Geng: Pengembaraan Bermula | |
---|---|
Pengarah | Mohd Nizam Abdul Razak |
Penulis | Muhammad Anas Abdul Aziz |
Dihasilkan oleh | Hj Burhanuddin Md Radzi |
Dibintangi | Amir Izwan Abdul Rahim Ida Rahayu Yusoff Kee Yong Pin Nur Fathiah Diaz Kannan a/l Rajan Balqis Fadhullah Lim Mohd Shafiq Mohd Isa Abu Shafian Abdul Hamid |
Muzik oleh | Yuri Wong Mohamed Azfaren Aznam |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | |
Tarikh tayangan | |
Negara | Malaysia Singapura Indonesia Brunei |
Bahasa | |
Bajet | RM 4.7 juta[1] |
Pecah panggung | RM 6.2 juta[2] |
Geng: Pengembaraan Bermula (juga Geng: The Adventure Begins untuk pasaran luar negara, juga dikenali sebagai Upin Ipin - Geng The Movie, asalnya Geng: Misteri Hantu Durian[3]) dilaungkan sebagai filem cetera animasi 3D CGI pertama yang dihasilkan di Malaysia. Filem yang telah dibangunkan oleh syarikat Les' Copaque Production ini menemui penonton di pawagam-pawagam seluruh Malaysia pada Februari 12 2009.
Filem Geng dilancarkan di sebuah majlis pelancaran pada Januari 11 2007 bersama-sama siri animasi pendek Upin & Ipin yang berikatan dengan filem berkenaan. Pembikinan filem ini turut mendapat sokongan padu pelbagai pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dengan sumbangan lain seperti wang tunai sebanyak RM1 juta. Selain itu, Kementerian Pelancongan Malaysia turut menyalurkan kewangan sebanyak RM200,000 untuk mempromosikan Malaysia melalui filem ini. Penerbitan filem ini bermula selepas LCP ditubuhkan pada Disember 2008 dan mengambil masa selama lapan bulan untuk penyelidikan berkaitan animasi dunia.
Setelah disiapkan, filem Geng mula ditayangkan selama tujuh minggu mulai 12 Februari 2009 di 56 buah pawagam seluruh negara.[4] Dilaporkan bahawa filem Geng berjaya mengaut kutipan mencecah RM 6,314,526 dari hari pembukaan hingga 1 April yang boleh ditafsirkan sebagai sumbangan 813,604 penonton[5] dari sebanyak 55 buah pawagam, sekaligus menjadi filem tempatan yang paling banyak hasil kutipan pawagamnya di Malaysia sepanjang tahun 2009[2], di samping menghampiri rekod Lagi Lagi Senario yang mengutip RM6.33 juta ketika ditayangkan pada tahun 2001 dan filem ke-12 paling laris dalam sejarah perfileman Malaysia.
Ekoran kejayaan besar tersebut, filem Geng dieksport ke beberapa negara, sementara DVD Geng dipasarkan di Malaysia mulai September 2009. Filem Geng turut menikmati siaran TV perdana di tiga saluran berlainan (Disney Channel, Cartoon Network Disney XD dan TV9) pada hari yang sama, iaitu 10 Disember 2009; sambutan penonton tidak kurang hebatnya.[6]
Plot
Stesen televisyen LCTV bersiaran langsung dari Kampung Durian Runtuh untuk meliputi kejadian kecurian durian yang ganjil. Tok Dalang muncul di kaca TV untuk menceritakan tentang "Hantu Durian" yang menggerunkan penduduk kampung. Di Kuala Lumpur, Badrol, cucu Tok Dalang, bersama kawannya Lim menonton telatah datuknya, kebetulan mereka bersiap sedia untuk menziarahinya pada hari keesokannya.
Pada pagi keesokan, Badrol dan Lim bertolak ke Kampung Durian Runtuh dengan menaiki bas, tetapi bas rosak di tengah jalan, walaupun cuma 5 km dari kampung. Mereka berdua terpaksa berjalan kaki (Lim pula dibebani beg yang berat diisi barang-barang yang tidak penting) sehingga tibanya lori Pak Mail dan Singh. Dalam lori, Pak Mail menceritakan misteri Hantu Durian kepada kedua-dua pemuda ini.
Setibanya di kampung, mereka bertemu dengan Muthu untuk bertanya jalan. Muthu menyuruh si kembar Upin dan Ipin yang asyik mengacaunya, agar menemani Badrul dan Lim ke sana, diikuti sekali oleh Ros, kakak kepada Upin dan Ipin.
