Koordinat: 2°54′22″N 102°24′13″E / 2.90602°N 102.40358°E
Maktab Rendah Sains MARA Serting مکتب رنده ساءين س مارا سيرتيڠ | |
---|---|
![]() | |
Alamat | |
Bandar Baru Serting Bandar Seri Jempol, 72120, Negeri Sembilan Malaysia | |
Maklumat | |
Nama lain | MRSM Serting |
Jenis sekolah | Pendidikan menengah |
Ditubuhkan | Disember 1993 |
Status | Beroperasi |
Pengetua | Tn. Hj. Mohd Ali bin Yusof |
Timb. Pengetua Kecemerlangan Akademik | Pn. Hariza binti Abdul Halim |
Timb. Pengetua Pembangunan Pelajar | En. Ahmad Razif bin Isnin @ Sarju |
Timb. Pengetua Pembangunan Bakat | Datuk Seri Mohamad Zaini bin. Awalluddin |
Sistem pendidikan | SPMRSM Program Premier |
Bahasa | Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris |
Slogan | Tapping Potential, Nurturing Excellence |
Nama alumni | ANSARA Serting (ANSE) |
Laman sesawang | serting |
![]() | |
Kali terakhir dikemaskinikan: 17hb Jun 2024 |
Maktab Rendah Sains MARA Serting (singkatan: MRSM Serting) terletak di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan. Ia telah ditubuhkan di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat Bil. 20 Tahun 1966 sebagai satu usaha untuk mencapai matlamat MARA dalam bidang latihan dan pendidikan. Nama MRSM Serting diberi sempena nama tempat di situ yang dikenali sebagai Serting yang kemudiannya bertukar nama kepada Bandar Seri Jempol. Kedudukannya yang berada di dalam perkampungan FELDA menjadikan suasana pembelajaran lebih aman dan tenang. Pada tahun 2013, MRSM Serting telah diberi pengiktirafan sebagai antara salah satu MRSM untuk menjalankan program IGCSE. Kini, MRSM Serting menawarkan program Premier yang melibatkan pelajar dari tingkatan 1 hingga 5.
Sejarah
Penubuhan maktab
Ia dibuka pada 1 Disember 1993. Tarikh Pecah Tanahnya pada 1985. Menteri yang terlibat dalam Perasmian Pecah Tanah itu adalah Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba. Keluasan maktab ini adalah 22 hektar.
Pada mulanya MRSM Serting hanya mempunyai guru seramai 35 orang dan bilangan kakitangannya seramai 21 orang sahaja. Bangunan asrama terbahagi kepada Asrama Putera dan Puteri. Asrama Putera terdiri daripada 2 blok iaitu At-Tarmizi dan Al-Ghazali manakala Asrama Puteri terdiri daripada Blok Rabiatul Adawiyah dan Blok Fatimah Az-Zahrah. Setiap bangunan asrama mengandungi 60 bilik.
Antara kemudahan-kemudahan yang terdapat di maktab ini ialah Surau Al-Huda, Dewan Sri Masyitah (Dewan Selera), Kafeteria, Pusat Sumber Pembelajaran (PSP), Studio Seni Reka, Makmal-makmal Sains, Bilik Sakit dan Pondok Istirehat (Pondok Suluh Budiman).
Seterusnya keistimewaan utama maktab ini adalah terletak dalam suasana persekitaran yang menghijau. Suasana ini adalah ilham daripada Pengetua MRSM Serting yang pertama iaitu Tuan Hj. Mohamed Idhan Bin Mamat. Suasana keceriaan yang menarik ini telah memberi kesedaran dan ilham yang terbaik kepada para pelajar maktab dalam mentelaah pelajaran.
Namun, kedudukan maktab ini yang strategik dan jauh dari kesibukan kota menjadikan maktab ini amat sesuai untuk warga pelajar belajar disini. Kawasan Felda yang senyap dan sunyi menambahkan lagi keselesaan persekitaraan maktab ini. Pada masa itu motto maktab ialah “Merintis Kecemerlangan”.
