![]() | |||||||||||
Negara asal | Itali | ||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| |||||||||||
| |||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing serigala Itali[a] ialah satu baka anjing dari Itali. Menurut penciptanya, asas baka ini ialah hibrid serigala yang dihasilkan daripada penyilangan anjing gembala Jerman dengan serigala Itali, walaupun sebilang kajian genetik mempersoalkan ini.
Memandangkan ia tidak diiktiraf oleh ENCI, pemilihan dan penternakan anjing serigala Itali dijalankan oleh Associazione degli Affidatari Allevatori del Lupo Italiano (AAALI, "Persatuan Pemelihara Pembiak Baka Anjing Serigala Itali"), iaitu sebuah pertubuhan bukan untung biayaan negeri yang melarang penjualannya dan hanya mengizinkan agar spesimen dipajakkan kepada sukarelawan, pihak polis, dan pertubuhan pencarian dan penyelamatan.
Perihal
Menurut piawaian baka yang diasaskan oleh Associazione degli Affidatari Allevatori del Lupo Italiano (AAALI), anjing serigala Itali mempunyai muncung mirip serigala, rahang berkuasa, dan telinga sederhana panjang runcing. Matanya patut sebaik-baiknya berwarna emas dan berbentuk serong. Dewasa patut setinggi 58–68 cm (23–27 in) pada paras bahu dan mempunyai dada tegap dan belakang yang tidak terlalu rendah. Pijakannya ringan, walaupun pada spesimen besar.[1] Pencipta baka ini mendakwa bahawa ia mampu berlari pada kelajuan 70 kilometer per jam (43 mph).[2] Lapis bulunya berwarna kelabu dengan cahaya warna fulvus atau kuning air, tetapi piawaian mengizinkan hitam lengkap atau tompok putih pada dada. Ekornya panjang dan labuh apabila kendur, tetapi melengkung sedikit apabila dinaikkan.[1]
Sejarah
Menurut pencipta baka ini, bekas jurubank Mario Messi, anjing serigala Itali berasal dari tahun 1966 selepas beliau diberi seekor hibrid serigala yang dihasilkan oleh seekor serigala Itali betina, yang ditangkap di Wilayah Rieti oleh seorang pemburu yang bekerja, dan seekor anjing gembala Jerman jantan yang pakar dalam operasi penyelamatan.[2][3][4] Hibrid ini, "Zorro", kemudian dikawankan dengan anjing-anjing gembala Jerman dan anak-anak betina yang terhasil.[5][2] Spesimen tersebut pada asalnya dibela di sebuah vila abad ke-19 di Cumiana[3] sehingga Messi diarah berpindah oleh datuk bandar comune selepas penduduk Borgata Porta mengadu tentang lolongan anjing tersebut.[6][7] Anjing tersebut dipindahkan ke sebuah prasarana moden yang mampu menempatkan 200 spesimen dan menyertakan kurungan yang bermodelkan habitat semula jadi serigala.[5]
Pada tahun 1980, Messi mengasaskan Associazione Selezione Originale di Lupi Italiani (ASOLI, "Persatuan Pemilihan Asli Anjing Serigala Itali"), iaitu sebuah pertubuhan bukan untung yang didedikasikan untuk pemeliharaan ketulenan baka ini.[8][5] Pertubuhan ini dibiayai oleh sumbangan sukarelawan dan Messi mengisytiharkan bahawa anjing serigala Itali hanya boleh dipajakkan untuk utiliti awam.[9] Pengiktirafan rasmi anjing serigala Itali oleh ENCI dijadualkan pada 4 Julai 1982 semasa ekspo baka anjing Itali,[5] tetapi ini tidak menjadi kenyataan kerana keengganan Messi untuk mengkomersialkan baka ini.[10]
Pada Februari 1984, fasa uji kaji projek pembiakbakaan diisytiharkan selesai, setelah fenotip anjing serigala Itali distabilkan.[11] Namun yang demikian, Messi meluahkan kebimbangan bahawa beliau terpaksa menutup prasarana pembiakbakaan, walaupun terdapat naungan Kementerian Pendidikan Awam dan Kementerian Ekologi di Piemonte.[12] Pada tahun berikutnya, kekurangan dana menyukarkan penyediaan makanan dan vaksin kepada anjing, lalu menyebabkan kematian beberapa anak anjing akibat penyakit dan kekurangan zat makanan.[13][14] Pada tahun 1987, walaupun diberi amaran tentang kemungkinan eutanasia bagi kesemua 200 ekor anjing di prasarana itu, Messi terus menentang penjualannya, walaupun untuk menampung kos.[15]