Setibanya di rumah Tok Dalang, selepas berehat sejenak, mereka mencuba motosikal yang diletak di kawasan rumah Tok Dalang. Lagak mereka meriuhkan suasana sepanjang jalan-jalan kampung, sehingga mereka bertembung dengan Rajoo dan Sapy, menyebabkan alat radio Rajoo tercicir ke dalam air. Rajoo mengugut mereka untuk menggantikan radionya yang rosak itu, jadi Lim terpaksa berjanji untuk menyerahkan pemain CDnya kepada Rajoo pada keesokan hari.
Pada waktu malam, Tok Dalang menceritakan lagi misteri Hantu Durian kepada Badrol dan Lim. Ketika waktu tidur, Lim tercari-cari tandas tetapi tidur balik gara-gara perasaan ngeri, memandangkan bilik tandas tidak sebumbung dengan rumah.
Bermulanya hari yang baru, Tok Dalang memesan Rajoo agar membawa Badrol dan Lim ke dusunnya dengan menaiki kereta lembu yang ditarik oleh Sapy. Dalam perjalanan, Rajoo menunjuk-nunjukkan bakat bercakap dengan haiwan, Upin dan Ipin menaiki kereta sambil diawasi Ros, dan seluruh kampung menyanyi lagu "Damai" sambil menari untuk meraikan kedamaian masyarakat desa. Setibanya di dusun, Badrol dan Lim menunggu buah durian gugur. Sayangnya apabila kedengaran durian gugur, buah-buah itu dicuri makan dengan begitu pantas.
Ketika Badrol dan Lim menyiasat fenomena ini, Upin, Ipin dan Rajoo merayau-rayau pula. Di dalam hutan mereka bertemu dengan sesuatu makhluk kecil berbulu merah putih yang aneh dan seolah-olah boleh bertutur dalam bahasa seakan manusia. Mereka mengejar-ngejar mahkluk itu jauh ke dalam hutan yang tidak biasa mereka alami, sambil membahayakan diri mereka. Rajoo menterjemahkan kata-kata makhluk itu dan daripada itulah diketahui namanya "Oopet". Badrol, Lim dan Ros sempat mencari mereka, tetapi akibatnya mereka berenam sesat di hutan.
Hari sudah senja, dan orang-orang tua di kampung mula risau dengan anak cucu masing-masing. Maka Tok Dalang, Mak Uda dan Muthu melancarkan operasi pencarian. Sementara itu enam sekawan kelihatan terpaksa bermalam di tengah hutan. Lim sakit perut lagi, dan terpaksa berpisah dari budak-budak kampung untuk berkumuh sambil ditemani Badrul. Tiba-tiba muncul dua ekor raksasa berkepala tengkorak kerbau mengejar mereka berenam, menyebabkan budak bandar terpisah dari budak kampung.
Oopet membawa Ros, Rajoo, Upin dan Ipin ke dalam kawasan kelam untuk berteduh, tetapi diancam pula oleh seekor ular tedung raksasa dan sekawan lintah gergasi. Apabila mereka selamat lagi, Oopet mendapat ruang untuk menceritakan asal-usulnya. Dalam sedutan imbas kembali, Oopet dan ibunya tinggal di sebuah dunia berlainan yang penuh warna-warni. Ketika mengejar serangga yang serupa kupu-kupu, Oopet melalui gerbang ke dunia kita lalu bertembung dengan raksasa tengkorak dalam suasana yang kelam dan ngeri. Ibunya datang untuk melindunginya tetapi diculik oleh raksasa tersebut.
Tak lama kemudian, mereka berempat menyedari selama ini Badrol dan Lim diculik oleh raksasa tengkorak tersebut, yang rupa-rupanya adalah Singh yang menyamar! Singh membantu Pak Mail menyimpan rahsia iaitu makhluk besar luar biasa, iaitu ibu Oopet, untuk dijual. Oleh itu, anak-anak kampung bertungkus-lumus untuk menyelamatkan Badrol dan Lim dan juga ibu Oopet. Apabila Pak Mail menyedari perkara ini, maka timbullah huru-hara apabila dia dan konco-konconya Singh dan Sally bertarung dengan Oopet dan keenam-enam budak itu.
