Wikipedia merupakan sebuah projek untuk menghasilkan ensiklopedia kandungan bebas yang boleh disunting oleh sesiapa jua. Dimulakan secara rasmi pada 15 Januari 2001 sebagai pelengkap untuk Nupedia, sebuah projek yang serupa tetapi ditulis oleh pakar-pakar, Wikipedia telah bertumbuh dengan begitu pesat sehingga menjadi sebuah projek sejagat dan menyebabkan penamatan Nupedia. Pada tahun 2006, Wikipedia mengandungi berjuta-juta rencana dan halaman yang disumbang oleh beratus-ratus ribu penyumbang dari seluruh dunia.
Anteseden
Konsep untuk mengumpulkan kesemua pengetahuan dunia dalam satu tempat tunggal boleh disusul kembali asal usulnya ke Perpustakaan Alexandria kuno dan Pergamon, tetapi konsep moden untuk ensiklopedia serba guna yang bercetak dan disebar luas, wujud sejak tidak lama sebelum Denis Diderot dan ahli-ahli ensiklopedia abad ke-18. Gagasan untuk menggunakan jentera automatik yang lebih canggih berbanding mesin cetak untuk membina sebuah ensiklopedia yang lebih berguna dapat disusul kembali ke cerpen H. G. Wells yang bertajuk "Otak Dunia" serta Memex yang merupakan wawasan masa depan berdasarkan mikrofilem dalam "Sebagaimana dengan Kami Dapat Berfikir" ("As We May Think") (1945) oleh Vannevar Bush. Satu lagi peristiwa penting ialah "Projek Xanadu" oleh Ted Nelson pada tahun 1960.
Dengan perkembangan Internet, ramai orang telah mencuba memperkembangkan projek-projek ensiklopedia internet. Richard Stallman, seorang ahli perisian bebas, menggambarkan kebergunaan "Ensiklopedia Sejagat Bebas dan Sumber Pembelajaran" pada tahun 1999. Beliau mengatakan bahawa penubuhan Wikipedia adalah suatu "berita yang menguja", dan Yayasan Perisian Bebas menggalakkan orang-orang "untuk mengunjungi dan menyumbang kepada tapak itu". Interpedia yang merupakan satu pendahulu yang gagal telah dikaitkan secara konsepsi kepada Wikipedia oleh Robert McHenry.
Perumusan gagasan
Wikipedia telah diasaskan sebagai sebuah projek pembekal untuk Nupedia, sebuah ensiklopedia bebas (tidak wujud lagi) yang diasaskan oleh Jimmy Wales. Nupedia mempunyai proses penilaian setara yang terdiri daripada beberapa peringkat yang terperinci, dan memerlukan penyumbang-penyumbang yang berkelayakan tinggi. Penulisan rencananya amat lambat pada sepanjang tahun 2000 yang merupakan tahun pertamanya dalam talian, walaupun ia mempunyai sebuah senarai mel untuk penyunting-penyunting yang berminat serta seorang ketua penyunting sepenuh masa (Larry Sanger).
Semasa tahun pertama Nupedia, Wales dan Sanger membincangkan pelbagai cara untuk menambahkan Nupedia dengan sebuah projek pelengkap yang lebih terbuka. Jeremy Rosenfeld, seorang kakitangan Bomis, memperkenalkan konsep wiki kepada Wales. Secara berasingan, Ben Kovitz, seorang pengatur cara komputer dan pengguna tetap untuk wiki WikiWikiWeb yang dimiliki oleh Ward Cunningham, memperkenalkan Sanger kepada wiki sewaktu bersama-sama untuk makan malam pada 2 Januari 2001. Sanger menganggap bahawa wiki adalah wadah yang baik, dan mencadangkan penggunaan UseModWiki (versi 0.90 pada saat itu) untuk Nupedia. Wales menubuhkannya dalam talian pada 10 Januari.
