Idris إدريس | |
---|---|
Pangkat | Nabi |
Pengganti | Nabi Nuh a.s. |
Sebahagian daripada siri berkaitan |
Islam |
---|
Nabi Idris a.s. ialah salah seorang rasul dan nabi yang diturunkan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke jalan yang benar. Nabi Idris merupakan rasul kedua daripada 25 rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam.
Abdullah Bin Abbas meriwayatkan[perlu rujukan] bahawa Nabi Idris mempunyai paras rupa yang menarik, susuk tubuh tegap, tinggi, berjanggut lebat dan bersifat pendiam.
Etimologi
Nama "Idris" (Arab: إدريس ) telah dihuraikan mungkin sebagai perkataan asal untuk maksud "penghurai."[1] Menurut tradisi Islam, Rasul dikira mempunyai fungsi atau tugas menyampaikan , menghuraikan sesuatu perkara mistik dengan tujuan mendapatkan penerimaan umum. Menurut sumber Muslim terkemudian, kira-kira kurun ke-8, mula merujuk Idris kepada dua nama iaitu "Idris" dan "Enoch," dan sumber lain menetapkan "Idris' ialah nama yang tepat bagi Enoch dan ia digelar Idris dalam bahasa Arab kerana kesetiaannya mempelajari kitab suci dari moyangnya Nabi Adam a.s. dan Seth."[2] Oleh itu, terdapat juga sumber lain yang terkemudian menerangkan samada Idris bermaksud "penghurai" atau mempunyai maksud lain yang berdekatan dengan tugas penghurai. Penafsir klasik bagi al-Quran misalnya tafsir Al-Baizawi, mengatakan ia digelar Idris dari perkatan Arab dars, bermaksud "untuk mengarahkan," daripada ilmunya tentang misteri ketuhanan."[3]
Al-Quran
Nabi Idris disebut sebanyak dua kali di dalam al-Quran. Baginda dihuraikan sebagai seorang yang bijaksana. Dalam surah Maryam, Allah SWT berfirman:
Juga disebut di dalam Kitab tentang Nabi Idris a.s.: Sesungguhnya ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi:
Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.
Kemudian, dalam surah 21, Nabi Idris dipuji sekali lagi:
Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zulkifli; semuanya dari orang-orang yang sabar.;
Dan Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka dari orang-orang yang soleh.
Kisah Nabi Allah Idris a.s
Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Nabi Idris di dalam al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah nabi-nabi. Di dalam al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan 57 dan dalam surah Anbiya ayat 85 dan 86:
"Dan ceritakanlah { hai Muhammad kepada mereka , kisah } Idris yang terdapat tersebut di dalam al-Quran. Sesungguhnya ia seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. 57 - Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi." { Maryam : 56 - 57 }
"Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zulkifli; semuanya dari orang-orang yang sabar. Dan Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka dari orang-orang yang soleh." { Anbiya : 85 - 86 }
Nabi Idris merupakan keturunan keenam dari Nabi Adam a.s. putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s. dan keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith. Menurut Ibnu Kathir dalam Qhisasul Anbiya', beliau mengatakan bahawa Nabi Idris a.s sempat bertemu dengan Nabi Adam. Ini menggambarkan bahawa enam generasi dapat bertemu diantara satu sama lain.[6]
Nabi Idris dianugerahkan kepandaian di dalam pelbagai disiplin ilmu kemahiran serta mencipta peralatan yang digunakan manusia sekarang ini seperti penulisan, matematik, astronomi, dan lain-lain lagi. Menurut sebuah kisah, terdapat satu masa kebanyakan manusia telah melupakan tuhan, dan bumi telah dihukum dengan kemarau. Walau bagaimanapun, Nabi Idris a.s. telah berdoa ke hadrat Allah SWT dan berakhirlah musim kemarau tersebut dengan turunnya hujan.
Nabi Idris menurut sementara riwayat bermukim di Mesir. Baginda berdakwah di sana untuk agama Allah mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah serta memberi beberapa pedoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamatkan diri dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Baginda hidup sampai usia 82 tahun.
Syariat yang dibawa ialah Jihad iaitu memerangi Pengikut Qabil yang melakukan kerosakan di muka bumi pada waktu itu. Baginda ialah pelopor kepada Jihad, mengerakan pasukan tentera berkuda dan ada yang berjalan kaki. Allah SWT memberi kemenangan kepada Baginda.
Menurut sebuah buku The Prophet of God Enoch: Nabiyullah Idris, Idris ialah nama Arab bagi Enoch. Baginda dinyatakan di dalam al-Quran sebagai manusia yang dipilih oleh Allah SWT sehingga Baginda diangkat ke langit.
Satu kepercayaan yang tidak dipastikan kesahihannya mengatakan bahawa piramid telah dibina sebagai merujuk kepada Nabi Idris a.s., kerana di kawasan itulah baginda diangkat ke langit. (belum sahih peryataan ini).
Nasihat dan pengajaran
Antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiara Nabi Idris A.S. ialah:
- Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kepada kemenangan.
- Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat daripada Tuhannya dengan amal-amal soleh.
- Apabila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasa dan solatmu.
- Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.
- Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan pujian kepada Allah. (Belum sahih pernyataan ini).
- Janganlah iri hati kepada orang-orang yang bernasib baik, kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati nasib baiknya.(Belum sahih pernyataan ini).
- Barang siapa melampaui kesederhanaan tidak sesuatu pun akan memuaskannya.
- Tanpa membahagi-bahagikan nikmat yang diperolehnya seorang tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.
Firman Allah SWT bahawa Nabi Idris A.S. diangkat martabatnya. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris wafat tatkala berada di langit keempat dibawa oleh seorang Malaikat Wallahu a'alam bissawab. (Belum sahih pernyataan ini).
Rujukan
- ^ Encyclopedia of Islam, Juan Eduardo Campo, Infobase Publishing, 2009, pg. 344: "It probably originated as a term in ancient Hebrew for "interpreter"..."
- ^ Encyclopedia of Islam, Juan Eduardo Campo, Infobase Publishing, 2009, pg. 344
- ^ A Dictionary of Islam, T.P. Hughes, Ashraf Printing Press, repr. 1989, pg. 192
- ^ Quran 19:56–57
- ^ Quran 21:85–86
- ^ Ibnu Katsir. Qhisasul Anbiya'. Sayed Gad & Hadeer Refat (2000). Dar al-Manarah: el-Mansoura- Mesir