

Keranda batu atau sarkofagus ialah keranda yang dibuat dengan batu yang telah diukir dan biasanya diletakkan di atas paras lantai, namun ia boleh juga ditanam. Perkataan sarkofagus berasal daripada Inggeris sarcophagus, daripada bahasa Yunani σάρξ sarx yang bermaksud "daging", dan φαγεῖν phagein yang bermaksud "makan"; oleh itu keranda batu bermaksud "pemakan daging", daripada frasa lithos sarkophagos (λίθος σαρκοφάγος), "batu pemakan daging". Perkataan ini juga merujuk kepada sejenis batu kapur yang dipercayai mempercepatkan penguraian daging mayat yang terkandung di dalamnya disebabkan oleh sifat kimia batu kapur itu sendiri.[1][2]
Sejarah keranda batu
Keranda batu kerapnya direka untuk berada di atas paras lantai.[perlu rujukan] Keranda batu terawal digunakan oleh firaun-firaun Mesir daripada dinasti ke-3, yang memerintah dari kira-kira 2686 hingga 2613 SM.
Keranda batu Hagia Triada ialah sebuah keranda batu yang dicat dengan fresko yang indah; satu keranda batu dalam gaya Yunani Kuno lewat berupa tembikar bercat terdapat dalam keranda batu Klazomenian, dihasilkan sekitar bandar Yunani Ionia Klazomenai, di mana kebanyakan contoh ditemui, antara 550 SM (Arkaik Lewat) dan 470 SM. Ia diperbuat daripada tanah liat kasar dalam warna coklat ke merah jambu. Keranda batu utama itu yang rupanya seperti besen terdapat bingkai segi empat tepat yang lebar, sering ditutup dengan salutan putih kemudian dicat. Makam Payava dari Lycia, kini di Muzium British, ialah sebuah monumen makam diraja yang besar dari sekitar 360 SM, direka untuk dipamerkan. Ini merupakan contoh gaya Lycia biasa yang indah.

Keranda batu Rom Purba—kadangkala logam atau plaster serta batu kapur—menjadi popular lebih kurang sejak pemerintahan Trajan[3] dan sering diukir dengan indah. Hal ini benar sehinggalah penganut Kristian awal memilih untuk mengebumikan si mati di dalam tanah, biasanya dengan makam batu kapur, yang menyebabkan keranda batu ditinggalkan.[2] Walau bagaimanapun, terdapat banyak keranda batu Kristian Awal penting dari abad ke-3 hingga ke-4. Kebanyakan contoh dari Rom direka untuk diletakkan bersandar pada dinding dan dihiaskan hanya pada tiga sisi sahaja. Keranda batu terus digunakan di Eropah Kristian untuk tokoh-tokoh penting, terutamanya pemerintah dan pemimpin gereja. Menjelang Zaman Pertengahan Tinggi, ia sering mempunyai patung makam menelentang yang terletak di penutupnya. Keranda batu yang lebih polos diletakkan di dalam liang pemakaman. Contoh paling terkenal termasuk Permakaman Imperial Habsburg di Vienna, Austria. Perkataan ini biasanya kurang digunakan untuk contoh-contoh dari Zaman Pertengahan, Renaissance dan seterusnya.
Dalam zaman moden awal, kekurangan tempat menjadikan keranda batu tidak praktikal di gereja. Akan tetapi, makam peti atau keranda batu palsu—peti-peti kosong dan biasanya tanpa dasar diletakkan di atas kubur—menjadi popular di lokasi luaran seperti tapak perkuburan dan halaman gereja, terutamanya di Britain pada abad ke-18 dan ke-19, yang mana tugu peringatan kebanyakannya tidak begitu dihiasi dan keranda batu palsu yang lebih mahal berbanding batu nisan digunakan sebagai petunjuk status.[perlu rujukan]
Mesir

Keranda batu Mesir kebanyakannya dibuat daripada batu kapur, dan jarangnya dengan basalt atau bahan lain. Penemuan yang tertua adalah dari zaman Djoser, dan hieroglif serta imej-imej dewi yang diukir terdapat di belah dalam dan luar.
Keranda batu yang berasal dari Phoenicia juga serupa. Antaranya ialah keranda yang diperbuat daripada batu merah atau kehitaman, di dalam mana raja-raja dan pendeta dikebumikan. Sesetengahnya mempunyai ceruk untuk kepala si mati.
Budaya Crete-Minoa