Permulaan projek baru
Nupedia menghadapi banyak tentangan daripada penyunting-penyunting dan pengulas-pengulasnya terhadap gagasan untuk mengaitkan Nupedia kepada tapak web bergaya wiki. Oleh itu, Sanger menyarankan pemberian nama tersendiri untuk projek yang baru itu, dan Wikipedia dilancarkan dalam wikipedia.com, iaitu domain tersendiri, pada 15 Januari. Kini, hari ini dikenali sebagai "Hari Wikipedia" oleh ahli-ahli komuniti.
Lebar jalur dan pelayan (yang ditempatkan di San Diego) yang digunakan untuk projek ini diderma oleh Bomis. Ramai kakitangan Bomis, bekas dan sekarang, juga menyumbang kandungan kepada ensiklopedia ini, khususnya Tim Shell, pengasas bersama serta Ketua Pegawai Eksekutif terkini untuk Bomis, dan Jason Richey, pengatur caranya.
Penyuntingan-penyuntingan pertama yang dibuat dalam Wikipedia dianggap sebagai penyuntingan ujian oleh Wales. Rencana tertua, yang bertajuk UuU dan yang didokumenkan di Wikipedia: Rencana tertua Wikipedia ialah rencana yang dicipta oleh pengguna Eiffel.demon.co.uk pada 16 Januari 2001, waktu 21:08 UTC, iaitu hari kedua selepas Wikipedia dimulakan.
Wikipedia menerima ramai penyerta selepas ia disebutkan tiga kali dalam tapak web, Slashdot — dua sebutan kecil pada 5 Mac dan 29 Mac 2001, dan kemudiannya satu petunjuk yang paling menonjolkan ke sebuah cerita dalam Kuro5hin; Kuro5hin ialah sebuah tapak web teknologi dan kebudayaan yang disunting oleh komuniti. Selain daripada pemasukan pengguna-pengguna baru yang agak pesat, terdapatnya juga pengguna-pengguna daripada sumber-sumber yang lain, khususnya Google, yang pada dirinya menghantar beratus-ratus pengunjung baru ke tapak Wikipedia setiap hari.
Projek Wikipedia mencapai 1,000 buah rencana pada kira-kira 12 Februari 2001, dan 10,000 buah rencana pada kira-kira 7 September dalam tahun itu. Pada tahun pertamanya, melebihi 20,000 kemasukan ensiklopedia telah dicipta — kadarnya sebanyak 1,500 buah rencana setiap bulan. Pada 30 Ogos, 2002, bilangan rencananya mencapai 40,000. Kadar pertumbuhan semakin bertambah sejak permulaan projek ini, kecuali beberapa keperlahanan yang disebabkan oleh perisian atau perkakasan komputer.
Perkembangan antarabangsa
Perkembangan antara untuk projek Wikipedia terjadi pada tempoh yang sama. Pada Mei 2001, gelombang pertama untuk Wikipedia-Wikipedia bukan bahasa Inggeris dilancarkan:
- bahasa Belanda
- bahasa Catalonia
- bahasa Cina
- bahasa Esperanto
- bahasa Ibrani (Hebrew)
- bahasa Itali
- bahasa Jepun
- bahasa Jerman
- bahasa Perancis
- bahasa Portugis
- bahasa Rusia
- bahasa Sepanyol
- bahasa Sweden.
Bahasa-bahasa itu diikuti oleh bahasa Arab dan bahasa Hungary.[1], [2] Pada September 2001, satu lagi komitmen terhadap peruntukan untuk bahasa berbilang Wikipedia dibuat. Pada akhir tahun itu, sewaktu statistik antarabangsa bermula dicatat, versi bahasa Afrika Selatan, Norway, serta Serbo-Croatia diumumkan.[3]
Pemasukan ke Tanah Besar China
Republik Rakyat China dan Pembekal Perkhidmatan Internetnya telah mengamalkan penyekatan untuk tapak-tapak internet yang menimbulkan perbalahan di negara itu. Tapak-tapak Wikimedia telah disekat sekurang-kurang tiga kali sejak permulaannya pada tahun 2001.
