

Bintang-bintang tunggal yang dekat antara satu sama lain membentuk corak-corak buruj, konstelasi atau gugusan yang kelihatan pada seluruh pemandangan langit di atas Bumi pada waktu malam.
Terdapat 88 buruj piawai diakui oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa sejak 1922;[1] kebanyakan buruj-buruj ini dirujuk kepada 48 buruj yang disenaraikan Klaudios Ptolemaios dalam buku Mathematike Syntaxis bertarikh abad ke-2 manakala buruj-buruj selebihnya dinyatakan pada abad ke-17 dan ke-18; buruj-buruj yang paling lewat ditemui di langit selatan dinyatakan dalam Coelum australe stelliferum oleh Nicolas Louis de Lacaille pada 1763. Pengetahuan corak-corak tersebut dahulu diajarkan kepada orang Rom Purba daripada ketamadunan Mesir Purba yang menandakan kedudukan bintang-bintang ini sebagai petunjuk mencari arah jalan dalam mengemudi atau menandakan musim bertani.[2]
Ada juga sebilangan buruj terdahulu yang tidak diakui oleh kesatuan tersebut, atau buruj yang diakui dalam tradisi rantauan astronomi atau astrologi, seperti buruj-buruj Cina, atau orang-orang asli Australia dan sebagainya. Lain bangsa, lainlah persepsi mereka terhadap corak buruj itu. Justeru, nama buruj juga berbeza. Dalam rajah contoh di sebelah, orang Melayu di Nusantara melihat corak empat biji bintang berbentuk segi empat dengan tiga biji bintang lagi sederet di dalamnya sebagai sebuah belantik manakala orang Yunani dan Rom Purba melihatnya sebagai susuk tubuh manusia iaitu pemburu bernama Orion.[perlu rujukan]
Peristilahan
Perkataan "buruj" diserap daripada perkataan Arab: بُرُوج, rumi: burūj iaitu bentuk jamak kata بُرج burj "gugusan bintang" yang diterbitkan daripada kata kerja dasar بَرَجَ baraja "tinggi dan jelas" (ظَهَرَ);[3] kata kerja itu sendiri serapan Yunani πυργός pyrgos "menara" melalui kata bahasa Suryani ܒܘܪܓܐ būrgāʾ "rasi".[4]
Perkataan "konstelasi" diserap daripada perkataan Belanda: constellatie yang pada asalnya bererti "kedudukan planet", ia menyerap kata Bahasa Perancis constellacion yang diturunkan daripada kata cōnstēllātiō dalam bahasa Latin melakurkan com- dan stēlla "bintang".[5]
Rujukan
- ^ Ridpath 2018, m/s. 4.
- ^ Hannah, Robert (2021). "The Stars in Ancient Greece". Dalam Boutsikas, Efrosyni; McCluskey, Stephen C.; Steele, John (penyunting). Advancing Cultural Astronomy: Studies In Honour of Clive Ruggles. Cham, Zug, Switzerland: Springer Nature. m/s. 212–217. ISBN 978-3-030-64606-6.
- ^ Abd. Rauf Dato' Haji Hassan; Abdul Halim Salleh; Khairul Amin Mohd Zain (2005). Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Arab Bahasa Arab-Bahasa Melayu. Shah Alam, Selangor, Malaysia: Oxford Fajar. m/s. 29. ISBN 967-65-7321-3.
- ^ Fraenkel, Sigmund (1886). Die aramäischen Fremdwörter im Arabischen (dalam bahasa Jerman). Leiden: E. J. Brill. m/s. 235.
- ^ Philippa, M.; Debrabandere, F.; Quak, A.; Schoonheim, T.; van der Sijs, N. (2009). "constellatie (onderlige stand)". Etymologisch Woordenboek van het Nederlands. Amsterdam – melalui EtymologieBank.
Sumber-sumber
- Ridpath, Ian (2018). Star Tales (ed. ke-2). Lutterworth Press. ISBN 978-0-718-89478-8.
Pautan luar
- IAU: The Constellations, juga termasuk peta buruj berkualiti tinggi.
- Celestia - simulasi angkasa 3D percuma (OpenGL)
- Star Tales - asal-usul dan mitologi buruj dalam budaya Barat
Zodiak
| ||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Astronomi | Jenis-jenis buruj | ||||||||||||
| Aries | Taurus | Gemini | Cancer | Leo | Virgo | Libra | Scorpius | Ophiuchus | Sagittarius | Capricornus | Aquarius | Pisces |
| Astrologi | Tanda-tanda astrologi | ||||||||||||
| Aries | Taurus | Gemini | Cancer | Leo | Virgo | Libra | Scorpio | Serpentarius | Sagittarius | Capricorn | Aquarius | Pisces |








