Penduduk asal pulau Barbados adalah suatu puak yang dipanggil Arawak Indian. Puak ini kemudiannya dihalau oleh puak Carib Indian pada awal abad ke-14. Pada awal abad ke-15 penakluk dari Sepanyol tiba di Barbados dan telah mengambil puak Carib menjadi hamba abdi. Akibatnya, saki-baki puak ini telah berpindah ke pulau-pulau yang berdekatan.
Penjelajah Portugal, Pedro a Campos telah berhenti dipulau ini pada tahun 1536 sewaktu perjalanannya ke Brazil. Beliau telah menamakan pulau ini Los Barbados ('mereka yang berjanggut'), mungkin setelah melihat pohon 'fig' di pulau ini, yang mempunyai akar bergantungan yang panjang berjuntai seperti janggut.
Barbados merupakan pulau yang lengang sebelum rakyat British mula menetap disini pada tahun 1627. Kapten John Powell mendarat di Barbados pada 1625 dan mengishtiharkan pulau ini sebagai jajahan British. Dua tahun kemudian, abangnya Kapten Henry Powell mendarat dengan 80 peneroka dan 10 hamba abdi. Kumpulan tersebut telah menubuhkan penempatan Eropah yang pertama di Jamestown, di pantai Barat dan sekarang dikenali sebagai Holetown. Pada akhir tahun 1628 penduduk koloni ini bertambah menjadi 2000 orang.
Selang beberapa tahun, penjajah telah menerangkan kebanyakan hutan belantaranya dan menanam tembakau dan kapas. Pada 1640-an mereka menanam semula ladang-ladang ini dengan tebu. Ladang-ladang mereka, merupakan ladang tebu terbesar di kepulauan Caribbean, dan pengeluaran gula menghasilkan untung yang amat lumayan bagi penanam dan peneroka di Barbados. Oleh kerana permintaan gula yang tinggi, hamba-hamba abdi telah dibawa dari benua Afrika dan dikerjakan di ladang-ladang gula yang wujud hingga tahun 1834 apabila sistem perhambaan dihapuskan. Namun ekonomi Barbados masih bergantung kepada gula, "rum" dan "molases" hingga kurun ke-20.
Pada 1639, peneroka di pulau ini telah membentuk Perhimpunan Legislatif, iaitu parlimen kedua yang ditubuhkan dalam jajahan British selepas Bermuda. Selama ini rakyat Barbados setia kepada Raja dan selepas Raja Charles I dipancung pada 1649, Oliver Cromwell, Perdana Menteri Britain telah menghantar tenteranya ke Barbados untuk mendapat pengiktirafan mereka. Tenteranya tiba pada 1651 dan setahun kemudian 'Articles of Capitulation' telah ditandatangani, yang merupakan asas "Piagam Barbados". Piagam ini menjamin kerajaan Barbados diketuai oleh seorang gabenor, perwakilan yang bebas , dan kebebasan dari cukai tanpa kebenaran pihak tempatan. Bila sistem Raja dikembalikan pada 1660, Piagam ini telah memberi kebebasan yang lebih kepada penduduk disini.
Diskriminasi kaum amat berleluasa di pulau ini. Walaupun sistem hamba abdi telah dilupuskan pada 1834, masih ramai hamba abdi yang lebih selesa tinggal di ladang. Kaum kulit hitam yang enggan menjadi hamba, terpaksa tinggal di kawasan-kawasan setinggan. Sewaktu Kemelesetan Besar melanda dunia pada 1930-an, pengangguran bertambah dan keadaan hidup menjadi semakin meruncing hingga tercetusnya huru-hara di kepulauan ini. Untuk mengatasi ketidakstabilan politik, pihak British terpaksa beralah dengan pihak reformasi berkulit hitam dan melibatkan mereka ke dalam proses politik negara. Salah seorang dari mereka adalah, Grantley Adams, yang sedekad kemudian telah dilantik sebagai Perdana Menteri Barbados yang pertama.
Barbados telah mencapai status kerajaan dalaman sendiri pada 1961 dan mencapai kemerdekaan pada 1966. Selepas Perang Dunia II industri gula mula menurun, manakala sektor pelancongan telah meningkat naik. Pada awal 1990-an pelancongan telah menjadi sektor terbesar di Barbados.