| Tetsuharu Kawakami | |||
|---|---|---|---|
Tetsuharu Kawakami pada 1952 | |||
| First basemen | |||
| Dilahirkan: 23 Mac 1920 Hitoyoshi, Kumamoto, Jepun | |||
| Meninggal dunia: 28 Oktober 2013 (umur 93) Inagi, Tokyo, Jepun | |||
| |||
| Liga Besbol Jepun (JBL) debut | |||
| Musim Bunga, 1938, untuk Tokyo Kyojin | |||
| Penampilan terakhir | |||
| 1958, untuk Yomiuri Giants | |||
| Statistik JBL/Nippon Professional Baseball | |||
| Purata pukulan | .313 | ||
| Pukulan | 2,351 | ||
| Home run | 181 | ||
| RBI | 1,319 | ||
| Larian | 1,028 | ||
| Stolen base | 220 | ||
| Pasukan | |||
Pemain
Pengurus
| |||
| Kerjaya cemerlang dan anugerah | |||
Pemain
Pengurus
| |||
| Ahli Jepun | |||
| Pelantikan | 1965 | ||
Tetsuharu Kawakami (川上 哲治, Kawakami Tetsuharu, 23 Mac 1920 – 28 Oktober 2013) ialah seorang bekas pemain dan pengurus besbol Jepun yang terkenal dengan kayu pemukul merahnya serta gelaran dageki no kamisama (打撃の神様), yang bermaksud "Dewa Pukulan".
Beliau bermain secara profesional selama 18 tahun, memenangi gelaran pemukul terbaik sebanyak lima kali, dua kali juara pukulan home run, tiga kali juara larian hasil pukulan (RBI), dan enam kali mencatat jumlah pukulan terbanyak dalam satu musim. Beliau turut dinobatkan sebagai Anugerah Pemain Terbaik Japan Series pada tahun 1953. Kawakami merupakan pemain pertama dalam sejarah besbol profesional Jepun yang mencapai 2,000 pukulan dan telah memenangi Anugerah Pemain Terbaik (MVP) liga sebanyak tiga kali.[1]
Sebagai pengurus pasukan Yomiuri Giants dari tahun 1961 hingga 1974, beliau membawa pasukan itu memenangi sebelas kejuaraan, termasuk sembilan kejuaraan berturut-turut. Pasukan di bawah pimpinannya tidak pernah tewas dalam Japan Series, menjadikannya pengurus dengan jumlah kejuaraan Japan Series terbanyak dalam sejarah.
Kawakami telah dilantik ke Dewan Kemasyhuran Besbol Jepun pada tahun 1965.
Kerjaya pemain
Beliau dilahirkan di Hitoyoshi, Kumamoto, Jepun. Kawakami pernah bermain untuk Kumamoto Tech dalam kejohanan Kōshien Musim Panas 1937. Pasukannya mara ke perlawanan akhir tetapi tewas. Selepas perlawanan, Kawakami mengambil segenggam tanah dari padang Stadium Kōshien dan menyimpannya di dalam poket pakaian seragamnya sebagai kenangan. Tindakan ini kemudian dikenali sebagai asal usul tradisi “tanah Kōshien” (甲子園の土, Kōshien no tsuchi), di mana sejak itu, para pemain dari pasukan yang tewas akan membawa pulang sedikit tanah dari padang tersebut sebagai tanda kenangan atas perjuangan mereka di Kōshien.
Kawakami bermain untuk Tokyo Kyojin/Yomiuri Giants dari tahun 1938 hingga 1958, walaupun beliau tidak beraksi antara tahun 1943 hingga 1945 kerana berkhidmat dalam tentera Jepun. Beliau menandatangani kontrak dengan Giants sebagai pelempar dan penjaga tapak pertama, dan sempat bermain sebagai pelempar dalam 39 perlawanan antara 1938 hingga 1941, mencatatkan 11 kemenangan dan 9 kekalahan dengan purata larian dibenarkan (ERA) yang cemerlang iaitu 2.61. Pada tahun 1942, beliau beralih sepenuhnya menjadi pemain penjaga tapak pertama.
Pada tahun 1951, Kawakami hanya tersingkir akibat strikeout sebanyak enam kali sahaja, yang kekal sebagai rekod liga untuk satu musim. Pada 1954, beliau mencatat sejarah sebagai pemain pertama dalam francais Yomiuri Giants yang berjaya mencapai hit for the cycle (pukulan single, double, triple dan home run dalam satu perlawanan).
Kerjaya pengurus
Sebagai pengurus Yomiuri Giants dari tahun 1961 hingga 1974, Kawakami dikenali dengan gaya kepimpinan yang tegas dan berdisiplin tinggi, sering digambarkan sebagai pendekatan 'kasih sayang yang keras'. Beliau mendapat inspirasi daripada pasukan Los Angeles Dodgers, khususnya daripada panduan "The Dodgers Way to Play Baseball" oleh Al Campanis, dengan menekankan pembentukan budaya pasukan yang konsisten dari segi taktik dan posisi pemain. Antara perubahan ketara yang diperkenalkannya ialah penggunaan closer untuk menamatkan perlawanan, berbanding amalan lama yang mengekalkan pelempar utama sehingga akhir permainan.[2]
Di bawah bimbingannya, Giants memenangi sembilan kejuaraan liga berturut-turut, satu pencapaian luar biasa dalam sejarah besbol Jepun.[3][4] Sepanjang tempoh kepimpinannya, Kawakami mencatat 1,066 kemenangan, 739 kekalahan, dan 61 seri, serta memenangi 44 daripada 62 perlawanan playoff, menjadikannya rekod yang masih kekal sebagai yang terbaik dalam sejarah Yomiuri Giants.
Kawakami juga dikenali sebagai penyokong kuat dasar 'liga eksklusif Asia', menolak kemasukan pemain asing ke dalam liga Jepun pada waktu itu. Dari segi gaya permainan, beliau menekankan konsep 'besbol terkawal', dengan latihan yang ketat dan kawalan rapat terhadap pemain serta media. Akses wartawan kepada pasukan sangat terhad, dan pemain perlu mematuhi arahannya sepenuhnya. Misalnya, Isao Shibata pernah menyatakan bahawa beliau tidak pernah mencuri tapak (stolen base) kecuali diarahkan oleh Kawakami.
Kawakami sering menanamkan satu mantra kepada pemainnya; "Biarlah orang berkata apa sahaja; kita akan menjawabnya dengan keputusan apabila musim berakhir."[5]
Catatan
- ^ "Ex-Giants skipper Kawakami, 'God of Batting,' dies at 93". Kyodo News. Dicapai pada October 30, 2013.
- ^ https://japanball.com/articles-features/japanese-baseball-historical-profiles/tetsuharu-kawakami/?srsltid=AfmBOooZhx1iPK-bewtBGFC3cvxhc2fP8WVDqdJ-EEDyeGEAJDShnKAY
- ^ Whiting, Robert, "Kawakami was Japanese baseball's first Zen master", Japan Times, 27 November 2013, p. 14, retrieved 27 November 2013.
- ^ Whiting, Robert, "Kawakami's philosophy as manager never wavered", Japan Times, 28 November 2013, p. 16, retrieved 28 November 2013
- ^ "The Baseball Guru - JAPan's MOST SUCCESSFUL MANAGERS by Jim Albright".
Pautan luar
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Tetsuharu Kawakami |
- Career statistics and player information from Baseball-Reference








