| Shochiku Robins | |
|---|---|
| Maklumat | |
| Liga | Nippon Professional Baseball * Liga Pusat |
| Stadium | Stadium Besbol Shimonoseki (1950–1952) |
| 1936 | |
| Kejuaraan divisyen | 1 (1950) |
| Nama lama | Dai Tokyo (1936) Lion Baseball Club (1937–1940) Asahi Baseball Club (1941–1944) Pacific Baseball Club (1946) Taiyō Robins (1947–1949) |
| Liga dahulu | Liga Besbol Jepun (1936–1949) |
| Stadium lama | Stadium Kinugasa |
| Warna | Hijau gelap, merah |
| Pemilikan | Kokumin Shimbun (1936) Komajiro Tamura (1937–1952) |
| Pengurus | Tokuro Konishi (1936–1938, 1950, 1952) Kyouichi Nitta (1951–1952) |
Shochiku Robins (Jepun: 松竹ロビンス, rumi: Shōchiku robinsu) ialah pasukan besbol Jepun yang pernah bermain dalam Nippon Professional Baseball (NPB). Pasukan ini berasal daripada Liga Besbol Jepun, iaitu pendahulu kepada NPB, dan wujud dari tahun 1936 hingga 1953 sebelum bergabung dengan pasukan Taiyo Whales. Pada asalnya, pasukan ini berpusat di Tokyo sebelum kelab ini berpindah ke Osaka pada tahun 1941.
Sejarah
Liga Besbol Jepun
Kelab ini ditubuhkan dengan nama Dai Tokyo sebelum musim Liga Besbol Jepun (JBL) tahun 1936, dan dimiliki oleh akhbar harian Tokyo, Kokumin Shimbun. Pada tahun yang sama, pasukan ini mencipta sejarah apabila menandatangani pemain Afrika-Amerika Jimmy Bonner, iaitu 11 tahun sebelum Jackie Robinson memecahkan halangan perkauman dalam Major League Baseball (MLB).[1]
Pada musim pertamanya, Dai Tokyo merupakan pasukan paling lemah dalam liga, namun menunjukkan peningkatan pada musim bunga 1937.
Pada 31 Ogos 1937, ketika musim gugur masih berlangsung, pasukan ini menukar namanya kepada Lion Baseball Club selepas diambil alih oleh Komajiro Tamura, dengan penajaan daripada Lion Toothpaste.
Menjelang akhir musim 1940, Liga Besbol Jepun melarang penggunaan nama gelaran dalam bahasa Inggeris akibat ketegangan yang meningkat dengan negara-negara Barat. Namun begitu, pemilik Tamura enggan menukar nama pasukan, dengan alasan bahawa perkataan 'Lion' ialah Jepun. Hakikatnya, beliau mahu menghormati kontrak penajaan bersama Lion Corporation. Pasukan ini menamatkan musim tersebut dengan nama Lion, di tempat terakhir, 50 perlawanan di belakang Tokyo Kyojin.
Pada tahun 1941, pasukan ini berpindah dari Tokyo ke Osaka dan memperoleh penajaan baharu daripada Asahi Shimbun. Dari tahun 1941 hingga 1944, pasukan ini dikenali sebagai Asahi Baseball Club. Pada tahun 1943, pasukan ini mencatat musim kemenangan pertamanya dengan rekod 41 kemenangan, 36 kekalahan, dan 7 seri.
Selepas Liga Besbol Jepun disambung semula pada tahun 1946 (selepas Perang Dunia Kedua), pasukan ini menukar namanya kepada Pacific Baseball Club, yang juga dikenali dengan nama panggilan Taihei, bermaksud “keamanan”. Pada masa yang sama, pemilik pasukan Komajiro Tamura menubuhkan satu lagi francais baharu, Gold Star, yang menandatangani ramai bekas pemain Asahi serta bekas pengurus mereka, Michinori Tubouchi.[citation needed]
Bagi melengkapkan senarai pemainnya, Pacific menandatangani Victor Starffin, bekas pelempar terkenal dari Tokyo Kyojin/Yomiuri Giants, bersama beberapa pemain ternama lain. Namun begitu, tindakan ini mencetuskan konflik besar sehingga pasukan Pacific terpaksa menyerah kalah dalam empat perlawanan pada musim tersebut. Salah seorang pemain tempatan yang menonjol ialah Juzo Sanada (kemudian dikenali sebagai Shigeo Sanada), seorang pelempar merangkap pemadang dalam secara sambilan yang akhirnya menjadi pemenang 20 perlawanan sebanyak empat kali serta ahli Dewan Kemasyhuran Besbol Jepun.
