Sutera Byzantium ialah sutera yang ditenun di Empayar Byzantium dari kira-kira abad keempat hingga Kejatuhan Konstantinopal pada 1453.
Ibu kota Byzantium Konstantinopal merupakan pusat tenunan sutera penting pertama di Eropah. Sutera adalah salah satu komoditi terpenting dalam ekonomi Byzantium, digunakan oleh kerajaan sebagai alat pembayaran dan diplomasi.[1]
Sutera mentah dibeli dari China dan dibuat menjadi kain halus yang mempunyai harga yang tinggi di seluruh dunia. Kemudiannya, ulat sutera diseludup ke dalam Empayar dan perdagangan sutera darat menjadi kurang penting secara beransur-ansur. Selepas pemerintahan Justinianus I, pembuatan dan penjualan sutera menjadi monopoli maharaja, diproses hanya di dalam kilang-kilang diraja, dan dijual kepada pembeli yang dibenarkan.[1]
Sutera Byzantium penting kerana warnanya yang terang, penggunaan benang emas, dan kehalusan yang amat serupa dengan sulaman dalam fabrik tenunan akik.[2] Byzantium menguasai pengeluaran sutera di Eropah sepanjang Zaman Pertengahan Awal, sehinggalah industri tenunan sutera Itali diasaskan pada abad ke-12 dan Empayar Byzantium ditakluk dan berpecah dalam Perang Salib Keempat (1204).
Pada zaman Empayar Rom, tekstil sutera sampai ke Barat dari darat melalui Jalan Sutera seberang Asia dari China Han, melalui Empayar Parthia dan kemudian Empayar Sasan ke pusat-pusat perdagangan di Syria. Import sutera mentah, benang sutera, dan fabrik siap semuanya direkodkan, tetapi teknik menghasilkan tekstil-tekstil ini daripada ulat sutera Bombyx mori tetap menjadi rahsia orang Cina yang dijaga rapi sehinggalah Maharaja Timur Justinianus I (482–565) mengatur agar telur ulat sutera diseludupkan keluar dari Asia Tengah pada tahun 553-54,[3] memulakan industri tenunan sutera Byzantium.
Tidak lama selepas telur ulat sutera dari China diseludup oleh pendeta-pendeta Kristian Nestorianisme,[4] ahli sejarah Byzantium abad ke-6 Menander Protektor menulis tentang bagaimana orang Sogdia cuba mewujudkan perdagangan langsung sutera China dengan Empayar Byzantium. Selepas membentuk pakatan dengan pemerintah Sasan, Khosrow I, untuk mengalahkan Empayar Hefthali, Istämi yang memerintah orang Göktürk dari Kekhanan Turkik telah didekati oleh pedagang-pedagang Sogdia untuk dapat menghadap raja segala raja Sasan demi mendapatkan perkenan baginda untuk merentas wilayah-wilayah Parsi untuk berdagang dengan Byzantium.[4] Istämi menolak permintaan pertama, tetapi apabila baginda bersetuju pada kali kedua dan menghantarkan duta-duta Sogdia kepada maharaja Sasan, maharaja menitahkan seluruh kedutaan tersebut dibunuh dengan racun.[4] Maniah, seorang diplomat Sogdia, meyakinkan Istämi untuk menghantar kedutaan terus ke Konstantinopal, yang tiba pada tahun 568 dan bukan sahaja mempersembahkan sutera kepada pemerintah Byzantium Ioustinos II, tetapi juga mencadangkan mereka berpakat menentang Parsi. Ioustinos II bersetuju dan menghantar kedutaan ke Kekhanan Turkik, memastikan perdagangan sutera langsung yang diingini oleh orang Sogdia.[4][5][6] Namun, walaupun sutera Byzantium mula dihasilkan dari abad ke-6, sutera Cina masih dianggap lebih berkualiti, disokong dengan penemuan syiling solidus Byzantium yang ditempa semasa pemerintahan Ioustinos II yang ditemui dalam sebuah makam Cina wilayah Shaanxi dari dinasti Sui (581-618 TM) pada tahun 1953, serta syiling-syiling Byzantium lain yang ditemui di pelbagai tapak arkeologi.