Sejak zaman praistana, dalam budaya Crete-Minoa mayat akan dikebumikan dalam keranda mengikut adat, mula-mula daripada kayu dan kemudiannya daripada terakota. Orang mati dikebumikan dalam keadaan bongkok, dalam posisi hampir "dilipat". Keranda berbentuk tab mandi yang dicat di dalam dan di luar berbeza daripada sarkofagus berbentuk kotak yang hanya dihiasi di bahagian luar.
Yunani
Di Yunani, sarkofagus batu tidak lazim pada zaman awal. Sebagai ganti, digunakan bekas yang diperbuat daripada bata atau kepingan tanah liat. Di dalam dinding kubur yang dilapisi batu bata, mayat dikebumikan dalam keranda kayu, yang masih ditemui di kubur-kubur di Crimea. Di Etruria, keranda digantikan dengan kotak abu, iaitu tempayan kecil daripada tanah liat atau alabaster, berwarna-warni, berhias relief di bahagian depan, dan biasanya di atas penutupnya terdapat figura penuh si mati sedang berbaring.

Plinius mencatat,[4] "Di Assos di Troy, keranda batu, dengan telerang merekah, dipotong. Mayat akan diletakkan di dalamnya, seperti kebiasan, dan akan mereput dalam masa 40 hari kecuali gigi."[5] Untuk mempercepatkan pereputan, keranda dilapisi dengan alunit.[6] Juvenal pula mengatakan bahawa Alexander Agung dikebumikan di dalam keranda batu.[7]
Mulai ketika itu, sarkofagus sebenar mula muncul di Yunani. Ia berbentuk kotak besar daripada marmar, berunsur seni bina kuil dengan bumbung tebeng layar sebagai penutup, dan dinding sisinya dihias dengan ukiran berskala besar.
Rom
Di Rom, bentuk sarkofagus yang tersendiri dihasilkan, umumnya lebih kecil dan dihias dengan ukiran lebih banyak. Ukiran ini biasanya bertemakan mitologi dan sering dikaitkan dengan sifat, pekerjaan, atau kelebihan si mati. Wajah si mati dan isterinya kadangkala diukirkan pada figura-figura mitos tersebut.
Kristian

Agama Kristian menerima pakai adat mengebumikan si mati dalam keranda batu. Pada akhir abad ke-3, buat pertama kalinya muncul motif daripada Perjanjian Lama dan Baharu pada keranda batu. Antara contoh terpenting ialah sarkofagus Iunius Bassus (abad ke-4), seorang prefek kota Rom.
Zaman Lewat
Banyak sarkofagus purba terus digunakan untuk pengebumian orang Kristian hingga akhir Zaman Pertengahan tanpa sebarang masalah. Charlemagne mungkin dikebumikan dalam sarkofagus Proserpina yang terkenal pada kemangkatan baginda pada tahun 814, atau mungkin hanya selepas penemuan jenazahnya (1165). Sejak jenazahnya dibawakan ke dalam Keramat Charlemagne (1215), keranda itu kosong dan kini dipamerkan di Perbendaharaan Katedral Aachen. Bahagian depan dan kedua-dua sisi menggambarkan mitos Yunani-Rom mengenai "Penculikan Proserpina." Ukiran-ukiran keranda purba membekalkan ilham-ilham awal sebelum kebangkitan dalam seni arca pada zaman pertengahan tinggi dan moden.
Zaman Pertengahan Awal

Di kawasan dengan penduduk berbahasa Romawi, adat mengebumikan dengan keranda batu juga terdapat pada zaman pasca-Rom. Selain keranda segi empat tepat, bentuk trapezoid juga wujud. Keranda zaman pertengahan awal biasanya tidak berhias, tidak pun hanya mempunyai hiasan ringkas.
Zaman moden
Amerika Syarikat