Pada 13 Julai 1987, presiden Francesco Cossiga menandatangani dekri yang mengiktiraf ASOLI.[16] Pejabat Pendaftaran Rasmi Anjing Serigala Itali diasaskan kemudian oleh Filippo Maria Pandolfi, yang memberi ASOLI kawalan eksklusif ke atas penjagaan dan pembiakbakaan baka ini.[17] Pada tahun 1989, ASOLI dinamai semula sebagai Ente per la Tutela del Lupo Italiano (ETLI, "Badan untuk Perlindungan Anjing Serigala Itali") dan pemilikan swasta bagi anjing serigala Itali dilarang oleh dekri presiden.[18][19] Namun yang demikian, situasi kewangan prasarana pembiakbakaan itu terus tidak menentu, sehingga Messi melancarkan rayuan untuk pembiayaan lanjut.[20]
Pada tahun 1990, terdapat laporan bahawa anjing serigala Itali di prasarana di Cumiana berada dalam keadaan teruk kerana kekurangan makanan, rawatan perubatan, dan kebanjiran di kandang mereka.[21] Dua tahun kemudian, prasarana itu telah disita selepas pihak berkuasa kesihatan tempatan mendedahkan risiko wabak leptospirosis, piroplasmosis, leisymaniasis, dan dirofilariasis dan suatu indikmen diminta kerana kekurangan kebersihan dan penganiayaan terhadap anjing di prasarana itu.[22][23]
Pada tahun 2000, dengan mengupas kekurangan dana berterusan, Messi mengimplikasikan bahawa beliau akan terpaksa memindahkan ibu pejabat ETLI ke luar negara.[24] Pada tahun berikutnya, dengan sokongan daripada Stefania Belmondo, Messi membuat petisyen untuk menjadikan anjing serigala Itali sebagai maskot rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2006.[25] Pada tahun 2004, baka ini dicalonkan sebagai anjing pembantu rasmi bagi sukan itu.[26]
Pada tahun 2007, terdapat laporan bahawa prasarana di Cumiana tidak lagi mempunyai anjing serigala Itali, setelah dihuni oleh anjing daripada baka berlainan. Kementerian Dasar Pertanian, Makanan, dan Perhutanan Luca Zaia menyatakan bahawa ETLI dibebani oleh hutang dan tidak lagi membiakbakakan atau melatih anjing-anjingnya dan mengkritik dasar pengurusan Messi yang "hampir tidak demokratik".[27][28] Pada Mei 2010, ETLI dibubarkan oleh prefektur Turin dan pengurusan baka ini diserahkan kepada Associazione degli Affidatari Allevatori del Lupo Italiano (AAALI).[29][30]
Genetik
Pada tahun 1982, Mario Messi memerihalkan anjing serigala Itali sebagai 62.5% anjing gembala Jerman dan 37.5% serigala Itali.[5] Dalam temu bual tahun 2002, beliau mengisytiharkan bahawa baka ini "lebih serigala berbanding dengan anjing: 60% serigala dan 40% anjing".[2] AAALI memberikan purata peratusan kandungan serigala pada sekitar 30–35%.[31]
Pada tahun 2007, sekumpulan ahli ekologi dari Piemonte, dengan sokongan daripada Lega Anti Vivisezione (LAV, "Liga Antiviviseksi"), mentauliahkan dewan perniagaan Turin untuk memulakan siasatan ke atas profil genetik anjing serigala Itali. Analisis terhasil menunjukkan bahawa tiada kandungan serigala pada baka ini, yang mendorong LAV untuk meminta agar pentadbiran Prodi menggantung semua dana kepada ETLI. Selain kekurangan kandungan serigala pada baka ini, ahli majlis rantauan ahli ekologi mengupas akses eksklusif Messi kepada pejabat pendaftaran rasmi baka ini, yang kelihatannya mengandungi penyelewengan dari segi bilangan pengawanan dan kelahiran.[27][32][28]
Pada tahun 2017, sebuah kajian genetik lanjut yang dijalankan oleh Universiti Milan, Universiti Messina, Universiti Sassari, dan Universiti Bologna, dengan kerjasama Projek Genom Manusia, menganalisis 142,840 polimorfisme nukleotida tunggal daripada 1,609 ekor canid, antaranya tujuh ekor serigala Itali dan 263 ekor anjing asal Itali, termasuk 24 sampel daripada anjing serigala Itali yang disediakan oleh AAALI. Walaupun kajian mengesahkan bahawa anjing serigala Itali berkait rapat dengan anjing gembala Jerman, kajian tidak mendapati sebarang pengongsian ketara haplotip antara anjing serigala Itali dengan serigala Itali.[33]
-
Gambar rajah a
-
Gambar rajah b
Dendogram filogenetik yang mengilustrasikan jarak genetik (a) dan perkongsian haplotip (b) antara baka anjing Itali dan baka anjing bukan Itali dengan serigala Itali, dengan anjing serigala Itali, anjing gembala Jerman, dan serigala Itali yang disoroti
Catatan
Rujukan