[7] Menurut catatan sejarah China, Byzantium (atau "Fu-lin"), mengikut tradisi diplomatik Rom yang lama dengan menghantarkan beberapa kedutaan ke China. Mereka melawat China pada dinasti Tang (618-907 TM) dan sekali pada dinasti Song (960-1279), membawakan hadiah-hadiah eksotik seperti barang kaca sambil menunjukkan minat untuk terus berdagang sutera dengan China.[8] Ahli sejarah Byzantium abad ke-7 Teofilaktos Simokates memberikan gambaran yang agak tepat tentang China, geografinya, penyatuan semulanya oleh dinasti Sui (581-618), bahkan menamakan pemerintahnya Taisson yang bermaksud "Anak Tuhan", mungkin berasal daripada nama Maharaja Taizong dari Tang (r. 626-649).[9] Sumber-sumber Cina yang kontemporari, iaitu Kitab Tang Baru dan Lama, juga menggambarkan kota Konstantinopal dan bagaimana ia dikepung oleh Muawiyah I (pengasas Kekhalifahan Umaiyah), yang menuntut ufti selepas itu.[8][10]
Jenis-jenis alat tenun dan teknik tenunan baharu turut memainkan peranan. Sutera tenunan biasa atau genggang sudah pun berlegar di dunia Rom, dan sutera damask bercorak dengan motif geometri yang semakin kompleks muncul pada pertengahan abad ke-3. Kepar kompaun bermuka benang pakan telah ada paling lewat tahun 600, dan kepar kompaun polikrom (berbilang warna) menjadi tenunan standard sutera Byzantium dalam beberapa abad yang mendatang.[11][12] Tenunan lampas monokrom menjadi fesyen sekitar tahun 1000 di pusat-pusat tenunan Byzantium dan Islam; fabrik-fabrik ini bergantung pada tekstur yang berbeza dan bukannya warna untuk menghasilkan corak. Sebilangan kecil sutera Byzantium yang ditenun seperti dewangga juga masih terpelihara.[12]
Peraturan yang mengawal penggunaan pewarna ungu Tirus yang mahal berbeza-beza mengikut tahun, tetapi kain yang dicelup dalam warna ini biasanya hanya untuk golongan tertentu dan digunakan sebagai hadiah diplomatik. Pewarna lain yang digunakan di bengkel-bengkel sutera Byzantium ialah akar mader, serbuk kumbang kermes, nila, weld, dan sepang.[13] Benang emas dibuat dengan melilitkan jalur-jalur perak sepuh pada teras sutera.[14]
Sutera Byzantium bergambar pada abad ke-6 (dan mungkin ke-5) mempunyai motif-motif kecil seperti hati, swastika, tapak tangan dan daun yang dihasilkan dengan dua pakan yang berlainan warna.[11] Kemudian, motif-motif tumbuhan yang mudah dicam (seperti daun teratai dan bunga) dan manusia muncul. Tekstil yang masih terpelihara mendokumentasikan pertukaran teknik dan tema ikonografi yang kaya antara Konstantinopal dan pusat-pusat tekstil baru Islam di Mediterranean dan Asia Tengah dalam tahun-tahun selepas penaklukan Muslim pada abad ke-7. Corak-corak abad ke-8 dan ke-9 memperagakan bulatan-bulatan yang sederet, yang mempunyai sepasang orang atau haiwan yang menghadap satu sama lain secara simetri.[15] Banyak motif mengimbau corak Sasan termasuk pokok kehidupan, kuda bersayap, singa, dan binatang khayalan,[2] dan terdapat sejumlah fabrik lama yang masih terpelihara yang pakar-pakar tidak sepakat jika berasal dari Byzantium atau tamadun Islam.[16] Corak-corak bergaya menunjukkan perkara yang popular di istana diraja, seperti berburu atau perlumbaan kereta kuda dengan empat ekor kuda.[15]
Tekstil tenunan