Pada era Dr. Fatanah Bt. Mohamed, Pengetua Ke-2 MRSM Serting (Disember 1997 - 2000) motto telah ditukar sebagai “Juara Gemilang” secara tidak langsung motto tersebut telah menaikkan semangat pelajar di MRSM Serting.
Senarai Pengetua
Nama | Mula berkhidmat | Tamat berkhidmat |
---|---|---|
Tuan Hj. Mohamed Idhan Bin Mamat | Disember 1993 | Disember 1997 |
Dr. Fatanah Binti Mohamed | Disember 1997 | Disember 2001 |
Tuan Hj. Bahari Bin Ab Wahab | Disember 2001 | 15 Julai 2008 |
Tuan Hj. Mohd Ghazi b. Samsudin | 15 Julai 2008 | 17 Disember 2010 |
En. Suhaimin Bin Omar | 17 Disember 2010 | 31 Oktober 2012 |
Tuan Hj. Noor Hassan Bin Hj Hussain | 1 November 2012 | |
Tuan Hj. Ab Bakar Bin Ab Wahab | 3 Julai 2018 | 30 Julai 2021 |
Tuan Hj. Mohamad Hanif bin Hamali |
Kemudahan
Akademik dan pentadbiran

MRSM Serting mempunyai tiga buah blok akademik:
- Blok Razak
- Blok Rahman
- Blok Hussin
Blok Razak mempunyai 13 kelas. 6 kelas ialah kelas tingkatan 3 manakala 7 kelas ialah kelas tingkatan 5. Blok Rahman mempunyai 7 buah kelas untuk tingkatan 4. Blok Hussin pula mempunyai 12 buah kelas untuk tingkatan 1 dan 2. Blok Rahman menempatkan pejabat Maktab, Pusat Sumber Pembelajaran, Bilik Bahasa, Bilik Kaunseling, Makmal Komputer, Jempol Room dan bilik kuliah. Blok Razak menempatkan pelbagai jabatan akademik seperti Jabatan Bahasa, Jabatan Sains Sosial, Jabatan Matematik dan Jabatan Sains, Bilik UPPM serta Serting Room. Blok Hussin pula menempatkan Bilik Kesenian dan Bilik SPBT. Dewan Gemilang terletak berdekatan dengan Blok Razak digunakan untuk menjalankan sebarang peperiksaan, perhimpunan rasmi serta aktiviti-aktiviti maktab.
Penginapan pelajar
Bagi menampung penginapan pelajar sepanjang sesi persekolahan, terdapat beberapa kemudahan yang berkaitan. Asrama bagi pelajar lelaki terdiri daripada dua blok:
- Blok At-Tarmizi (AT)
- Blok Al-Ghazali (AG)
Dahulunya terdapat 3 asrama lelaki,At-Tarmizi, Al-Khawarizmi dan Al-Ghazali namun At-Tarmizi dan Al-Khawarizmi telah digabung untuk menjadi sebuah asrama iaitu At-Tarmizi.
Asrama bagi pelajar perempuan pula terdiri daripada dua blok:
- Blok Rabiatul Adawiyah (RAA)
- Blok Asma` Abu Bakar (AAB)
Setiap blok mempunyai beberapa buah bilik. Dalam satu bilik, ianya dilengkapi dengan empat buah katil, empat buah almari serta meja belajar. Setiap bilik juga dilengkapi dengan almari rak kasut. Rumah warden pula disediakan berdekatan dengan blok Al-Ghazali dan At-Tarmizi bagi warden lelaki dan berdekatan dengan blok Asma` Abu Bakar dan Rabiatul Adawiyah bagi warden perempuan.
Antara kemudahan lain yang disediakan di setiap blok asrama ialah bilik utiliti iaitu bilik yang digunakan untuk belajar, bilik menggosok baju serta anjung. Ampaian disediakan bagi mereka yang ingin menjemur baju dan tidak menggunakan khidmat dobi.
Terdapat dua buah dewan selera yang menyediakan makanan bagi para pelajar setiap hari.
