Agama (Jawi: اڬام ) pada lazimnya bermakna kepercayaan kepada Tuhan, atau sesuatu kuasa yang ghaib dan sakti seperti Allah, dan juga amalan dan institusi yang berkait dengan kepercayaan tersebut. Agama dan kepercayaan merupakan dua pekara yang sangat berkaitan. Tetapi Agama mempunyai makna yang lebih luas, yakni merujuk kepada satu sistem kepercayaan yang kohesif, dan kepercayaan ini adalah mengenai aspek ketuhanan.
Kepercayaan yang hanya melibatkan seorang individu lazimnya tidak dianggap sebagai sebuah agama. Sebaliknya, agama haruslah melibatkan sebuah komuniti manusia. Daripada itu, Agama adalah fenomena masyarakat boleh dikesan melalui fenomena seperti yang berikut:
- Perlakuan
seperti sembahyang, membuat sajian, lawatan ke tempat-tempat suci, perayaan dan upacara, berpuasa pada hari-hari tertentu. - Sikap
seperti sikap hormat, kasih atau pun takut kepada kuasa luar biasa dan anggapan suci dan bersih terhadap sesuatu objek atau tempat suci. - Pernyataan
seperti jampi, mantera dan kalimat suci. - Benda-benda material
yang zahir seperti bangunan and simbol-simbol agama. Contoh bangunan ialah kuil, masjid, gereja, azimat dan tangkal.
Salah satu lagi ciri agama ialah ia berkaitan dengan tatasusila masyarakat. Ini bermakna agama bukan sahaja merupakan soal perhubungan antara manusia dengan tuhan, malah merupakan soal hubungan manusia dengan manusia. Ciri-ciri ini lebih menonjol di dalam agama universal, daripada agama atau kepercayaan tempatan.
Menurut anggaran, terdapat 10,000 agama yang berbeza di seluruh dunia yang dianuti oleh hampir 85% populasi dunia. Daripada jumlah ini, lebih daripada tiga perempat populasi global menganut salah satu daripada empat agama ini – Kristian (31%), Islam (24%), Hindu (15%), dan Buddha (7%).[1] Demografi yang tidak beragama termasuk mereka yang tidak mengenal pasti dengan mana-mana agama tertentu, ateis, dan agnostik, walaupun ramai dalam demografi ini masih mempunyai pelbagai kepercayaan agama.
Pada tahun 2022, kira-kira 31.6 peratus daripada populasi dunia dikenal pasti sebagai penganut Kristian. Kira-kira 25.8 peratus daripada populasi dunia dikenal pasti sebagai penganut Islam, diikuti oleh 15.1 peratus daripada populasi dunia sebagai penganut Hindu.[2]
"Lihat di dalam hak asasi manusia"
Manusia yang tidak mempercayai malah menolak adanya tuhan pula dipanggil ateis.
Kajian agama merangkumi pelbagai disiplin akademik, termasuk teologi, falsafah agama, perbandingan agama, dan kajian sains sosial. Teori-teori agama menawarkan pelbagai penjelasan tentang asal-usul dan fungsinya, termasuk asas ontologi kewujudan dan kepercayaan agama.
Peristilahan dan pentakrifan
Kata agama menyerap kata bahasa Sanskrit āgama (आगम) yang bererti "tradisi",[3][4] ia pada dasarnya datang dari kata kerja dasar गम gāma bermaksud "pergi" (to go) dan आ (ā-) "menuju" (toward) lalu merujuk kepada "karya suci"[3] "yang diturunkan" (that which has come down).[5]
Kamus Besar Bahasa Indonesia mentakrifkan "agama" adalah "sistem yang mengatur tata keimanan (kepercayaan) dan peribadatan kepada Tuhan Yang Mahakuasa serta tata kaidah yang berhubungan dengan pergaulan manusia dan manusia serta lingkungannya". Menurut Kamus Dewan Perdana keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka, agama bermaksud "kepercayaan kepada Tuhan yang menjadikan dan menguasai alam ini serta ajaran dan kewajipan yang berkaitan dengan kepercayaan itu" dan "kepercayaan kepada dewa dan lain-lain yang dipuja dan dianggap amat berkuasa."[6]
Jenis agama
Agama boleh dibahagi kepada beberapa jenis menurut kategori tertentu. Orang ramai biasanya membezakan agama kepada agama yang sahih dan agama sesat. Pengelasan mudah ini adalah subjektif, malah boleh mendatangkan perasaan tidak puas hati dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Dengan itu, agama haruslah dikelaskan berdasarkan kategori yang zahir.
