Rencana ini mungkin boleh dikembangkan melalui teks yang diterjemah daripada rencana yang sepadan dalam Wikipedia Bahasa Jepun. (Februari 2024)
Klik [tunjuk] pada sebelah kanan untuk melihat maklumat penting sebelum menterjemahkan.
|
Tahun Baru Jepun | |
---|---|
Official name | Shougatsu (正月) |
Observed by | Jepun |
Type | Kebudayaan |
Date | 1 Januari |
Related to | Omisoka Hari Tahun Baru |
Masyarakat Jepun menyambut perayaan tahun baru mereka yakni Tahun Baru Jepun (正月 , shōgatsu) pada setiap 1 Januari. Asalnya, tarikh ini diadakan mengikut takwim Tempō berasaskan kalendar lunisolar Cina dan disambut pada awal musim bunga, serentak dengan Tahun Baru Cina, Korea dan Vietnam sehingga hari ini. Pada tahun 1873, lima tahun selepas Pemulihan Meiji, Jepun menerima pakai takwim Gregorius, maka hari pertama bulan Januari dijadikan Hari Tahun Baru rasmi di Jepun zaman sekarang.[2] Tahun baru yang lama yang berdasarkan kalendar qamari itu kini dikenali sebagai Tahun Baru Lama (旧正月 kyūshōgatsu). Sambutan Tahun Baru dihargai masyarakat Jepun sebagai salah satu perayaan terpenting yang disambut dengan dipenuhi adat yang unik sejak berabad-abad lamanya.
Poskad
Waktu penghujung bulan Disember dan awal bulan Januari merupakan musim paling sibuk bagi pejabat pos di Jepun. Masyarakat Jepun mengamalkan adat menghantar poskad tahun baru (年賀状 , nengajō) kepada sanak-saudara, serupa dengan masyarakat Malaysia yang saling mengirim kad Hari Raya Aidilfitri. Tujuan asalnya adalah untuk pengirim sekeluarga bertanya khabar kepada sanak-saudara yang berjauhan. Justeru, adat ini wujud kerana terdapatnya orang yang hendak membalas salam sejahtera kenalan yang mereka tidak selalu berjumpaan.
Masyarakat Jepun menghantar poskad ini agar sempat disampaikan pada 1 Januari. Pihak perkhidmatan pos menjamin agar poskad ucapan sempat dihantar pada 1 Januari jika dikirim dalam batas masa tertentu, iaitu sekitar pertengahan bulan Disember, serta ditandai kata-kata nengajo. Untuk mengirim kad-kad tersebut tepat pada masanya, pejabat pos biasanya mengupah golongan pelajar secara sambilan untuk membantu menghantar poskad.
Mengikut adat, poskad ini tidak wajar dikirim jika terjadinya kematian dalam keluarga sepanjang tahun yang berlalu. Oleh itu, sepucuk poskad yang ringkas dihantar untuk memesan sanak-saudara agar tidak menghantar poskad tahun baru yang ceria, sebagai tanda hormat kepada yang meninggal.
Poskad Tahun Baru boleh dijumpai di mana-mana sahaja. Contohnya, kedai alat tulis menjual kad tercetak. Kebanyakan poskad ini berhiaskan bintang zodiak Cina bagi tahun baru dan ucapan tahun baru. Zodiak Cina terdiri daripada kitaran 12 tahun, setiap tahun diwakili sejenis haiwan, mengikut urutan berikut: tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, biri-biri, monyet, ayam, anjing, dan babi hutan. Misalnya, 2006 ialah tahun anjing, 2007 ialah tahun babi, 2008 ialah tahun tikus, dan 2009 pula tahun lembu. Watak haiwan kartun juga dijadikan hiasan bersesuaian dengan bintang zodiak yang disambut. Contohnya, kad tahun baru 2006 dihiasi watak anjing seperti Snoopy, manakala kad ucapan 2008 pula diserikan watak Mickey Mouse dan Minnie Mouse.
Poskad ini disertakan ruang kosong untuk pengirim menulis pesanan peribadi. Ada juga kad kosong untuk membolehkan penggunanya mereka kad sendiri. Cap getah yang beralaskan ucapan dan haiwan tahunan dijual di kedai, dan juga ramai yang membeli berus dakwat untuk menulis ucapan peribadi. Alat cetakan khas juga popular, khususnya di kalangan tukang kraf. Perisian komputer juga membolehkan artis mereka poskad sendiri dan mencetaknya dengan menggunakan mesin cetak berwarna. Seseorang yang ramai kawan pasti terpaksa menulis berlebihan, maka kedai cetak menawarkan beraneka poskad contoh yang berhiaskan ucapan pendek agar pengirim cuma menulis alamatnya. Walaupun menghadapi kebangkitan emel, namun nengajō tetap laris di Jepun.