Keranda batu, biasanya "palsu", kembali ke tanah perkuburan Amerika pada suku terakhir abad ke-19. Pada masa itu, menurut sebuah syarikat New York yang membina keranda batu, "ia jelas merupakan tugu peringatan yang paling lazim di semua tanah perkuburan kami".[8] Ia popular hingga 1950-an, ketika mana populariti tugu peringatan yang mendatar (memudahkan pembersihan perkuburan) menjadikannya lapuk. Namun, katalog tahun 1952 daripada industri tugu peringatan masih mengandungi lapan muka surat dipenuhinya, terbahagi kepada gaya Georgian dan Klasik, saduran Goth dan Renaissance, serta varian Moden.[9] Imej ini menunjukkan keranda batu dari akhir abad ke-19 yang terletak di Tanah Perkuburan Laurel Hill di Philadelphia, Pennsylvania. Yang di belakang, Monumen Warner yang dicipta oleh Alexander Milne Calder (1879), menampilkan roh atau jiwa si mati dibebaskan.
Asia
Di Delta Mekong di barat daya Vietnam, ahli keluarga biasa dikebumikan di dalam keranda batu berhampiran rumah mereka, memudahkannya diziarahi untuk tradisi pemujaan nenek moyang.[perlu rujukan]
Di Sulawesi, Indonesia, waruga ialah keranda batu tradisional.[perlu rujukan]
India
Hampir 140 tahun selepas ahli arkeologi British Alexander Rea menggali keranda batu dari bukit-bukau Pallavaram di Tamil Nadu, artifak serupa yang berusia lebih 2,000 tahun ditemui di kawasan yang sama.[10]
Sepanyol
Keranda batu Phoenicia dan Paleokristian telah ditemui di Semenanjung Iberia.[11][12]
Lihat juga
Rujukan
- ^ Etimologi WordInfo. Sebagai kata nama, istilah Greek itu diterima pakai untuk bermaksud "keranda" dan dibawa ke Latin, di mana ia digunakan dalam frasa lapis sarcophagus, "batu pemakan daging", merujuk kepada sifat batu kapur yang sama.
- ^ a b "Jabatan Arkeologi Universiti Columbia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-12-18. Dicapai pada 2008-01-01.
- ^ Presbrey – Leland, "Commemoration: The Book of Presbrey – Leland Memorials", Presbrey -Leland Inc., 1952 p. 79
- ^ Gaius Plinius Secundus: Naturalis historia. Nr. 36, S. 27.
- ^ Berdasarkan terjemahan Philipp Hedwig Külb (Cajus Plinius Secundus Naturgeschichte. Stuttgart 1856) daripada teks asal (xxvii, 131): In Asso Troiadis sarcophagus lapis fissili vena scinditur. Corpora defunctorum condita in eo, absumi constat intra XL diem exceptis dentibus.
- ^ Disebut dalam nota oleh Külb (Philipp Hedwig Külb: Cajus Plinius Secundus Natural History. Stuttgart 1856).
- ^ Übersetzung von Philipp Hedwig Külb (Cajus Plinius Secundus Naturgeschichte. Band ?, Stuttgart 1856) vom ursprünglichen Text (xxvii, 131): In Asso Troiadis sarcophagus lapis fissili vena scinditur. Corpora defunctorum condita in eo, absumi constat intra XL diem exceptis dentibus.
- ^ Veit, Richard Francis (2008). New Jersey Cemeteries and Tombstones: History in the Landscape. Rutgers University Press/Rivergate Books. m/s. 169. ISBN 978-0813542362.
- ^ Presbrey-Leland, "Commemoration: The Book of Presbrey - Leland Memorials", Presbrey-Leland Inc., 1952 pp. 79–85
- ^ Kabirdoss, Yogesh (28 Jun 2018). "ASI menemui keranda batu berusia 2,300 tahun di Tamil Nadu". The Times of India. Bennett, Coleman & Co. Ltd. Dicapai pada 29 September 2018.
- ^ "Sarkofagus antropomorfik Fenisia dari Cádiz". Cultura en Andalucía (dalam bahasa Sepanyol). Dicapai pada 29 September 2018.
- ^ "Sarkofagus Paleokristian". España es Cultura (dalam bahasa Sepanyol). Sociedad Mercantil Estatal para la Gestión de la Innovación y las Tecnologías Turísticas, S.A.M.P. (SEGITTUR). Kementerian Kebudayaan dan Sukan. Dicapai pada 29 September 2018.
Bibliografi
- Mont Allen, "Sarcophagus", dalam The Oxford Encyclopedia of Ancient Greece and Rome, disunting oleh Michael Gagarin, jilid 6, hlm. 214–218 (Oxford: Oxford University Press, 2010).
- Robert Manuel Cook, Clazomenian Sarcophagi (Mainz: Philipp von Zabern, 1981).
- R. R. R. Smith, Sculptured for Eternity: Treasures of Hellenistic, Roman, and Byzantine Art from Istanbul Archaeological Museum (Istanbul: Ertuǧ and Kocabıyık, 2001).
- Paul Zanker dan Björn C. Ewald, Living with Myths: The Imagery of Roman Sarcophagi (Oxford: Oxford University Press, 2012).
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Keranda batu |
- Keranda batu Mesir
- Sarkofagus di Muzium Arkeologi Istanbul
- Chisholm, Hugh, penyunting (1911). Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris). 24 (ed. ke-11). Cambridge University Press. m/s. 209. .
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari Jun 2022
- Halaman menggunakan panorama dengan parameter yang tidak diketahui
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari Julai 2024
- Rencana Wikipedia yang menggabungkan petikan dari Ensiklopedia Britannica tahun 1911 dengan rujukan Wikisumber
- Keranda batu
- Monumen dan struktur pengebumian
- Arca
- Monumen dan peringatan batu