dia mendapatkan kuasa tersebut.[1]
Di Huāguǒ-shān, Wukong memantapkan kedudukannya sebagai salah satu syaitan yang paling berkuasa dan terpengaruh di dunia. Untuk mencari senjata yang sesuai, dia menjelajah ke lautan dan memperoleh tongkat Ruyi Jingu Bang. Tongkat itu berupaya mengubah saiz dan mendarabkan diri, serta boleh berlawan mengikut kehendak hati pemilik. Ia pada asalnya digunakan oleh Dà-Yǔ untuk mengukur kedalaman lautan dan kemudian menjadi "Tiang yang Menenangkan Lautan" serta harta karun Ao Guang (敖光), "Raja Naga Laut Timur (东海龙王)". Beratnya tongkat itu 13,500 kati (8.1 tan). Apabila Wukong mendekatinya, tiang itu mula bersinar demi menandakan bahawa ia telah menjumpai pemiliknya yang benar. Sifat tongkat itu membolehkan Wukong menggunakannya sebagai senjata serta menyimpannya di dalam telinga sebagai jarum jahit. Ini menakutkan makhluk sakti laut serta mengakibatkan huru-hara di laut kerana tiada sebarang lain yang dapat mengawal pasang surut lautan. Selain daripada merampas tongkat sakti itu, Wukong juga menewaskan naga-naga empat laut dalam pertempuran dan memaksa mereka memberikannya baju zirah (鎖子黃金甲), topi berbulu burung phoenix (鳳翅紫金冠 Fèngchìzǐjinguān), serta but yang membolehkan perjalanan di atas awan (藕絲步雲履 Ǒusībùyúnlǚ). Wukong kemudian mengingkari percubaan Neraka untuk mengambil nyawanya. Untuk mengelakkan penjelmaan semula seperti semua makhluk yang lain, dia menghapuskan namanya bersama-sama nama semua monyet yang dikenalinya daripada "Buku Hidup dan Mati (生死簿)". Raja-raja Naga dan Raja-raja Neraka kemudian memutuskan untuk mengadukannya kepada Maharaja Jed (玉皇大帝) di Syurga.[1]
Hura-hara di Alam Syurga

Mengharap-harapkan bahawa suatu kenaikan pangkat dalam kalangan dewa dapat menjadikan Wukong lebih mudah dikawal, Maharaja Jed menyambut Wukong ke Syurga. Wukong mempercayai bahawa dia akan dikurniai sebagai salah satu dewa tetapi malangnya, dia hanya dijadikan ketua kandang kuda syurga untuk menjaga kuda. Apabila Wukong mendapat tahu tentang hal itu, dia memberontak dan mengisytiharkan diri sebagai "Pendeta Agung, Sama Pangkat dengan Syurga" dan bersekutu dengan sesetengah syaitan yang paling berkuasa di dunia. Percubaan awal Syurga untuk menguasai Raja Monyet tidak berjaya. Lantaran itu, para dewa terpaksa mengakui gelaran Wukong tersebut serta mencuba menawarkannya kedudukan "Pelindung Taman Syurga". Apabila Wukong mendapati bahawa dia tidak dijemput untuk menyertai sebuah jamuan diraja, walaupun semua dewa dan dewi dijemput, kemarahannya menjadi keingkaran terbuka. Selepas mencuri "pic keabadian" Xi Wangmu, pil lanjut usia Lao Tzu (老子), serta wain diraja Maharaja Jed, Wukong melarikan diri kembali ke kerajaannya untuk menyediakan pemberontakan.