Daripada lima tenunan asas yang digunakan di Byzantium dan pusat tenunan Islam di Mediterranean—tabi, kepar, damask, lampas dan dewangga—produk yang paling penting ialah kepar kompaun bermuka pakan yang dipanggil samit. Perkataan ini berasal daripada bahasa Perancis Lama samit, daripada Latin zaman pertengahan samitum, examitum yang berasal daripada bahasa Yunani Byzantium ἑξάμιτον hexamiton "enam benang", biasanya difahamkan sebagai merujuk kepada enam benang yang digunakan dalam satu lungsin.[17][18] Dalam samit, benang-benang lungsin utama disembunyikan pada kedua-dua belah kain oleh pakan dasar dan pakan bercorak, dengan hanya lungsin pengekun yang menahan pakan sahaja kelihatan.[19][20]
Sutera-sutera kaya ini—yang semahal beratnya dalam emas—adalah senjata politik Empayar Byzantium antara abad ke-4 dan ke-12. Hadiah diplomatik sutera Byzantium mengukuhkan pakatan dengan orang Frank. Byzantium memberikan konsesi perdagangan sutera kepada negeri-negeri laut Venice, Pisa, Genoa dan Amalfi untuk mendapatkan tentera laut dan darat di wilayah-wilayah Byzantium.[21]
Pengaruh penenunan sutera Byzantium sungguh kuat. Istiadat sutera di istana dan amalan gerejawi Byzantium telah dicontohi oleh orang Frank, sedangkan gaya perabot dan kod pakaian istana Byzantium bergema di seluruh dunia Islam. Byzantium mencipta pakaian keistanaan sutera yang beradun dan mempengaruhi penggunaan sutera dalam pakaian seragam awam dan tentera malah pakaian keagamaan yang mewah.... Pakaian-pakaian sutera ini ialah satu bentuk kekayaan mudah alih yang boleh dijual apabila wang diperlukan.[22]
Kini sutera Byzantium tinggal di Eropah Barat pada kubur-kubur tokoh penting, digunakan dalam penjilidan buku, dan juga relikuari. Tetapi ia jelas mempunyai pelbagai kegunaan sebagai gantungan dan langsir di gereja dan rumah orang kaya, serta sebagai pakaian dan persalinan. Sumber-sumber jarang menyebut dari mana sutera betul-betul berasal, tetapi kadangkala menghuraikan corak-coraknya dengan cukup terperinci sehingga ia dapat dicam sebagai sutera Byzantium. [23]
England Anglo-Saxon mempunyai sutera dari sekurang-kurangnya akhir abad ke-7, dibawa balik dari Rom oleh Benedict Biscop dan lain-lain.[24] Ia barangan penting, dan mudah dibawa, untuk penziarah-penziarah yang kaya ke Rom atau Tanah Suci (di mana sutera Syria atau Mesir juga dapat dibeli), dan boleh didapati di England daripada pedagang-pedagang Inggeris yang pasti mempunyai pangkalan di Rom dan Pavia, dan mungkin juga dibeli daripada pedagang-pedagang Scandinavia yang belayar di Laut Baltik. Sebuah urus niaga khas perlu dibuat yang mana mahkota Inggeris membayar duit kepada Pavia terus untuk menggantikan duti kastam ke atas sutera, kerana orang Pavia tidak dapat mengutipnya daripada pedagang-pedagang Inggeris kerana sukar atau berbahaya. Hadiah diplomatik juga turun dari istana Konstantinopal ke ramai pihak, dengan penguasa-penguasa yang menerimanya memberikannya kepada pemerintah lain, dan gereja di dalam dan di luar wilayah mereka. Charlemagne memberi bukan sahaja sutera kepada Raja Offa dari Mercia, tetapi juga kepada keuskupan Mercia dan Northumbria.[25]
Dewangga dan sulaman