Di tengah perbalahan, ibu Oopet menyaksikan anaknya pengsan lalu bertukar menjadi gergasi dan garang dan menyerang sesiapa sahaja di perkarangan rumah Pak Mail. Di samping mengerjakan Pak Mail dan konco-konconya, ibu Oopet juga bertembung dengan ular tedung raksasa. Dalam saat-saat genting, Oopet kembali sedar lalu bergegas untuk memberi dorongan kepada ibunya dan meredakan keadaan. Ular tedung itu berjaya ditewaskan.
Sudah tiba masanya Oopet berpisah dengan rakan-rakan manusianya kerana ibunya menegah manusia untuk datang ke dunia asal dua makhluk beranak ini. Akhirnya keenam-enam budak ditemui orang tua mereka, dan mulai saat itu, enam sekawan menggelar diri mereka satu "geng".
Pak Mail dan Singh pula termasuk ke dalam alam Oopet. Awalnya mereka menyangka diri mereka bernasib baik kerana banyaknya hasil buruan, tetapi mereka tidak diundang oleh penduduk alam tersebut. Kemungkinan bahawa mereka berdua dibunuh oleh ibu Oopet.
Pelakon suara
Watak utama
- Badrol (Amir Izwan Abdul Rahim[7])
- Seorang pemuda yang bersahaja dan gemar bersenang-senang dan bertindak mengikut gerak hati. Badrol sering cuba berlagak macho dan berani serta menyukai Ros iaitu kakak Upin & Ipin. Sewaktu kecil dia berdiam dengan datuknya di kampung sebelum ibu bapanya berpindah ke bandar. Setelah berdiam di kota agak lama, dia makin lupa akan suasana hidup di kampung. Gara-gara suatu pengalaman mengerikan yang tidak diketahui sewaktu dahulu, Badrol merahsiakan rasa takutnya terhadap katak dan kodok.
- Lim (Kee Yong Pin[7])
- Pemuda yang paling pintar dalam geng dan lebih banyak membuat pertimbangan dan perancangan berbanding yang lain. Dia suka bersiap sedia setiap kali pergi bercuti, tetapi oleh sebab sifatnya yang paranoid, dia kerap membawa alatan yang tidak perlu. Ini juga menjadikan Lim sukar dipisahkan daripada beg galasnya.
- Rajoo (Kannan a/l Rajan[8])
- Budak kecil yang cergas, periang, mesra dan jujur. Dia suka bersiar-siar dengan lembu peliharaannya Sapy. Dia gemar menyanyi dan menari ikut rentak muzik. Rajoo mengaku dirinya berkebolehan berkomunikasi dengan haiwan, meskipun yang lain-lain amat meraguinya.
- Ros (Balqis Fadhullah Lim[7])
- Dialah yang dilaungkan sebagai gadis paling jelita di kampung tetapi dia tidak selurus yang disangka. Dia perlu membantu neneknya menjual snek sambil mengawasi adik-adiknya yang sering melibatkan diri mereka dalam masalah. Kedegilan adik-adiknya itu sering menaikkan kemarahannya. Dia gemar menonton drama Melayu lama serta berlakon seperti salah seorang watak drama sedemikian.
- Upin dan Ipin (Nur Fathiah Diaz[9])
- Adik-beradik kembar botak yang suka berkeliaran dengan berkaki ayam, sambil mencari keseronokan dan keghairahan di mana sahaja mereka berada. Mereka sering ditengking kakak mereka Ros, kerana nakal dan degil. Mereka berdua gemar menonton filem aksi dan ke mana mereka pergi mereka tidak lupa membawa pistol mainan. Upin lebih tua dan ada sehelai rambut pada kepalanya yang menjadikannya bangga kerana lebih tua berbanding Ipin. Sungguhpun begitu, Upin begitu berpelat menyebut bunyi "s".
Watak tambahan
- Tok Dalang (Abu Shafian Abdul Hamid)
- Nama sebenarnya ialah Isnin bin Khamis. Dia ialah datuk kepada Badrol dan ketua kampung Durian Runtuh. Dia ialah bekas jaguh wayang kulit dan kini memiliki dusun durian. Setelah mendapati Badrol dan lima kawan-kawannya yang lain tidak balik-balik (kerana terikut Oopet ke dalam hutan), Tok Dalang melancarkan operasi mencari dan menyelamat sepanjang malam hingga berjaya.
- Mak Uda (Hajah Ainon Ariff)
- Opah (nenek) kepada Ros, Upin dan Ipin. Dia baik hati dan selalu menjaga cucu-cucunya dengan memberi nasihat berguna. Sebagai seorang nenek yang penyayang, Mak Uda juga turut serta dalam pencarian ketiga-tiga cucunya dan kawan-kawan mereka.
