Kampung Melayu Raya adalah sebuah kawasan perkampungan yang terletak dalam daerah Segamat, Johor. Ia sebuah kampung tradisional dalam Mukim Pogoh. Kampung ini dibuka dengan rasminya pada 4 November 1952. Nama ”Melayu Raya” diberi sempena nama En. Ali bin Raya yang merupakan Pegawai Daerah Segamat ketika itu.[1]
Kampung Melayu Raya terletak lebih kurang 15km dari bandar Segamat, dengan majoriti penduduk berbangsa Melayu. Dengan jumlah keluasan 1887 ekar, Kampung Melayu Raya mempunyai lebih 1000 orang penduduk*. Kampung ini juga termasuk dalam Gerakan Daya Wawasan Daerah Segamat.
Kampung Melayu Raya adalah kampung induk yang mempunyai 3 buah kampung rangkaian iaitu Kampung Genuang Baru, Kampung Sri Dagang dan Kampung India Genuang Baru. Rangkaian ini ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pogoh 4.
Pada tahun 2014, Kampung Genuang Baru dan Kampung Genuang India dipecahkan dibawah pentadbiran berasingan di bawah Pogoh 8. Sejak itu, pentadbiran Kampung Melayu Raya hanya meliputi Kampung Melayu Raya sendiri dan Kg Sri Dagang sebagai satu---satunya kampung rangkaian.
Pengenalan
Kampung Melayu Raya merupakan kampung tradisional yang menjadi pilihan sebagai lokasi program khidmat masyarakat dari pelbagai agensi. Kampung ini kerap kali dipilih dalam program anak angkat oleh universiti-universiti tempatan. Antaranya Program Anak Angkat Universiti Tun Hussein Onn pada 15-17 Oktober 2010 [2]. UTM Skudai juga memilih kampung ini sebagai lokasi Program Eco-Village Desa Komuniti pada bulan November 2018. [3]. Pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga pernah melakukan penggambaran di kampung ini untuk program Salam Desa di saluran TV1. [4]
Pentadbiran
Kampung Melayu Raya ditadbir dibawah pentadbiran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di bawah kuasa seorang ketua kampung. Ketua Kampung ketika ini adalah Encik Ahmad Jais bin Hamid.
Prasarana
Keseluruhan penduduk Kampung Melayu Raya menggunakan bekalan tenaga elektrik dari pihak Tenaga Nasional Berhad. Bekalan air bersih pula diperolehi melalui sumber Syarikat Air Johor (Ranhill-SAJ). Liputan internet dan isyarat telefon bimbit juga dapat diperoleh di hampir 95% kawasan kampung dengan capaian 4G. Ini kerana wujudnya satu menara telekomunikasi yang terletak di tengah kawasan kampung.
Pendidikan
- Sekolah Kebangsaan Melayu Raya
- Tabika KEMAS Permata Kg Melayu Raya[5]
- Sekolah Agama Melayu Raya
Infrastruktur
Kampung Melayu Raya mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, meliputi dewan, balairaya, klinik dan masjid.
- Dewan Hj Suratman (Dewan Serbaguna)
- Balairaya
- Klinik Desa
- Masjid Jamek Naemah Kampung Melayu Raya
- Surau An-Nur Ithnin Budi Jalan No. 3
- Surau Tok Mahat Amil Jalan No 2
Pencapaian
- 2009 - Johan, Anugerah Desa Cemerlang, Peringkat Daerah Segamat
- 2009 - Naib Johan, Anugerah Desa Cemerlang, Peringkat Negeri Johor
- 2013 - Ketiga, Anugerah Desa Cemerlang, Peringkat Negeri Johor
Tokoh
- Datuk Hj. Ayub bin Rahmat - Anak kelahiran Kampung Melayu Raya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor bagi kawasan Kemelah selama tiga penggal berturut-turut dari tahun 2004 hingga tahun 2018. Beliau kini merupakan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia sejak tahun 2018.
Rujukan
- ^ http://kgmelayuraya.blogspot.com/2010/04/sejarah-dan-pengenalan.html
- ^ [1], Sinar Harian - UTHM Pilih Kampung Melayu Raya.
- ^ [2], Laman rasmi
- ^ [3], Program Salam Desa di Kampung Melayu Raya.
- ^ https://www.lookp.com/tabika-kemas-kg-melayu-raya