- ^ a b c d "Standard di Razza" [Piawaian Baka] (dalam bahasa Itali). Associazione degli Affidatari Allevatori del Lupo Italiano. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ a b c d Lorenzetto, Stefano (18 Ogos 2002). "L'uomo che finì in bocca al lupo" [Manusia yang berakhir di mulut serigala]. Il Giornale (dalam bahasa Itali). Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ a b Baltaro, Gianna (28 April 1977). "Cani lupo all'italiana" [Anjing serigala gaya Itali]. La Stampa (dalam bahasa Itali). m/s. 14. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Adesso c'è il «lupo italiano»: Fiero, intelligente, affettuoso" [Sekarang ada "serigala Itali": Garang, cerdas, penyayang]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 24 Julai 1980. m/s. 11. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ a b c d e "Il lupo made in Italy è più noto in Francia" [Serigala buatan Itali lebih terkenal di Perancis]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 4 April 1982. m/s. 19. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "In pericolo 80 "lupi" sfrattati da Cumiana" [80 "serigala" diusir dari Cumiana dalam bahaya]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 31 Oktober 1977. m/s. 5. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Che succede dei lupi di Cumiana?" [Apa berlaku kepada serigala Cumiana?]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 15 November 1977. m/s. 9. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Il lupo italiano è di razza. Perché non riconoscerlo?" [Serigala Itali ialah baka. Mengapa tidak iktirafnya?]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 4 September 1980. m/s. 13. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "La vita segreta di 130 lupi italiani nati e cresciuti in un canile-modello" [Kehidupan rahsia 130 serigala Itali yang lahir dan diternak di kenel model]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 23 Februari 1983. m/s. 7. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Addio a Mario Messi, il creatore del lupo italiano" [Selamat jalan Mario Messi, pencipta anjing serigala Itali] (dalam bahasa Itali). Ti presento il cane. 18 Ogos 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Disember 2012. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ Conti, Angelo (4 Februari 1984). "Il lupo italiano utilizzato nella lotta contro la droga" [Serigala Itali digunakan dalam perang lawan dadah]. La Stampa (dalam bahasa Itali). m/s. 15. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Il lupo italiano è senza denaro" [Serigala Itali tiada wang]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 12 Julai 1984. m/s. 17. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Si salverà il lupo italiano?" [Akankah serigala Itali diselamatkan?]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 7 November 1985. m/s. 17. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Lupo «alpino» e antivalanga" [Serigala "alp" dan antiruntuhan salji]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 6 Februari 1986. m/s. 17. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Lupo italiano l'amara fine d'un miracolo" [Serigala Itali, hujung pahit sesebuah mukjizat]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 19 Mei 1987. m/s. 17. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Riconosciuto il cane lupo «italiano»" [Anjing serigala "Itali" diiktiraf]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 14 Julai 1987. m/s. 16. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Il lupo italiano è diventato doc" [Serigala Itali ditetapkan DOC]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 5 April 1988. m/s. 7. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Approvazione del nuovo statuto dell'ex Associazione selezione originale Lupo italiano ora denominata Ente per la tutela del Lupo italiano, in Cumiana" [Kelulusan statut baharu bagi bekas Associazione Selezione Originale Lupo Italiano yang kini dipanggil Ente per la Tutela del Lupo Italiano, di Cumiana.]. Gazzetta Ufficiale della Repubblica Italiana (dalam bahasa Itali) (73). 29 Mac 1989.
