Piala Emas Sultan-Sultan 1967 merupakan sebuah kejohanan bola sepak yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Melayu Semenanjong. Ianya telah diadakan bermula pada 26 Februari hingga 29 Julai1967. Kejohanan ini telah diadakan di beberapa buah stadium dan padang bola sepak di sekitar Malaysia dan Singapura. Untuk edisi kali ini, pasukan PBM Pulau Pinang akan cuba mempertahankan kejuaraan yang telah mereka menangi pada tahun 1966 yang lalu.
Perlawanan ulangan Pusingan ulangan diadakan bagi menentukan pasukan yang mendapat mata tertinggi setelah kesemua pasukan dalam Kawasan Timor ini mengumpul mata yang sama selepas selesai pusingan pertama.
Perlawanan ulangan antara pasukan PBM Terengganu menentang PBM Kelantan mencetuskan kontroversi apabila pengadil perlawanan membatalkan gol penyamaan Kelantan yang dijaringkan oleh Mohamed Zain Omar. Keputusan pengadil perlawanan membatalkan jaringan gol menyebabkan penyokong-penyokong Kelantan bertindak aggresif dan khidmat polis terpaksa digunakan untuk mengiring keluar pengadil perlawanan tersebut, Encik Alias[9]. Encik Alias mengatakan bahawa keputusan membatalkan jaringan gol itu adalah tepat kerana dia mendapati pemain Mohamed Zain Omar melakukan kesalahan terlebih dahulu ke atas penjaga gol Terengganu, sebelum menjaringkan gol tersebut[9].
Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBM Kelantan) pula mengemukakan rayuan secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Semenanjong (PBSM), menyatakan hasrat mereka untuk mengadakan perlawanan ulangan di antara PBM Kelantan menentang PBM Terengganu[10]. Terdapat lima sebab yang dikemukakan pihak PBM Kelantan yang menyokong alasan perlawanan ulangan sepatutnya diadakan; perlawanan sebelum ini ditamatkan tujuh minit awal sebelum tamat separuh masa kedua; pengadil perlawanan gagal memberitahu kedua-dua pasukan bahawa perlawanan dimulakan pada pukul 4.45 petang dan bukan pukul 5.15 petang; tiada nombor pemain pada jersi pasukan PBM Terengganu; pengadil perlawanan tidak memberikan sebab yang kukuh kenapa jaringan gol dibatalkan dan pengadil perlawanan juga tidak mengawal rentak permainan dengan betul[10].
Selain itu, perlawanan akhir di antara pasukan PBM Perlis menentang pasukan PBM Singapura juga mencetuskan kontroversi apabila pasukan Perlis membawa masuk Aziz Rahim pada minit ke-60, menggantikan Jumrah Ismail[8]. Berdasarkan peraturan kejohanan, pasukan tidak dibenarkan membawa masuk pemain gantian apabila perlawanan memasuki separuh masa kedua. Mansor Othman, presiden Perlis FA sedar akan peraturan itu, mengarahkan Aziz berhenti bermain dengan serta-merta. Pegawai-pegawai dari Persekutuan Bolasepak Melayu Singapura (SMFA) memprotes insiden ini dan menyebabkan permainan ditangguhkan sehingga lima minit sebelum disambung kembali[8].