Wukong kemudian menewaskan Tentera Syurga yang terdiri daripada 100,000 pahlawan samawi dan membuktikan diri sebagai setanding dengan Erlang Shen (二郎神) , jeneral Syurga yang terunggul. Bagaimanapun, dia kemudian ditangkap atas pemuafakatan kuasa Taoisme dan Buddhisme, serta usaha sesetengah dewa. Selepas beberapa percubaan yang gagal untuk menjalankan hukuman mati ke atasnya, Wukong dikurung di dalam sebuah kawah bagua (八卦) Lao Tzu untuk disuling menjadi eliksir oleh api samadhi yang paling panas. Bagaimanapun, kawah itu meletup selepas 49 hari dan Wukong melompat ke luar, kini lebih kuat daripada dahulu. Wukong kini berupaya mengecam kejahatan dalam sebarang bentuk menerusi huǒyǎn-jīnjīng (火眼金睛) (secara harafiah, "renungan keemasan mata bernyala-nyala"), satu keadaan mata yang juga mengikabatkan kepekaannya kepada asap.
Dengan semua pilihan dicuba dan gagal, Maharaja Jed serta pihak berkuasa Syurga merayu kepada Buddha yang tinggal di kuilnya di Barat. Buddha bertaruh dengan Wukong bahawa dia (Wukong) tidak dapat melarikan diri daripada tapak tangannya. Wukong yang berupaya mencapai 108,000 li dengan satu lompatan, dengan angkuhnya bersetuju lalu melompat dengan sedaya upayanya. Apabila dia mendarat, dia tidak dapat melihat apa-apa pun kecuali lima batang tiang. Justera itu, Wukong meneka bahawa dia telah tiba ke hujung Syurga. Untuk membuktikan pencapaiannya, dia menandakan tiang-tiang itu dengan frasa yang mengisytiharkan diri sebagai "Pendeta Agung yang Sama Kedudukannya dengan Syurga". Selepas itu, dia melompat kembali ke tapak tangan Buddha hanya untuk menyedari bahawa lima "tiang" itu sebenarnya ialah lima jari tangan Buddha. Apabila Wukong cuba melarikan diri, Buddha menukarkan tangannya menjadi gunung lalu mengurung Wukong di dalamnya dengan menggunakan azimat yang ditulis dikir, Om Mani Padme Hum, dalam huruf emas. Wukong terkurung di sana selama lima abad.[1]
Pengikut kepada Xuanzang
Lima abad kemudian, Bodhisatva Guanyin sedang mencari-cari pengikut untuk melindungi Xuanzang, seorang penziarah Dinasti Tang, yang ingin membuat perjalanan ke India untuk memperoleh sutra agama Buddha. Apabila Wukong terdengar hal itu, dia menawarkan diri sebagai pertukaran untuk kebebasannya. Guanyin memahami bahawa monyet itu bukan senang untuk mengawal dan oleh itu, memberi Xuanzang sebuah cekak rambut ajaib, hadiah daripada Buddha. Sebaik sahaja Wukong ditipu memakainya, cekak itu tidak dapat dikeluarkan semula. Dengan dikir yang khusus, cekak itu dapat diketatkan dan mengakibatkan kesakitan yang tidak tertahan pada kepala Wukong. Atas keadilan, Guanyin juga memberi Wukong tiga bulu yang istimewa yang boleh digunakan dalam kecemasan yang teruk. Di bawah penyeliaan Xuanzang, Wukong dibenarkan membuat perjalanan ke Barat.
Pada sepanjang epik Perjalanan ke Barat, Wukong membantu Xuanzang dengan setia dalam perjalanannya ke India. Mereka disertai oleh "Pigsy" (猪八戒 Zhu Bajie) dan "Sandy" (沙悟浄 Sha Wujing) yang menawarkan diri untuk menemani sami itu bagi menebus dosa mereka. Kuda sami sebenarnya ialah putera naga. Keselamatan Xuanzang sentiasa terjejas oleh syaitan-syaitan serta makhluk-makhluk ghaib yang lain yang mempercayai bahawa daging Xuanzang, apabila dimakan, dapat melanjutkan usia. Wukong sentiasa bertindak sebagai pengawal peribadi Xuanzang dan dikurniai kuasa Syurga untuk memerangi ancaman-ancaman tersebut. Pada keseluruhannya, kumpulan itu menghadapi 81 kesengsaraan sebelum mencapai misi mereka dan kembali ke China. Wukong kemudian dikurniai dengan Kebuddhaan atas perkhidmatan dan kekuatannya.[1]
Nama dan gelaran
Sun Wukong dikenali atau disebut sebagai Syun Ng6-hung1 dalam Kantonis, Son Gokū dalam Jepun, Sonogong dalam Korea, Sun Ngô-Khong dalam Hokkien, Tôn Ngộ Không dalam Vietnam, Sung Ghokong atau Sung Gokhong dalam Jawa, Sun Ngokong dalam Thai, Wu Khone dalam Burma, dan Sun Gokong dalam Melayu.
