Sebahagian daripada siri berkaitan |
Perundangan Islam (Fiqah) |
---|
Suatu disiplin kajian Islam |
Pada asasnya, pilihan raya difahami sebagai proses pemilihan pimpinan - yang membentuk sebuah pemerintahan, daerah mahupun negara. Namun secara nisbinya, pilihan raya merupakan satu mekanisme kepada peraihan kekuasaan dari rakyat di dalam mana-mana negara yang menjalankan prinsip demokrasi (kebebasan). Tradisi memilih dan mengganti pemimpin hanyalah melalui kutipan suara majoriti atau pilihan raya sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen. Cara ia dijalankan bergantung pada jenis pemerintahan sama ada pemerintahan republik, persekutuan ataupun beraja.
Di kebanyakan sistem politik demokrasi, beberapa jenis pilihan raya boleh didapati, bergantung kepada lapisan pemerintahan atau sempadan geografi. Antara yang biasa ditemui adalah:
- Pemilihan Presiden
- Pilihan raya umum
- Pilihan raya utama
- Pilihan raya parti
- Pilihan raya kecil
Tidak menjadi kesalahan kepada orang Islam untuk menyertai pilihan raya selama mana mereka hanya menghadkan aktiviti kepada melakukan amar makruf nahi mungkar, berdakwah, memeriksa dan mengkritik dasar kerajaan kerana perkara ini adalah sesuai dengan tuntutan syara'. Namun perlu dipastikan bahawa dia tidak terlibat dengan pengiktirafan undang-undang manusialah yang tertinggi dan tidak terlibat dalam penggubalan undang-undang, ini kerana Allah SWT berfirman
"..Sebenarnya (yang menentukan) hukum hanyalah bagi Allah.."
Adapun aktiviti perundangan itu sebenarnya juga tertakluk kepada tegahan Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud;
"Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: 'Ini halal dan ini haram', untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya."
Begitu juga dengan kalam Allah SWT yang lain, yang dapat ditemukan di dalam kitab Al-Quran, kitab yang diimani tanpa sedikitpun keraguan terhadap isi kandungannya. Maka dari sini jelas bahawa segala bentuk penggubalan undang-undang mahupun peraturan hidup yang bukan berasal dari Allah SWT (dengan kata lain, wahyu) adalah tertolak.
Hukum pilihan raya di sisi Islam
Di sisi syara', pilihan raya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan). Penyempurnaan aqad wakalah mesti memenuhi rukun-rukunnya, iaitu;
- Ijab dan qabul
- Muwakkil - pihak yang mewakilkan
- Wakil - pihak yang mewakili
- Perkara yang diwakilkan
- Bentuk redaksi akad perwakilannya (sighat tawkil)
Ini berdasarkan kepada beberapa dalil dari hadis;
Dari Jabir bin Abdillah. Ia menuturkan, "saya hendak berangkat ke Khaibar, lalu saya menemui Rasulullah s.a.w. Baginda kemudian bersabda : Jika engkau menemui wakilku di Khaibar maka ambillah olehmu darinya lima belas wasaq."
Dan dalam peristiwa baiat 'Aqabah II, Rasulullah s.a.w. meminta 12 orang sebagai wakil dari 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh).
Sementara yang menjadi isu utama dalam menetapkan hukum pilihan raya itu adalah 'perkara yang diwakilkan' yang merupakan objektifnya, jika pasti bahawa calon yang ingin diundi itu dapat memastikan dirinya tidak terlibat dalam proses pembuatan undang dan melakukan aktiviti yang sesuai dengan syariat, maka bolehlah datang mengundi untuk beliau, namun jika tidak adalah haram untuk bersubahat melantik menjadi wakil kepada benda yang diharamkan.
Ini berasaskan kaedah fiqh, al-wasilatu ila haraam, muharramah (sesuatu yang membawa kepada keharaman, maka ia juga haram).
Muhasabah pemerintah
Mengenai fungsi mengawasi negara dan memuhasabah para pemerintah, ini merupakan suatu kewajiban syarak ke atas kaum Muslimin dalam menjalankan tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar. Ini adalah merupakan hak dan kewajiban majlis perwakilan untuk menjalankannya. Oleh itu (untuk hak dan tanggungjawab ini dijalankan oleh seseorang ahli majlis perwakilan), terdapat syarat-syarat syarie yang perlu dipenuhi sekiranya seseorang ingin mencalonkan dirinya untuk pilihan raya (majlis perwakilan) pada hari ini. Pencalonan hendaklah berpandukan kepada syarat –syarat ini, namun ia (syarat-syarat ini) tidak boleh dijadikan sebagai kebenaran (untuk pencalonan) secara mutlak. Syarat-syarat tersebut adalah:-
- Dia mestilah mengisytiharkan dengan jelas dan lantang (tidak cukup dengan niat dan tidak dibolehkan berpura-pura) bahawa ia menolak sistem kapitalisme Barat dan kesemua sistem kufur.
- Dia mestilah mengisytiharkan bahawa fungsinya di Parlimen (jika menang) adalah untuk mengubah sistem kufur dan menggantikannya dengan sistem Islam.
- Dia akan berkempen hanya dengan apa yang diambil dari Al-Quran dan Sunnah Rasul.
- Dia mestilah mengisytiharkan bahawa dia akan menggunakan Parlimen sebagai platform untuk berdakwah kepada Islam.
- Dia tidak akan masuk dalam pencalonan (parti) sekular, mahupun bekerjasama dengan mereka, kerana mereka ini adalah penyokong kepada sistem kufur.
- Dia tidak dibolehkan merapatkan diri dengan badan Eksekutif dan Judikatif (dengan mereka yang menerapkan (hukum) serta mereka yang terlibat dengan perundangan) dan memasukkan namanya sebagai calon untuk tujuan bermanis muka dengan badan-badan ini yang merupakan sandaran bagi mereka yang berlaku zalim. Allah swt berfirman, “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” [TMQ Hud:113]
- Bahawa kempennya di sepanjang waktu pencalonannya ini bertujuan agar umat manusia memahami objektif-objektif yang telah disebutkan di atas.