Stavka (Rusia: Ставка ) adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada markas besar angkatan tentera Empayar Rusia dan Kesatuan Soviet. Ia telah digunakan dalam Imperial Rusia bagi merujuk kepada staf pentadbiran, dan kepada Markas Besar pada hujung abad ke-19 dalam Angkatan Tentera Imperial Rusia dan kemudian dalam Kesatuan Soviet. Di dalam penulisan sastera Barat, ia kadangkala ditulis dalam huruf besar (STAVKA), yang mana ia sebenarnya tidak betul kerana istilah itu bukan satu akronim. Istilah tersebut boleh digunakan untuk merujuk kepada para anggotanya, serta kepada lokasi markas (maksud asalnya datang dari perkataan lama Rusia ставка — Khemah).
Panglima Tertinggi Stavka semasa Perang Dunia I
Panglima Tertinggi tentera darat Rusia pada permulaan Perang Dunia I ialah Grand Duke Nicholas Nicholaievitch, cucu Tsar Nicholas I. Dilantik pada saat-saat akhir bulan Ogos 1914, beliau tidak memainkan peranan dalam merumuskan rancangan ketenteraan pada permulaan perang. Jeneral Nikolai Yanushkevich adalah Ketua Turusnya. Pada musim panas tahun 1915 Tsar sendiri mengambil alih pemerintahan, dengan Jeneral Mikhail Alekseyev sebagai Ketua Turusnya. Pada tahun 1915–1917 Stavka berpengkalan di Mogilev dan Tsar, Nicholas II, menghabiskan masa yang panjang disana sebagai Pemerintah Tertinggi.
Stavka telah dibahagikan kepada beberapa jabatan:
- Jabatan Kuartermaster Jeneral (Jabatan Operasi)
- Jabatan Jeneral Bertugas (Organisasi trup, bekalan, kenaikkan pangkat, hal ehwal kakitangan)
- Jabatan pengangkutan tentera
- Jabatan tentera laut
- Canseri diplomatik (perhubungan dengan Kementerian Luar Negeri)
Stavka mula-mula ditubuhkan di Baranovichi. Pada bulan Ogos 1915, selepas kemaraan Jerman, Stavka ditempatkan semula di Mogilev.
Anggota
Para Ketua Turus
- 19.07.1914—18.08.1915: Leftenan Jeneral (dari 22.10.1914, Jeneral Infantri) Nikolai Yanushkevich
- 18.09.1915—01.04.1917: Jeneral Infantri (dari tahun 1916-Ajutan Jeneral) Mikhail Alekseyev
- 10.11.1916—17.02.1917: Jeneral Kavalri Vasily Gurko
- 11.03.1917—05.04.1917: Jeneral Infantri Vladislav Klembovsky
- 05.04.1917—31.05.1917: Leftenan Jeneral Anton Denikin
- 02.06.1917—30.08.1917: Leftenan Jeneral Alexander Lukomsky
- 30.08.1917—09.09.1917: Jeneral Infantri Mikhail Alekseyev
- 10.10.1917—03.11.1917: Leftenan Jeneral Nikolay Dukhonin
- 03.11.1917—07.11.1917: Mejar Jeneral Mikhail Dieterichs
- 07.11.1917—02.1918: Mejar Jeneral Mikhail Bonch-Bruevich
Stavka RKKA (Tentera Merah) semasa Perang Dunia II
Stavka Angkatan Tentera Soviet semasa Perang Dunia II, atau ibupejabat "Markas Utama Angkatan Tentera KRSS" (Stavka Glavnogo Komandovaniya) (Rusia: Ставка Главного Командования Вооруженных Сил Союза ССР ), telah ditubuhkan pada 23 Jun 1941 oleh dekri sulit yang ditandatangani oleh Joseph Stalin dalam kapasitinya sebagai ketua kerajaan dan sebagai pemimpin Parti Komunis Kesatuan Soviet. Menurut dekri ini Stavka terdiri daripada menteri pertahanan Marsyal Semyon Timoshenko (sebagai presidennya), ketua Turus Am Jeneral Georgy Zhukov, Stalin, Vyacheslav Molotov, Marsyal Kliment Voroshilov, Marsyal Semyon Budyonny dan Komisar Rakyat (Narkom) Tentera Laut Laksamana Nikolai Gerasimovich Kuznetsov.
Dekri yang sama disusun di Stavka "institusi kaunselor tetap Stavka" : Marsyal Kulik, Marsyal Shaposhnikov, Kirill Meretskov, ketua Tentera Udara Zhigarev, Nikolay Vatutin, ketua Pertahanan Udara Voronov, Mikoyan, Kaganovich, Lavrenty Beria, Voznesensky, Zhdanov, Malenkov, Mekhlis.
Tidak lama selepas itu timbalan menteri pertahanan, Meretskov telah ditahan disebabkan tuduhan palsu yang dibuat oleh Beria dan Merkulov. Meretskov kemudian dibebaskan dari penjara dan pada hari yang sama dalam hujung minggu pertama September 1941 telah diperlukan semula oleh Stalin.
Markas Utama Stavka telah disusun semula sebagai Markas Tertinggi Stavka (Stavka Verkhovnogo Komandovaniya)[1] pada 10 Julai 1941 selepas Stalin dinamakan Pemerintah Tertinggi dan menggantikan Timoshenko sebagai ketua Stavka. Pada 8 Ogos 1941 ia sekali lagi disusun semula sebagai Markas Utama Tertinggi Stavka (Stavka Verkhovnogo Glavnokomandovaniya).
Pada hari yang sama markas-markas Arahan Strategik telah ditubuhkan.
Pada 17 Februari 1945 satu dekri menyatakan keanggotaan Stavka iaitu Stalin (Presiden), Zhukov, Aleksandr Vasilevsky, Aleksei Antonov, Nikolai Bulganin dan Kuznetsov.