- Muthu (Mohd Shafiq Mohd Isa[7])
- Seorang peniaga gerai makanan di Kampung Durian Runtuh dan bapa kepada Rajoo. Sikap peramahnya membuatkan Muthu digemari penduduk kampung. Ketika kehilangan Rajoo dan kawan-kawannya pada malam itu, dia turut menyertai Tok Dalang dan Mak Uda untuk mencari mereka sepanjang malam.
- Ah Tong (Raja Mazrul Raja Abdul Malik)
- Seorang tua Cina yang sukar mempercayai apa yang diperdengarkan oleh rakan-rakannya di kampung, termasuk Misteri Hantu Durian; tetapi setelah kehilangan keenam-enam watak utama, dia turut membantu mencari mereka (walaupun tiada zuriatnya yang terlibat) semua dengan berlengkapkan senapang sebagai langkah berjaga-jaga dengan 'Hantu' tersebut.
- Pak Mail (Haji Alias Mohamed Lazan)
- Seorang pemburu yang menjumpai seekor makhluk istimewa dan hendak menjual makhluk tersebut untuk tujuan untung. Dialah yang membawa Badrol dan Lim ke Kampung Durian Runtuh di awal filem.
- Singh (Mohd Shafiq Mohd Isa)
- Pembantu dan konco Pak Mail. Di awal filem, dia memandu lori yang mengangkut Badrol dan Lim ke Kampung Durian Runtuh. Rupa-rupanya dialah yang menyamar sebagai seekor raksasa ganas yang kemudian menculik Badrol dan Lim untuk menyimpan rahsia Pak Mail.
- Salleh @ Sally (Ros Hasrol Ahmad)
- Si bapuk yang tidak segan menonjol kelembutannya dan kepedasan mulutnya di Kampung Durian Runtuh. Tanpa sedar dia menyertai Pak Mail lalu terjebak dalam kegiatan haramnya.
Makhluk ganjil
Oopet (disuarakan oleh Ida Rahayu Yusoff) ialah seekor makhluk ganjil yang ditemui di dusun Tok Dalang. Ia berasal dari suatu dimensi lain yang boleh dimasuki melalui suatu gerbang ajaib. Dia berada di dunia manusia secara tidak sengaja dan selalu mencuri durian yang menyerupai buah kegemarannya di dunia asalnya. Begitu pantas pergerakan Oopet sehingga menyebabkan penduduk kampung percaya wujudnya "Hantu Durian". Ibunya ditangkap oleh kumpulan Pak Mail yang hendak menjual makhluk istimewa tersebut, oleh itu dia bersama Badrol, Lim, Rajoo, Ros, Upin dan Ipin berusaha menyelamatkan ibunya.
Di samping itu, terdapat juga seekor ular tedung besar dan sekawan lintah gergasi di bawah tanah. Ada juga dua ekor "raksasa" berupa tengkorak dan berduri, yang rupa-rupanya adalah konco-konco Pak Mail yang menyamar. Oleh itu, "Hantu Durian" yang digeruni penduduk Kampung Durian Runtuh ini sebenarnya merupakan manifestasi lebih dari satu hidupan: potongan durian yang halus sebenarnya merupakan kerja Oopet, sementara wajah "mengerikan" yang diceritakan Tok Dalang mungkin antara raksasa-raksasa lain ataupun konco-konco Pak Mail yang menyamar, yang diperlihatkan sepanjang filem.