Selain pakaian tenunan dan fabrik perabot, bengkel-bengkel di Byzantium juga terkenal dengan dewangga tenunan dan tekstil bersulam mewah dengan hiasan yang berunsur figuratif. Contoh paling mengagumkan yang masih wujud berasal dari abad ke-10 "Bamberger Gunthertuch", sebidang dewangga tenunan[26] bersaiz lebih daripada dua meter persegi, dengan maharaja berkuda yang berada di antara dua wanita personifikasi. Hampir satu abad selepas ia dibuat, ia telah diperoleh oleh Uskup Bamberg di Jerman, semasa menziarahi Konstantinopal. Beliau meninggal dalam perjalanan dan ia digunakan sebagai kain kapannya. Adegan-adegan keagamaan bersulam juga digunakan untuk pakaian dan gantungan, dan Opus Anglicanum Inggeris yang terkenal nampaknya banyak dipengaruhi oleh sulaman Byzantium.[27] Ini menunjukkan semasa zaman baharian lewat, berdasarkan penemuan di perkuburan Mesir dan keluhan Santo Asterius dari Amasia sekitar tahun 410 tentang jemaahnya di timur laut Turki, orang awam menghiasi pakaian mereka dengan imej-imej keagamaan:
... mereka menghasilkan dengan penuh seni, baik untuk diri sendiri, isteri dan anak-anak mereka, pakaian yang berbunga-bunga dan ditempa dengan sepuluh ribu objek.... Apabila mereka memakainya di khalayak ramai, mereka kelihatan seperti dinding bergambar di mata-mata orang yang bertemu dengan mereka. Kanak-kanak juga mengelilingi mereka, tersenyum antara satu sama lain dan menunjuk-nunjuk gambar pada pakaian itu; dan mereka berjalanlah mengikutinya untuk waktu yang lama. Pada pakaian ini terdapat singa dan harimau bintang; beruang dan lembu jantan dan anjing; hutan dan batu dan pemburu ... Anda mungkin akan nampak perkahwinan di Galilea, dan tempayan-tempayan air; orang lumpuh memikul katilnya; orang buta disembuhkan dengan tanah liat; wanita penghidap penyakit pendarahan, memegang hujung jubah; wanita berdosa yang tersungkur di kaki Yesus; Lazarus hidup semula dari kubur. Dengan melakukan ini, mereka sangka mereka berkelakuan soleh dan memakai pakaian yang diredai Tuhan. Tetapi jika mereka menerima nasihat saya, mereka patut menjual pakaian itu dan memuliakan Tuhan dalam tindakan mereka. Jangan gambarkan Kristus pada pakaian anda. Cukuplah dia pernah mengalami penghinaan tinggal dalam tubuh manusia yang atas kerelaannya dia jelma demi kita. Jadi, bawalah imejnya dalam jiwa anda, bukan pakaian anda. [28]
Contoh-contoh dari tanah perkuburan Mesir biasanya ialah tekstil yang kurang halus berbanding sutera, dan biasanya mempunyai corak lingkaran atau bentuk ringkas lain dengan bingkai dan adegan di dalamnya. Gaya reka bentuk ini serupa dengan sulaman agama dari Barat beberapa abad kemudian. Sesetengah sulaman Barat diimport, manakala yang lain mungkin dibuat secara tempatan pada sutera import, tetapi bahan lain telah digunakan. Satu-satunya sutera terbesar sedemikian yang masih terpelihara ialah Dewangga Bayeux (berkeluasan 0.5 kali 68.38 meter atau 1.6 kali 224.3 kaki, tetapi tidak lengkap), adalah bulu bersulam pada latar belakang linen kosong, dan sebenarnya bukan dewangga pun. Akan tetapi, terdapat juga gantungan figuratif yang lebih kecil dan pakaian sutera yang dipanggil dewangga.[29]
Penguncupan
Pada tahun 1147, semasa Perang Salib Kedua, Roger II dari Sicily (1095–1154) menyerang Corinth dan Thebes, dua pusat pengeluar sutera Byzantium yang penting, menangkap penenun-penenun dan peralatan mereka dan mengasaskan bengkel sutera mereka sendiri di Palermo dan Calabria.[30] Selepas Konstantinopal ditawan pada tahun 1204 oleh tentera Perang Salib Keempat (1202–1204) dan penubuhan Empayar Latin (1204–1261) dan negeri-negeri "Latin" lain di wilayah Byzantium, industri sutera Byzantium menguncup, hanya membekalkan pasaran dalam negeri,[21] dan kepimpinan dalam tenunan dan reka bentuk sutera Eropah diserahkan kepada Sicily dan pusat-pusat Itali yang baru muncul di Lucca dan Venice.