Penyekatan pertama berlangsung dari 2 Jun sehingga 21 Jun 2004 supaya berbetulan dengan hari ulang tahun ke-15 Bantahan-bantahan Medan Tiananmen pada tahun 1989. Penyekatan ini mungkin berkait dengan sebuah rencana daripada Perkhidmatan Berita IDG Diarkibkan 2006-02-09 di Wayback Machine pada 31 Mei yang membincangkan pengolahan Wikipedia bahasa Cina terhadap bantahan-bantahan tersebut. Wikipedia bahasa Cina juga mempunyai rencana-rencana mengenai kemerdekaan Taiwan yang ditulis oleh penyumbang-penyumbang dari Taiwan dan tempat-tempat yang lain. Beberapa hari selepas permulaan penyekatan Wikipedia bahasa Cina di Beijing, kesemua tapak Wikimedia disekat dalam tanah besar China. Sebagai gerak balasan terhadap sekatan-sekatan itu, dua orang penyelia menyediakan rayuan untuk memansuhkan penyekatan itu dan meminta Pembekal Perkhidmatan Internet wilayah mereka untuk menyerahnya. Kesemua tapak Wikimedia dinyah sekat antara 17 Jun dan 21 Jun 2004. Penyekatan yang pertama itu amat menjejaskan semangat Wikipedia bahasa Cina yang mengalami penurunan pelbagai petunjuk, seperti bilangan pengguna baru, bilangan rencana baru, serta bilangan penyuntingan. Dalam beberapa kes, ia mengambil masa daripada enam hingga dua belas bulan untuk memulih ke peringkat Mei 2004.
Penyekatan kedua yang tidak sebegitu serius berlangsung dari 23 September sehingga 27 Sepetember 2004. Dalam tempoh empat hari itu, capaian Wikipedia tidak menentu ataupun langsung tidak ada bagi sebilangan pengguna di tanah besar China; bagaimanapun, penyekatan itu tidak menyeluruh dan tidak menjejaskan sebilangan pengguna di tanah besar itu. Alasan yang sebenarnya tidak diketahui, tetapi ia mungkin dikaitkan kepada sistem papan buletin Yi Ta Hu Tu yang popular. Sistem papan buletin ini yang berasal dari Universiti Beijing telah ditutup beberapa minggu dahulu kerana mengendalikan perbincangan-perbincangan politik yang terang-terangan radikal. Pelarian-pelarian dari sana datang beramai-ramai ke Wikipedia bahasa Cina. Ahli-ahli Wikipedia bahasa Cina sekali lagi menyediakan rayuan bertulis kepada Pembekal Perkhidmatan Internet mereka, tetapi sekatan telah dimansuhkan sebelum rayuan itu dapat dikirim; alasan-alasan untuk pemansuhan sekatan juga tidak diketahui.
Sekatan ketiga bermula pada 19 Oktober 2005, dan sekali lagi, tiadanya petunjuk sama ada sekatan itu adalah untuk sementara ataupun kekal. Alasan untukny juga tidak diketahui. Menurut Halaman Kedudukan yang kini dipeliharakan oleh Wikipedia bahasa Cina, pelayan-pelayan di Florida dan Korea telah disekat, sedangkan pelayan-pelayan di Paris dan Amsterdam tidak. Berdozen-dozen penyunting dari seluruh tanah besar China telah melaporkan bahawa mereka cuma dapat mencapai Wikipedia melalui pelayan proksi.
