Primadona Seniwati Latifah Omar لطيفه عمر | |
---|---|
Kelahiran | Fatimah binti Omar 26 Mac 1939 |
Meninggal dunia | 9 Jun 2013 | (umur 74)
Sebab kematian | Kanser usus |
Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, Ulu Kelang, Selangor |
Pekerjaan | Pelakon |
Tahun aktif | 1953–2013 |
Terkenal kerana | 'Melati' (Panggilan Pulau) 'Aminah' (Merana) 'Lisda' (Putus Sudah Kaseh Sayang) |
Pasangan | Rahmat Ali |
Anak-anak | 4 |
Ibu | Rahmah Kassim |
Bapa | Omar Puteh |
Fatimah binti Omar (26 Mac 1939 – 9 Jun 2013) juga lebih dikenali sebagai Latifah Omar ialah seorang pelakon filem Malaysia yang muncul dalam filem-filem Melayu hitam dan putih di Singapura.
Kematian
Allahyarhamah telah meninggal dunia pada 9 Jun 2013 kira-kira pukul 6.19 petang Waktu Piawai Malaysia pada usia 74 tahun, di Pusat Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia setelah dimasukkan ke HUKM seminggu sebelumnya akibat penyakit kanser usus. Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Al-Khairiah AU3 Lembah Keramat dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, Ulu Kelang pada 11.20 pagi.[1] Allahyarhamah meninggalkan empat orang anak dan sembilan orang cucu.
Biografi
Latifah Omar dilahirkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 26 Mac 1939[2] dengan nama sebenar beliau ialah Fatimah Binti Omar. Beliau mengunakan nama samarannya sebagai Latifah selepas beliau berhijrah ke Singapura bersama ibunya, Rahmah Binti Kassim. Ibunya dan neneknya berasal dari Singapura. Beliau merupakan seniwati filem Melayu hitam-putih yang terkenal pada era 1950-an hingga 1970-an. Pada tahun 1953, ketika berusia 14 tahun, beliau telah mencuba nasib dengan menyertai pertandingan ratu cantik Singapura. Tuah menyebelahi beliau apabila memenangi gelaran tersebut. Pelbagai tawaran pekerjaan ditawarkan kepada beliau kesan daripada kemenangannya itu. Sebelum tahunnya berakhir, beliau telah menghadirkan diri di pertandingan ratu cantik Singapura edisi 1954 untuk memberikan mahkota kepada pemenang baru ketika itu iaitu Marjorie Wee.
Kerjaya
Allahyarhammah telah dilamar oleh pengarah S. Ramanatahan bagi membintangi filem Panggilan Pulau yang ditayangkan pada tahun 1954. filem Panggilan Pulau (Julai 1954) merupakan filem pertama lakonan Seniwati Latifah Omar di mana pada masa itu beliau baru sahaja berusia 15 tahun dan telah diberi peluang berlakon disisi pelakon-pelakon yang hebat pada masa itu antaranya P. Ramlee, Normadiah, Nordin Ahmad, Daeng Idris, Yusof Latiff, A. Rahim, Salleh Kamil, S. Shamsuddin, Siti Tanjung Perak, Omar Rojik, S. Kadarisman, Ibrahim Pendek dan merupakan kemunculan pertamanya di layar perak .
Pada tahun yang sama juga, Allahyarhammah telah berpeluang untuk bergandingan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem Merana (November 1954), terbitan Malay Film Production. Itu merupakan kali kedua dan terakhir mereka bergandingan di layar perak, sebelum berhijrah dari Malay Film Productions ke syarikat perfileman Cathay Keris.[3] Agak menyedihkan bagi Latifah (bergaji bulan) apabila dia terpaksa memberi notis sebulan kerana adanya pertikaian antara dia dengan pihak majikan (MFP) disebabkan tidak menghadirkan diri dalam satu majlis yang ada hubungkait dengan filem – sehingga sampai ke peringkat dia dimarahi. Kemarahan pihak MFP itu jelas diterjemahkan dalam filem Putera Bertopeng apabila namanya di ‘credit title’ dikeluarkan sungguhpun beliau adalah pelakon utama pelakon Allahyarham Dato' Ahmad Mahmud. Nama Ahmad Mahmud, Normadiah, Haji Mahadi, Aziz Sattar dan lain-lain sahaja yang ada, sebaliknya nama Latifah pula yang tiada.
