Zainal Abidin Ahmad | |
---|---|
زين العابدين أحمد | |
Kelahiran | Zainal Abidin bin Ahmad 16 September 1895 |
Meninggal dunia | 23 Oktober 1973 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia | (umur 78)
Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur |
Nama lain | Za’aba, Za'ba |
Organisasi | Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu |
Terkenal kerana | Ahli akademik dan penulis |
Gerakan politik | Gerakan Akademik Malaya |
Tan Sri (Dr.) Zainal Abidin bin Ahmad (16 September 1895 – 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Za'ba merupakan seorang sasterawan bahasa Melayu dan pemikir keturunan Minangkabau dan Bugis [1] yang giat menulis sekitar tahun 1940-an. Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah seorang budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Beliau merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan. Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.
Kehidupan awal
Zainal Abidin dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan. Beliau anak sulung daripada tiga adik-beradik kepada Intan Awaluddin (1877-1907), seorang Minangkabau Tanah Datar dan Ahmad Ibrahim (1862-1927), seorang suku Bugis Linggi Kepulauan Riau; Ahmad berharta hasil kerjanya sebagai petani dan pemborong yang mengerjakan jalan-jalan kecil di Bahau dan Kuala Pilah,[2] dia tidak sahaja berpengetahuan agama malah satu-satunya penduduk kampungnya yang pandai membaca dan menulis.[3]
Zainal belajar sendiri menulis ketika berusia lima tahun pada daun-daun pokok pisang, gelagatnya menarik perhatian ayahnya yang membelikannya papan tulis untuknya. Hadiah tersebut mendorong Zainal mendalamkan lagi minatnya menulis serta tajamkan lagi kemahirannya.[4] Beliau turut diajar untuk mengaji al-Quran pada usia muda ini.
Ibunya meninggal dunia pada tahun 1907 ketika Za'ba berumur 12 tahun.
Pendidikan
Beliau mula mendapat pendidikan secara rasmi di sebuah sekolah Melayu di Linggi. Disebabkan beliau sudah bijak membaca, menulis jawi dan rumi, beliau ditempatkan dalam darjah tiga. Ayahnya menghantarkannya ke sebuah sekolah berdekatan di Linggi tahun 1909 kerana mahukannya belajar bahasa Arab dan fekah sehingga mahir sebagai seorang ulama, namun Zainal berubah minat sendiri
Beliau menyambung pembelajarannya di Institusi St. Paul Seremban dan merupakan orang Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan pada 1915.[5]
Kerjaya awal
Za'ba memulakan kerjayanya sebagai guru sekolah di Johor Bahru pada tahun 1916 di English College, dan kemudiannya bertukar ke:
- 1918: Kolej Melayu Kuala Kangsar (Guru Bahasa Inggeris dan Guru Bahasa Melayu)[6]
- 1923: Jabatan Pendidikan, Kuala Lumpur (Penterjemah dan pengarang Bahasa Melayu)
- 1924: Kolej Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim
- 1939: Jabatan Maklumat, Singapura sehingga 1942
- 1942: Sekolah Pengajian Timur dan Afrika, Universiti London sehingga 1951
- 1954: Universiti Malaya, Singapura sehingga 1959.
Za'ba adalah seorang yang gemar membaca dan memiliki bakat dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil penulisannya muncul dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah tempatan seperti Utusan Melayu, Lembaga Melayu, Pangasuh dan Pakar Majalah. Beliau telah menerbitkan beberapa siri monograf dalam bahasa Melayu, termasuk Bahasa Pelita, dan Ilmu Mengarang. Hasil penulisannya yang lain termasuk Cerita-cerita Shakespeare terbitan Percetakan Gudang Chap di Singapura yang menghimpunkan seberapa karya terpilih mahakaryawan bahasa Inggeris William Shakespeare yang diterjemahkan Za'ba sendiri.
Kerjaya politik
Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Zaaba sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur. Tentera British datang semula ke Tanah Melayu. Oleh sebab itu, mereka menubuhkan Malayan Union. Penubuhan ini ditentang oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Penentangan tersebut diketuai oleh Dato' Onn Jaafar dan menubuhkan UMNO sebagai usaha untuk menyatupadukan bangsa Melayu. Za'ba dilantik menjadi Setiausaha Agung UMNO yang pertama namun jawatan tersebut tidak kekal lama kerana beliau lebih berminat dengan bidang penulisan dan Bahasa Melayu.
Senarai karya
- Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling.[7]
- Ilmu Bahasa Melayu (1926)
- Rahsia Ejaan Jawi (1929) [8]
- Umbi Kemajuan (1932) [7]
- Falsafah Takdir (1932)
- Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (1934)
- Pelita Mengarang: Ilmu Mengarang Melayu (1934)
- Daftar Ejaan Melayu: Jawa-Rumi (1938)
- Siri Pelita Bahasa Melayu
- Jilid I (1940)
- Jilid II (1946)
- Jilid III (1949)
- Asuhan Budi Menerusi Islam (1958) [8]
Penghargaan
Untuk menghargai jasa beliau, Za'ba telah dianugerahkan:
- Jokes 1956: Gelaran Pendeta Bahasa Melayu di Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
- 1959: dari Universiti Malaya
- 1973: Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia
- 1962: Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri
Meninggal dunia
Kesihatan Za'ba semakin terjejas apabila umurnya semakin meningkat. Akhirnya pada 23 Oktober 1973, beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Selasa pada umur 78 tahun setelah menjalani pembedahan batu karang. Beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pemergian beliau sebagai seorang pendeta dan karyawan merupakan suatu kehilangan besar kepada negara. Sumbangan Za'ba terhadap ilmu Bahasa Melayu tidak ternilai harganya.
Rujukan
- ^ "Zaaba pencetus kebangkitan Melayu". Dicapai pada 23 Oktober 2023.
- ^ Norazit Selat (1990). Negeri Sembilan: Dahulu dan Sekarang.
- ^ "Biodata Tokoh - Pendeta Za'ba". Universiti Kebangsaan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-12-24. Dicapai pada 23 Disember 2016.
- ^ Norhalim Hj. Ibrahim; Aiani Sudeen (2008). Za'ba,1895-1973 : perjuangannya belum selesai (ed. Cet. 1.). Seremban: Lembaga Muzium Negeri Sembilan (the Negeri Sembilan Muzium Board). ISBN 9789832877080.
- ^ Syed Naquib al-Attas. Za'aba dalam kenangan // "Panji Masyarakat", Sept/Okt 1981
- ^ Mustafa, Siti Ezaleila (2009). 20 Tokoh Pendidikan. Selangor: Hizi Print Sdn. Bhd. m/s. 14. ISBN 978-967-5373-01-5.
- ^ a b "Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba)" Diarkibkan 2015-03-20 di Wayback Machine Portal Rasmi Arkib Negara Malaysia. Diakses 1 Februari 2015.
- ^ a b "Zainal Abidin bin Ahmad" Melayuonline.com. Diakses 6 Februari 2015.
Pautan luar
- Zainal Abidin bin Ahmad Diarkibkan 2016-03-05 di Wayback Machine