Peristiwa Seigenthaler
Pada 29 November 2005, John Seigenthaler Sr. menulis sebuah rencana dalam surat khabar USA Today untuk mengkritikkan biografi yang telah ditulis mengenainya di Wikipedia. Versi-versi awal untuk pemasukan Wikipedia ini dari Mei hingga September 2005 mengandungi kenyataan-kenyataan yang salah mengenai Seigenthaler. Matlumat ini juga dipaparkan dalam Reference.com dan Answers.com yang merupakan tapak-tapak sindiket Wikipedia. Khususnya, Seigenthaler membantah terhadap kenyataan berikut yang ditulis oleh seorang pengguna Wikipedia tanpa nama, dan mengatakan bahawa kenyataan itu merupakan satu percubaan dalam internet yang disengajakan untuk merosakkan nama baiknya:
- "Untuk masa yang singkat, [Seigenthaler] dianggap terlibat secara langsung dengan pembunuhan kedua-dua John serta adiknya, Bobby Kennedy. Tiada apa-apa pernah dibuktikan."
Seigenthaler tidak menggunakan ciri penyuntingan usaha sama untuk membetulkan kenyataan yang salah itu. Beliau berkata, "Saya minat memberitahu ramai orang bahawa Wikipedia ialah alat penyelidikan yang cacat dan tidak bertanggungjawab." Beliau juga menyamakan Wikipedia dengan gosip.
Dalam temu bual dengan pemberita CNN, pemberita itu juga menyatakan rasa bimbangnya terhadap biografinya dalam Wikipedia bahasa Inggeris yang menggambarkannya dengan cara yang beliau tidak ingin digambarkan.
Brian Chase, penulis tipu helah itu, dikesan pada Disember 2005 melalui alamat IP untuk penyuntingan 26 Mei yang menunjuk kepada sistem komputer majikannya. Beliau meletakkan jawatan dan sendiri meminta maaf daripada Seigenthaler. Perbalahan ini membawa Wikipedia ke peringkat publisiti (kebanyakannya buruk) yang tidak benar berlaku dahulu dalam saluran-saluran keluar media yang utama. Bahagian capaian halaman internet Wikipedia yang direkodkan oleh Alexa bertumbuh dua kali ganda, kurang daripada dua bulan selepas penerbitan lidah pengarang USA Today itu. Kadar ini adalah jauh melebihi kadar pertumbuhan purata untuk tahun 2005.
Daya maju untuk produk-produk Wikpedia
Terbitan Wikipedia Jerman dalam format CD-ROM dan DVD-ROM telah membantu membuktikan bahawa terdapatnya pasaran untuk produk-produk Wikimedia. Dalam tempoh sepuluh hari yang pertama, ia menjual 10,000 salinan; 8,000 daripada itu dijual melalui Amazon.de. Penjualan produk itu yang diterbitkan oleh Directmedia Publishing GmbH dari Berlin pastinya dibantu oleh harga yang murah sebanyak €9.90 (RM44.18) untuk produk itu.
Directmedia juga mengumumkan rancangan untuk mencetak seluruh Wikipedia bahasa Jerman dalam 100 jilid yang terdiri daripada 800 halaman setiap jilid. Penerbitan itu telah dijadualkan berlangsung dari Oktober 2006 sehingga 2010. Bagaimanapun pada Mac 2006, projek ini telah dibatalkan.
Kajian perbandingan pertama untuk rencana sains
Pada 14 Disember 2005, jurnal sains, Nature, menerbitkan keputusan untuk kajian perbandingannya antara Ensiklopedia Britannica dan Wikipedia. Kajian perbandingan yang pertama ini mengenai Wikipedia dilaksanakan oleh pakar-pakar sains dalam bidang masing-masing. Mereka diberikan rencana-rencana mengenai perkara yang sama, satu daripada Britannica, dan satu lagi daripada Wikipedia. Ahli-ahli sainsnya tidak diberitahu tentang sumbernya, dan diminta mencari kesilapan-kesilapan fakta, ketidakmasukan yang penting, serta kenyataan-kenyaatan yang mengelabui. Selepas memeriksa 42 buah rencana dalam kedua-dua ensiklopedia, Nature memperoleh keputusan yang berikut:
- Britannica: 123 kesilapan, iaitu 2.92 kesilapan pada puratanya bagi setiap rencana.
