Dalam kepercayaan dan mitologi masyarakat Yunani Purba, Mousai ( Yunani Purba: Μοῦσαι Moũsai; kata tunggal Mousa - bahasa Inggeris: Muses ) merujuk kepada sekumpulan dewi yang dipercayai memberi ilham atau inspirasi dalam penghasilan kesusasteraan, sains dan seni . Mereka dianggap sebagai sumber pengetahuan yang terkandung dalam puisi, lagu lirik, dan mitos yang berkaitan secara lisan selama berabad-abad dalam budaya purba ini.
Gambaran umum
Asal-usul
Menurut sajak Theogonía karya Hesiodos bertarikh abad ke-7 SM, dewi-dewi ini merupakan kelahiran Zeus, raja para dewa, dan Mnemosyne, titan ingatan. Penyajak-penyajak Alcman dan Mimnermus mencatat bahawa dewi-dewi ini kononnya berasal dari kelahiran Ouranos dan Gaia.
Ada yang menjelaskan asal-usul para dewi ini: mereka dikatakan merupakan kelahiran mata air yang muncul hasil hentakan seekor kuda semberani bernama Pegasus di Gunung Helikon, kawasan Pieria.[1][2] Athena, si dewi ketamadunan, kemudiannya menjinakkan kuda ini lalu mempersembahkan ia kepada dewi-dewi tersebut.
Para penulis klasik menetapkan Apollo sebagai pemimpin mereka dengan gelaran "Apollo, penghulu Mousa-Mousa" (Apollon Mousagetēs).[3]
Pemujaan
Para penulis akan dan peniru mereka menyeru nama para dewi ini dalam penulisan mereka baik yang ringan mahupun yang berat sebagai memohon ilham atau meminta mereka menyanyikan pujian ke atas para pengkarya ini sebagai restu.
Dewi-dewi utama
Para sejarawan sepakat di mana terdapat sembilan dewi Mousa yang diketahui dalam kepercayaan Yunani:
Dewi | Bidang | Lambang |
---|---|---|
Kalliope | Puisi epik | Loh lilin, stilus, Lyra |
Klio | Sejarah | Gulungan skrol, buku-buku, kornet, lingkaran dafnah |
Euterpe | Muzik, lagu dan puisi lirik | Aulos (alat muzik Yunani kuno serupa seruling ), pipa pan, lingkaran dafnah |
Erato | Puisi cinta | Kithara (sejenis alat muzik Yunani purba dalam keluarga lirik ) |
Melpomene | Tragedi | Topeng Tragik, pedang (atau sebarang senjata berbilah), belantan, kothornos (sejenis kasut khas) |
Polyhymnia | Lagu pujian | Kerudung, gugusan anggur (juga sebagai dewi pertanian) |
Terpsikhore | Tarian | Lyra, Plektrum |
Thalia | Komedi | Topeng komik, tongkat gembala, lingkaran daun ivy |
Urania | Astronomi | Glob dan jangka tulis |
Pengaruh
Para dewi ini sangat dikaitkan dengan seni halus sehingga begitu diterapkan dalam unsur budaya mereka; perkataan "muzium/museum" (daripada istilah museon - "tempat Mousa-Mousa disembah") dan "muzik/musik" sendirinya datang daripada hubungan dengan kepercayaan terhadap dewi-dewi ini.[4]
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Historical Pegasus". Elysium Gates. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-06-16. Dicapai pada 2010-02-26.
- ^ Ovidius, Heroides 15.27: "the daughters of Pegasus" in the English translation; Propertius, Poems 3.1.19: "Pegasid Muses" in the English translation.
- ^ For example, Plato, Laws 653d.
- ^ OED derives "amuse" from French a- ("from") and muser, "to stare stupidly or distractedly".