Penerbitan
Filem Geng ini memakan masa dua tahun, belanja sebanyak RM 4.7 juta[10] dan 40 orang juruanimasi tempatan untuk disiapkan. Pengarahnya Mohd Nizam Abdul Razak membandingkan belanja filem ini dengan filem animasi Barat yang menelan "kos sekitar RM15 juta hingga RM40 juta" dan "lebih kurang 130 hingga 150 juruanimasi". Katanya, "Sekalipun kos tidak sehebat filem animasi barat, filem animasi Geng tetap mempunyai kekuatannya dari segi adunan elemen seram, seram ngeri (saspens), dramatik dan lucu yang semuanya dapat dirasai menerusi kesan bunyi dan suara yang mantap. Sokongan padu penonton tempatan sangat diperlukan kerana filem ini dihasilkan dengan daya kreativiti karyawan muda tanah air. Menerusi filem animasi dihasilkan ini, kami berharap ia dapat menarik minat lebih ramai pelabur untuk membiayai kos penerbitan filem animasi tempatan pada masa depan."[1]
Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi, menceritakan bahawa perancangan untuk menerbitkan filem itu bermula ketika Mohd Nizam dan dua rakannya iaitu Muhammad Usamah Zaid and Mohd Safwan Ab Karim[10] bertemu dengannya dan menyuarakan impian mereka untuk menghasilkannya. Menyentuh strategi penjimatan kos, katanya, "Semua peralatan seperti komputer hanya dibeli di Plaza Low Yat dan mereka (karyawan muda) juga mengubahnya menjadi sistem sendiri. Selain itu, pihak kami mendapat bantuan dan sokongan MDeC, Mimos Bhd dan MOSTI".[1] Pembikinan filem ini menggunakan dua perisian penting termasuk Maya dan MentalRay selain proses animasi pertama yang menggunakan teknik perkomputeran grid dibekalkan MIMOS. Kata Nizam, “Perkakasan berjuta-juta ringgit oleh Mimos memberi peluang kepada kami melakukan teknik render yang mengurangkan masa pembikinan animasi 3D kerana kebiasaannya ia mengambil tempoh lebih setahun. Namun, melalui perkomputeran grid, tempoh masa terbabit berjaya dikurangkan ke enam hingga lapan bulan saja yang secara tidak langsung menjimatkan kos operasi.”[11]
Filem Geng asalnya disiapkan pada Ogos 2008 berukuran 108 minit panjangnya, lalu ditayangkan secara khusus kepada penonton jemputan yang terdiri daripada pihak MDeC, Finas, Mimos, RTM, Media Prima, Astro dan para wartawan, tetapi dikurangkan hingga 90 minit untuk tontonan umum atas nasihat FINAS demi kepuasan pihak pawagam. Pada masa yang sama, para kakitangan cuba menyiapkan siri baru Upin & Ipin tepat mengikut jadual yang ditetapkan, maka sedikit menjejaskan perancangan untuk filem Geng.[12] Pihak Les' Copaque menyediakan lima gelendong filem Geng yang asli, tiga daripadanya dihantar ke syarikat Kantana Group di Bangkok, Thailand untuk menjalani proses adunan bunyi. Gelendong pertama yang dipulangkan dari Kantana cuma mengalami adunan audio kasar, dan dihantar ke Lembaga Penapisan Filem untuk dikaji kandungannya.[13] Pada akhir bulan November 2008, pihak Les' Copaque memaklumkan mereka sudah menerima kelulusan dari LPF tanpa potongan dan diberi kebenaran untuk menayangkan filem ini oleh FINAS.[14]
Keluaran dan sambutan
Sambutan
Jadual kutipan pawagam Geng: Pengembaraan Bermula (12 Feb – 1 Apr) | |
---|---|
Tempoh Tayangan | Kutipan kumulatif |
4 hari (hingga 15 Feb) | RM 1.75 juta[15][16] |
7 hari (hingga 18 Feb) | RM 2.3 juta[17] |
11 hari (hingga 22 Feb) | RM 3.7 juta[18] |
35 hari (hingga 18 Mac) | RM 6.011 juta [19] |
43 hari (hingga 26 Mac) | RM 6.28 juta[20] |
49 hari (hingga 1 April) | RM 6.2 juta[2] |
Pihak Les' Copaque mengadakan satu lagi pratonton khas untuk wartawan pada 13 Januari 2009.[21] Mereka melaporkan sambutan memberangsangkan daripada para penonton yang disifatkan "berdiri dan bertepuk tangan sebanyak 3 kali di penghujung filem kerana (tersilap) menyangka filem telah tamat."[22]
Filem Geng mula ditayangkan pada 12 Februari 2009 di 56 buah pawagam seluruh negara.[4] Les' Copaque dilaporkan menetapkan sasaran kutipan antara RM5 juta[1] hingga RM10 juta, ataupun setinggi RM100 juta jika diambil kira perancangan pasaran ke luar negara[23].
