Pawang Ana adalah seorang penglipurlara atau penutur cerita-cerita Melayu tradisional yang disampaikan secara lisan. Semua cerita penglipurlara yang beliau sampaikan dirakam dan ditulis semula oleh pegawai British di Tanah Melayu iaitu R.O. Winstedt (1878-1966) dan William E Maxwell. Sungguhpun beliau rapat dengan pegawai British, beliau hanya dikenali sebagai 'Pawang Ana' sahaja dan tidak diketahui nama asalnya dan biodata tentangnya. Menantunya bernama Mir Hassan juga berkebolehan menuturkan pelbagai cerita.
Antara karya 'Seniman Rakyat' ini yang telah dituturkan dan sempat dirakam ialah :
- Hikayat Malim Deman
- Hikayat Raja Muda
- Hikayat Malim Dewa
- Hikayat Anggun Cik Tunggal
- Hikayat Awang Sulung Merah Muda. [1]
Lakaran wajah Pawang Ana dijumpai oleh mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya Mohd Zamberi Abdul Malek ketika membuat penyelidikan mengenai R.O Winstedt di London.
Kehidupan awal
Pawang Ana sendiri tidak mahu dikenali sungguhpun beliau agak rapat dengan pegawai/residen British di Perak (1874-1880). Nama 'Pawang Ana' dipercayai nama samaran sahaja kerana sebagai perantau dan pelarian dari Perang Paderi, Rao,[perlu rujukan] Sumatera Barat, Indonesia, beliau terpaksa menyembunyikan identitinya. Indonesia ketika itu di bawah cengkaman Belanda lalu berhijrah ke Kampung Pulai, Gopeng, Perak.
Sejarah juga menunjukkan pelbagai artifak Tanah Melayu dibawa ke Eropah. Sejak zaman Portugis-Belanda-British lagi, kitab-kitab lama diangkut ke Eropah. Malangnya kapal Flor de la Mar dan The Flame terbakar dan tenggelam semasa dalam pelayaran.
Pegawai Inggeris di Perak, Richard Olof Winstedt ada membuat kajian ringkas tentang beliau. Pawang Ana dipercayai berasal dari Rao, Sumatera Barat dan berhijrah ke Kampung Pulai, Gopeng, Perak apabila Rao tewas dalam peperangan menentang Belanda. Ketika itu berlaku gelombang penghijrahan beramai-ramai orang-orang Rao ke Perak setelah tamat Perang Paderi (1816-1833).
Perang Paderi adalah ekoran gerakan pendakwah Sumatera Barat yang mendapat pendidikan dari Mesir, Mekah dan Madinah. Pelbagai adat tradisional ditentang seperti laga ayam dan adat resam yang bercanggah dengan Islam di Minangkabau, Sumatera Barat. Apabila Belanda menyerang Sumatera, Perang Paderi bertukar menjadi perang menentang Belanda. Begitupun, Belanda berjaya menguasai Minangkabau dan Rao dan keseluruhan Indonesia kerana ada pribumi yang belot. Akibatnya, pahlawan-pahlawan Rao seperti Tuanku Rao, Imam Bonjol, Tuanku Tembusai dan lain-lain berjaya ditangkap Belanda atas bantuan pribumi. Tuanku Rao diseksa di dalam sebuah kapal Belanda dan mayatnya dibuang ke laut berdekatan Air Bangis. Imam Bonjol dibuang daerah ke pulau Manado dan meninggal dunia di situ. Manakala Tuanku Tembusai sempat melarikan diri ke Negeri Sembilan dan meninggal dunia di Rasah, Seremban.
Apabila kalah perang dan tidak mahu dikristiankan oleh Belanda, mereka beramai-ramai meninggalkan kampung halaman; berbulan-bulan melintasi hutan belantara dari Rao ke Medan, menyeberangi Selat Melaka dan mendarat di Kelang, Pulau Pinang dan Kedah. Sekitar 1850-an, lokasi awal mereka ialah di Kampung Rao atau Gopeng kini.