- ^ "Lupo italiano: novità. Ora ha l'ente di tutela" [Serigala Itali: Berita. Kini ada badan perlindungan]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 3 Januari 1989. m/s. 9. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "S.O.S il lupo italiano rischia di estinguersi" [S.O.S., serigala Itali berisiko lenyap]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 18 Mei 1990. m/s. 14. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Un inverno davvero da «lupi». Nell'allevamento di Cumiana poco cibo e si sguazza nell'acqua" [Musium sejuk sebenar bagi "serigala". Di kenel Cumiana, sedikit makanan dan banjir]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 9 November 1990. m/s. 14. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Il lupo italiano sotto sequestro" [Serigala Itali dirampas]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 25 Oktober 1992. m/s. 41. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Inquisito allevatore del lupo italiano" [Penternak serigala Itali disiasat]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 4 Julai 1993. m/s. 41. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Legge ferma alla Camera. Il lupo rischia l' estinzione" [Undang-undang ditahan dalam Dewan. Serigala Itali berisiko pupus]. La Stampa (dalam bahasa Itali). 27 Mac 2000. m/s. 8. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ Giachino, Daniela (29 Julai 2001). "Appello per salvare il lupo italiano" [Rayuan untuk selamatkan serigala Itali]. La Stampa (dalam bahasa Itali). m/s. 35. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ Fiori, Roberto (18 Jun 2004). "Aiutatemi a salvare il Iupo italiano" [Bantu saya selamatkan serigala Itali]. La Stampa (dalam bahasa Itali). m/s. 53. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ a b "Cane lupo italiano, fu vera gloria?" [Anjing serigala Itali, kemegahan sejatikah itu?] (dalam bahasa Itali). Greenreport.it. 22 Julai 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Oktober 2022. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ a b "sull'Ente per la tutela del lupo italiano (4-00385) (risp. Zaia, ministro delle politiche agricole alimentari e forestali)" [mengenai Ente per la Tutela del Lupo Italiano (4-00385) (resp. Zaia, menteri dasar pertanian makanan dan perhutanan)] (pdf) (dalam bahasa Itali). Senat Republik Itali. 23 Oktober 2008. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ Di Blasi, Erica (2 Februari 2014). "Chi ha "scippato" il Lupo Italiano" [Siapa "rompak" serigala Itali] (dalam bahasa Itali). La Repubblica. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Non c'è stato scippo sul lupo italiano" [Tiada rompakan serigala Itali] (dalam bahasa Itali). La Repubblica. 2 Mac 2014. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ "Educazione & Addestramento" [Pendidikan dan Pelatihan] (dalam bahasa Itali). Associazione degli Affidatari Allevatori del Lupo Italiano. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ Colarusso, Gabriella (31 Julai 2007). "Il lupo italiano è un falso basta con i finanziamenti" [Serigala Itali palsu, berhenti biayainya] (dalam bahasa Itali). La Repubblica. Dicapai pada 24 Mei 2025.
- ^ Talenti, Andrea; Dreger, Dayna Lee; Frattini, Stefano; Polli, Michele; Marelli, Stefano Paolo; Harris, Alexander C.; Liotta, Luigi; Cocco, Raffaella; Hogan, Andrew N.; Bigi, Daniele; Caniglia, Romolo; Parker, Heidi G.; Pagnacco, Giulio; Ostrander, Elaine Ann; Crepaldi, Paola (14 Februari 2018). "Studies of modern Italian dog populations reveal multiple patterns for domestic breed evolution" [Kajian-kajian populasi-populasi anjing Itali moden mendedahkan berbilang pola untuk evolusi baka bela jinak]. Ecology and Evolution (dalam bahasa Inggeris). Wiley. 8 (5): 2911–2925. Bibcode:2018EcoEv...8.2911T. doi:10.1002/ece3.3842. hdl:2434/549849. ISSN 2045-7758. PMC 5838073. PMID 29531705. S2CID 3883023.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing serigala Itali |
- "Home" [Laman] (dalam bahasa Itali). Associazione degli Affidatari Allevatori del Lupo Italiano. Dicapai pada 24 Mei 2025.