Grid Nasional ialah jaringan talian penghantar elektrik yang menghubungkan janaan, penghantaran, pembahagian dan penggunaan elektrik di Malaysia. Jaringan talian ini dimiliki dan dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad.[1] Lebih 420 stesen pencawang di Semenanjung Malaysia dihubungkan oleh jaringan ini melalui talian 132 kV, 275 kV dan 500 kV. Tenaga elektrik yang dijana olen penjana elektrik seperti Tenaga Nasional Berhad dan pejana bebas dimuatkan ke jaringan ini untuk dihantar kepada pengguna di seluruh negara.
Sejarah
Grid Nasional mula dibina pada tahun 1959, dan talian pertama adalah dari Tanjung Kling di Melaka ke Bandar Melaka.[2]
Fasa berikutnya, pada tahun 1963, sebuah Pusat Kawalan Grid telah ditubuhkan di Stesen Janaelektrik Jambatan Connaught, Cameron Highland, Pahang sebagai rangkaian pusat bagi menjalankan fungsi menjana dan mengawal rangkaian grid 66kV sehingga 132kV dan ia merupakan tonggak utama Grid Nasional untuk Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia.[3]
Rangkaian pusat ini mendapat skim tenaga hidro dari Stesen Janelektrik Jambatan Connaught, Pahanag dan Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf, Perak dan dihubungkan ke rangkaian di sebelah barat serta seterusnya ke rangkaian sebelah timur.
Pusat Hantaran Muatan Kuasa Nasional (NLDC), telah ditubuhkan pada tahun 1978, dengan dilengkapi Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data Berkomputer (SCADA). Ia mengumpulkan data yang ditelemeterkan dari stesen janaelektrik dan pencawang elektrik serta memproses dan menyampaikan kepada Pusat Kawalan Wilayah (RCC).
Pada tahun 1980, daerah Kota Bharu , Kelantan telah dimasukkan ke dalam sistem Grid Nasional melalui penyambungan tertutup merentasi pergunungan di bahgaian utara Semenanjung Malaysia seterusnya dihubungkan terus ke Thailand melalui sistem penghantaran Electricity Genarating Authority of Thailand (EGAT) dan ke Singapura melalaui sistem penghantaran dari Stesen Janaelektrik Sultan Iskandar, Pasir Gudang, Johor (kini dikenali dengan nama Pasir Gudang Energy) ke Senoko Power Station (SP).
Pada tahun 2019, satu program pemulauan telah ditubuhkan dengan tujuan pengasingan bekalan elektrik dilakukan dengan lebih efisyen bagi mengelakan krisis bekalan elektrik yang pernah berlaku pada tahun 1992, dua tahun selepas syarikat TNB diwujudkan (penswastaan dari Lembaga Letrik Negara, LLN) yang mengakibatkan tertubuhnya beberapa entiti Independent Power Plant (IPP) di Malaysia. Ia dilaksanakan dengan dua fasa dimana:
- Fasa I meliputi kawasan bahagian utara Semenanjung ke bahagian pantai barat Semenanjung dari Pelabuahan Klang, Selangor ke Gurun, Kedah.
- Fasa II meliputi kawasan selatan Semenanjung dari Pasir Gudang, Johor ke Yong Peng, Johor.
Penjana elektrik
Keupayaan jana elektrik yang dihubungkan ke Grid Nasional berjumlah 18,391 MW. Kadar simpanan adalah dilaporkan 40% yang merupakan stesen kuasa lama yang tidak aktif pada Disember 2006.
Keupayaan jana mengikut jenis adalah 18% berupa logi hidro dan 82% berupa logi bakar. Pecahan bahan api adalah 46% gas asli, 43% arang batu, 10% hidro dan 1% minyak bakar.
Disenaraikan adalah syarikat jana elektrik dan keupayaan jana kuasa mereka:
- Tenaga Nasional Berhad – 11,296 MW
- Malakoff Berhad – 4,393 MW
- Powertek Berhad – 1,490 MW
- YTL Power Berhad – 1,212 MW
Dimasa hadapan, mungkin selepas 2012, syarikat jana kuasa di Borneo akan dihubung masuk ke Grid Nasional:
- Syarikat SESCO Berhad – 750 MW
- Sabah Electricity Sdn Bhd – 785 MW, termasuk jumlah dari 5 jana bebas sebanyak 318 MW.
Talian penghantaran
Talian penghantar adalah talian arus ulang-alik voltan tinggi (HVAC) pada 50 Hz.
HVAC 132 kV
Dimulakan pada tahun 1980.
HVAC 275 kV
Dimulakan pada tahun 1984.
HVAC 500 kV
Sistem penghantaran 500kV adalah sistem penghantaran tunggal terbesar pernah dibangunkan di Malaysia. Transmission Technology Sdn Bhd (TTSB) adalah kontraktor tempatan pertama yang diberi kontrak projek ini. Dengan nilai RM1.6 bilion, sistem ini membentuk "tulang belakang" baru bagi Grid Nasional.
Dimulakan pada tahun 1994, Fasa 1 melibatkan reka bentuk serta pembinaan talian penghantaran atas tiang 500kV dari Gurun, Kedah di utara sepanjang pantai barat ke Kapar, di kawasan tengah dan dari Pasir Gudang ke Yong Peng di sebelah selatan Semenanjung Malaysia.
Sebagai sebahagian projek pembangunan, TTSB juga membina 6 pencawang iaitu Pencawang Gurun Timur, Junjung, Bukit Tarek, Kapar, Yong Peng Timur dan Bukit Batu.
Jumlah jarak yang diliputi talian penghantaran 500kV tersebut ialah 522km serta bahagian 275kV sejauh 73km. Daripada talian yang dibina, hanya bahagian Bukit Tarek ke Kapar sahaja yang ditenagai pada 500 kV. Talian selebihnya buat masa sekarang ditenagai pada voltan 275 kV.
Lama kemudian, untuk memenuhi keperluan penghantaran kuasa tambahan dari Stesen Kuasa Manjung 2100 MW, sistem 500 kV dipanjangkan dari Bukit Tarek ke Air Tawar dan dari Air Tawar ke Stesen Kuasa Manjung (dikendalikan oleh TNB Janamanjung Sdn Bhd).
Pada tahun 2006, talian 500 antara Bukit Batu dan Tanjung Bin telah diwartakan untuk mengangkut kuasa yang dijana oleh Stesen Kuasa Tanjung Bin 2100 MW.
Sambungan ke Negara Thai
Pada 1980 sambungan 132 kV HVAC dengan keupayaan 80 MW telah disiapkan dari Bukit Ketri di Perlis ke Sadao di Thailand. Sambungan kedua pula adalah talian arus terus 300 kV (HVDC) dengan keupayaan 300 MW.
Sambungan ke Singapura
Sambungan ke Singapura adalah melalui 2 x 230 kV HVAC dengan keupayaan 200 MW.
Talian pembahagi
Talian pembahagi adalah pada voltan 33 kV, 22 kV, 11 kV, 6.6 kV dan 415/240 V.
Penggunaan elektrik
Senarai pengguna besar tenaga elektrik di Malaysia, yang mempunyai stesyen pencawang 132 kV:
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Transmission Division". Tenaga Nasional Berhad. Dicapai pada 23 May 2009.
- ^ "Spirit of Merdeka & Malayanisation". Tenaga Nasional Berhad on travel-to-malaysia.com. Dicapai pada 23 May 2009.
- ^ "The National Electricity Board". Tenaga Nasional Berhad. Dicapai pada 22 May 2009.