Jam astronomi ialah sejenis jam dengan mekanisme-mekanisme dan permukaan jam yang khas untuk memaparkan keterangan astronomi seperti kedudukan relatif matahari, bulan, buruj zodiak dan juga cakerawala.
Contoh
Menara jam air Su Song
Pada tahun 1092, terbinanya sebuah menara jam astronomi janaan air oleh seorang ilmuwan Cina bernama Su Song. Menara jam ini tingginya kira-kira 10 meter, terdiri daripada bolosan jam dan dijana secara tidak langsung oleh roda yang berputar-putar dengan curahan air dan raksa cair yang tidak beku dalam keadaan suhu di bawah takat beku supaya ia terus berjalan di musim sejuk.
Jam istana Al-Jazari
Jam astronomi janaan air yang paling canggih adalah jam istana ciptaan Al-Jazari pada tahun 1206 yang dianggap sebagai contoh terawal komputer analog yang boleh diaturacara.[1] Ia merupakan peranti kompleks yang tingginya 11 kaki, dan dilengkapi berbagai-bagai fungsi selain menjaga masa. Jam ini bercirikan paparan zodiak dan orbit-orbit matahari dan bulan, dan penunjuk berbentuk bulan sabit yang beredar di atas gerbang, digerakkan oleh kereta sorong terlindung dan membuka pintu-pintu automatik, setiap satunya mendedahkan sebuah patung untuk setiap satu jam.[2][3] Kepanjangan tempoh jam-jam seharian boleh diatur cara semula setiap hari untuk mencerminkan perubahan kepanjangan tempoh siang dan malam sepanjang tahun. Jam ini juga dilengkapi lima robot pemuzik yang mendendangkan muzik secara automatik apabila digerakkan oleh tuas-tuas yang dikendali oleh aci sesondol terlindung yang bersambung dengan kincir air.[1] Ciri-ciri lain jam istana ini termasuk takungan utama dengan apungan, pengatur bilik apungan dan aliran, palung plat dan injap, dua takal, cakera bulan sabit yang memaparkan zodiak, dan duaautomaton berbentuk burung falkon yang menjatuhkan bebola ke dalam pasu.[4]
Jam Astronomi Prague
Salah sebuah jam astronomi yang paling terkenal ialah jam Dewan Bandar Lama di Prague, Republik Czech. Jam ini disiapkan sekitar tahun 1410. Empat buah patung automaton dihidupkan pada setiap genap jam, yang mana patung rangka mendentingkan waktu. Pada genap jam juga terdapat persembahan patung-patung Hawariun di ambang-ambang pintu di atas jam. Pada tahun 1870, jam ini menerima imbuhan paparan takwim.
Menurut kepercayaan setempat, jika jam ini tidak dijaga dengan baik hingga ia tidak berjalan dengan betul, kota Prague berdepan dengan sengsara. Pada Perang Dunia II, jam ini nyaris dimusnahkan oleh tembakan senjata Nazi. Warga kota dihargai kerana berani menyelamatkan kebanyakan alat-alat jam itu supaya ia dipulihkan menjelang tahun 1948. Pada tahun 1979, jam ini dibersihkan dan diubahsuai sekali lagi.
Rujukan
- ^ a b "[[Ancient Discoveries]], Episode 11: Ancient Robots". History Channel. Dicapai pada 2008-09-06. URL–wikilink conflict (bantuan)
- ^ Howard R. Turner (1997), Science in Medieval Islam: An Illustrated Introduction, p. 184. University of Texas Press, ISBN 0-292-78149-0.
- ^ Routledge Hill, Donald, "Mechanical Engineering in the Medieval Near East", Scientific American, Mei 1991, pp. 64–69. (cf. Donald Routledge Hill,Engineering[pautan mati kekal])
- ^ Salim Al-Hassani (13 March 2008). "How it Works: Mechanism of the Castle Clock". FSTC. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-08-10. Dicapai pada 2008-09-06.