Sambutan pengunjung pawagam Malaysia terhadap filem Geng amat memberangsangkan. Pada empat hari pertama tayangannya, filem ini dilaporkan meraih RM1.75 juta[24][25], sekaligus berada di tangga teratas carta kutipan pawagam seluruh Malaysia, mengatasi dua filem pemenang Oscar iaitu Slumdog Millionaire dan The Curious Case of Benjamin Button yang juga mulai ditayangkan pada hujung minggu yang sama dengan filem Geng.[26]. Filem Geng kekal di tangga teratas kutipan pawagam negara selama dua hujung minggu berturut-turut.[27] Pada akhir tayangannya sekitar 1 April, filem Geng mengaut kutipan mencecah RM 6.2 juta[2] sepanjang tempohnya di pawagam-pawagam, yang boleh ditafsirkan sebagai sumbangan daripada 813,604 penonton.[5]
Ulasan
Ulasan pengkritik filem juga tidak kurang hebatnya. Ulasan di laman sesawang gua.com.my (15 Januari, daripada pratonton akhbar) memuji "jalan ceritanya berlapis dan berisi walaupun menghiburkan pada permukaannya", "watak boleh percaya dan berwarna-warni", "arahan dan persembahan dialog yang cukup bernyawa sekali oleh barisan pelakon suara kecil" dan "jelas usaha gigih serta dedikasi terhadap kraf pengisahan dan penggambaran Les' Copaque Production...memperagakan mutu kerja yang sangat terperinci dan tiada ralat yang dilepaskan begitu sahaja".[28] Ulasan dalam seksyen Z! Berita Harian (14 Februari) menyanjung filem ini kerana "mempunyai jati diri, terutama dalam memaparkan budaya ketimuran", di samping "berjaya menyajikan kualiti yang diharapkan," sekalipun kos pelaburan agak rendah berbanding filem animasi Barat.[29]
Pihak Les' Copaque cuba berunding dengan pihak pawagam untuk melanjutkan tayangan Geng serta memastikan ruang tayangan yang cukup, selepas didapati ruang tayangan filem ini dikurangkan begitu banyak berikutan tamatnya tempoh Syarat Wajib Tayang untuk filem tempatan. Akhirnya, tayangan Geng dilanjutkan sehingga lapan minggu, termasuk sekali musim cuti sekolah.
Tayangan media
Geng: Pengembaraan Bermula dikeluarkan dalam bentuk DVD "Edisi Istimewa" pada musim perayaan September 2009. DVD edaran syarikat Music Valley ini disertakan sari kata bahasa Inggeris dan Cina dan dipasarkan pada harga RM 35.90. Fasa pertama penjualan DVD Geng yang bermula dua minggu sebelum Aidilfitri dilaporkan berjaya mencecah 60,000 salinan.[30][31] Sungguhpun demikian, DVD Geng tidak terlepas dari ancaman cetak rompak yang agresif. Telah didedahkan bahawa pencetak rompak menyamarkan salinan cetak rompak filem ini dalam bungkusan yang seiras dengan bungkusan salinan asli sehingga sukar dibezakan oleh pembeli, di samping memasarkannya pada harga sedikit rendah.[30] (Sebenarnya, bezanya terdapat pada hologram KDNK yang terpakai, ketiadaan sijil LPF dan tiadanya juga poster percuma yang disertakan dalam edisi istimewa.) Sehubungan itu, pihak Les Copaque telah melaporkan kepada polis dan Cyber Security Malaysia mengenai kegiatan pindah turun filem Geng secara haram di Internet.[32]
Geng: Pengembaraan Bermula disiarkan di televisyen buat julung kalinya oleh dua saluran pada hari yang sama iaitu 10 Disember 2009, mulai dengan Disney Channel pada jam 7.30 malam[33], diikuti TV9 pada jam 8.30 malam[34]. Mengikut kaji selidik AGB Nielsen, siaran Geng di TV9 ditonton oleh kira-kira 2.45 juta penonton, menjadikannya rancangan TV yang paling ramai penontonnya di saluran ini sepanjang tahun 2009.[6]
Pemasaran antarabangsa
Brunei Darussalam menjadi pasaran luar pertama yang menayangkan filem Geng di pawagam sekitar bulan Jun, tetapi menurut pengarah Nizam Razak, sambutannya "kurang memberangsangkan".[35]
Nizam bagi pihak Les' Copaque Production mengesahkan filem Geng dijadualkan tayangan umumnya di kira-kira 50 buah pawagam Indonesia mulai 16 September 2009, di samping mengharapkan filem ini turut dibuka di pawagam Singapura.[18] Filem ini sebenarnya diadakan tayangan perdana di Bioskop Blitzmegaplex sempena Festival Filem Untuk Kanak-Kanak Antarabangsa, Indonesia, di mana filem ini berjaya merangkul Anugerah Pilihan Penonton.[36]
Sehubungan itu, hasil usahasama dengan syarikat KEN Films dan Indiatales, filem Geng dijangka ditayangkan di India pada 27 Ogos 2010[37], setelah menjalani tayangan tertutup khusus untuk pengilang, pengedar dan wartawan di negara itu pada 26 Jun.[38][39], dalam bentuk alih suara dalam beberapa bahasa tempatan termasuk Hindi dan Tamil.[40] Inilah filem Malaysia pertama yang mendapat tayangan umum di pawagam India.[41] Versi bahasa Hindi mengalami beberapa perubahan nama watak, iaitu Badrol menjadi Badru, Lim menjadi Chetan, dan Kampung Durian Runtuh menjadi Balipur.
