Koordinat: 2°16′54″N 102°17′57″E / 2.281623°N 102.299050°E
Taman Botanikal Melaka تامن بوتانيكل ملاک | |
---|---|
![]() Laluan masuk utama ke Taman Botanikal Melaka | |
![]() | |
Jenis | Taman botanik / hutan hujan tropika[1] |
Lokasi | Ayer Keroh, Melaka |
Keluasan | 92.5 hektar[2] |
Dibangunkan | 17 April 1984 |
Dikendalikan oleh | Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya |
Status | Beroperasi |
sunting![]() |
Taman Botanikal Melaka (sebelum ini dikenali sebagai Hutan Rekreasi Ayer Keroh[3]) ialah sebuah taman rekreasi terdiri daripada kawasan hutan yang dirizabkan[4] dan taman landskap[5] yang menjadi tarikan pengunjung sebagai kawasan untuk beriadah[6]. Taman ini dihubungkan dengan laluan utama Lebuh Ayer Keroh yang mengambil masa kira-kira 5 minit perjalanan dari Plaza Tol Ayer Keroh Lebuhraya Utara-Selatan[7] dan terletak bersebelahan dengan Muzium Lebah Sedunia dan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.
Kawasan hutan yang terdapat di Taman Botanikal Melaka mengandungi beberapa spesis pokok hutan hujan tropika[6] seperti pokok Merawan siput jantan (Hopea odorata Roxb), pokok Kempas (Koompassia malaccensis), pokok Meranti tembaga (Shorea leprosula) dan pokok Mersawa merah (Anisoptera megistocarpa). Selain itu, beberapa taman mini dibangunkan dalam taman ini seperti Taman Cerita, Taman Dinosaur dan Taman Permainan Kanak-Kanak[8]. Secara keseluruhannya, terdapat lebih daripada 300 spesis flora dan fauna yang direkodkan pada tahun 2022[9].
Taman Botanikal Melaka diuruskan oleh Kerajaan Negeri Melaka melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)[10], manakala kontraktor SWM Environment dilantik sebagai kontraktor pembersihan untuk taman ini[11]. Taman ini juga menempatkan sebuah agensi kerajaan iaitu Jabatan Perhutanan Negeri Melaka yang terletak bersebelahan, selain terdapat Muzium Perhutanan yang dikendalikan jabatan ini[12]. Taman ini mula dibuka pada bulan April 1984 dengan nama Hutan Rekreasi Air Keroh dan menawarkan kemasukan secara percuma[13]. Pada bulan Jun 2006, Hutan Rekreasi Ayer Keroh dijenamakan semula kepada Taman Botanikal Melaka dan ia telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Mohd Rustam[2].
Sejarah
![](http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/3/3d/Melaka_Botanical_Garden_launch_plaque.jpg/220px-Melaka_Botanical_Garden_launch_plaque.jpg)
Hutan Rekreasi Ayer Keroh pada asalnya dibangunkan bertujuan untuk mengekalkan kawasan hutan hujan tropika di samping bertindak sebagai "paru-paru hijau" di Ayer Keroh[14]. Ianya telah dibuka secara rasmi oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rahim Thamby Chik pada 17 April 1984, manakala pengurusan hutan ini adalah di bawah Jabatan Perhutanan Melaka. Pada asalnya pembangunan hutan rekreasi ini hanya dihadkan kepada 79 hektar, namun begitu keluasannya meningkat kepada 300 hektar semasa pembukaan rasmi[13]. Beberapa haiwan dari spesis rusa merah (Cervus elaphus) telah dibawa dari Zoo Melaka bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pengunjung akan suasana kehidupan haiwan di habitat asal mereka[13].
Pada tahun 1990, Jabatan Perhutanan Melaka memulakan projek pembinaan Taman Mini Dinosaur, di mana sebanyak 18 replika dinosaur dari 15 spesis semasa era Mesozoik dibina di sekitar hutan ini[15]. Antara spesis dinosaur yang dibina termasuklah Brachiosaurus yang berukuran 126 meter tinggi, Tyrannosaurus rex dan Ankylosaurus. Kos keseluruhan projek ini menelan belanja sebanyak RM50,000 dan kontraktor yang dilantik mengambil masa selama tiga bulan untuk menyiapkan satu replika[16]. Selain itu, Jabatan Perhutanan Melaka juga membangunkan Taman Cerita yang menampilkan replika beberapa haiwan dari kisah dongeng popular seperti Kisah Sang Kancil dan Buaya serta Kisah Arnab dan Kura-Kura[16].
Lihat juga
Rujukan
- ^ Horner, Susan; Swarbrooke, John (2004). International Cases in Tourism Management. London: Taylor & Francis. m/s. 353. ISBN 978-113-6394-36-2.
- ^ a b "Melaka Botanical Garden". Tourism Melaka. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Disember 2024. Dicapai pada 18 Januari 2025.
- ^ "Botanical gardens in Malaysia". Visit Selangor. 20 Mac 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Disember 2024. Dicapai pada 22 Januari 2025.
- ^ "CM: Safari and children's theme parks coming up in Ayer Keroh". New Straits Times. 19 Ogos 2000. m/s. 11. Dicapai pada 18 Januari 2025.
- ^ "Recreational Forest and Botanical Gardens". Great Runs. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Julai 2024. Dicapai pada 18 Januari 2025.
- ^ a b Norafiqah Jamal (20 Disember 2024). "NAK 'HEALING' DI AYER KEROH? INI 5 LOKASI TERBAIK UNTUK ANDA". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Disember 2024. Dicapai pada 18 Januari 2025.
- ^ "RECREATION FOREST". Department of Forestry Malacca. 7 Julai 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Julai 2015. Dicapai pada 18 Januari 2025.
- ^ Anansa Jacob (10 September 2021). "Get back to nature". The Sun. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Julai 2024. Dicapai pada 18 Januari 2025.
- ^ KL The Guide Forty-Two Edition. Petaling Jaya: Bluedale Publishing. 2022. m/s. 110.
- ^ Farah Suhaidah Othman (21 Mac 2021). "Pengurusan hutan lipur dan rekreasi dikembalikan kepada JPNM berkuat kuasa hari ini". Melaka Hari Ini. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Mac 2024. Dicapai pada 19 Januari 2025.
- ^ "Oku Bangga Kerja Sektor Pembersihan, Sumbang Keringat Pastikan Melaka Bersih". Bernama. 16 Julai 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2024. Dicapai pada 19 Januari 2025.
- ^ "PROGRAM FOREST HIKING DAY DI TAMAN BOTANIKAL MELAKA". Jabatan Perhutanan Negeri Melaka. 18 Mac 2023. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Jun 2024. Dicapai pada 19 Januari 2025.
- ^ a b c Paul Singh (28 September 1986). "BACK TO MOTHER NATURE". New Straits Times. m/s. 11. Dicapai pada 19 Januari 2025.
- ^ Husin, Murad; Ahmad, Norhayati (2008). Spesies tumbuhan Taman Botanikal Melaka. Melaka: Perbadanan Hang Tuah Jaya. ISBN 978-983-4370-02-2.
- ^ "'Jurassic World' di Ayer Keroh". Melaka Hari Ini. 11 Jun 2023. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Jun 2023. Dicapai pada 22 Januari 2025.
- ^ a b Esther Tan (31 Oktober 1993). "Picnic with the dinosaurs". New Straits Times. m/s. 12. Dicapai pada 19 Januari 2025.
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Taman Botanikal Melaka |