Dari segi penyebaran
Dari segi penyebarannya,sesuatu agama boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu:
- Agama Sejagat
merupakan agama-agama yang "besar" dan mempunyai minat untuk menyebarkan ajaran untuk keseluruhan umat Manusia. Sasaran agama jenis ini adalah kesemua manusia tanpa mengira kaum dan bangsa. Contohnya: agama Hindu, Islam, Kristian dan Buddha.
- Agama Rakyat
merupakan agama yang kecil dan tidak mempunyai sifat dakwah seperti agama sejagat. Amalannya hanya terhad kepada bangsa tertentu. Contohnya: Agama Rakyat China/Taoisme dan agama Sikh.
Dari segi sumber rujukan
Semua agama menganggap ajarannya kudus. Kekudusan itu berpunca daripada satu sumber yang kudus juga. Dari segi sumber, agama-agama di dunia boleh dibahagi kepada dua jenis:
- Agama Bersumberkan Wahyu.
Merujukkan agama yang menuntut dirinya sebagai agama yang diturunkan daripada Tuhan sendiri. Penurunan ini biasanya melalui seorang Rasul. Daripada itu, agama yang berkenaan menganggap ajarannya adalah kebenaran yang muktamad. Contohnya: agama Yahudi, Kristian dan Islam.
- Agama Budaya.
merujuk kepada agama yang tidak menuntut kepada sumber wahyu. Agama ini mengabsahkan dirinya dengan merujuk kepada pelbagai sumber seperti pembuktian, adat, falsafah dan sebagainya. Contohnya: agama Buddha dan Hindu.
Dari segi tanggapan ketuhanan
Agama-agama yang berbeza mempunyai pandangan yang berbeza mengenai Tuhan. Perbezaan ini mungkin dari segi nama Tuhan dan sifat Tuhan. Secara amnya, agama menurut penjenisan ini dapat dibahagi kepada 2 jenis.
- Agama Monoteisme
merupakan agama yang menganggap Tuhan hanya satu, yakni mendukung konsep kewahidan Tuhan. Contohnya, agama Islam, Kristian, dan Yahudi.
- Agama Politeisme
merupakan agama yang menganggap bahawa Tuhan wujud secara berbilangan, yakni ada banyak Tuhan atau Tuhan boleh berpecah kepada banyak bentuk. Contohnya, Agama Rakyat China.
Dari segi asal-usul
Agama-agama utama dunia juga lazimnya dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan asal-usulnya,[7] iaitu:
Agama Ibrahimiah (Agama Samawi atau Ibrahimik)[8]
- Agama Yahudi
- Agama Kristian
- Agama Islam
Berasal dari benua India:
- Agama Hindu
- Agama Buddha
- Agama Sikh
Dari kewujudan kitab suci
Agama-agama juga boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu agama-agama yang mempunyai kitab suci dan agama-agama tanpa kitab suci.
Antara agama-agama berkitab:
- Agama Hindu - ayat-ayat suci Veda yang ditemui oleh golongan Resi
- Agama Majusi - kitab Avesta dalam bahasa Avesta kuno
- Agama Jain - kitab Jain Agama yang ditulis dalam bahasa Ardhamagadhi, sebuah bahasa Prakrit (Indo Aryan)
- Agama Yahudi - Kitab Injil Yahudi (Tanakh)
- Agama Buddha - kitab Tripitaka dalam bahasa Pali
- Agama Kristian - kitab Injil (Perjanjian Lama dan Baharu)
- Agama Islam - kitab Al-Quran
- Agama Sikh - kitab Adi Granth
- Agama Tao - kitab-kitab Tao Te Ching, Zhuangzi, dan Daozang dalam bahasa Cina klasik.