Berikut ialah nama dan gelaran yang diperolehnya sepanjang kisahnya (disusun mengikut urutan):
- Shí Hóu (石猴)
- "Monyet Batu". Merujuk kepada fizikalnya, dilahirkan daripada batu yang menyerap tenaga syurga dan bumi selama ribuan tahun di Gunung Bunga-Buah.
- Měi Hóuwáng (美猴王)
- "Raja Monyet Tampan". Perkataan "měi" bermaksud "cantik/tampan", dan juga membawa makna "berbangga diri", menggambarkan egonya. "Hóu" bermaksud "monyet".
- Sūn Wùkōng (孫悟空)
- Nama yang diberikan oleh gurunya Patriark Bodhi (Subodhi). "Sūn" dipilih secara berseloroh kerana bunyinya serupa dengan istilah lama untuk "monyet". Nama peribadi "Wùkōng" bermaksud "sadar akan kekosongan" atau "menyedari kehampaan".
- Bìmǎwēn (弼馬溫)
- Gelaran sebagai penjaga kuda-kuda syurga. Namun ini merupakan tugas rendah yang menyebabkan Wukong mengamuk setelah mengetahuinya.
- Qítiān Dàshèng (齊天大聖)
- "Sage Agung Setara Syurga". Diambil sendiri oleh Wukong dan kemudian diiktiraf secara rasmi oleh Maharaja Jade.
- Xíngzhě (行者)
- Bermaksud "pengembara asketa", satu gelaran yang digunakan oleh Tang Sanzang untuk memanggilnya.
- Dòu-zhànshèng-fó (鬥戰勝佛)
- "Buddha Penakluk Pertempuran". Gelaran yang diberikan selepas mencapai pencerahan.
- Língmíng-shí-hóu (靈明石猴)
- "Monyet Batu Berintelek Rohani". Salah satu daripada empat jenis primat rohani luar biasa dalam mitologi.
- Sūn Zhǎnglǎo (孫長老)
- "Penatua Sun", gelaran kehormat untuk biksu atau pertapa.
Dalam bahasa lain:
- Hokkien (Minnan): Kâu-chê-thian (猴齊天) – "Monyet Setara Syurga"
- Kantonis: Maa-lau-zing (馬騮精) – "Monyet Jahat", gelaran yang digunakan oleh musuhnya
Keupayaan
Selain daripada tongkat sakti, kemahiran seni mempertahankan diri, dan kekuatan fizikal luar biasa, Sun Wukong terkenal dengan pelbagai kuasa ajaib yang diperoleh semasa latihan Taoisme di bawah guru Puti Zushi. Antara kuasa beliau termasuk (tetapi tidak terhad kepada):
- Lompatan Awan (觔斗雲, Jīndǒuyún):
Keupayaan lagenda Sun Wukong untuk "melompat" sejauh 108,000 li (kira-kira 54,000 km atau 34,000 batu) dalam satu pusingan. Diperlihatkan sebagai Wukong menunggang awan nimbus, ia memerlukan isyarat tangan khas, mantera, genggaman tangan dan goncangan badan.
- 72 Transformasi (七十二般變化, Qīshí'èr-bān Biànhuà):
Juga dikenali sebagai "Kaedah Pembunuh Duniawi" (地煞數, Dìshà Shù), membolehkan Wukong berubah rupa menjadi apa sahaja, termasuk manusia, haiwan, objek dan juga struktur besar. Ia juga termasuk transformasi saiz dan penggandaan bahagian tubuh seperti tiga kepala dan enam lengan (三頭六臂, Sāntóu Liùbì).