- Wikipedia: 162 kesilapan, iaitu 3.86 kesilapan pada puratanya bagi setiap rencana.
Data itu menunjukkan bahawa, sekurang-kurangnya untuk perkara sains, ketepatan Wikipedia adalah lebih kurang sama dengan ensiklopedia-ensiklopedia moden yang lain. Bagaimanapun, sebilangan daripada rencana-rencana Wikipedia didapati tidak begitu teratur serta mengelirukan. Pada Mac 2006, Britannica mengkritikkan kajian itu kerana dianggap tidak tepat, dan menyatakan:
- "Hampir semua mengenai penyelidikan jurnal itu, dari kriteria untuk mengenalpastikan ketidaktepatan hingga percanggahan antara teks rencana dengan tajuk bahagiannya adalah salah dan mengelabui."
Garis masa
- PERHATIAN: Jika bahasa Wikipedia tidak ditetapkan, ia bermakna Wikipedia bahasa Inggeris.
2002
- Januari: Larry Sanger ditamatkan sebagai ketua penyunting Nupedia.
- Februari: Kebanyakan daripada peserta-peserta keluar daripada Wikipedia bahasa Sepanyol untuk membentukkan Enciclopedia Libre.
- Mac: Oleh kerana tabung telah kosong, Sanger meletakkan jawatannya untuk kedua-dua projek, iaitu Nupedia serta Wikipedia, kerana tidak dibayar untuk kerjanya.
- 4 April: Prosa Bijak (Brilliant Prose) untuk Wikipedia bahasa Inggeris, kini digelarkan Wikipedia:Rencana Pilihan, dialih dari ruang nama utama ke ruang nama Wikipedia. Pada waktu itu, pemilihan Rencana Pilihan adalah secara tidak rasmi. "Proses Pencalonan Rencana Pilihan" masih belum dimulakan sehingga beberapa tahun kemudian.
- Ogos: Tidak lama selepas Jimbo Wales mengumumkan bahawa pengiklanan komersil tidak akan dibenarkan dalam Wikipedia, URL ditukarkan daripada wikipedia.com ke wikipedia.org (sila lihat: .com and .org).
- Musim panas: Persoalan polisi dan gaya Wikipedia bahasa Inggeris diterangkan melalui penciptaan Wikipedia:Manual Gaya Penulisan Utama, bersama-sama dengan polisi dan garis panduan yang lain.
- Oktober: Derek Ramsey ("Ram-Man") memulakan "bot" (sejenis atur cara) untuk menambahkan sejumlah bilangan rencana yang besar mengenai bandar-bandar Amerika Syarikat dalam Wikipedia bahasa Inggeris; bot yang serupa pernah digunakan sekali sekala untuk topik-topik yang lain. Secara amnya, rencana-rencana dialu-alukan, tetapi sebilangan pengguna mengkritiknya kerana kesamaan dan gaya penulisan mesin (untuk contoh, sila lihat versi ini bagi rencana bandar).
- Disember: Wiktionary, sebuah projek kembar yang sulung untuk Wikipedia bahasa Inggeris, dicipta. Menggunakan perisian yang sama dengan Wikipedia, ia bertujuan untuk menghasilkan sebuah kamus dan tesaurus dalam pelbagai bahasa.
2003
- Januari: Imran W. Smith meminta Wikipedia bahasa Melayu dibuka. [1], [2] Sokongan untuk formula matematik dalam TeX ditambah untuk Wikipedia bahasa Inggeris; kod itu disumbang oleh Tomasz Wegrzanowski.
- 22 Januari: Capaian untuk Wikipedia bahasa Inggeris mengalami jejasan selepas portal itu mencapai 100,000 rencana. Dua hari kemudian, Wikipedia bahasa Jerman, yang merupakan Wikipedia bukan bahasa Inggeris yang terbesar, mencapai 10,000 rencana.