Selepas musim 1946, nama gelaran berbahasa Inggeris dibenarkan semula dalam besbol Jepun, dan pasukan ini menukar namanya kepada Taiyo Robins. Pasukan ini masih dimiliki oleh Komajiro Tamura. Nama 'Taiyo' diambil daripada kedai fabrik milik Tamura, Taiyo Rayon, manakala 'Robins' berasal daripada nama panggilan peribadinya, “Koma” (bermaksud burung robin dalam bahasa Jepun). Huruf kanji bagi “Taiyo” (太陽) membawa maksud 'matahari', dan untuk satu tempoh yang agak mengelirukan, pasukan ini menggunakan tulisan 'Suns' pada jersi di gelanggang lawan dan 'Robins' pada jersi gelanggang sendiri.
Victor Starffin meninggalkan pasukan selepas musim 1947, dan walaupun pelbagai perubahan nama dilakukan, prestasi pasukan tetap tidak bertambah baik. Liga Besbol Jepun kemudiannya menjalani penyusunan semula selepas musim 1949, dan francais ini menamatkan penyertaannya dalam Liga Besbol Jepun dengan rekod kekalahan setiap musim kecuali pada tahun 1943.
Nippon Professional Baseball
Pada tahun 1950, apabila Liga Besbol Jepun (JBL) disusun semula menjadi Nippon Professional Baseball (NPB), pasukan Robins menyertai Liga Pusat NPB. Sebahagian saham pasukan dijual kepada Shochiku Corporation, dan pasukan itu dinamakan semula sebagai Shochiku Robins.
Secara mengejutkan, pada tahun tersebut, pasukan ubu mencatat peningkatan mendadak dengan 46 kemenangan lebih banyak daripada musim sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan 98 kemenangan serta menamatkan musim di tempat pertama dalam divisyen mereka. Dipimpin oleh Makoto Kozuru, seorang penerima Anugerah Pemain Terbaik (MVP) liga dengan 51 home run dan 163 larian hasil pukulan (RBI), satu rekod liga yang masih kekal hingga kini, serta Shigeo Sanada dengan 39 kemenangan, Robins mara ke Japan Series buat kali pertama dalam sejarah. Namun begitu, mereka tewas kepada Mainichi Orions dengan keputusan 4–2.
Selepas musim 1951 yang sederhana, pasukan ini mengalami kemerosotan pada tahun 1952 dengan 84 kekalahan. Pihak liga memutuskan bahawa mana-mana pasukan dalam Liga Pusat yang menamatkan musim dengan peratus kemenangan di bawah .300 perlu dibubarkan atau digabungkan dengan pasukan lain. Robins tergolong dalam kategori tersebut, lalu digabungkan dengan Taiyo Whales pada Januari 1953, membentuk pasukan baharu bernama Taiyo Shochiku Robins. Francais hasil gabungan ini kemudiannya berkembang dan kini dikenali sebagai Yokohama DeNA BayStars.
Rekod prestasi liga
Rekod Liga Besbol Jepun
| Tahun | Nama pasukan | Menang | Kalah | Seri | Peratus menang/kalah | Kedudukan | Baki perlawanan |
|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 1936 (musim bunga) | Dai Tokyo | 0 | 13 | 1 | .000 | 7 | N.A. |
| 1936 (musim luruh) | 5 | 21 | 2 | .192 | 7 | 17 | |
| 1937 (musim bunga) | 21 | 31 | 4 | .404 | 6 | 19 | |
| 1937 (musim luruh) | Lion | 19 | 29 | 1 | .396 | 6 | 20 |
| 1938 (musim bunga) | 9 | 26 | 0 | .257 | 8 | 20 | |
| 1938 (musim luruh) | 19 | 20 | 1 | .487 | 6 | 11 | |
| 1939 | 33 | 58 | 5 | .363 | 8 | 32.5 | |
| 1940 | 24 | 76 | 4 | .240 | 9 | 50 | |
| 1941 | Asahi | 29 | 59 | 1 | .298 | 8 | 37 |
| 1942 | 49 | 50 | 4 | .495 | 4 | 23.5 | |
| 1943 | 41 | 36 | 7 | .532 | 3 | 11 | |
| 1944 | 12 | 22 | 1 | .353 | 5 | 15.5 | |
| 1946 | Pacific | 42 | 60 | 3 | .412 | 8 | 21.5 |
| 1947 | Taiyō Robins | 50 | 64 | 5 | .439 | 8 | 28 |
| 1948 | 61 | 74 | 5 | .452 | 6 | 25.5 | |
| 1949 | 52 | 81 | 0 | .391 | 8 | 33 |
Rekod Nippon Professional Baseball
| Tahun | Nama pasukan | Menang | Kalah | Seri | Peratus menang/kalah | Kedudukan | Baki perlawanan |
|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 1950 | Shochiku Robins | 98 | 35 | 4 | .737 | 1 | -- |
| 1951 | 53 | 57 | 5 | .482 | 4 | 27 | |
| 1952 | 34 | 84 | 2 | .288 | 7 | 48 |
Catatan
- ^ Thomas, Dexter. "Japan's First Black Baseball Player: Eleven Years Before Jackie Robinson, Tokyo Signed a Black Ace Pitcher," Medium "Culture Club" (Oct. 7, 2014).