- Nafas Abadi (仙氣, Xiānqì):
Nafas ajaib Wukong yang membolehkannya mengubah rambut menjadi objek atau makhluk, menyembuhkan diri, memberi kekuatan kepada orang lain, dan melakukan pelbagai kesan ajaib.
- Tubuh Di Luar Tubuh (身外身法, Shēnwàishēn Fǎ):
Keupayaan untuk mengubah rambutnya menjadi pelbagai objek atau klon dirinya sendiri. Wukong mendakwa bahawa sehelai rambut boleh berubah menjadi berjuta-juta salinan dirinya.
- Kaedah Meniru Langit dan Bumi (法天象地, Fǎtiān Xiàngdì):
Memungkinkan Sun Wukong membesar menjadi gergasi dengan hanya menyebut arahan "Besar!" (長, Zhǎng). Tingginya digambarkan sebagai 10,000 zhang (萬丈), satu metafora kepada saiz kosmik.
- Tiga Helai Rambut Penyelamat (三根救命的毫毛, Sāngēn Jiùmìng de Háomáo):
Diberikan oleh Guanyin, rambut istimewa ini membolehkan Wukong mencipta apa sahaja khusus untuk melindungi Tripitaka.
- Tubuh Berlian (金鋼之軀, Jīngāng zhī Qū); Kepala Tembaga, Anggota Besi (銅頭鐵臂, Tóngtóu Tiěbì):
Merujuk kepada ketahanan fizikal Sun Wukong yang hampir kebal terhadap senjata, kilat, api, racun, dan serangan lain.
- Mata Berapi, Anak Mata Emas (火眼金睛, Huǒyǎn Jīnjīng):
Mata yang mampu melihat kebenaran, menembusi ilusi, dan membezakan antara baik dan jahat, palsu dan benar, kaya dan miskin. Ia juga berfungsi seperti penglihatan jauh (1,000 li siang hari, 300–500 li pada waktu malam).
- Kaedah Menyembunyikan Diri (隱身法, Yǐnshēn Fǎ):
Mantera untuk menjadikan dirinya tidak kelihatan kepada manusia, dewa dan roh. Termasuk teknik "Gabungan Kabus, Bentuk Tidak Ketara" (聚形散气, Jùxíng Sànqì), membolehkannya larut seperti angin.
- Roh Keluar Dari Tubuh (身出一個神, Shēnchū Yīgè Shén):
Juga dikenali sebagai "Kaedah Roh Keluar" (出神的手段, Chūshén de Shǒuduàn), merujuk kepada keupayaan projeksi astral.
- Kaedah Pembekuan Tubuh (定身法, Dìngshēn Fǎ):
Mantera untuk membekukan musuh – manusia, dewa atau roh – di tempat mereka, selalunya dengan menyebut "Beku!" (住, Zhù) sambil menunjuk mereka.
- Kaedah Memecahkan Kunci (解鎖法, Jiěsuǒ Fǎ):
Dengan hanya satu sentuhan jari atau tongkat, beliau boleh membuka sebarang kunci.
- Lingkaran Pelindung (圈子, Quānzi):
Wukong melukis bulatan di tanah dengan tongkatnya yang menjadi penghalang pelindung sekuat tembok besi. Digunakan terutamanya untuk melindungi Tripitaka.
- Mantera Elak Api (避火訣, Bìhuǒ Jué):
Membolehkannya bertahan dalam api biasa, tetapi tidak berkesan terhadap Api Sejati Samādhi (三昧真火, Sānmèi Zhēnhuǒ).
- Mantera Elak Air (避水訣, Bìshuǐ Jué); Kaedah Penahan Air (閉水法, Bìshuǐ Fǎ):
Membolehkan beliau mengelakkan diri daripada air atau mengawal laluan air untuk bergerak bebas di dalamnya. Walau bagaimanapun, beliau tidak cekap bertarung di dalam air.