Ketika bersamanya Cathay Keris, populariti Allahyarham meningkat apabila beliau berlakon dalam banyak filem genre bangsawan bersama Allahyarham Nordin Ahmad. Beliau sempat membintangi 26 buah filem dengan Cathay Keris, yang mana 12 daripadanya merupakan gandingan bersama Nordin Ahmad. Beliau sering digandingkan dengan seniman Nordin Ahmad antaranya seperti dalam filem Serangan Orang Minyak, Raden Mas, Hang Jebat, Lanchang Kuning, Laila Majnun, Chuchu Datok Merah dan Gurindam Jiwa
Selain Nordin Ahmad, Latifah juga pernah digandingkan dengan ramai seniman ternama seperti Dato' Ahmad Mahmud (filem Insan dan Putera Bertopeng), S. Roomai Noor (Sumpitan Racun), S. Kadarisman (Bernoda), Yusof Latiff (Jalak Lenteng) dan Tony Kassim (Rumah Itu Duniaku). Dalam filem Bawang Putih Bawang Merah lakonannya bersama Dato' Mustapha Maarof, Allahyarhammah memegang watak sebagai Merah, anak tiri yang teraniaya.
Apabila industri perfileman Melayu mula menampakkan kemerosotan, Latifah membawa diri selepas filem Gurindam Jiwa dan Naga Tasik Chini. Tetapi kemudian pada 1971, P. Ramlee mengambilnya berlakon dalam filem Putus Sudah Kaseh Sayang terbitan Merdeka Film Productions iaitu gandingan ketiga P. Ramlee dan Latifah selepas filem Panggilan Pulau dan Merana (1954).
Filem terakhir Latifah ialah Hati Batu (1973) arahan M. Amin (yang merupakan juga filem terakhir keluaran Cathay-Keris) yang turut di bintangi S. Azam, Ogy Ahmad Daud, M. Shahdan dan Salleh Melan.
Kehidupan peribadi
Allahyarhamah pernah menjadi ibu tiri kepada Allahyarhamah Seniwati Rahmah Rahmat apabila bapa Rahmah iaitu Rahmat Ali, seorang peniup trompet profesional menikahi Allahyarhamah pada tahun 1957. Jarak umur di antara Latifah dan Rahmat terlalu jauh iaitu 18 tahun. Beza umur antara Latifah dan Rahmah tidaklah begitu jauh. Walau bagaimanapun, perkahwinan di antara Latifah dan Rahmat Ali tidak berpanjangan dan berakhir dengan penceraian. Beliau juga pernah berkahwin sebanyak tiga kali tetapi kesemua perkahwinan Allahyarhamah berakhir dengan penceraian.
Filemografi
Filem
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
1953 | Dahlia | Filem pertama | |
Kerana Kau | |||
1954 | Panggilan Pulau | Melati | |
Merana | Aminah | ||
1955 | Insan | Salmah | |
Menyerah | Rohaya | ||
Bernoda | |||
Empat Isteri | Fatimah | ||
1957 | Putera Bertopeng | Wan Dalila | |
1958 | Serangan Orang Minyak | Sofia | |
Selendang Delima | Putri Bungsu | ||
1959 | Bawang Putih Bawang Merah | Bawang Merah | |
Raden Mas | Raden Mas | ||
1960 | Che Mamat Parang Tumpul | Fatimah | |
1961 | Sumpitan Racun | Rokiah | |
Hang Jebat | Dang Baru | ||
Jalak Lenteng | Puteri Seri Purnama | ||
Gado-gado | Penampilan khas | ||
1962 | Chelorong Cheloreng | Harum Cendana | |
Lanchang Kuning | Telani | ||
Laila Majnun | Laila | ||
1963 | Rumah Itu Dunia Aku | Lina | |
Chuchu Datok Merah | Wan Kuntum | ||
Bayangan Di Waktu Fajar | Suryani | ||
1964 | Kalong Kenangan | Tengku Mawar | |
Wan Perkasa | Mawar | ||
1965 | Cinta Kasih Sayang | Normah | |
Ikan Emas | Kintan | ||
Gurindam Jiwa | Dahlia | ||
Kaseh Ibu | Hasnah | ||
1966 | Naga Tasik Chini | Mayang | |
1971 | Putus Sudah Kaseh Sayang | Lisda | |
1973 | Hati Batu | Zaitun | Filem terakhir |
Telefilem
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2012 | 50:50 | Azizah | TV1 | Telefilem pertama dan terakhir, sebagai penampilan khas |
Rujukan
- ^ http://english.astroawani.com/news/show/veteran-actress-latifah-omar-dies-16011
- ^ "Latifah Omar serasi dengan Nordin Ahmad". Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-12-29. Dicapai pada 2017-12-29.
- ^ Perginya Primadona filem Melayu.