Antara agama-agama tanpa kitab suci yang tertentu ialah:
- Agama Wicca
- Agama rakyat: Selalunya tidak mempunyai akidah formal atau teks suci. Contohnya termasuk agama tradisional Afrika, agama rakyat Cina, agama masyarakat asli Amerika, dan agama orang asli Australia.
Fungsi Agama Kepada Manusia
Dari segi pragmatisme, seseorang itu menganut sesuatu agama adalah disebabkan oleh fungsinya. Bagi kebanyakan orang, agama itu berfungsi untuk pelindung kebahagiaan hidup. Tetapi dari segi sains sosial, fungsi agama mempunyai dimensi yang lain seperti apa yang dihuraikan di bawah:
- Memberi pandangan dunia kepada satu-satu budaya manusia.
Agama dikatakan memberi pandangan dunia kepada manusia kerana ia sentiasanya memberi penerangan mengenai dunia (sebagai satu keseluruhan), dan juga kedudukan manusia di dalam dunia. Penerangan bagi perkara ini sebenarnya sukar dicapai melalui pancaindera manusia, melainkan sedikit penerangan daripada falsafah. Contohnya, agama Islam menerangkan kepada umatnya bahawa dunia adalah ciptaan Allah(s.w.t) dan setiap manusia harus menaati Allah(s.w.t).
- Menjawab pelbagai soalan yang tidak mampu dijawab oleh manusia.
Sesetangah soalan yang sentiasa ditanya oleh manusia merupakan soalan yang tidak terjawab oleh akal manusia sendiri. Contohnya soalan kehidupan selepas mati, matlamat hidup, soal nasib dan sebagainya. Bagi kebanyakan manusia, soalan-soalan ini adalah menarik dan untuk menjawabnya adalah perlu. Maka, agama itulah digunakan untuk menjawab soalan-soalan ini.
- Memberi rasa kekitaan kepada sesuatu kelompok manusia.
Agama merupakan satu faktor dalam pembentukkan kelompok manusia. Ini adalah kerana sistem agama menimbulkan keseragaman bukan sahaja kepercayaan yang sama, malah tingkah laku, pandangan dunia dan nilai yang sama.
- Bertugas sebagai kawalan rakyat.
Kebanyakan agama di dunia adalah menyaran kepada kebaikan. Dalam ajaran agama sendiri sebenarnya telah menggariskan kod etika yang wajib dilakukan oleh penganutnya. Maka ini dikatakan bahawa agama bertugas sebagai kawalan rakyat.
Senarai agama
- Islam
- Hindu
- Buddha
- Buddha Theravada
- Buddha Mahayana
- Vajrayana (Agama Buddha Indo-Tibet)
- Agama rakyat Cina
- Agama tradisi Afrika
- Sikhisme
- Yahudi
- Ayyavali
- Agama Bahá'í
- Jainisme
- Animisme
- Shinto
- Taoisme
Jenis-jenis Kristian
- Gereja Anglikan Ortodoks
- Gereja Anglikan di Amerika Utara
- Gereja Episkopal Kristian
- Gereja Katolik Anglikan
- Kommunion Anglikan
- Gereja Anglikan Amerika Tengah
- Gereja Anglikan Australia
- Gereja Anglikan Bermuda
- Gereja Anglikan Burundi
- Gereja Anglikan di Aotearoa, New Zealand dan Polynesia
- Gereja Anglikan Jepun
- Gereja Anglikan Kanada
- Gereja Anglikan Kenya
- Gereja Anglikan Kon Selatan Amerika
- Gereja Anglikan Kongo
- Gereja Anglikan Korea
- Gereja Anglikan Mexico
- Gereja Anglikan Papua New Guinea
- Gereja Anglikan Rwanda
- Gereja Anglikan Selatan Afrika
