اونيۏرسيتي ڤنديديقن سلطان إدريس | |
Moto | Pengetahuan Suluh Budiman |
---|---|
Jenis | Awam |
Ditubuhkan pada | 29 November 1922 SITC (Maktab Perguruan Sultan Idris bagi Guru Melayu),1957(MPSI),1987 (IPSI) & 1997 (UPSI) |
Canselor | DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim Davidson |
Naib Canselor | Prof. Dato' Dr. Md. Amin Md. Taff[1] |
Lokasi | , , |
Kampus | Kampus Sultan Abdul Jalil Shah Kampus Sultan Azlan Shah (Proton City) |
Laman sesawang | Portal rasmi UPSI |
Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan universiti pendidikan pertama di Malaysia. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 132 & 133, bertarikh 24 Februari 1997, di bawah dua buah Perintah iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Kampus) 1997. Sebelum ini UPSI dikenali sebagai Institut Perguruan Sultan Idris.
Kampus UPSI terletak di Tanjung Malim, Perak. Cogan kata UPSI ialah "Pengetahuan Suluh Budiman", manakala lagu rasminya ialah "Ibu Kandung Suluh Budiman".
Sejarah
Maktab perguruan pertama di Malaysia dibuka pada tahun 1913 di Taiping bawah nama Maktab Perguruan Matang. Maktab ini menggunakan bangunan rumah Ngah Ibrahim sebelum berpindah secara tetap ke Tanjung Malim dan diberikan nama baru sempena sultan Perak pada masa itu. UPSI dulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (Sultan Idris Training College atau SITC) di Tanjung Malim. Namanya sempena nama Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar yang memerintah negeri Perak dari 26 Jul 1887 - 14 Jan 1916. Baginda lahir pada tahun 1849 dan mangkat pada tahun 1916.
Sejarah penubuhan UPSI bermula dengan cadangan R.O. Winstedt untuk memusatkan maktab-maktab perguruan Melayu. Setelah mendapat persetujuan Sultan Abdul Jalil Perak, Pesuruhjaya Tinggi British telah mengumumkan untuk menubuhkan sebuah Maktab Pusat yang besar bagi guru-guru Melayu sebagai kenang-kenangan kepada Almarhum Sultan Idris Ibni Almarhum Raja Iskandar, Perak. Maktab yang dinamakan The Sultan Idris Training Collge for Malay Teachers yang dikenali dengan nama ringkasnya sebagai SITC telah dirasmikan oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negara pada 29 November 1922.[2]
Tujuan penubuhan
Tujuan asal maktab ini ditubuhkan adalah untuk melatih guru-guru untuk sekolah-sekolah Melayu, disamping itu pihak British juga berharap lepasan SITC akan dapat digunakan sebagai tenaga pekerja mereka. SITC kemudiannya seolah-olah menjadi Pusat Kehidupan Intelektual Melayu dengan penuntut-penuntut yang datang dari segenap pelosok Semenanjung. Pertemuan penuntut-penuntut Melayu ini secara langsung atau tidak langsung telah menyedarkan mereka tentang tanggungjawab meninggikan tahap pelajaran anak-anak Melayu dan membawa kepada perkembangan golongan terpelajar Melayu yang bersemangat kebangsaan. Keunggulan SITC membentuk pelajar dan pelajaran Melayu terbukti sehingga selesai Perang Dunia Kedua, bahkan hingga beberapa tahun selepasnya, sebelum wujud beberapa institusi pengajian tinggi lainnya.
Kurikulum yang diajarkan di SITC adalah berkenaan dengan pertanian asas dan pekerjaan tangan. Mata pelajaran yang diajar bagi satu-satu waktu pengajaran adalah selama 45 minit dan terdiri dari ilmu kira-kira, ilmu geometri, ilmu alam, bahasa, tawaraikh dan hikayat, ilmu tanaman, kaedah mengajar, ilmu kesihatan, lukisan, tulisan, anyaman bakul, pengetahuan am dan agama.