- 20 Jun: Yayasan Wikimedia ditubuhkan. Pada hari yang sama, "Wikiquote" dicipta. Sebulan kemudian, "Wikibooks" dilancarkan.
- kira-kira 15 Oktober: Logo Wikipedia terkini digunakan. Konsep logo ini dipilih melalui proses pengundian, diikuti oleh proses penyemakan untuk memilih kelainan yang terbaik. Pilihan yang terakhir dicipta oleh David Friedland, berdasarkan konsep dan reka bentuk logo yang dicipta oleh Paul Stansifer.
- 28 Oktober: Pertemuan pertama untuk ahli-ahli Wikipedia diadakan di Munich, diikuti oleh banyak bandar raya yang lain. Kemudian, pertemuan-pertemuan Wikipedia kerap diadakan di seluruh dunia. Banyak komuniti internet, termasuk LiveJournal yang merupakan salah satu daripada log web ("blog") yang popular, dicipta.
- 6 Disember: Penyelia Wikipedia dapat menukarkan teks untuk antara muka melalui Wikipedia:Nama ruang MediaWiki
2004
- Januari: Wikipedia bahasa Inggeris mencapai 200,000 rencana.
- Februari: Wikipedia mencapai 500,000 rencana untuk semua bahasa pada keseluruhannya. Reka letak terselaras yang baru untuk Laman Utama Wikipedia bahasa Inggeris dicipta.
- 25 Februari: Penyenaraian rencana-rencana gambaran keseluruhan digantikan dengan satu pautan ke Templat:WikipediaTOC. "Rencana Pilihan Harian", "Ulang Tahun", "Dalam Berita", dan "Tahukah Anda?" dimasukkan secara insani dalam Laman Utama untuk melengkapkan gaya yang baru.
- 26 Februari: User:maveric149 (Daniel Mayer) melaksanakan pemasukan automatik dari arkib untuk Wikipedia:Hari Ulang Tahun Pilihan yang ditonjolkan dalam Laman Utama Wikipedia bahasa Inggeris. Ciri ini dapat mengemaskini Laman Utamanya setiap hari secara automatik.
- 29 Mei: Kesemua Wikiprojek dikemaskini supaya menggunakan versi MediaWiki yang baru.
- 30 Mei: Pengkategorian dalam Wikipedia bahasa Inggeris dimulakan: Kategori:Matematik dan Kategori:Perang Dunia II. Skim Kategori, seperti "Perubahan Terkini", telah wujud sejak permulaan Wikipedia. Bagaimanapun, Larry Sanger telah menganggap Skim-skim ini sebagai senarai, dan memasukkan rencana-rencana dalamnya secara insani. Usaha pengkategorian menumpukan kepada pemasukan setiap rencana dalam ensiklopedia secara automatik.
- 2 Jun: Kerajaan Republik Rakyat China menyekat capaian untuk Wikipedia bahasa Cina di tanah besar China. Beberapa hari kemudian, kesemua bahasa Wikipedia disekat. Pengharaman dimansuhkan pada 17 Jun.
- 3 Jun: Penyelia Wikipedia dapat menyunting gaya antara muka melalui penukaran CSS dalam gaya sunting monobook di MediaWiki:Monobook.css.
- Julai: Wikipedia bahasa Melayu mencapai 1,000 pengguna berdaftar.
- 27 Ogos: Wikipedia:Portal Komuniti dimulakan untuk bertindak sebagai tumpuan usaha-usaha komuniti. Sebelum itu, ia dilaksanakan secara tidak formal melalui soalan-soalan dalam "Perubahan Terkini".
- 20 September: Wikipedia mencapai satu juta rencana [4] dalam 105 bahasa, dan tiba-tiba menerima banyak perhatian daripada surat khabar. Rencana ke-sejuta mengenai bendera Kazakhstan diterbitkan dalam Wikipedia bahasa Ibrani.