Pawang dan Dukun
Penulis sejarah, Zakaria Hitam menyatakan Pawang Ana sebagai pawang.[2]. Siti Hawa Salleh pula menyatakan Pawang Ana “......the publication of the folklores told by the shaman, Pawang Ana in Temoh....[3] Chuan Siu Li pula menyatakan “...Winstedt bertemu dengan seorang Penghulu di Perak, Raja Haji Yahya bin Haji Muhammad Ali namanya, yang dapat menuliskan sastera rakyat atau cerita lisan itu datang dari mulut seorang pawang, Pawang Ana namanya.[4]
Masyarakat tempatan mengenali Pawang Ana sebagai bomoh ,dukun, pendekar atau hulubalang. 'Pawang Ana;...this old Sumatran warrior recited Awang Sulong and other Malay folktales while Winstedt took them down. [5] Prof Mohd Taib Osman mencatatkan bahawa Pawang Ana menjadi pendekar atau hulubalang .[6]
Beliau juga sanggup mencari mayat Residen British di Perak JWW Birch yang mati ditikam di Pasir Salak dan mayatnya hanyut di Sungai Perak R.O Winstedt menerangkan bahawa Pawang Ana yang menjumpai mayat Birch di Sungai Perak ."It was at Tapah that I began to collect Malay folktales from Pawang Ana, a Malay who had recovered the body of Mr Birch, the first Resident of Perak, from the river after his murder.[7]
Clifford Edmund Bosworth menyatakan "It was he who was responsible for introducing to Winstedt Pawang Ana, who had recovered the body of Perak’s first British Residen, JWW Birch, after he had been murdered by Malays in 1875....[8]
Selama tiga hari , tiga malam British bersusah payah mencari mayat Birch kerana telah dihanyutkan air ke hilir Sungai Perak . British telah meminta bantuan daripada Pawang Ana dan berjaya menjumpai mayat itu kira-kira 183 meter dari tempat kejadian. Mayat itu ditanam di Teluk Memali / Bandar Baru iaitu pusat pentadbiran British di kawasan Hilir Perak . Kemudian sekitar 1970-an, keluarga mendiang JWW Birch dari England membawa mayat tersebut ke Britain.
Pindah ke Temoh
Pawang Ana dipercayai pindah ke Temoh kerana Gopeng pernah dilanda penyakit Taun atau Malaria. Kampung Batu Masjid, Temoh dibuka oleh Lebai Tenggam bersama beberapa orang pengikutnya, Haji Baduwakil,Haji Sirat, Haji Ismail Jambi, Haji Salleh dan Haji Mohd Yasin.Kampung Batu Masjid dibuka sekitar tahun 1895. Menurut Abdul Salam Hj Ismail (anak saudara Lebai Tenggam) Pawang Ana adalah orang yang menamakan kawasan baru yang diterokai itu sebagai Batu Masjid.
Pawang Ana menamakan kawasan tersebut sebagai Batu Masjid dan dijadikan petempatan baru. Antara petempatan berhampiran ialah Tanah Seribu , Kampung Jawa dan Banir. Sungai Cheroh mengalir dari Bukit Temoh, Tapah.Air sungai ini mengalir ke Sungai Chenderiang di Kuala Banir. Sungai Chenderiang pula menjalar ke Bukit Pekan, Kampar seterusnya memasuki Sungai Kinta, Sungai Perak dan terus ke Selat Melaka.[9]
R.O Winstedt mencatatkan Pawang Ana sebagai “Adventure had gone out of his life; his home was poor; his clothes cotton, and his wife old and ugly.[10] Abad ke-19 penduduk Tanah Melayu memang miskin dan daif kecuali Inggeris dan orientalis Barat.
