Jefri Mejan | |
---|---|
جفري ميزان | |
Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor bagi Ijok | |
Menyandang jawatan 12 Ogos 2023 | |
Didahului oleh | Idris Ahmad (PH–PKR) |
Majoriti | 912 (2023) |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Jefri bin Mejan 7 Mac 1979 ![]() ![]() |
Kerakyatan | ![]() |
Parti politik | ![]() |
Gabungan politik lain | Gagasan Sejahtera (GS) (2016–2020) ![]() (sejak 2020) |
Pasangan | Fadlina Ismail |
Anak | 4 (termasuk Nurul Izzah) |
Kediaman | ![]() ![]() |
Pekerjaan | Ahli politik |
Bidang pengkhususan | Pempengaruh |
Dikenali dengan | Video memasak menggunakan dapur kayu di TikTok |
Jefri bin Mejan (lahir 7 Mac 1979) merupakan seorang rakyat Malaysia yang merupakan seorang ahli politik dan telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) bagi Ijok sejak Ogos 2023. Beliau merupakan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebuah parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan dahulunya Gagasan Sejahtera (GS).[1] Beliau juga merupakan seorang pempengaruh di platform TikTok dan dikenali menerusi video masakan menggunakan kaedah tradisional seperti menggunakan kayu api yang mengimbau nostalgia zaman dahulu dalam kalangan ramai warganet.[2]
Kerjaya politik
Dalam Pilihan raya negeri Selangor 2018, Jefri membuat penampilan sulung dalam pilihan raya apabila dicalonkan oleh Gagasan Sejahtera (GS) untuk bertanding bagi kerusi negeri Ijok. Beliau tidak terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Ijok selepas tewas kepada Idris Ahmad dari Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti kekalahan sebanyak 4,972 undi.
Dalam Pilihan raya negeri Selangor 2023, Jefri dicalonkan semula oleh PN untuk bertanding di kerusi negeri Ijok. Jefri memenangi kerusi tersebut dan terpilih sebagai ADUN Ijok bagi penggal pertama selepas menewaskan Amidi Abdul Manan dari Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas, Tan Cat Keong, dengan majoriti hanya 912 undi.[3][4]
Sepanjang tempoh berkempen, beliau mengakui mempunyai kelebihan peribadi untuk memenangi kerusi Ijok kerana beliau merupakan anak jati Ijok dan memiliki 196,000 pengikut di TikTok pada Julai 2023, ketika permulaan tempoh kempen. Beliau juga mendapat sokongan dan doa penuh daripada isterinya, Fadlina Ismail, untuk memenangi pilihan raya tersebut. Sebagai ADUN Ijok, Jefri menyatakan tekadnya untuk merealisasikan komitmen #NafasBaharuIjok selari dengan slogan #SelangorBaharu dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat serta pembangunan Ijok. Beliau berhasrat mengekalkan tradisi dan imej Ijok dari segi persekitaran sebagai sebuah kampung yang aman, harmoni dan membangun. Beliau juga merancang untuk meraikan kepelbagaian di Ijok melalui pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan semua lapisan masyarakat — daripada kanak-kanak, remaja, dewasa, wanita, keluarga, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) hingga ke warga emas — tanpa mengira fahaman dan pegangan politik, serta memastikan tiada siapa yang tercicir di Ijok.[5]
Kontroversi dan isu
Tidak lama selepas beliau dilantik sebagai ADUN Ijok, Jefri telah memuat naik satu poster di media sosial yang meminta sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan untuk pusat khidmat ADUN Ijok beliau. Namun, tindakan itu telah menerima kritikan daripada netizen yang berpendapat bahawa PN telah berbelanja besar dalam pilihan raya lalu dan pendapatan Jefri sebagai ADUN sebenarnya telah dibayar oleh rakyat melalui cukai. Netizen turut mempersoalkan akaun yang digunakan untuk mengutip sumbangan tersebut, yang dikatakan milik seorang guru besar sekolah kerajaan. Sebagai respon kepada kritikan itu, Jefri telah memadam poster berkenaan. Secara luar biasa dan jarang berlaku, ADUN Johor bagi kawasan Skudai, Marina Ibrahim daripada pihak lawan, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), tampil mempertahankan Jefri dengan mengingatkan para penyokong PH agar tidak melupakan perjuangan dan asal-usul ketika gabungan itu memegang kuasa sebagai kerajaan.[6] Selain itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor dan ADUN Rengit, Mohd Puad Zarkashi dari Barisan Nasional (BN) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), turut menyatakan kesediaan beliau untuk membantu Jefri mendapatkan peti sejuk untuk pusat khidmatnya. Beliau menyatakan bahawa peti sejuk di pusat khidmat ADUN Rengit miliknya dibeli daripada masyarakat Orang Asli di Rengit. Beliau juga menambah bahawa beliau boleh memberikan penghantaran secara percuma dan memberi jaminan terhadap kualiti peti sejuk itu sekiranya Jefri menghubunginya secara peribadi. Walau bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa Jefri seharusnya meminta sumbangan dan kelengkapan elektrik secara peribadi dan bukan bergantung sepenuhnya kepada kemurahan hati rakyat. Menurut beliau, kebiasaannya pelajar miskinlah yang akan meminta komputer riba daripada wakil rakyat seperti Jefri.[7]
Keputusan pilihan raya
Tahun | Kawasan pilihan raya | Calon | Undi | Peratus | Lawan | Undi | Peratus | Undi sah | Majoriti | Hasil | ||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
2018 | N11 Ijok | Jefri Mejan (PAS) | 3,942 | 19.98% | Idris Ahmad (PKR) | 8,914 | 45.18% | 20,167 | 2,114 | 87.40% | ||
Parthiban Karuppiah (MIC) | 6,800 | 34.46% | ||||||||||
Kumaran Tamil Dassen (PRM) | 76 | 0.39% | ||||||||||
2023 | Jefri Mejan (PAS) | 12,183 | 51.52% | Amidi Abdul Manan (PKR) | 11,271 | 47.66% | 23,648 | 912 | 77.12% | |||
Tan Cat Keong (BEBAS) | 194 | 0.82% |
Rujukan
- ^ "Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan". Dewan Negeri Selangor. Dicapai pada 23 Februari 2024.
- ^ "Lebih seronok memasak dengan dapur kayu". My Metro. 1 Mei 2022. Dicapai pada 23 Februari 2024.
- ^ "Selangor polls: Official Results". New Straits Times. 13 Ogos 2023. Dicapai pada 23 Februari 2024.
- ^ "[TAK RASMI] Jefri Mejan menang di Ijok". My Metro. 12 Ogos 2023. Dicapai pada 23 Februari 2024.
- ^ "PRN: Pempengaruh TikTok gementar jadi calon PN". My Metro. 29 Julai 2023. Dicapai pada 23 Februari 2024.
- ^ "DAP rep defends PN man over donations for service centre". Free Malaysia Today. 1 September 2023. Dicapai pada 23 Februari 2024.
- ^ "Puad sedia bantu ADUN Ijok dapatkan peti ais". Malaysia Gazette. 2 September 2023. Dicapai pada 23 Februari 2024.
- ^ "Keputusan Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15". Dicapai pada 5 Oktober 2023.