Rujukan
- ^ a b Laiou, A. (2002). "Exchange and Trade Diarkibkan 2011-06-08 di Wayback Machine". m/s 703
- ^ a b Schoeser (2007), m/s 27. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "Schoeser1" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ Wild, J. P. "The eastern Mediterranean 323 BC–AD 350." Dalam Jenkins (2003), m/s 108.
- ^ a b c d Howard, Michael C., Transnationalism in Ancient and Medieval Societies, the Role of Cross Border Trade and Travel, McFarland & Company, 2012, p. 133.
- ^ Liu, X. (1998). The Silk Road: overland trade and cultural interactions in Eurasia. American Historical Association. m/s 168.
- ^ Azarpay, G., Belenickij, A. M., Maršak, B. I. I., & Dresden, M. J. (1981). Sogdian painting: the pictorial epic in oriental art. Univ of California Press. m/s 9, ISBN 0-520-03765-0.
- ^ Luttwak, E. (2009). The grand strategy of the Byzantine Empire. Harvard University Press. ISBN 978-0-674-03519-5. m/s 168-169.
- ^ a b Hirth, Friedrich (2000) [1885]. Jerome S. Arkenberg (penyunting). "East Asian History Sourcebook: Chinese Accounts of Rome, Byzantium and the Middle East, c. 91 B.C.E. - 1643 C.E." Fordham.edu. Fordham University. Dicapai pada 2016-09-17.
- ^ Yule, Henry (1915). Henri Cordier (ed.), Cathay and the Way Thither: Being a Collection of Medieval Notices of China, Vol I: Preliminary Essay on the Intercourse Between China and the Western Nations Previous to the Discovery of the Cape Route. m/s 29-31. Lihat juga nota kaki #4 di m/s 29; nota kaki #2 di m/s 30; dan nota kaki #3 di m/s 31.
- ^ Henry Yule kagum bahawa nama perunding Byzantium "Yenyo" (juga dikenali sebagai Ioannes Petzigaudias) juga disebut dalam sumber-sumber Cina, seorang utusan yang tidak dinamai dalam catatan Edward Gibbon tentang lelaki yang dihantarkan ke Damsyik untuk berbincang dengan Bani Umaiyah. Selepas beberapa tahun kemudian, Bani Umaiyah menaikkan tuntutan ufti daripada orang Byzantium; lihat Yule, Henry (1915). Henri Cordier (ed.), Cathay and the Way Thither: Being a Collection of Medieval Notices of China, Vol I: Preliminary Essay on the Intercourse Between China and the Western Nations Previous to the Discovery of the Cape Route. London: Hakluyt Society. m/s 48–49; dan untuk ringkasan pendek naratif Edward Gibbon, lihat juga nota kaki #1 pada m/s 49.
