Ketumbukan udara (Rusia: воздушная армия, rumi: vozdushnaya armiya) ialah sejenis formasi dalam Tentera Udara Soviet dari tahun 1936 hingga pembubaran USSR pada tahun 1991. Ketumbukan udara terus digunakan dalam Tentera Udara Rusia selepas itu sehingga tahun 2009, dan selepas berhenti sekejap di bawah Serdyukov, ia diperkenalkan semula dari tahun 2015.
Tiga Ketumbukan Udara pertama, yang digelar 'Ketumbukan Udara Kegunaan Khusus', telah ditubuhkan antara tahun 1936 dan 1938. Ketumbukan Udara Ke-2 ditubuhkan pada 15 Mac 1937 di Timur Jauh. Tidak lama selepas itu, Ketumbukan Udara Ke-3 ditubuhkan di Wilayah Tentera Caucasus Utara. Namun begitu, ketumbukan udara tidak termasuk dalam reformasi organisasi tentera udara yang diluluskan pada 25 Julai 1940. Pada 5 November 1940, ketiga-tiga ketumbukan udara sedia ada ditukar menjadi penerbangan pengeboman jarak jauh di bawah Stavka Tentera Merah akibat prestasi tempur yang lemah semasa Perang Musim Sejuk dengan Finland.[1]
Dari Mei hingga November 1942, sebanyak tujuh belas Ketumbukan Udara telah ditubuhkan daripada tentera udara Barisan dan Ketumbukan Gabungan Tempur, dan pada Disember 1944, sebuah ketumbukan udara bagi penerbangan jarak jauh telah ditubuhkan sebagai Ketumbukan Udara Ke-18.[2] Ketumbukan Udara Pertama ialah yang pertama ditubuhkan, pada 5 Mei 1942, sebagai sebahagian daripada Barisan Barat (Kesatuan Soviet). Ketumbukan udara lain yang ditubuhkan sepanjang tahun 1942 ialah Ketumbukan Udara Ke-2, Ke-3, Ke-4 (22 Mei 1942), Ke-5, Ke-6, dan Ke-8 (Jun 1942), Ke-9/10/11/12 (Ogos 1942), Ke-7 dan Ketumbukan Udara Ke-13 (November 1942), Ke-14, Ke-15, Ke-16, dan Ke-17.
Ketumbukan Udara ini merupakan formasi bersepadu bagi Barisan, dan tertakluk kepada arahan panglima Barisan bagi semua tujuan operasi, termasuk operasi udara. Ketumbukan udara terdiri daripada divisyen pesawat pejuang, pengebom, serangan, dan bercampur, kor penerbangan, serta rejimen penerbangan berasingan. Struktur sesebuah Ketumbukan Udara semasa Perang Dunia Kedua berubah-ubah mengikut keperluan perancangan operasi, dan boleh merangkumi 3–4 divisyen penerbangan, hingga 8–9 kor penerbangan, hingga 10 divisyen penerbangan berasingan, dan sejumlah rejimen penerbangan berasingan, dengan kekuatan 200–1,000 pesawat pada 1942–43, dan antara 1,500 hingga 3,000 pesawat dalam beberapa operasi strategik menjelang 1944–45.[1]
Turut ditubuhkan ialah Ketumbukan Udara bagi Angkatan Pertahanan Udara (PVO), yang menggabungkan semua formasi dan unit udara dalam wilayah tentera,[3] dan beroperasi terutamanya dengan pesawat pejuang pemintas. Banyak daripada formasi dan unit ini kemudiannya dipindahkan ke Ketumbukan Udara Barisan.[1]
Walaupun pada asalnya bertujuan untuk menyokong tentera darat, Ketumbukan Udara juga bekerjasama dengan angkatan laut Armada Tentera Laut Merah.
Ketumbukan Udara Ke-18 kemudiannya menjadi Penerbangan Jarak Jauh Soviet (АДД), yang terdiri daripada tiga ketumbukan—Ketumbukan Udara Ke-43, dengan stafnya di Vinnitsa, Ketumbukan Udara Ke-50 di Smolensk, dan Ketumbukan Udara Ke-65 di Khabarovsk. Bagi pertahanan udara era Perang Dingin, divisyen dan kor penerbangan dalam ketumbukan PVO telah ditubuhkan—Ke-19, Ke-21, Ke-22, Ke-25, Ke-32, Ke-42, Ke-52, dan Ke-78 (masing-masing di Leningrad, Batumi, Arkhangelsk, Tallinn, Kiev, Baku, Yaroslavl dan Moscow).
Rujukan
Sumber
- Pan'kin V.E. Evolution of organisational structure of AirForce, and ways and methods of ruling and cooperation in Great Patriotic War years (rus)
- Red Army Air Force organization (rus)
- Kozlov, M.M., (ed.), Great Patriotic War 1941-1945 (Russian), encyclopaedia, Moscow, Soviet Encyclopaedia (pub.), 1985
- Svischev, V.N. Gen. Maj. Aviation, Preparation of USSR for war (Russian) Организация военно-воздушных сил СССР перед войной, 2002
- Wagner, R. (ed.), Fetzer, L., (trans.), The Soviet Air Force in World War II: The official history, Wren Publishing Pty.Ltd., Melbourne, 1973
- Keith E. Bonn (ed.), 'Slaughterhouse,' Aberjona Press, Bedford, PA, 2005
- Структура ВВС V.V. Kharin, Aviators of the Second World War (in Russian)
Pautan luar
- Michael Holm, Air Armies, Retrieved August 2011