Sebelum Perang Dunia Kedua
Sebelum Perang Dunia Kedua, SITC telah dijadikan Hospital Tentera British dan kemudiannya setelah tentera British berundur, ia telah dijadikan Markas Tentera Jepun. Para pelajarnya berpindah ke Kuala Kangsar. Apabila perang mula merebak, pelajar-pelajar diarahkan pulang ke kampung masing-masing. Semasa perang, SITC dibuka semula, kali ini dengan para pelajar yang lebih bersemangat. Semangat kebangsaan mula bercambah subur di SITC dan para pelajar semakin berani menuntut hak-hak mereka sehingga berlaku tunjuk perasaan pada 10 Disember 1949 dan SITC ditutup selama 3 bulan ekoran dari peristiwa itu.
Selepas Merdeka
Menjelang Kemerdekaan 1957, SITC telah dapat menyediakan segolongan intelek Melayu yang berjiwa kebangsaan dan ini penting untuk mengsisi ruang kemerdekaan.
Pada tahun 1958, SITC turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya anak tempatan dilantik sebagai Pengetua, iaitu Zainal Abidin Ali. Pada 13 Januari 1975, sekali lagi SITC merakamkan sejarah dengan pengambilan masuk 140 pelajar puteri, iaitu setelah 5 tahun dihuni oleh pemuda-pemuda Melayu.
Naik taraf
Pada 21 Februari 1987, SITC telah dinaikkan taraf sebagai Institusi Pendidikan Sultan Idris (IPSI). Kedudukan tarafnya lebih tinggi daripada maktab-maktab perguruan yang lain dan diberi kuasa mengendalikan Kursus Sijil Lanjutan Pergurusan dan Diploma Lepas Sijil.
Sebelum itu di Perhimpunan Agong UMNO 1995, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang diwakili oleh Mohd Sharkar Shamsudin telah mengusulkan dikaji agar Institusi Pendidikan Sultan Idris (IPSI) wajar dinaikkan taraf dari Institusi ke Universiti. Desakan tersebut telah mendapat perhatian dari kerajaan ketika itu.
Sesuai dengan peranan dan kepentingannya, ianya telah mendorong Kerajaan untuk bersetuju menaikkan taraf kepada peringkat yang lebih tinggi sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Mei 1997.
Kampus
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)mempunyai 2 buah kampus iaitu kampus pertama yang terletak di pekan Tanjong Malim yang dikenali sebagai Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) manakala kampus kedua Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terletak di bandar Proton atau lebih dikenali sebagai Proton City. Kampus yang terletak di Bandar Proton tersebut dikenali sebagai Kampus Sultan Azlan Shah.
Fakulti
Universiti Pendidikan Sultan Idris juga mempunyai 10 buah fakulti dan 2 buah institut.
Fakulti
1. Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK)
2. Fakulti Sains dan Matematik (FSM)
3. Fakulti Pembangunan Manusia (FPM)
4. Fakulti Pengurusan Ekonomi (FPE)
5. Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK)
6. Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP)
7. Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK)
8. Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ)
9. Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV)
10. Fakulti Komputeran & Meta Teknologi (FKMT), dipisahkan daripada FSKIK kerana berlaku satu hal.
Institut
1. Pengajian Siswazah
2. Peradaban Melayu
Fasiliti
Kolej Kediaman
Terdapat 5 kolej kediaman di dalam UPSI yang terdiri daripada 4 kolej pelajar ijazah sarjana dan 1 kolej pelajar diploma. Kawasan tempat tinggal pelajar luar kampus dikenali sebagai Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) yang merangkumi beberapa zon di sekitar Tanjung Malim, Behrang, Slim River dan Ulu Bernam.
- Kolej Aminuddin Baki (KAB)
- Kolej Za'ba (KZ)
- Kolej Harun Aminurrashid (KHAR)
- Kolej Ungku Omar (KUO)
- Kolej Awang Had Salleh (KAHS)
- Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK)
Teknologi pendidikan
Sejak 2006, UPSI telah mula menggunakan sistem pengurusan pembelajaran sumber terbuka yang diberi nama MyGuru2.[3]
Rujukan
- ^ Naib Canselor UPSI
- ^ Kisah sejarah di Arkib Negara Malaysia
- ^ Mohamed Amin Embi; Mohd Najib Adun, penyunting (2010). e-Pembelajaran di IPTA Malaysia. Selangor: Pusat Pembangunan Akademik UKM. m/s. 27–28. ISBN 978-967-5878-21-3.
Pautan Luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Universiti Pendidikan Sultan Idris |