2005
- 5 Februari: Wikipedia:Portal yang pertama (kini digelarkan Portal:Biologi) dicipta.
- 18 Mac: Wikipedia bahasa Inggeris mencapai 500,000 rencana.
- 26 Mei: Brian Chase menyunting rencana biografi John Seigenthaler Sr. yang kemudian menimbulkan perbalahan yang amat besar sehingga beliau harus meletakkan jawatan pekerjaannya.
- 7 Jun: Sebahagian besar daripada pelayan-pelayan Wikimedia dipindahkan ke tempat baru di seberang lebuh raya. Kesemua projek Wikimedia tergendala sewaktu itu.
- 7 Februari: Wikipedia bahasa Melayu mencapai 1,000 rencana.
- 16 Julai: Wikipedia bahasa Inggeris menonjolkan Wikipedia:Gambar pilihan dalam Laman Utama dalam ruang yang dahulunya digunakan untuk bahagian "Tahukah Anda?"
- 29 September: Wikipedia bahasa Inggeris mencapai 750,000 rencana.
- 15 Oktober: Wikipedia bahasa Inggeris mencapai lebih daripada 500,000 akaun pengguna berdaftar.
- 20 Oktober: Capaian untuk semua tapak Wikipedia di tanah besar China tersekat.
- 29 November: Dalam surat khabar USA Today, John Seigenthaler Sr. mengkritikkan Wikipedia terhadap sebuah rencana biografi yang ditulis mengenainya oleh pengguna Wikipedia bahasa Inggeris.
- 5 Disember: Pendaftaran pengguna diperlukan untuk mencipta halaman baru dalam Wikipedia bahasa Inggeris. Sila lihat: Sekatan-sekatan penciptaan halaman baru.
- 22 Disember: Wikipedia bahasa Melayu mencapai 10,000 rencana dengan rencana Pertempuran Balikpapan.
- 22 Disember: Polisi separa perlindungan dilaksanakan dalam perisian MediaWiki Wikipedia.
2006
- 10 Januari: Wikipedia® menjadi tanda dagangan berdaftar untuk Yayasan Wikimedia.
- 15 Januari: Wikipedia meraikan hari jadi kelima.
- 21 Februari: Wikipedia bahasa Melayu mencapai 2,000 pengguna berdaftar.
- 28 Februari: Akaun pengguna ke-sejuta didaftarkan untuk Wikipedia bahasa Inggeris.
- 1 Mac: Wikipedia bahasa Inggeris mencapai 1,000,000 juta rencana.
- 19 Mac: Melalui pengundian, Laman Utama Wikipedia bahasa Inggeris menonjolkan reka bentuk yang baru buat kali pertama dalam hampir dua tahun.
- 28 Mac: CBS Evening News menyiarkan laporan khas mengenai Wikipedia.
Lihat juga
- Wikipedia: Rencana tertua Wikipedia (bahasa Inggeris)
- Wikipedia:CamelCase dan Wikipedia
Rujukan
- ^ Thoughts on Wikipedia interlanguage priorities
- ^ [ossig Open content encyclopedia ... Wikipedia ... in Malay]
Pautan luar
- Sejarah Wikipedia - dari Wikipedia:Meta
- Nostalgia Wikipedia - Gambar Laman Utama Wikipedia yang menggunakan versi terubah suai UseModWiki 0.92 dalam mod baca sahaja
- Gambar Laman Utama Wikipeda pada 30 Mac 2001*
- Ensiklopedia Sejagat Bebas dan Sumber Pembelajaran — Pengendorsan Nupedia oleh Yayasan Perisian Bebas (kemudian dikemaskini untuk merangkumi Wikipedia) 1999.
- Larry Sanger, Sejarah Awal Nupedia dan Wikipedia: Memoir dan Bahagian II — Slashdot (18-19 April 2005)
- Larry Sanger mengenai asal Wikipedia