- ^ a b Wild, John Peter. "The later Roman and early Byzantine East, AD 300–1000." In Jenkins (2003), pp. 148–149
- ^ a b Muthesius, Anna. "Essential Processes, Looms, and Technical Aspects of the Production of Silk Textiles Diarkibkan 2011-06-08 di Wayback Machine". In Laiou (2002), pp. 152–154.
- ^ Muthesius, "Essential Processes, Looms, and Technical Aspects...", pp. 158–160.
- ^ Muthesius, Anna, "Silk in the Medieval World". In Jenkins (2003), p. 344.
- ^ a b Wild, John Peter. "The later Roman and early Byzantine East, AD 300–1000." In Jenkins (2003), p. 151
- ^ Hoffman, p. 318
- ^ Oxford English Dictionary Online "samite" (langganan diperlukan), dicapai pada 30 Disember 2010
- ^ Monnas (2008), p. 297.
- ^ Muthesius, "Silk in the Medieval World", p. 343.
- ^ Burnham (1980), p. 180.
- ^ a b Muthesius, "Silk in the Medieval World", p. 326.
- ^ Muthesius, "Silk in the Medieval World", p. 327.
- ^ Dodwell, 130
- ^ Dodwell, 129-130
- ^ Dodwell, 150-157
- ^ Muthesius, "Silk in the Medieval World", pp. 350-351.
- ^ Dodwell, 166-169
- ^ Oration I; Terjemahan dalam talian daripada earlychristianwritings.com. Panel-panel Mesir itu biasanya menggunakan bulu, kapas atau linen; ia bersulam, tetapi sekurang-kurangnya beberapa contoh dari Amasia nampaknya adalah dewangga tenunan, yang sangat sedikit contoh dari milenium pertama masih terpelihara.
- ^ Dodwell, 128-145; Kawasan ini agak biasa menggunakan label "dewangga" dengan sangat luas maksudnya, seperti Dodwell 133. Dewangga Hestia daripada bulu dan linen dari abad ke-6 mungkin satu-satunya dewangga tenunan Byzantium yang besar yang masih terpelihara dari sebelum tahun 1000.
- ^ Muthesius, "Silk in the Medieval World", p. 331.
Bibliografi
- Burnham, Dorothy K. (1980) Warp and Weft, A Textile Terminology, Royal Ontario Museum, ISBN 0-88854-256-9.
- Dodwell, C.R. (1982) Anglo-Saxon Art, A New Perspective, Manchester UP, ISBN 0-7190-0926-X (US edn. Cornell, 1985)
- Feltham, Heleanor B. (2009) Justinian and the International Silk Trade, in: Sino-Platonic Papers, No.: 194 (2009).
- Hoffman, Eva R. (2007): Pathways of Portability: Islamic and Christian Interchange from the Tenth to the Twelfth Century, in: Hoffman, Eva R. (ed.): Late Antique and Medieval Art of the Mediterranean World, Blackwell Publishing, ISBN 978-1-4051-2071-5
- Jenkins, David, ed. (2003) The Cambridge History of Western Textiles, Cambridge University Press, ISBN 0-521-34107-8.
- Mannas, Lisa (2008) Merchants, Princes and Painters: Silk Fabrics in Northern and Italian Paintings 1300–1550, Appendix I:III "Medieval Silk Fabric Types and Weaves", Yale University Press, ISBN 978-0-300-11117-0
- Laiou, Angeliki E., ed. (2002), The Economic History of Byzantium: From the Seventh through the Fifteenth Century Diarkibkan 2012-02-18 di Wayback Machine, Dumbarton Oaks.
- Schoeser, Mary. (2007) Silk, Yale University Press, ISBN 0-300-11741-8.
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Sutera Byzantium |
- The glory of Byzantium: Art and Culture of the Middle Byzantine Era, AD 843-1261, katalog pameran dari The Metropolitan Museum of Art (tersedia sepenuhnya dalam talian sebagai PDF), yang mengandungi bahan mengenai sutera Byzantium