Tambahan pula, pihak LCP mengaku menerima tawaran daripada syarikat dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat untuk mengalih suara dan menayangkan filem ini di negara masing-masing.[17]
Anugerah dan pengiktirafan
- 2009
- Festival Filem Untuk Kanak-Kanak Antarabangsa, Latvia[36]
- Anugerah Pilihan Penonton
- Festival Filem Malaysia ke-22[42]
- 2 Anugerah Pilihan Juri (filem box office, filem animasi panjang dengan watak kreatif yang tersendiri)
- Anugerah Industri Kre8tif! MSC Malaysia[43]
- Penyunting Terbaik (Mohd Faiz Hanafiah)
- Muzik/Skor Terbaik (Yuri Wong)
- InGen
Lihat juga
Rujukan
- ^ a b c d Ramlah Zainal (2009-02-02). "Filem animasi Geng sasar RM5 juta". Harian Metro. Dicapai pada 2009-02-14.[pautan mati kekal]
- ^ a b c d Tayangan Filem Cereka Tempatan 2009, FINAS, dicapai pada 2 Januari 2010.
- ^ "Pratonton: Geng:Misteri Hantu Durian". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-12-06. Dicapai pada 2009-11-21.
- ^ a b Nurulhisham Abdul Latiff (2009-02-25). "Upin, Ipin semakin popular". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-28. Dicapai pada 2009-03-03.
- ^ a b "GENG: JELAJAH MALAYSIA ....HABIS". Les' Copaque. 2009-04-06. Dicapai pada 2009-04-16.
- ^ a b Poster "Geng: Pengembaraan Bermula dan Upin & Ipin made TV history!", dicapai pada 2 Januari 2010.
- ^ a b c d Geng: Di Sebalik Tabir (video)
- ^ "Voice Cast : Rajoo - Kannan". Les' Copaque Community Forum. Dicapai pada 2008-09-02.[pautan mati kekal]
- ^ "Voice Cast : Upin & Ipin - Fathiah". Les' Copaque Community Forum. Dicapai pada 2008-09-02.
- ^ a b Yam Phui Yee (2009-02-18). "Daring adventures". R.AGE (the Star). Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-19. Dicapai pada 2009-02-21.
- ^ Afiq Hanif (2009-01-14). "Animasi 3D pertama telan RM4j". Harian Metro. Dicapai pada 2009-02-18.[pautan mati kekal]
- ^ ""GENG:THE ADVENTURE BEGINS" STATUS QUO". Les' Copaque Production. 2008-10-05. Dicapai pada 2009-02-18.
- ^ "Geng in Film Reel". Les' Copaque Production. 2008-11-14. Dicapai pada 2009-02-18.
- ^ ""GENG:PENGEMBARAAN BERMULA" IS COMING TO TOWN". Les' Copaque Production. 2008-11-26. Dicapai pada 2009-02-18.
- ^ Zul Husni Abdul Hamid (2009-02-19). "Sambutan Geng luar biasa". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-22. Dicapai pada 2009-02-21.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ Lee Zhiang Yang, Ezekiel (2009-02-18). ""Geng" takes RM1.75mil". Cinema Online. Dicapai pada 2009-02-21.
- ^ a b "Kutipan cecah RM2.3 juta". Harian Metro.
- ^ a b Siti Azira Abd. Aziz (2009-02-25). "Geng: Pengembaraan Bermula bakal kutip RM4 juta selepas dua minggu". mSTAR. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-28. Dicapai pada 2009-03-01.
- ^ "Animasi Geng cecah RM6.011 juta". Harian Metro. 2009-03-18. Dicapai pada 2009-03-21.[pautan mati kekal]
- ^ "Geng: RM6.28 juta dan masih lagi mengira". Tupai. 2009-03-26. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-03-28. Dicapai pada 2009-03-30.
- ^ "Geng Press Preview Part1". Les' Copaque Production. 2009-01-14. Dicapai pada 2009-02-18.