Keabadian
Sun Wukong dikatakan memperoleh keabadian melalui sembilan cara dan peristiwa yang berbeza, menjadikannya antara makhluk paling abadi dan kebal dalam seluruh ciptaan.
Anak murid kepada Puti Zushi
Setelah merasa murung memikirkan tentang masa depan dan kematian, Wukong mengembara untuk mencari guru Taoist abadi, Puti Zushi, bagi mempelajari rahsia keabadian. Di sana, beliau mempelajari mantera untuk menguasai lima unsur dan jalan kepada keabadian, termasuk 72 Transformasi Duniawi. Setelah tujuh tahun latihan, Wukong memperolehi formula rahsia keabadian. Namun, Mahkamah Syurga tidak merestui kaedah ini.[2]
Kitab Kematian
Suatu malam, roh Wukong ditarik ke Alam Kegelapan, di mana beliau diberitahu hayatnya di dunia telah tamat. Marah, Wukong melawan dan menuntut keadilan daripada "Sepuluh Raja", iaitu hakim dunia akhirat. Beliau memaksa mereka menunjukkan daftar hidup dan mati, lalu mencoret namanya keluar – termasuk nama semua monyet di puaknya – menjadikannya tidak boleh disentuh oleh roh pencabut nyawa.
Buah Pic Keabadian
Ketika berada di syurga, Wukong dilantik sebagai "Penjaga Taman Buah Pic Syurga". Buah pic ini mempunyai tiga jenis, yang masing-masing memberi hayat tambahan 3,000, 6,000, dan 9,000 tahun, serta keabadian dan kesihatan sempurna. Wukong memakan buah-buah ini, lalu menambahkan tahap keabadiannya lagi.
Arak Syurga
Wukong tidak dijemput ke jamuan raja-raja syurga anjuran Ratu Barat. Beliau menyamar sebagai tetamu dan mencuri arak syurga yang memberikan keabadian kepada sesiapa yang meminumnya.
Pil Panjang Umur
Ketika mabuk, Wukong terhuyung ke makmal Laozi dan menemui pil keabadian milik beliau, dikenali sebagai "Harta Teragung Para Abadi". Tanpa berfikir panjang, Wukong memakan satu labu penuh pil tersebut.
Kesan Akibat Keabadian
Setelah memperoleh lima bentuk keabadian ini, Wukong pulang ke Gunung Bunga dan Buah. Mahkamah Syurga cuba menangkapnya, tetapi semua percubaan hukuman gagal. Akhirnya, beliau dimasukkan ke dalam relau Laozi selama 49 hari di bawah api samādhi, namun tetap tidak musnah – malah memperoleh lagi satu tahap keabadian dan keupayaan mengenal kejahatan. Dalam keputusasaan, Mahkamah Syurga memohon bantuan Buddha, yang akhirnya memerangkap Wukong di bawah gunung. Kemudian, atas cadangan Guanyin, beliau menjadi pengikut Tang Sanzang dalam misi suci ke Barat.
Keabadian Tambahan
Sepanjang pengembaraan mereka, Wukong menelan satu lagi pil keabadian yang asalnya ditujukan untuk Raksasa Beruang Angin Hitam. Mereka juga memperoleh buah ginseng (人參果), buah paling jarang dan berkuasa yang hanya tumbuh 30 biji setiap 10,000 tahun di Gunung Panjang Umur (萬壽山). Satu bau daripadanya memberikan 360 tahun hayat, dan memakannya menambah 47,000 tahun lagi.
Akhirnya, ketika rombongan tiba ke kuil Buddha, mereka diberi makanan dan minuman setara dalam agama Buddha yang juga memberi keabadian. Maka, Sun Wukong mencapai keabadian sebanyak sembilan kali – satu "abadi sembilan kali ganda".
