Putera Bertopeng | |
---|---|
Pengarah | K. M. Basker |
Penulis | K. M. Basker |
Lakon layar | K. M. Basker |
Dihasilkan oleh | Run Run Shaw |
Dibintangi | Ahmad Mahmud Latifah Omar Aziz Sattar Normadiah Haji Mahadi S. Kadarisman |
Sinematografi | N. B. Vasudev |
Disunting oleh | Lee Thiam Yak |
Muzik oleh | Osman Ahmad Fred Libio Lionel B. Ventura |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Shaw Brothers |
Tarikh tayangan | 1957 |
Masa tayangan | 110 minit |
Negara | Malaya (Singapura & Malaysia) |
Bahasa | Melayu |
Putera Bertopeng merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaya pada tahun 1957. Filem Putera Bertopeng diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna. Filem Putera Bertopeng mula ditayangkan pada 1957 di pawagam seluruh negara.
Trivia
Filem ini merupakan filem terakhir lakonan seniwati Latifah Omar di dalam Malay Film Productions sebelum beliau berhijrah ke produksi Cathay-Keris Film Productions.[1]
Pengarah
Filem Putera Bertopeng diarahkan oleh K. M. Basker dan diterbitkan pada 1957 dan dibantu oleh Jamil Sulong.
Sinopsis
Filem ini berlatar belakang di kota Baghdad, Iraq dimana seorang anak raja bernama Tengku Ali Shamsuddin (Ahmad Mahmud) dan Wan Dalila (Latifah Omar), anak kepada Gabenor Husin (Daeng Idris) adalah sepasang kekasih yang saling mencintai sejak kecil. Ketika itu berlaku rampasan kuasa di mana adinda kepada Sultan Shamsuddin (S. Shamsuddin) iaitu Raja Kamaruddin (Haji Mahadi) dan pengikutnya merampas takhta dan baginda telah dipenjarakan seumur hidup manakala Putera Ali telah berjaya melarikan diri dari dibunuh oleh bapa saudaranya. Semasa di dalam perjalanan, mereka telah diekori oleh Mukhtar (A. Rahim) dan kuncu-kuncunya. Mereka bergelut sehingga menyebabkan Tengku Ali tercedera dan terjatuh ke dalam gaung. Pada mulanya Sultan Kamaruddin agak risau dengan dengan kehebatan Tengku Ali yang akan membalas dendam di atas rampasan kuasa tersebut. Namun begitu, Mukhtar sempat melaporkan kepada Siddiq (S. Kadarisman) dan Kamaruddin dengan mengatakan Tengku Ali telah berjaya dibunuhnya dan mayatnya dibuang ke dalam gaung. Dengan kejayaan itu, Mukhtar telah dilantik sebagai wizurai kerajaan yang baharu menggantikan tempat Siddiq. Manakala Siddiq pula dinaikkan pangkat menjadi Penasihat Sultan (Datuk Wazir yang baharu).
Pada hari pengishtiharan Sultan Kamaruddin sebagai Sultan yang baru, baginda telah memenjarakan Datuk Wazir sedia ada (lakonan M. Babjan) kerana tidak sehaluan dengan titahnya. Sultan Kamaruddin telah meminda perlembagaan negara dimana kesemua duit di dalam baitul mal akan digunakan untuk kegunaan rasmi kerajaan dan pegawai atasan kerajaan. Manakala sistem cukai daripada rakyat diperkenalkan bagi menjana semula pendapatan kasar negara. Baginda juga telah menitahkan kepada rakyat jelata yang tidak sehaluan dengan titahnya akan dihukum bunuh. Sementara itu, Siddiq telah berjumpa dengan Gabenor dan memberitahu bahawa Baginda Sultan akan berkahwin dengan Wan Dalilah. Bapanya mulai risau dan tidak mahu anaknya menjadi isteri kepada Sultan Kamaruddin.
Dalam masa yang sama, selepas Tengku Ali pulih dari kecederaannya, beliau sering mengikuti perkembangan ahli keluarganya secara rahsia. Setiap waktu malam, Tengku Ali sering menjelmakan dirinya dengan wajah yang bertopeng. Tengku Ali mengarahkan agar Wan Dalilah tidak melarikan diri dari kota Baghdad. Selepas itu, beliau bertemu pula dengan Gabenor dan memberitahu bahawa dialah pemimpin pasukan pemberontak yang bertopeng yang sering mengganggu pentadbiran Kamaruddin yang zalim itu. Beliau mengarahkan agar Gabenor Husin merekrut seberapa ramai yang mungkin untuk menyertai kumpulannya, membekalkan harta dan senjata serta membiayai perjalanan kumpulan tersebut.