Antara ucapan yang terdapat pada nengajō termasuk:
- kotoshi mo yoroshiku o-negai-shimasu (今年もよろしくお願いします ) Semoga kita bersama lagi di tahun akan datang
- (shinnen) akemashite o-medetō-gozaimasu ((新年)あけましておめでとうございます ) Semoga bergembira di ambang (Tahun Baru)
- kinga shinnen (謹賀新年 ) Selamat Tahun Baru
- shoshun (初春 ) "awal musim bunga"
Makanan tradisi
Osechi
Masyarakat Jepun menjamu hidangan khusus sempena Tahun Baru yang bergelar osechi-ryōri (御節料理 atau お節料理 ), ataupun osechi. Sup ozōni (お雑煮 ) kegemaran ramai terdiri daripada miso, rumpai laut rebus (昆布 , konbu), kuih ikan (蒲鉾 , kamaboko), ubi keledek lecek dengan buah berangan (栗きんとん , kurikinton), akar burdock reneh (金平牛蒡 , kinpira gobo), dan kacang soya hitam manis (黒豆 , kuromame). Kebanyakan hidangan ini berasa manis, masam, atau kering, agar tahan lama tanpa memerlukan penyejukan; tradisi masakan ini diamalkan sejak zaman tanpa bekalan elektrik lagi, ketika kebanyakan kedai ditutup sempena perayaan. Terdapat bermacam-macam jenis osechi, dan sesetengah makanan di suatu rantau tidak dimakan di tempat lain (ataupun dilarang) pada hari Tahun Baru. Kini, sashimi dan sushi turut selalu dijamu di samping makanan bukan Jepun. Untuk melegakan perut, bubur tujuh herba (七草粥 , nanakusa-gayu) dijamukan pada 7 Januari, yang disambut sebagai jinjitsu (人日 ).
Mochi
Satu lagi adat tahun baru Jepun ialah pembuatan kuih pulut (餅 , mochi). Pulut (餅米 , mochigome) dikukus, lalu dimasukkan dalam bekas kayu berbentuk timba lalu ditepuk dengan air oleh seorang sementara seorang lagi memukulnya dengan tukul kayu. Pulut tersebut dilecek-lecek sampai menjadi ladu putih yang melekit. Mochi dibuat sebelum hari Tahun Baru dan dimakan pada awal Januari.
Mochi juga dijadikan hiasan Tahun Baru bergelar kagami mochi (鏡餅 ) yang dibentuk daripada dua biji kuih mochi bulat yang beralaskan limau pahit (橙 , daidai) di atas. Nama daidai dipercayai bertuah kerana sama bunyinya dengan "turun-temurun."
Oleh sebab mochi amat melekit, terjadinya kematian akibat tercekik ketika sambutan Tahun Baru di Jepun, khususnya di kalangan warga emas.
Otoshidama
Pada hari tahun baru, masyarakat Jepun mengamalkan adat memberikan wang kepada anak-anak yang dikenali sebagai otoshidama (お年玉 ). Wang hadiah ini disampaikan dalam sampul kecil bergelar 'pochibukuro,' serupa dengan angpau Cina. Ketika zaman Edo, gedung besar dan keluarga kaya mengedarkan karung mochi dan limau mandarin untuk menyebarkan kebahagiaan ke merata tempat. Jumlah wang yang diberikan bergantung pada usia anak itu tetapi sama-rata jika adanya lebih dari seorang anak agar tiada sesiapa yang berasa tersisih.
Puisi
Tradisi Tahun Baru juga menyentuh bidang puisi Jepun, termasuklah haiku dan renga, khususnya puisi haiku dalam bentuk kigo (季語 , kata musim). Ada juga haiku yang menyanjung apa-apa yang "pertama" di tahun baru, seperti "mentari pertama" (初日 , hatsuhi) "matahari terbit pertama" (初日の出 , hatsuhinode), "senyuman pertama" (笑い初め , waraizome, memulakan Tahun Baru dengan senyuman adalah alamat bertuah), dan "mimpi pertama" (初夢 , hatsuyume). Oleh sebab sambutan Tahun Baru asalnya lebih lewat berbanding tarikh sekarang, permulaan musim bunga juga disebutkan.
Pada poskad tahun baru, haiku juga boleh bertulis "surat pertama" (初便り , hatsudayori, pertukaran surat yang terawal), "khat pertama" (書初め , kakizome), dan "tulisan pertama" (筆初め , fude hajime).
Permainan
Permainan tradisi juga dijadikan adat resam tahun baru, termasuklah hanetsuki (羽根突き , bulu tangkis), takoage (凧揚げ , layang-layang), koma (独楽 , gasing), sugoroku (双六 , permainan papan), fukuwarai (福笑い , pemain yang ditutup mata cuba meletakkan anggota muka seperti mata, hidung dan mulut pada muka kertas), karuta (かるた , permainan kad), dan lain-lain lagi.
Hiburan
Rancangan nyanyian Kōhaku Uta Gassen (紅白歌合戦 ) yang disiarkan rangkaian NHK menjadi pilihan ramai pada malam Tahun Baru, yang mempersaksikan artis pop ternama yang terbahagi kepada dua pasukan berentap untuk memperagakan kehebatan bakat mereka.
Lihat juga
Rujukan
- ^ Medhurst, Richard (2019-04-29). "Picture This: A List of Japanese Emoji". nippon.com (dalam bahasa Inggeris). Nippon Communications Foundation. Dicapai pada 2024-02-19.
- ^ "Calendar History 2". National Diet Library. Dicapai pada 2024-02-19.