Sebagai penglipur lara
Pada 29 Oktober 1907, R.O. Winstedt (1978-1966) dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah, Tapah .Tahun 1920 Winstedt mendapat PhD jurusan sastera dari Universiti Oxford.Minatnya terhadap cerita lisan Melayu yang dituturkan di kampung-kampung. Beliau diperkenalkan kepada Pawang Ana dan menantunya Mir Hassan yang boleh menuturkan pelbagai cerita lisan.
Pada tahun 1886, Raja Idris (kemudian menjadi Sultan Perak) telah membawa Mir Hassan ke Singapura untuk menyelesaikan cerita lipur lara berjudul Hikayat Seri Rama atas permintaan William E Maxwell . (W.E Maxwell semasa bekerja di Larut telah memulakan catatan cerita-cerita Mir Hassan).
Selanjutnya, Penghulu Chenderiang, Raja Haji Yahya bin Muhammad Ali telah memperkenalkan R.O Winstedt kepada Pawang Ana dan Mir Hassan. Mereka merakam serta menulis cerita-cerita tuturan Pawang Ana. John Bastin dan R. Roolvink menyatakan setiap Sabtu petang mereka berkumpul di Rumah Rehat Temoh hingga petang Ahad ."Winstedt formed friendship with two remarkable Malays who provided him with a mine of information about Malay lore. ...Beginning on Saturday afternoon and ending on Sunday evenings, this old Sumatran warrior recited Awang Sulong and other Malay folk-tales while Winstedt took them down."
Rumah Rehat Temoh itu mungkin merupakan rumah kediaman Inggeris.Pinggir rumah rehat itu terdapat sebuah tasik yang tenang airnya.Mungkin juga Bukit SMTD (Straits Malayan Tin Dreging) Temoh berhampiran Kampung Batu Masjid. Kawasan dan rumah rehat tersebut sudah lenyap akibat aktiviti perlombongan bijih timah. BukitSMTD berdekatan dengan Kramat Tin lokasi kapal korek British. Kapal korek itu digunakan British untuk mencari bijih timah.
Winstedt menyatakan “One Sunday I was listening to Pawang Ana and transcribing his version of Jack and the Beanstalk, when an American tourist dashed up the steps, followed at a respectful distance by three......Not far from Temoh was mining village of.....”[11]
Cerita tuturan Pawang Ana
- Hikayat Awang Sulong Merah Muda, suntingan A.J. Sturrock, terbitan Singapura (1908) .Versi lain dalam Journal Strait Branch Royal Asiatic Society (JSBRAS), 1909, hlm. 31-95.
- Hikayat Malim Deman, suntingan A.J. Sturrock, diterbitkan di Singapura (1908). Edisi kedua tahun 1954 dan ketiga tahun 1960.
- Hikayat Anggun Che Tunggal, diterbitkan di Singapura,(1914) dan edisi kedua tahun 1960.
- Hikayat Raja Muda, diterbitkan di Singapura, (1914) dan edisi kedua tahun 1960.
- Hikayat Malim Dewa diterbitkan di Singapura, tahun 1908.