- Gereja Anglikan Tanzania
- Gereja Bebas Filipina
- Gereja Sailan
- Gereja di Wilayah Hindia Barat
- Gereja England
- Gereja Episkopal (Amerika Syarikat)
- Gereja Episkopal Anglikan Brazil
- Gereja Episkopal Cuba
- Gereja Episkopal di Baitulmaqdis dan Timur Tengah
- Gereja Episkopal "Reformed" Sepanyol
- Gereja Episkopal Scottish
- Gereja Episkopal Sudan
- Gereja Evangelikal Hawari Katolik Lusitania
- Gereja Ireland
- Gereja Nigeria
- Gereja Uganda
- Gereja Wales
- Gereja Wilayah Afrika Barat
- Gereja Wilayah Afrika Tengah
- Gereja Wilayah Asia Tenggara
- Gereja Wilayah Lautan Hindi
- Gereja Wilayah Melanesia
- Gereja Wilayah Myanmar
- Hong Kong Sheng Kung Hui
- Misi-Misi Anglikan di Amerika
- Perikatan Anglikan Kanada
- Gereja Hawari Baru
- Gereja Katolik
- Katolik Lama
- Katolik Liberal
- Kristian Bebas
- Kristian Zionis Afrika
- Yahudi Pengikut Al Masih
- Kesatuan Perhimpunan-Perhimpunan Nasrani Bani Israel
- Kesatuan Perhimpunan-Perhimpunan Yahudi Pengikut Al Masih
- Ministri Bangsa Pilihan Tuhan
- Ministri Kalam Al Masih
- Pakatan Yahudi Pengikut Al Masih Bersatu
- Perhimpunan Yahudi Pengikut Al Masih Beth Shalom
- Persatuan Perhimpunan-Perhimpunan Al Masih
- Persatuan Saksi-Saksi Jesus Al Masih Sedunia
- Persekutuan Antarabangsa Yahudi Pengikut Al Masih
- Gereja Ortodoks Timur
- Gereja Hawari Armenia
- Gereja Assyria Kuno Timur
- Gereja Katolik Ortodoks Amerika
- Gereja Kuno Timur
- Gereja Ortodoks Abkhazia
- Gereja Ortodoks Afrika
- Gereja Ortodoks Arab
- Gereja Ortodoks Yunani
Lihat juga
Rujukan
- ^ https://populationeducation.org/world-population-by-religion-a-global-tapestry-of-faith/
- ^ https://www.statista.com/statistics/374704/share-of-global-population-by-religion/
- ^ a b Monier-Williams, Monier (1981). A Sanskrit-English Dictionary. Delhi, Varanasi, Patna: Motilal Banarsidass. m/s. 129. - melalui Edi Sedyawati dkk. (1994). Kosakata Bahasa Sanskerta dalam Bahasa Melayu Masa Kini (PDF). Jakarta, Indonesia: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia. m/s. 10. ISBN 979-459-416-4.[pautan mati kekal]
- ^ Menurut kamus Sanskerta-Inggeris Monier-Williams (cetakan pertama tahun 1899) pada entri āgama: ...a traditional doctrine or precept, collection of such doctrines, sacred work [...]; anything handed down and fixed by tradition (as the reading of a text or a record, title deed, &c.)
- ^ Grimes, John A. (1996). A Concise Dictionary of Indian Philosophy: Sanskrit Terms Defined in English. State University of New York Press. ISBN 978-0-7914-3068-2. LCCN 96012383. pages 16–17
- ^ Kamus Dewan Perdana, Dewan Bahasa dan Pustaka (2021) Kuala Lumpur, ms.20
- ^ https://www.britannica.com/story/what-is-the-most-widely-practiced-religion-in-the-world
- ^ Goshen-Gottstein, Alon. "Abraham and ‘Abrahamic Religions’ in Contemporary Interreligious Discourse." Studies in Interreligious Dialogue 12.2 (2002): 165-183.