Sukan dan rekreasi
MRSM Serting mempunyai sebuah padang yang luas yang boleh digunakan untuk bermain bola sepak, ragbi, bola keranjang, bola tampar, bola jaring, sepak takraw serta bola baling. Padang ini terletak di belakang Pusat Sumber Pembelajaran. Padang ini juga digunakan untuk acara sukan tahunan maktab. Terdapat dua gelanggang bola keranjang dan tiga gelanggang bola tampar. Antara fasiliti sukan yang lain ialah tiga buah gelanggang tenis, sebuah padang untuk bermain bowling padang, Dewan Gemilang yang menempatkan tiga buah gelanggang badminton.
Aktiviti
Dalam institusi
Homeroom
Homeroom ialah program di mana sekumpulan pelajar dibimbing oleh seorang guru akademik yang bertindak sebagai ibu atau bapa angkat kepada pelajar tersebut[1]. Sebuah homeroom biasanya mempunyai tidak lebih daripada 13 orang pelajar. Antara tujuan pelaksanaan homeroom adalah:
- Mengesan dan menolong pelajar yang menghadapi masalah emosi.
- Menggalakan pelajar merancang dan melaksanakan sendiri aktiviti mereka.
- Memupuk persefahaman dan perpaduan dikalangan pelajar.
- Menanam perasaan bertanggungjawab dan kasih kepada MRSM.
- Mewujudkan hubungan mesra antara guru dan pelajar[2].
- Mempelajari dan memahami nilai-nilai masyarakat.
- Meninggikan kesedaran sivik dan perasaan kewarganegaraan Malaysia.
Luar institusi
Para pelajar di MRSM Serting banyak didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang sains dan teknologi. Pada tahun 2013, lima orang pelajar tingkatan empat menyertai Ekspo Sains Antarabangsa bertempat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu[3]. Mereka membentangkan kajian mengenai biodiesel dan teknologi hijau yang berpotensi meningkatkan kesuburan tanah[3]. Kajian dilakukan hasil kerjasama penyelidik dari Universiti Putra Malaysia. Selain itu, pada tahun 2022, Jabatan Alam Sekitar mengadakan pameran alam sekitar bersempena dengan Program Sambutan Hari Bumi[4].
Kejayaan
Bukan akademik
Pada tahun 2015, MRSM Serting melakar sejarah apabila disenaraikan dalam Malaysia Book of Records menerusi penganjuran program bacaan Surah Yasin selama 58 jam tanpa henti[5]. Program ini dianjurkan bersempena dengan kemerdekaan Malaysia yang ke-58 tahun.
Lagu Maktab
Wahai putera puteri bangsaku
Ayuh segera menuju
Mengikut gerak langkah maju
Bersatu mencari ilmu
Di zaman sains dan teknologi
Negara perlukan jasamu
Janganlah rasa malas lagi
Bersama memegang teraju
Di Maktab Rendah Sains MARA
Tuntut ilmu jangan jemu
Ikrar taat setia pada guru
Berdisiplin selalu
Hari ini hari mulanya
Hari esok berjaya
Lengkapkan segala yang ada
Ke kuliah kita segera
Rujukan
- ^ "IBUBAPA PUJI SISTEM HOMEROOM MRSM". eWarta MARA. Dicapai pada 13 November 2022.
- ^ "MARA bantu pelajar MRSM ke menara gading". Sinar Harian. 14 Februari 2021. Dicapai pada 13 November 2022.
- ^ a b "Pelajar MRSM Serting sertai ekspo sains di Abu Dhabi". Berita Harian. Dicapai pada 13 November 2022.
- ^ "PAMERAN SEMPENA SAMBUTAN HARI BUMI DI MRSM SERTING". Enviro. Dicapai pada 13 November 2022.
- ^ Aswad Shuaib, Iwan Shu (20 Ogos 2015). "MRSM Bakal Lakar Sejarah Baca Yasin 58 Jam Tanpa Henti". MStar. Dicapai pada 13 November 2022.
Lihat juga