Pawang Ana menggunakan dialek Rao kerana terdapat istilah atau perkataan Rao yang masih tertulis dalam buku yang terbitkan. Contohnya :
- Hikayat Malim Deman : ( Telutuk; enayang; kopok; peroman;kalih;melongoh; merendang jagung (mengoreng); Korinchi; berketimpong; berkukok; bercerancang
- Hikayat Anggun Cik Tunggal: (Teja (cahaya di kaki langit); meneluntang; ceropong; melulurnya; merambas; diolekkan)
Kebanyakan syair dan gurindam tuturan Pawang Ana mempunyai unsur-unsur bahasa Rao walaupun telah disunting oleh R.O Winstedt dan AJ Strurrock serta diubah-suai oleh Raja Haji Yahya mengikut bahasa persuratan Melayu. Pengubahsuaian tersebut telah menghilangkan keaslian cerita dan menimbulkan kritikan daripada sarjana kesusasteraan Melayu .Dr Siti Hawa Hj Salleh menyatakan "The biggest mistake by Winstedt in the publication of the folklores told by the shaman, Pawang Ana in Temoh, Perak was to “correct” or change the style of story telling of Pawang Ana to the style of written language...” [12]
Kajian dan penghargaan
Seminar Pemikiran Pawang Ana anjuran Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak telah diadakan pada 25 Oktober 2010 di Auditorium , Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara,Negeri Perak, Jalan Raja Di Hilir, Ipoh. Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah :
- “Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional” - Zabidin Hj lsmail, (Presiden Persatuan Karyawan Perak)
- “Unsur-unsur Budaya Rao dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal” - Prof Madya Dr.Talib Samat, (Universiti Pendidikan Sultan Idris / Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Perak)
- “Pemikiran dan Gaya Bahasa Puitis dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda - Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin (Universiti Pendidikan Sultan Idris)
- “Unsur Interteks dalam Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Deman” - Dr.Bazrul Bahaman (Universiti Pendidikan Sultan Idris)
- “Pawang Ana dan Patriotisme Maritim Melayu- Prof. Madya Dr. Jelani Harun (Universiti Sains Malaysia)
- “Penerapan Teori-teori Terpilih dalam Mengkaji Hikayat-hikayat Tuturan Pawang Ana.” - Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah, (Universiti Teknologi Nanyang, Singapura).
- “Peranan dan Sumbangan R.O Winstedt dan A.J Sturrock dalam Mendokumentasikan Cerita-cerita Penglipur Lara Tuturan Pawang Ana.” - Mohd. Zamberi Malik, (Mantan Karyawan Tamu, Universiti Malaya).
- “Perbandingan Ketokohan Pawang Ana (Perak) dan Awang Batil (Perlis) - Mohamad Shahidan (Dewan Bahasa dan Pustaka).[13]
Rujukan
- Bastin J., and Roolvink, R., Malayan and Indonesian Studies:Essay presented to Sir Richard Winstedt on his Eighty birthday. Singapore
- Clifford Edmund Boswort, 2001. A Century of British Orientalists 1902-2001. London: British Academy
- Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan, 2000. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan
- Perak Government Gazzette, No. 41, Taiping (keluaran 29 November 1907) Jilid. XX,
- Proceedings of the British Academy: Volume 65, 1981: London: British Academy
- R.O. Winstedt, 1916, Malayan Memories, Singapore: Kelly and Walsh Ltd.
- R.O Winstedt, 1969, Start From Alif Count From One: An Autobiographical Memoire, Kuala Lumpur: Oxford University Press
- Zabidin Hj Ismail, 2007. Batu Masjid Permata Kami Setelah Seratus Tahun Berlalu. Temoh: PIBG SK Batu Masjid
- ^ Pawang Ana Tokoh Penglipur Lara Negara
- ^ Zakaria Hitam, Tradisi Penulisan Manuskrip Melayu. 1997: Perpustakaan Negara Malaysia
- ^ Siti Hawa Salleh : 'Malay Literature of the 19th Century'
- ^ Chuan Siu Li 'Ikhtisar Sejarah Kesusasteraan Melayu Baru', 1830-1945 : 1996
- ^ Proceedings of the British Academy: Volume 65:1981
- ^ Mohd Taib Osman : 'Malay folk beliefs: an integration of disparate elements', Indiana University, 1967.
- ^ R.O Winstedt : Start from aliff: count from one: an autobiographical memoire (1969)
- ^ Clifford Edmund Bosworth : A Century of British orientalists 1902-2001 (British Academy: 2001)
- ^ Zabidin Hj Ismail, 2007:25-26
- ^ R.O Winstedt :Malayan Memories (1916)
- ^ Winstedt: Start from alif: count from one: an autobiographical memoire (1969)
- ^ Siti Hawa Salleh:Malay Literature of the 19th Century: 1983
- ^ Seminar Pemikiran Pawang Ana