Pengaruh


Dalam buku The Shaolin Monastery (2008), profesor dari Universiti Tel Aviv, Meir Shahar, menyatakan bahawa Sun Wukong mempengaruhi legenda asal-usul seni menggunakan kayu di Biara Shaolin. Dalam legenda tersebut, seorang tukang masak yang rendah darjat di dapur biara mempertahankan tempat itu daripada serangan pemberontak, lalu berubah menjadi gergasi setelah melompat ke dalam dapur api. Shahar membandingkan transformasi ini dengan kisah Sun Wukong dalam relau Laozi dan keupayaan tongkat mereka yang boleh membesar hingga saiz gergasi.[3]
- Satelit China DAMPE diberi nama jolokan "Wu Kong", merujuk kepada Sun Wukong. Nama ini boleh diertikan secara literal sebagai "menyedari kehampaan", berkait dengan misi mencari jirim gelap.[4]
Dalam budaya popular

Sun Wukong telah menjadi inspirasi dalam pelbagai bentuk media popular termasuk filem, televisyen, muzik, anime, permainan video, dan puisi. Antaranya:
- Dalam siri anime dan manga terkenal Dragon Ball, watak Son Goku berdasarkan Sun Wukong mempunyai tongkat, awan terbang dan nama Jepun bagi 孫悟空.
- Dalam permainan video seperti League of Legends, Dota 2, Black Myth: Wukong, dan Mobile Legends: Bang Bang, Sun Wukong dijadikan watak boleh main yang mengekalkan gaya pertempuran atau kuasa asalnya.
- Dalam muzik, kumpulan K-pop Seventeen mengeluarkan lagu "Super" (손오공) yang diinspirasikan daripada Sun Wukong.
- Dalam anime seperti Saiyuki, Shinzo, Monkey Magic dan The New Legends of Monkey, Sun Wukong atau versi berdasarkan dirinya menjadi watak utama.
- Dalam filem seperti A Chinese Odyssey (lakonan Stephen Chow), The Monkey King (lakonan Donnie Yen), dan siri animasi seperti Lego Monkie Kid dan Kung Fu Panda: The Paws of Destiny, Sun Wukong terus muncul dalam pelbagai tafsiran.
- Dalam puisi, penyair Hungary Lőrinc Szabó menulis karya bertajuk Szun Vu Kung lázadása ("Pemberontakan Sun Wukong").[5][6]
Sun Wukong bukan sahaja tokoh kesusasteraan klasik, tetapi telah menjadi ikon budaya pop global yang merentas sempadan geografi, bahasa, dan zaman.
Rujukan
- ^ a b c d e f Journey to the West, Wu Cheng'en (1500-1582), Translated by Foreign Languages Press, Beijing 1993.
- ^ Wu, Cheng−en (1982). Journey to the West. Diterjemahkan oleh Jenner, William John Francis. Beijing: Foreign Languages Press. ISBN 0835110036.
- ^ Shahar, Meir. The Shaolin Monastery: History, Religion, and the Chinese Martial Arts. Honolulu: University of Hawai'i Press, 2008 (ISBN 0-8248-3110-1)
- ^ "China's new Monkey King set for journey into space". Xinhua. 16 December 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 December 2015. Dicapai pada 27 November 2017.
- ^ Szabó Lőrinc: Szun Vu Kung lázadása
- ^ Szabó Lőrinc: Szun Vu Kung lázadása (SzePi)
Pautan luar
- Sun Wukong Character Profile A detailed character profile of Sun Wukong, with character history, listing and explanations of his various names and titles, detailed information on his weapon, abilities, powers, and skills, and also a detailed explanation of his personality.
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Sun Wukong |
- Story of Sun Wukong with manhua Diarkibkan 2009-02-04 di Wayback Machine
- Sun Wukong's entry at Godchecker is a tongue-in-cheek take on the Great Sage.
- (Cina) 'Journey to the West'
- Sun Wukong at Encyclopedia Mythica
- History of Monkey King with links to performances of "Journey to the West" by New York City's Official Storyteller Diarkibkan 2016-10-05 di Wayback Machine