Pada hari yang ditetapkan dimana Siddiq dan Mukhtar akan datang untuk berjumpa dengan Gabenor Hussin. Dalam masa yang sama, semua harta yang dibawa untuk melamar puterinya telah dirampas oleh pasukan pemberontak yang bertopeng. Ali telah mengugut Siddiq dan Mukhtar agar membatalkan perkahwinan di antara Sultan Kamaruddin dengan Wan Dalilah. Setibanya di istana, Siddiq melaporkan apa yang terjadi terhadap dirinya dan Mukhtar kepada Sultan Kamaruddin. Baginda Sultan begitu murka dan mengarahkannya agar Wan Dalilah bersama bapanya ditangkap kerana didakwa atas tuduhan menderhaka. Gabenor Husin disiksa sebelum Wan Dalilah berubah fikiran dengan merelakan dirinya untuk menjadi isteri kepada Sultan Kamaruddin. Namun begitu, ayahnya tidak dibebaskan seperti apa yang dijanjikan. Khadijah dan Pak Abu (Mustarjo) menjadi orang tengah kepada kumpulan pemberontak bertopeng untuk menyampaikan apa apa berita perkembangan di dalam kerajaan baru itu. Pak Abu sempat memberitahu kepada Tengku Ali bahawa Gabenor Husin telah dipenjarakan dan Wan Dalilah akan menjadi isteri kepada Sultan Kamaruddin dalam masa terdekat. Tengku Ali kemudian mengetuai kumpulan bertopeng untuk menuntut keadilan dan membebaskan semua tahanan Sultan Kamaruddin dan memaksa Sultan Kamaruddin yang zalim itu meletakkan jawatan dengan segera. Kali ini, Tengku Ali berjaya menyelinap masuk ke dalam Istana Sultan untuk bertemu dengan Wan Dalilah. Tengku Ali mula membuat perancangan awal dimana beliau mengarahkan agar Wan Dalilah bersetuju untuk berkahwin juga dengan Sultan Kamaruddin dan pada hari perkahwinan yang telah ditetapkan itu, pada hari perkahwinan itulah kumpulan pimpinannya akan menyerang pihak kerajaan sehingga berjaya dimusnahkan.
Tiba di hari perkahwinan baginda Sultan Kamaruddin dan Wan Dalilah, Tengku Ali bersama para pengikut dan rakyat jelata berjaya menceroboh masuk ke dalam istana dan membunuh hampir ke semua pengikut Sultan Kamaruddin. Sultan Kamaruddin berjaya dibunuh semasa baginda ingin melarikan diri oleh Tengku Ali. Di kesempatan itu jugalah beliau berjaya membunuh Siddiq dan Mukhtar.
Sultan Shamsuddin juga berjaya diselamatkan dan ditabalkan semula menjadi Sultan. Baginda menitahkan bahawa Tengku Ali akan dikahwinkan dengan Wan Dalilah secepat mungkin. Kerajaan Baghdad kembali aman semula.
Pelakon
- Ahmad Mahmud sebagai Tengku Ali (Putera Bertopeng)
- Latifah Omar sebagai Wan Dalila
- S. Shamsuddin sebagai Sultan Shamsuddin
- Aziz Sattar sebagai pembantu Putera Ali
- Daeng Idris sebagai ayah Wan Dalilah
- Normadiah sebagai Khadijah
- Haji Mahadi sebagai Sultan Kamaruddin
- S. Kadarisman sebagai Siddiq
- A. Rahim sebagai Mukhtar
- Malek Sutan Muda sebagai Bakar
- M. Babjan sebagai Datuk Wazir
- Nyak Puteh sebagai Orang Istana
- Mustarjo sebagai Pak Abu
- Ahmad C sebagai pengikut Tengku Ali
- Omar Suwita sebagai pengikut Tengku Ali
- H. M. Busra sebagai pengikut Tengku Ali
- Nyong Ismail sebagai Kadi Istana
Lagu
- Seri Dewi Malam nyanyian oleh Normadiah
Rujukan
Pautan luar
Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah dengan templat tunas yang lebih spesifik.