- ^ "Geng Press Preview Part2". Les' Copaque Production. 2009-01-14. Dicapai pada 2009-02-18.
- ^ Nurulhisham Abdul Latiff (2008-08-25). "Geng sasar kutipan RM100 juta". Utusan Malaysia. Dicapai pada 2009-02-18.[pautan mati kekal]
- ^ Zul Husni Abdul Hamid (2009-02-19). "Sambutan Geng luar biasa". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-22. Dicapai pada 2009-02-21.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
- ^ Lee Zhiang Yang, Ezekiel (2009-02-18). ""Geng" takes RM1.75mil". Cinema Online. Dicapai pada 2009-02-21.
- ^ [http://www.cinema.com.my/charts/charts.aspx?date=2/15/2009 "Week of 12 February 2009-18 February 2009"] Check
|url=
value (bantuan). Cinema Online. 2009-01-14. Dicapai pada 7 Mac 2011. - ^ [http://www.cinema.com.my/charts/charts.aspx?date=2/22/2009 Week of 26 February 2009-04 March 2009], Cinema Online, 22 Februari 2009. Diambil 7 Mac 2011.
- ^ Izuan Shah (2009-01-15). "'Geng' Filem Animasi Gempak". gua.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-01-18. Dicapai pada 2009-02-19.
- ^ Rozdan Mazalan (2009-02-14). "Telatah Upin, Ipin tak membosankan". Berita Harian. Dicapai pada 2009-02-19.[pautan mati kekal]
- ^ a b Abd. Aziz Itar (7 Oktober 2009). "Samseng mungkin dalangi cetak rompak Geng?". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-10-09. Dicapai pada 16 Oktober 2009.
- ^ Esme Johari Wahab (6 Oktober 2009). "Lanun pangkah DVD Geng". Harian Metro. Dicapai pada 16 Oktober 2009.[pautan mati kekal]
- ^ "Berita IT: Les' Copaque kesan laman muat turun haram". Harian Metro. 7 Oktober 2009. Dicapai pada 16 Oktober 2009.[pautan mati kekal]
- ^ Disney Channel Asia: Geng: The Movie Diarkibkan 2010-03-30 di Wayback Machine, dicapai pada 10 Disember 2009.
- ^ "'Geng: Pengembaraan Bermula' Di TV9". gua.com.my. 7 Disember 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-11. Dicapai pada 8 Disember 2009.
- ^ Wahiduzzaman (24 Julai 2009). ""GENG" teruskan kembara". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-08-03. Dicapai pada 11 Ogos 2009. Unknown parameter
|publihser=
ignored (|publisher=
suggested) (bantuan) - ^ a b Rozdan Mazalan (11 Ogos 2009). "Upin & Ipin dapat pengiktirafan lagi". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-08-15. Dicapai pada 11 Ogos 2009.
- ^ Geng – The Adventure Begins Diarkibkan 2015-11-05 di Wayback Machine, Koimoi, 17 Ogos 2010. Dicapai pada 24 Ogos 2010.
- ^ Rozdan Mazalan (19 Julai 2010). "Upin & Ipin dicetak rompak". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-11-05. Dicapai pada 21 Julai 2010.
- ^ Ken Films to Host a Private Screening of Geng, World PRWire's Blog, 21 Jun 2010. Dicapai pada 25 Julai 2010.
- ^ Lee Wei Lian (2 Mei 2009). "Jobless four years ago, three young filmmakers shake up box office". The Malaysian Insider. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-05. Dicapai pada 30 Mei 2009.
- ^ "'Geng-The Adventure Begins' in Hindi". News Bollywood. 23 Ogos 2010. Dicapai pada 24 Ogos 2010.
After smashing box office records in Malaysia, 3D animation film “Geng” will become the first Malaysian movie to get a commercial theatrical release in India when it opens here in the last week of August.
[pautan mati kekal] - ^ Festival Filem Malaysia ke-22 – Pencalonan Diarkibkan 2010-01-09 di Wayback Machine. Dicapai pada 2 Januari 2010.
- ^ "MSC Malaysia Kre-8tif! Industry Awards Winners". The Malay Mail. 28 Disember 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-01-23. Dicapai pada 2 Januari 2010.
Pautan luar
- Laman sesawang rasmi Geng Diarkibkan 2009-02-27 di Wayback Machine
- Blog penerbitan filem Geng
- Geng di Facebook
- Geng di Friendster Diarkibkan 2010-12-19 di Wayback Machine
- Geng di LesCopaque Diarkibkan 2009-02-19 di Wayback Machine